Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Tuesday, December 18, 2012

Saman trafik, saya dan AES...

Saman trafik bukanlah perkara asing untuk saya. Sejak mempunyai lesen memandu pada usia 20 an dahulu, sehinggalah pada usia saya ketika ini, entah berapa jumlah saman yang pernah saya terima.. Sepanjang pengalaman saya juga, saman-saman yang dipohon untuk pertimbangan pihak yang berkenaan, biasanya diberikan layanan adil. Pernah saya meletakkan kereta di hadapan sekolah semasa hadir mesyuarat PIBG..alhamdulillah, denda kesalahan dikurangkan hingga RM30.

Kemudahan secara online untuk menyemak saman serta kemudahan untuk membayarnya, selama ini meletakkan saya pada kedudukan sekadar 'mengiya'kan jika semakan mendapati ada saman-saman yang dihantar atas nama saya. Untuk memendekkan cerita, saya sekadar melunaskan apa yang perlu dibayar. Malas rasanya untuk memanjangkan cerita...iaitu betapa 'renyah'nya untuk 'melawan' serta tidak berbaloi untuk bertekak atau cuba menafikan saman-saman berkenaan.

Seingat saya pada dua tiga tahun lepas, pihak berkenaan pernah menyatakan kepada rakyat bahawa saman ekor telah digantikan dengan sistem lain yang dikatakan tidak menyusahkan pengguna jalanraya. Saya yakin, majoriti rakyat berasa lega dengan kenyataan tersebut... namun tidak sampai setahun, kisah saman ala-ala saman ekor terus muncul kembali.

Perkataan AES pertama kali saya dengar semasa baru kembali dari menunaikan haji..dengarnya banyak bantahan umum mengenai perlaksanaan sistem berkenaan. Saya sebelum itu yang baru menyedari menerima notis saman AES tersebut, hanya berdiam diri tanpa menyedari tempoh untuk menukar nama pemandu sebenarnya sudah berlalu iaitu ketika saya masih berada di tanah suci lagi.

Sayapun tidak menyangka saman trafik yang bernilai RM 300 itu yang biasanya saya tidak begitu peduli..membuka laluan saya untuk hadir prosedur berkenaan di mahkamah. Apalah agaknya nilai RM300 untuk mereka yang menyaman; namun jika didarabkan dengan jumlah penerima saman AES hingga semalam 274 000... pasti jumlahnya bakal mencecah ratusan- ribuan juta RM jika kesemua yang menerima mempunyai pandangan..bayar sajalah.

Namun kali ini, kesnya tidak serupa dengan saman-saman yang pernah saya terima. Implementasi yang saya sifatkan sebagai agak 'melulu' ini secara umum saya anggap TIDAK ADIL untuk majoriti rakyat yang kini menanggung beban kenaikan harga barang, utiliti serta persediaan anak-anak yang bakal ke sekolah dalam sesi persekolahan tahun hadapan.

Pertama kali saya ke mahkamah untuk mendengar pendakwaan atas pertuduhan yang dikemukakan. Pendek cerita, prosiding ke atas saya tidak diteruskan akibat masalah teknikal di pihak pendakwaan. Namun ironinya...mereka yang berhadapan dengan pengadilan tanpa peguam serta mengaku salah telah dijatuhkan hukuman denda RM300 walaupun sebelum itu pihak berkenaan menggesa mereka yang berhasrat untuk mengurangkan denda untuk ke mahkamah membuat rayuan (denda minima AES ialah RM 300; nilai tersebut tidak boleh dikurangkan mengikut undang-undang).

Kehadiran saya ke perbicaraan di hadapan manusia itu menemukan saya pada fakta-fakta sebenar yang begitu mendukacitakan. Betapa tanggapan saya mengambil mudah RM300 itu sebenarnya selama ini dimanipulasi sedemikian atas nama peraturan untuk mengaut 'ufti' secara mudah. Lebih mengejutkan bahawa peraturan atas kertas itu dimanipulasi sedemikian rupa, mengikut suka tanpa pertimbangan untuk berlaku ADIL kepada rakyat biasa seperti kita semua..

Sebagai rakyat, kita berharap benar untuk diberikan pertimbangan yang adil. Seingat saya andai saya merawat mana-mana pesakit; kami majoritinya akan memilih ubat atau pengurusan paling baik untuk menyembuhkan pesakit berkenaan. Tidak boleh sesekali TIDAK ADIL kepada pesakit sehingga menyebabkan sakitnya bertambah teruk atau menyebabkan kematian serta komplikasi yang serius.

Namun apa yang berlaku di Mahkamah rupanya tidak sedemikian. Peraturan dilaksanakan mengikut susunan fokus kefahaman serta budi bicara mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan keadilan; ia rupanya tidak automatik seperti garispanduan atau tunjukcara pada sebarang terma dan syarat yang pernah saya temui....

Siang tadi..saya sekali lagi berhadapan dengan prosedur berkenaan selepas prosiding sebelumnya ditangguhkan untuk penyediaan dokumen tertentu di pihak pendakwa. Kejutan sebelum itu memberikan maklumat bahawa kes-kes saman AES pada sebelah pagi telah tidak diteruskan. Berdasarkan maklumat media, pihak Peguam Negara telah mengeluarkan arahan kes saman AES digantung sehingga aspek teknikal perundangan dikaji.

Kesediaan saya untuk 'melawan' dalam kes saman kali ini bukan didorong oleh sentimen politik yang kian 'berapi' di sana sini. Saya bukan orang politik, saya hanya rakyat biasa yang mempunyai alasan kukuh untuk memohon keadilan.

Nilai RM 300 mungkin bukan nilai yang besar berbanding kesusahan saya memperuntukkan masa, tenaga, 'stress' serta rasa 'kecewa'...namun jika precedent yang saya catitkan pada hari ini menjadi laluan lebih baik kepada rakyat seluruhnya, mudah-mudahan mereka yang gagal menggunakan ilmu sebaik-baiknya dalam meletakkan keadilan untuk individu rakyat semua diberikan taufik oleh Allah SWT.

Berita tentang 4 individu yang dilepaskan tanpa dibebaskan (discharged not amounting to acquittal) di sini serta penangguhan AES menjadi berita utama media massa pada malam ini..yang mana salah seorang dari 4 individu itu adalah saya... Alhamdulillah..

Kembara Haji 2012 (5): Tawaf dan Sa’ei Haji

Keadaan masjidilharam beberapa hari selepas wukuf terus sesak dengan jemaah haji yang menunaikan ibadah tawaf dan sa’ei. Satu pemandangan yang begitu menyentuh hati tatkala memerhatikan ribuan muslim yang tewaf di sekeliling baitullah. Tak dapat digambarkan dengan tulisan perasaan tersebut; betapa rasa syukur tidak terhingga atas rahmat kurniaan Allah Maha Penyayang.

Disebabkan keadaan yang masih padat, saya dan keluarga menunaikan tawaf dan sa’ie pada jam 1 pagi. Kedua-dua ibadah itu kami lakukan di tingkat 1 dan paling atas; keadaan tidak begitu sesak...tinggal lagi jarak pusingan tawaf agak jauh berbanding jika tawaf di aras paling bawah. Namun, tempoh waktu yang diambil untuk satu pusingan, hampir sama iaitu lebih kurang 10 minit untuk 1 pusingan. Hati dan perasaan saya ketika itu.. terus bercampur baur. Syukur, alhamdulillah.

Musim haji menemukan saya dengan pelbagai telatah dan ragam insan-insan yang ditemui. Fokus yang kadang-kadang teralih oleh rasa marah yang tidak disangka-sangka atau juga keadaan serta situasi yang ‘memening’kan kepala serta mengundang ketidakselesaan di dalam jiwa. Sebahagian jemaah... mulutnya begitu ‘tajam’ menghiris rasa; yang terkadang sayapun tidak begitu faham mengapa dipilihnya tindakan sedemikian.

Pada ibadah sa’ei juga, ingatan saya jauh menerawang pada Kak Ruz, jiran yang begitu rapat dengan saya yang pada ketika itu sedang terlantar dalam ICU Hospital Putrajaya. Imbauan kenangan semasa didakapnya saya sambil bergenang airmata ketika berita saya akan berangkat menunaikan haji; cukup membuatkan saya sebak. Hanya kekuatan doa dan tawakkal pada Allah moga diizinkan Allah agar Kak Ruz sihat seperti sediakala.

Sekadar berkongsi perasaan saya tatkala berdoa untuk semua insan yang saya kasihi di Safa dan Marwah... betapa tenang dan ‘luas’ keadaan hati semasa doa-doa saya panjatkan ke hadrat Allah SWT. Allahu akbar..

Kurnia dan rahmat Allah jua yang menemukan saya pada mimpi bertemu Kak Ruz.. saya berbicara dengannya dalam suasana penuh syukur apabila melihat keadaannya kembali sihat walaupun kelihatan agak letih..kata saya..” eh..Kak Ruz, dah sihat?” Dia sekadar mengangguk. Selepas terjaga, baru saya sedar bahawa saya sebenarnya bermimpi dan ketika itu masih berada di Mekah. Alhamdulillah, beberapa hari selepas itu saya mendapat khabar dari suami bahawa Kak Ruz selamat kembali ke rumah selepas disahkan pulih dari jangkitan paru-paru yang serius...Allahu akbar. Antara keajaiban yang pernah saya saksikan dalam kes-kes perubatan seperti yang dialami oleh Kak Ruz..

Sunday, December 9, 2012

Tentang 'Niqab'...

Saya memikirkan tentang niqab sejak seorang dari hadirin yang menghadiri ceramah saya mengenai H1N1 di salah sebuah masjid di Seri Kembangan memberikan komen mengenai 'mask' yang disarankan untuk digunakan dalam usaha mencegah penyakit tersebut; dan saranan Allah SWT untuk kami wanita berniqab.

Meskipun alasan utama saya memikirkan tentang niqab pada ketika itu lebih kepada alasan kesihatan, namun fokus pemikiran saya kepada niqab terus mendatangi saya; lebih-lebih lagi apabila saya mendengar tentang duduk sebenar seorang wanita di dalam masyarakat.

Saya sering dalam dilemma apabila berada di luar..terdapat suasana di tempat kerja yang bagi saya kadang-kadang tidak memenuhi kehendak syari'i sepenuhnya namun saya santuni juga atas nama adab serta norma masyarakat. Seperkara yang mendilemma kan saya juga ialah.. suara dan ucapan saya dalam apa jua ceramah jemputan 'menyesakkan' fikiran serta ruang kehidupan saya. Dalam keadaan tertentu, saya rasa ok..namun dalam sebahagian ruang yang lain, saya merasakan ianya merupakan laluan untuk saya menjadi cuai atau juga membuka laluan kepada saya untuk berdosa.

Dalam salah satu majlis tazkirah, antara peringatan yang disampaikan oleh ilmuwan wanita yang saya kagumi ilmunya ialah apabila berada d dunia luar, seorang wanita itu tidak perlu untuk menonjolkan diri serta begitu aktif dalam barisan hadapan dunia dakwah kepada masyarakat umum.... sebab, di kalangan ustaz dan ulama yang merupakan para lelaki telahpun melebihi dari mencukupi.

Mungkin dalam isu melibatkan wanita, keluarga dan anak-anak, kalangan wanita berilmu diperlukan untuk tampil membantu. Ya, saya membenarkan pandangan ini. Kehadiran wanita dalam dunia 'glamour' dalam apa jua konferens bagi saya relevan untuk isu wanita; bukan sama-sama dengan pendakwah lelaki yang begitu meluas liputan media dan publisitinya.

Pengalaman saya juga, meski bagaimana usaha saya dan sahabat-sahabat saya untuk 'menyembunyikan' diri dari diketahui kewujudan mahupun peranan kami dalam sesuatu program; namun ianya tidak sedemikian... dan saya membenarkan pandangan bahawa seorang wanita meski bagaimana penampilannya; sering menarik perhatian diketahui umum tentang dirinya.

Pengalaman saya semasa menunaikan ibadah haji pula, terus mendekatkan saya pada niqab. Attribut khutbah di Arafah yang menempatkan wanita pada kedudukan yang begitu istimewa...juga rentetan dari episod demi episod yang saya lalui semasa kembara ibadah tersebut... Betapa seorang wanita itu dihormati dan dihargai dengan batas kesopanan melalui niqab.

Suatu hakikat kehidupan yang saya sendiri tidak pernah terfikir tentangnya sebelum ini.


Musim Haji 2012 (4) : Perjalanan ke Mudzalifah dan jamrah di Mina

Tidak dinafikan, sehari suntuk di Arafah menyebabkan saya terlelap keletihan semasa tiba di Mudzalifah. Waktu yang sepatutnya saya manfaatkan untuk berdoa dan berzikir, berlalu dengan pantasnya selepas terlelap di atas padang berpasir. Di jalanraya, kelompok jemaah dari negara-negara Islam yang lain, kelihatannya berjalan kaki dalam kelompok massa (begitu ramai sekali) untuk terus menuju ke Mina. Allahu akbar.. betapa mereka diberikan Allah kelebihan dari segi kekuatan fizikal dan mental. Tidak termampu rasanya saya untuk melakukan seperti mereka.

Suasana di Mudzalifah, di susun mengikut nombor maktab jemaah haji masing-masing. Kesesakan mencapai puncak apabila waktu menjelang tengah malam. Ada yang kehilangan beg, ada yang kehilangan suami/ isteri serta sahabat-sahabat yang diikuti; yang uniknya..ramai pula di kalangan jemaah haji yang hadir membantu menyelesaikan masalah ‘kehilangan’ tersebut secara sukarela..


Selepas tiba di Mina hampir jam 3 pagi.. sebahagian kami meneruskan perjalanan berjalan kaki ke Kompleks Jamrah untuk ibadah melontar di jamrah aqabah. Jarak pergi balik ke Kompleks melontar dari perkhemahan di Mina pada anggaran saya hampir 7 km. Jarak sedemikian tidak terasa lantaran bagi saya begitu istimewanya ibadah melontar jamrah sebagai salah satu syarat wajib haji. Perjalanan ke Kompleks jamrah adalah selama 4 hari berturut-turut namun selain jamrah aqabah; melontar boleh dikelompokkan pada hari berikutnya atau dilakukan sekali sahaja pada hari tasyriq terakhir.



Sebahagian dari jemaah jatuh sakit, yang uzur pula tidak mampu meneruskan perjalanan ke Kompleks berkenaan. Sebahagian jemaah diuji dengan emosi dan takat kesabaran yang benar-benar menguji. Kesesakan di khemah, tandas, mengam,bil wudhu' serta logistik yang seadanya... tidak memalapkan semangat dan motivasi sebahagian besar jemaah lain untuk meneruskan ibadah haji di Mina. Tinggal lagi, kekurangan ruang seperti surau; banyak menguji saya untuk menumpukan fokus dalam ibadah khusus. Kepadatan di dalam khemah lebih tinggi berbanding di Arafah. Namun sebahagian besar kami...'give and take' dalam membuka ruang antara satu sama lain untuk diselesakan seadanya...alhamdulillah.



Ibadah jamrah merupakan simulasi lontaran yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s terhadap iblis; namun dalam ibadah jamrah..apa yang saya faham, yang hendak kita lontarkan keluar adalah segala sifat-sifat nifaq, kejahatan yang bersarang serta apa jua yang menjadi kesukaan iblis dan syaitan. Subhanallah.... air mata saya bergenang apabila fokus tersebut saya lontarkan pada diri dan hati saya sendiri. Ya Allah..bantulah saya melontarkan segala nifaq yang masih terpendam di dalam hati...


Saturday, December 1, 2012

Kembara Haji 2012 (3) : Wukuf dan khutbah di Arafah..

Alhamdulillah, antara pengalaman paling mengesankan dalam kembara ini ialah tatkala hadir di padang Arafah untuk wukuf. Wukuf adalah merupakan satu dari rukun-rukun haji.

Dari hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, " Haji adalah Arafah" (Riwayat Tarmidzi). Mereka yang tidak dapat hadir ke Arafah secara automatik tidak mendapat haji.Wukuf di Arafah tidak boleh diwakilkan..bagaimana uzur sekalipun seseorang, mereka perlu wukuf walau sebentar di Arafah pada waktu yang bermula sejak masuknya waktu zuhur hingga terbenam matahari pada 9 hb Zulhijjah.

Sebelum tiba di Arafah, antara yang merisaukan saya ialah keadaan kesihatan serta cabaran yang mungkin menjadi halangan untuk wukuf di situ. Pihak Tabung Haji sering mengingatkan jemaah untuk terus berdoa agar semua dapat melaksanakan wukuf kerana ia merupakan antara ibadah yang paling penting untuk dilaksanakan.

Meskipun menurut sunnah sepatutnya pada 8hb Zulhijjah itu jemaah perlu singgah di Mina dahulu sebelum ke Arafah, namun atas keperluan pengurusan..jemaah Malaysia dibawa terus ke Arafah pada tarikh berkenaan. Setiap jemaah nyatanya begitu teruja ketika berada di Arafah.


Pintu khemah yang terbuka serta kedapatan jemaah lelaki yang berkeliaran di kawasan jemaah wanita serta keadaan dalam khemah yang cukup memuatkan kami melepaskan penat... menyebabkan saya sukar melelapkan mata pada malam 9 hb Zulhijjah itu.

Saya tak faham mengapa sebahagian jemaah haji lelaki terus menjengah ke khemah wanita tanpa menitikberatkan aurah kami yang perlu dipelihara. Disebabkan keadaan khemah sedemikian yang pengudaraannya tidak begitu baik, ada jemaah wanita yang tidak berpakaian 'formal' ketika malam menjelang. Saya sedih sebenarnya.. terkadang timbul rasa tidak selesa. Hendak dimarah.. kami semua sama-sama sedang beribadah, sebahagian mereka itu pula sudah berusia. Biar apapun alasan, teknologi hari ini dengan telefon tangan serta kehadiran kakitangan tabung haji serta sukarelawan yang mencukupi..; saya terus tidak faham mengapa mereka terus berkali-kali menjengah isteri masing-masing.



Akhirnya debar menanti tarikh yang dinantikan iaitu masuknya waktu wukuf tiba, sebaik sahaja masuk waktu zuhur. Saya memilih untuk berada di bawah pohon di luar khemah bersama beberapa jemaah wanita yang lain. Sebahagian jemaah yang lain berada di dalam khemah.Allahu akbar .. apabila tiba sahaja waktu wukuf, terbit di dalam hati perasaan yang luar biasa. Alhamdulillah..saya dan jemaah haji lain diizinkan Allah hadir di tanah Arafah yang sering menjadi sebutan pada waktu-waktu sebelumnya. Satu keadaan yang sangat diidamkan oleh setiap muslim yang berniat untuk menunaikan haji...betapa ramai yang ingin hadir ke arafah untuk menunaikan haji, namun masih terhalang oleh sebab-sebab tertentu. Air mata saya mengalir tanpa henti, sungguh.... sukar untuk dikisahkan perasaan ketika itu.


Buku mengenai Haji yang saya perolehi dari Profesor saya benar-benar membantu untuk tidak melepaskan peluang melakukan pengisian menurut kemampuan sepanjang berada di Arafah. Sempat juga saya meneliti isi kandungan khutbah Haji Perpisahan semasa hayat Rasulullah SAW.

Wukuf di Arafah pada waktu itu ditandai dengan azan zuhur dan diikuti solat berjemaah dan kemudian diikuti oleh khutbah Arafah.. isi khutbah yang dibaca oleh imam dalam versi Bahasa Melayu itu merupakan kandungan dari khutbah haji perpisahan yang telah disampaikan oelh Rasulullah SAW.

Apabila imam yang membacakan khutbah tersebut menangis tatkala menyampaikan isi khutbah yang berkaitan dengan wanita, saya juga turut menangis... isi khutbah tersebut menusuk-nusuk ke dalam hati, sebahagian besarnya menjawab persoalan-persoalan yang berlegar dalam fikiran saya selama ini... mengenai wanita dan keperluan menjaga kehormatan serta "complicated"nya situasi masyarakat hari ini yang begitu ramai wanita keluar bekerja..

Saya kongsikan sebahagian isi khutbah tersebut dalam Bahasa Inggeris..

O people.. fear Allah concerning your women. Verily, you have taken them on the security of Allah and have made them lawful unto you by Words of Allah. It is incumbent upon them to honor their conjugal rights and not to commit acts impropriety which, if they do, you have authority to chastise them yet not severely.If your wives refrain from impropriety and are faithful to you, clothe and feed them suitably.

Thursday, November 29, 2012

Kembara Haji 2012 (2): Apabila iphone saya hilang...



Saya bagai tidak keruan apabila menyedari iphone saya hilang semasa melalui jalan yang penuh sesak sekembali dari menunaikan solat subuh di masjidil haram. Jelas wajah insan remaja perempuan yang ‘menerobos’ ke arah saya sebanyak dua kali sebelum hilangnya iphone itu saya sedari.

Catitan serta keperluan komunikasi yang saya simpan sejak 3 tahun lalu... hilang begitu sahaja. Andai insan itu tahu bahawa handphone saya itu bukanlah handphone sahaja malah menyimpan sebahagian besar apa yang saya dan jiwa saya perlukan dalam rutin seharian; mungkinkah agaknya dia meneruskan niat untuk mengambilnya tanpa izin ? Andai juga dia merupakan ‘utusan syaitan’ untuk merosakkan fokus saya dalam beribadah di tanah suci dan mulia itu..saya mohon kepada Allah SWT untuk membantu saya redha dan melepaskan segala-gala yang ‘terbuku’ di hati. Saya doa moga saya mampu bersabar. Sabar dalam menahan kesakitan dan kegelisahan hilang sesuatu yang saya perlukan pada waktu-waktu seperti itu.

Berkongsikan pengalaman hilang sesuatu yang sangat-sangat diperlukan, tazkirah dari insan yang saya kasihi membuka ruang untuk saya belajar erti redha dan tawakkal ...serahkanlah sahaja segala-galanya pada Allah SWT. InsyaaAllah, Allah ganti dengan sesuatu yang lebih baik dari apa yang bukan lagi milik kita.

Alhamdulillah, saya belajar menghayati makna alhamdulillah. Tatkala saya lepaskan segala-galanya kerana Allah SWT sahaja; sukar untuk menjelaskan ketenangan jiwa apabila saya ungkapkan lafaz alhamdulillah itu pada setiap kali ingatan saya terhadap kehilangan iphone itu menjengah ke dalam fikiran..

Tuesday, November 20, 2012

Jangan sedih dengan peperiksaan dan apa jua keputusannya...

Musim ini merupakan musim peperiksaan...juga musim keputusan peperiksaan yang telah dilangsungkan sebelum ini.

Semalam, saya hadir menyaksikan suka duka wajah-wajah yang telah menduduki UPSR 2012 yang lalu. Sebahagiannya senyum gembira, ada juga yang sedih... tidak ketinggalan yang 'tidak apa' ..

Anak-anak pada usia tersebut sebahagian besarnya teraruh (terikut-ikut) dengan suara-suara yang mahukan mereka cemerlang berdasarkan keputusan peperiksaan. Saya secara nyatanya tidak bersetuju andai cemerlangnya seseorang hanya diukur pada satah peperiksaan atau nilaian akademik sahaja.

Pengalaman saya dengan peperiksaan...menggubal soalan, menanda kertas ujian mahupun dalam merangka kurikulum dan bahan yang hendak dikongsikan; fokus mendapatkan ilmu jika tidak dicirikan dengan matlamat sebenar mencari redha Allah...seringnya membuatkan kita tersasar dari matlamat menguasai sesuatu ilmu.

Pada usia-usia yang sudah melepasi zaman persekolahan, dengan sedikit ilmu dan taufik yang diizinkan dari Alah SWT, saya benar-benar terkilan apabila mengenangkan zaman saya bekejar menuntut ilmu dahulu jarang benar yang saya sandarkan dengan matlamat untuk mengenal Allah dan seterusnya untuk lebih 'dekat' denganNya.Apatah lagi...ilmu-ilmu yang baik sepatutnya menjadi penampan diri kita dari menjadi seseorang yang bersifat nifaq.

Anak-anak yang saya kasihi,
sesungguhnya ilmu yang dibentangkan untuk kita adalah untuk kita menjadi insan yang mengenal Tuhan yang telah menciptakan diri kita semua. Insan yang mengenal tentang Islam dan Iman...seterusnya yakin akan adanya pahala, dosa serta hari akhirat. Matlamat ilmu bukan untuk disorak atau ditepuk kejayaannya di atas pentas atau laungan di rostrum melalui pembesar suara..

Juga bukan matlamat ilmu untuk nama kita diabadikan pada dinding sebagai insan 'gemilang' atau 'cemerlang'. Bagi saya, nama yang diabadikan di dinding atau di atas permukaan berbatu hanya untuk mereka yang sudah tidak lagi wujudnya di muka bumi ini.

Allahul musta'an..

Monday, November 19, 2012

Kembara Haji 2012 (1) : Bermulanya ibadah haji...

Saya meninggalkan kota Madinah pada 8 hb Oktober; menuju ke Makkatul Mukaramah untuk menunaikan umrah haji dan seterusnya ibadah haji yang dijadual pada 25hb Oktober. Sebahagian besar dari jemaah memilih haji tammatu’.. bermakna kami mempunyai ruang waktu selama dua minggu sebelum wukuf.

Dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah


Masjid Bir Ali - tempat berniat umrah haji (9km dari Madinah)

Pengalaman menunaikan umrah sebelum ini, alhamdulillah membantu saya menyelesaikan ibadah berkenaan. Namun, menunaikan umrah pada waktu berkenaan, saya lebih terkesan tatkala mengingati sejarah ibadah sa’i iaitu ibadah yang disyariat kan Allah SWT sebagai pengiktirafan terhadap keikhlasan dan tawakkal Hajar (isteri Nabi Ibrahim a.s) . Jujurnya saya terlupa membawa buku panduan doa, menyebabkan saya tidak dapat membaca setiap doa yang dibaca oleh Rasulullah SAW ketika melakukan ibadah berkenaan.

Pengisian waktu sebelum wukuf agak mencabar. Saban hari, semakin ramai jemaah dan bakal-bakal haji yang datang memenuhi kota suci Mekah. Perjalanan ke masjid juga semakin sesak sehingga ada kala kami terpaksa berhimpit untuk melepasi kesesakan luar biasa.

Di kediaman tempat kami menginap ada disediakan kemudahan surau yang boleh memuatkan hingga 500 jemaah serta diketuai oleh imam tempatan. Sebahagian besar jemaah yang sudah berusia dan uzur, menunaikan solat di surau berkenaan. Pada waktu-waktu yang semakin hampir dengan wukuf; terdapat sebahagian jemaah menunaikan solat berjemaah di ruang legar lobi tingkat penginapan masing-masing.

Sejak di Madinah, saya nyatanya tidak selesa dengan kesesakan yang menyebabkan jemaah lelaki dan perempuan berhimpit dalam melalui laluan mahupun ketika berada di masjid. Sebahagian para suami saya perhatikan, menjaga isteri masing-masing dengan begitu teliti sekali tanpa membenarkan sebarang lelaki lain menghimpit atau melanggar isteri mereka. Tiba-tiba hati saya sayu... rindu benar rasanya pada insan tersayang yang tidak dapat bersama-sama saya untuk menunaikan ibadah haji pada ketika itu.

Debar menantikan wukuf sukar digambarkan. Kejutan demi kejutan berita kematian di kalangan jemaah serta pelbagai ragam yang berlaku. Demikian juga dengan demam, batuk dan selesema serta sakit tekak yang bagai terus berulang; alhamdulillah saya bersama-sama jemaah haji yang lain terus berdoa moga perjalanan seterusnya dimudahkan Allah SWT.

Pandangan Kota Mekah dari tempat penginapan Land Premier Hotel


Seperti yang saya tuliskan sebelum ini, pengisian waktu sebelum wukuf sangat mencabar. Tanpa pengisian hati atau pengetahuan, pastinya waktu yang ada berlalu sia-sia tanpa amalan yang membawa kebaikan dan pahala. Namun, sebahagian jemaah terus berusaha memenuhkan waktu mereka dengan bertadarus dan berzikir; sebahagian yang lain dengan perancangan masing-masing. Tiada niat saya untuk mengomen... namun saya secara ideal nya berharap benar jika setiap hari ketika di Mekah terdapat program pengisian atau tazkirah berdasarkan quran dan sunnah sebagai pemantap dan pembakar motivasi untuk kami berusaha memperolehi haji yang mabrur...

Namun.. tiada program pengisian khusus; tiada tazkirah mahupun syarah tafsir/ tauhid/ akidah. Masing-masing dengan gaya pengisian waktu masing-masing. Di sini sebahagian kami diuji... tidak ketinggalan juga saya; benarlah kita akan terus diuji, sama ada dengan perkara yang kita suka..juga dengan perkara yang kita benci... Dalam kegelisahan menangkis ujian demi ujian; saya terduduk sebentar apabila iphone kesayangan saya hilang dicuri..

Sunday, November 18, 2012

Indahnya bumi Madinah Al Munawarah...

Alhamdulillah... saya singgah sekali lagi ke bumi Madinah. Panorama yang saya pernah kecapi 10 tahun lalu... masih segar dalam ingatan. Tidak tergambar betapa gembira dan tersentuhnya hati apabila diizinkan Allah sekali lagi mengecapi ‘harum’nya indah bumi Madinah ini.



Jauh dalam ingatan, saya terkenang anak-anak pelajar saya yang mungkin semasa ziarah ke bumi Madinah itu sedang bertungkus lumus bersiap sedia untuk program sunathon dan juga Seminar Al Maghrib mengenai Fiqh Solat di tempat saya bekerja.Terkenang juga kepada adik-adik sahabat Institut Al Maghrib. Sejurus terkenang indahnya seerah Rasululah SAW yang saya pelajari secara intensif bersama mereka dalam satu seminar yang mereka anjurkan. Diizinkan Allah, seminar tersebut membuka lowongan kasih pada kehidupan yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat r.a.

Bagi mereka yang pernah berpeluang menunaikan solat di masjid Nabawi ini, pasti tersentuh dan terasa sentimentalnya berada di bumi suci ini. Masjid Nabawi merupakan masjid kedua suci untuk umat Islam, pahala bersolat di dalamnya adalah 1000 kali ganda berbanding bersolat di masjid-masjid yang lain kecuali di masjidil haram yang mana pahalanya 100 000 kali ganda.

Kesesakan masjid semasa musim haji merupakan pengalaman yang tidak dielakkan. Namun bagi saya, kesesakan tersebut hanyalah seperti rutin kehidupan yang biasa dan pernah kita lalui. Di waktu-waktu puncak seperti musim haji ini, untuk mudah mendapat tempat menunaikan solat, seelok-eloknya datang ke masjid dua jam sebelum waktu solat fardu. Kesesakan memasuki masjid begitu ketara pada setengah jam sebelum azan; waktu subuh, maghrib dan isya’ terutamanya... pintu utama untuk muslimat biasanya ditutup pada 15 minit terakhir,... membolehkan mereka yang lewat untuk solat di dataran pinggir Masjid Nabawi.

Masjid Nabawi yang merupakan masjid yang menjadi idaman umat muslim untuk beri’tikaf. Namun, sebahagian tidak menggunakan waktu untuk tujuan tersebut..majoriti memilih untuk keluar awal; situasi yang menyebabkan pintu masuk/ keluar begitu sesak setiap kali waktu selepas solat fardhu.

Tatkala berhadapan dengan kesesakan mahupun situasi yang tidak begitu menyenangkan..saya sekadar berdoa pada Allah moga merahmati dan mengampuni kami semua serta dimudahkan beribadah di sepanjang musim haji kali ini.

Kesesakan di lif hotel tempat penginapan sementara kami...demikian juga. Saya tidak selesa apabila berhadapan situasi di mana terdapat kalangan jemaah haji yang berasa ‘tidak apa’ apabila bersesak-sesak ber’langgar’ antara jemaah lelaki dan perempuan ketika menaiki lif; pada waktu-waktu yang tidak dapat dielakkan...saya memilih untuk turun dan naik menggunakan tangga kecemasan.

Berdasarkan cerapan saya selepas sehari dua di Madinah, mendapati sebahagian jemaah enggan memenuhi saf hadapan apabila datang ke masjid. Mereka nyatanya lebih gemar memilih saf berdekatan dengan pintu utama masuk/ keluar masjid... ada juga yang tidak kisah membentangkan sejadah di laluan utama sehingga menghalang laluan jemaah lain yang ingin memasuki ruang yang lebih ke dalam. Sebahagian jemaah juga enggan memberi ruang berkongsi dengan jemaah lain apabila sejadah yang dibentangkannya itu di’duduk’nya sendirian meskipun tatkala qiam kemudian..ada ruang kosong yang boleh diisi. Sejujurnya saya gundah dengan keadaan tersebut.


Alhamdulillah... sepanjang di Madinah, saya diizinkan Allah mendapat ruang yang cukup untuk bersujud di masjid Nabawi yang penuh berakah itu ; pernah juga saya dicium oleh beberapa ummi berbangsa Arab yang begitu berterima kasih apabila ruang untuk saya bersolat saya kongsikan dengan mereka. Yang pasti... saf pertama di masjid Nabawi biasanya sering kosong tidak terisi...

Thursday, November 15, 2012

Alhamdulillah... kembali menulis..

Musim haji 2012 (1433H) baru sahaja berlalu; jemaah haji Malaysia sebahagiannya sudahpun kembali ke tanahair dan sebahagian lagi masih menunggu giliran untuk pulang. Alhamdulillah, saya dan jemaah haji yang bersama-sama sejak 28 September lalu, selamat kembali ke tanahair beberapa hari yang lalu.

Walau saya sebenarnya berharap dapat menulis sekadar termampu semasa berada di Tanah Suci, namun di atas beberapa hal; saya tangguhkan. Alhamdulillah pada peluang yang diizinkanNya, insyaAllah saya akan kongsikan sedikit sebanyak pengalaman, yang padanya saya doa pada Allah merupakan sebahagian dari pengisian untuk kita sama-sama berisitiqamah di atas jalanNya..




Friday, September 28, 2012

Prolog sebuah kembara...


Saya lalui awal tahun ini dengan dugaan yang begitu menghambat jiwa. Berbekas dan sarat dengan kepayahan yang sukar dilupakan. Kedukaan yang melontarkan hati dan diri pada batas untuk menyimpan kesilapan tersebut walau secara umum telah saya maafkan.

Ujian demi cabaran...yang kadang-kadang sebahagiannya tidak saya fahami pada mulanya...namun 'ada cahaya' akhirnya datang melepaskan kekaburan yang diizinkan Allah sebagai penyelesaian. Melalui pengalaman, saya membenarkan realiti di mana memaafkan itu relatifnya mudah namun kesan yang tertinggal di dalam jiwa kadang-kadang gagal merelakan maaf itu berlaku secara total.

Mereka yang munafiq serta memiliki sifat-sifat nifaq adalah antara yang dibenci Allah SWT. Mereka yang munafiq secara jelas dinyatakan oleh Allah akan ditempatkan di neraka yang paling bawah (An Nisa' ayat 145). Saya jelasnya jarang mengambil endah tentang sifat-sifat nifaq...menyangkakan diri bukan merupakan golongan sedemikian. Namun, tazkirah dari insan yang saya kasihi benar-benar membuatkan saya tersentak..."Mereka yang merasakan bebas dari sifat nifaq.. itulah sebenarnya merupakan sifat nifaq".

Dalam kemelut berhadapan dengan ujian serta cabaran, saya menerima sebuah buku tanda hati mengenai Haji, dari seorang Professor yang juga merupakan bekas guru saya. Dalam masa yang lebih kurang sama juga, Allah mendatangkan "jemputan' buat saya hadir sebagai tetamuNya dalam ibadah haji tahun ini... Allahuakbar, satu hibah kurniaan yang benar-benar merupakan kejutan buat saya.

Uniknya, penjelasan buku berbahasa Inggeris itu sangat ringkas namun padat dengan isi yang perlu difaham dan diterjemahkan dalam hati dan amalan sebagai persediaan menunaikan ibadah haji. Fokus tentang bekalan-bekalan penting dalam sebuah perjalanan suci buat mendekatkan hati dan diri dengan Rabb yang Maha Agung.

Persediaan menghadapi kembara ini saya kerahkan seadanya. Jauh di sudut hati... masih banyak rasanya yang tidak mampu ditela'ah secara mendalam. Hari demi hari dengan pelbagai rentetan yang menduga hati itu, membuka lembaran kefahaman tentang sifat-sifat nifaq yang mesti saya tinggalkan. Labbaikallahumma labbaik....


Sunday, September 9, 2012

Cantiknya seorang muslimah adalah pada AURAH YANG DIPELIHARANYA..

Saya sering terjurus pada tafsiran fizikal mengenai keperluan seseorang muslimah itu memelihara aurahnya. Seingat saya juga, pada usia saya remaja... saya cukup tidak selesa apabila ada kelompok individu yang begitu giat menyuruh kami memakai tudung tanpa bahasa dan kias berhikmah. Pantang ada peluang, ada sahaja sindiran atau ‘kata-kata’ yang disuakan kepada kami untuk di’patuhi’, mungkin juga dianggap mereka sebagai sebahagian usaha kewajipan agama untuk dikongsikan (meskipun saya ketika itu menganggapnya lebih kepada rhetorik pada individu yang tidak tahu cara-cara menasihatkan remaja perempuan seperti saya).

Ayat-ayat mengenai kewajipan memelihara aurah dalam surah AnNur dan AlAhzab pula sering diperdebatkan dan dihujahkan. Pernah saya terbaca artikel yang menggunakan hujah alquran dan campur aduk fahaman isme lain untuk menjustify kan mengapa pakaian fizikal seorang wanita itu tidak perlu diutamakan kerana yang penting ialah fokus kontemporari serta kedudukan seseorang ‘with a good heart’... astaghfirullah. Tafsiran Quran dan ikutan sunnah saya dapati semakin direpek-repekkan melalui tafsiran praktis sebahagian mereka yang ‘menyelarikan’ arahan Allah dan Rasulullah SAW dengan selera ‘cantiknya’ diri seperti apa yang mereka inginkan. Betapa pula terjemahan alquran dan sunnah itu dicampur baur dengan apa yang ditanggap sebagai ‘keperluan’ akan berubahnya senerio zaman yang menyaksikan betapa ramainya wanita di ruang pekerjaan.

Sifat dan atribut fitrah pada diri seorang wanita itu sering menarik perhatian..meski bagaimana penampilan dan kedudukannya, yang pasti apa sahaja dilakukan wanita apabila berada di hadapan awam...ianya kekal menarik minat orang lain untuk melihatnya.

Di dalam syarah hadith mahupun topik yang berkaitan dengan wanita, sering disebutkan antara hadith menyebutkan bahawa maksudnya, “...Antara fitnah yang terbesar ialah fitnah seorang wanita”. Tazkirah yang alhamdulillah turut saya hadiri dalam perjumpaan ringkas Aidilfitri bersama Ustazah Umm Abdillah mensyarahkan agar jangan pula ditafsirkan fitnah menurut definisi yang biasa kita fahami. Perkataan asal ‘fitnah’ dalam bahasa Arab membawa maksud yang pelbagai, antaranya ujian, cabaran.. ia wajarnya juga tidak didefinisikan dalam perspektif negatif sehingga membawa kepada persepsi bahawa Islam merendah-rendahkan darjat wanita sebagai punca kepada apa jua kesalahan dan dosa! Ujian dari wanita, adalah untuk dirinya sendiri, untuk wanita yang lain juga antara lelaki khasnya.

Aurat maknanya sesuatu yang memalukan untuk dilihat oleh orang lain, atau keaifan yang mesti ditutup untuk dipelihara kehormatan dan harga diri seseorang. Aurah fizikal yang wajib ditutup adalah perlu mengikut definisi AlQuran iaitu firman Allah dalam ayat 31 Surah AnNur dan juga ayat 32-33 Surah Al Ahzab. Namun, dalam dunia digital yang merupakan trend semasa yang mendominasi pergaulan sosial, fokus komunikasi perlu juga melihat aspek berkenaan. Lalu tafsiran aurah bukan lagi terbatas pada aurah fizikal iaitu tudung dan pakaian yang menutup keseluruhan badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Konteks menutup atau ‘memakai hijab’ itu meliputi perlunya menutup bahagian yang jika dilihat membuka kepada sesuatu yang meng’aib’kan iaitu rasa hati yang membawa dosa, semua urusan-urusan dalam ruang kehidupan serta batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Aurah dalam urusan harian juga perlu dipelihara..memelihara suara agar digunakan dalam konteks yang mempunyai objektif yang diredhai Allah SWT. Cara berkomunikasi dengan mereka yang bukan mahram serta garis panduan pakaian yang perlu dipakai ketika berada di luar juga perlu diberikan perhatian. Demikian jua bahawa ianya meliputi pada komunikasi lisan dan tulisan (email, facebook, blog, sebarang coretan dsb)

Hijab sebenar wanita adalah rumahnya. Namun apabila beliau keluar, aurah untuk memelihara kehormatan diri dan kedudukan dirinya perlu disusun menurut batas yang diredhai Allah dan mengikut para sahabiyat di zaman Rasulullah SAW. Perlu menundukkan pandangan (pandangan mata dan hati), mengelakkan wangi-wangian yang membangkitkan emosi lelaki, elakkan ‘berjalan’ di tengah jalan (menjadi perhatian) serta menjauhi tempat yang dipenuhi lelaki. Sesungguhnya wanita itu lebih ‘dekat’ dengan Tuhannya apabila dirinya berada di rumah.

Istimewanya sifat dan atribut wanita menjadikan dirinya sebagai pelengkap kehidupan dalam mengindahkan suasana, menenangkan emosi,menjadi penawar dalam stress dan tekanan, manisnya menghayati kesabarannya dalam mendidik, pada senyum tenangnya dalam membimbing serta membantu praktis terjemahan kehidupan ini diharungi sebaik-baiknya. Betapa uniknya ciri seorang wanita... demikian menurut hadith yang maksudnya bahawa dunia ini adalah penuh dengan perhiasan (keindahan), sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Sesungguhnya cantiknya seorang muslimah itu..adalah pada aurat yang dipeliharanya..

Saturday, September 1, 2012

Kali ini... Tentang resepi Gulai Itik

Saya secara fitrahnya... tidak gemar memasak. Namun, satu masakan istimewa dari 'dapur' ibu saya iaitu Gulai Itik, menjadi pilihan untuk saya kongsikan kali ini.

Bahan-bahannya:
1) Itik nila atau itik serati seekor - dibersih, seeloknya disalai sehingga terbit minyak dari bhg kulit itik tersebut

2) Bahan gulai (kering)
Ketumbar
Jintan manis
Jintan putih
Lada hitam

Bahan-bahan (2) di atas perlu digoreng terlebih dahulu. Dengan minyak yang sangat sedikit (beberapa titik), mulakan dengan menggoreng ketumbar. Selepas bangkit bau, masukkan pula jintan manis dan jintan putih. Perlu dilebihkan sedikit 'portion' untuk jintan manis untuk 'mengenakkan' lagi rasa gulai tersebut. 
Akhir sekali, masukkan lada hitam untuk digoreng bersama-sama.

Bahan- bahan yang sudah digoreng itu dibiarkan sehingga mencapai suhu bilik sebelum dikisar menggunakan 'dry blender'.

3)Bahan untuk ditumis ( basah)
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Serai
Kunyit

Semuanya dikisar seperti biasa.

4) Santan cair dan pekat serta  kerisik; 

5) perkakas tumis ( kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dsb)
6) Garam 
7) Asam Gelugor (option)

Cara-caranya: 

1. Panaskan kuali dengan minyak
2. Tumis bahan (2) dan (5); selepas bangkit bau, masukkan pula bahan (3). Biarkan seketika
3. Masukkan itik yang sudah dipotong kecil
4. Masukkan santan cair dan kerisik
5. Kacau gulai sehingga empuk
6. Masukkan garam secukup rasa, asam Gelugor
7. Akhir sekali masukkan santan pekat sehingga mendidih kuah, siap untuk dihidangkan.


Kuantiti bahan- bahan tumis yang diperlukan di atas adalah berdasarkan anggaran/ pengalaman. Mungkin inilah agaknya RAHSIA enaknya 'air tangan' seseorang. Selamat mencuba..

Thursday, August 23, 2012

Iktibar Kematian: Satu Peringatan, BUKAN untuk dinostalgiakan...

Di dalam surah Al Mulk ayat 2, Allah mengingatkan kita melalui firmanNya bahawa Allah menciptakan kematian dan hidup adalah untuk menguji siapa antara kita yang lebih ihsan amalannya. Satu peringatan yang cukup menyentuh jiwa tatkala kita menghayati hakikat kematian dan kehidupan itu berulang kali.

Saya pada usia sebelum mengenal Bahasa Al Quran serta memahami konteks sebenar sebagai muslim yang menyerahkan hidup dan jiwanya kepada peraturan Allah, sering menganggap kematian sebagai sesuatu yang begitu sentimental..apatah lagi apabila insan yang ‘pergi’ itu merupakan insan yang dekat atau seseorang yang kita sayang. Sering pula dinostalgia kan saat-saat manis bersama, mengenang kenangan dalam sama-sama mengemudi kehidupan serta betapa sedihnya saya apabila menelan hakikat bahawa insan yang saya sayang itu sudah tiada lagi di dunia. Ada di kalangan mereka yang ‘pergi’ pada usia terlalu muda, atau juga selepas mengalami sakit kronik sehingga membawa maut atau juga selepas menderita akjbat kesakitan-kesakitan berpanjangan yang menyebabkan sebahagian mereka terlantar sehingga menemui ajal kematian.

Namun kesilapan saya juga, pada usia sedemikian menganggap kematian sebagai sesuatu yang ‘menakutkan’. Meskipun ia realiti yang bakal dihadapi oleh setiap jiwa, namun saya jarang mengambil iktibar sebagai peringatan untuk hati dan diri. Sibuk dengan nostalgia mahupun kenangan silam penuh emosi; jarang pula meletakkan diri sendiri bahawa saya juga bakal diusung sebagai jenazah, bakal dimandi dan dikafankan dan juga bakal disemadikan di liang lahad.

Masyarakat kita pula, sering mengaitkan kematian dengan ‘badi’ yang menakutkan. Dikaitkan pula dengan hantu dan makhluk yang menakutkan atau menyeramkan. Sehingga ada di kalangan anak-anak yang ‘melarikan’ diri atau meninggalkan ibu atau ayah mereka yang meninggal dunia ‘keseorangan’ tanpa diiring semasa menunggu diuruskan jenazahnya.

Baru-baru ini, sahabat baik saya meninggal dunia akibat sakit kronik yang dialaminya. Peluang bersama-sama menguruskan jenazah merupakan pengalaman yang begitu menyentuh hati dan jiwa. Diizinkan Allah dalam kesibukan cuti Aidilfitri, saya antara yang berpeluang hadir semasa pengurusan jenazahnya. Membantu memandi, mengafan dan menyembahyangkan beliau. Setiap kali berpeluang menguruskan jenazah, terasa tersentuh di dalam jiwa..betapa dhaifnya kita sebagai manusia. Sampai waktu bakal terkaku tidak mampu bergerak dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Kupasan Quran serta teladan sunnah memberikan petunjuk bahawa kematian merupakan detik penamat seseorang di alam dunia. Lorong waktu terhad yang diizinkan Allah SWT untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan penuh ihsan. Di dalam Al Quran Allah memerintahkan berulangkali untuk kita insaf tentang detik kematian yang bakal tiba:

FirmanNya yang bermaksud Setiap jiwa pasti akan merasai mati.. (Al Imran ayat 185; Al Anbiya’ ayat 35, Al Ankabut ayat 57).

FirmanNya lagi yang bermaksud, “Dan datanglah sakratul maut yang sebenar-benarnya, itulah yang kamu selalu lari darinya(Qaf ayat 19:);

Allah juga memerintahkan kita mengisi kehidupan ini dengan bersegera mengerjakan amalan kebajikan, tidak bertangguh-tangguh melakukan kebaikan.

FirmanNya yang bermaksud, “ Dan keluarkan (sedekahlah/ berilah dengan ikhlas) sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang dari kamu lalu ia berkata, Ya Rabb ku, mengapa tidak ditangguhkan saat (kematian) ku yang dekat ini sehingga boleh untuk aku bersedekah lagi dan termasuk di kalangan mereka yang soleh. Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan saat kematian seseorang apabila telah sampai waktunya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan” (Surah Al Munafiqun ayat 10 dan 11) .

Allah juga mengingatkan kita agar sentiasa berlaku ihsan sesama insan (jauh dari kesombongan dan memperhambakan sesama manusia) dan apa sahaja makhluk ciptaan Allah ArRahman.

FirmanNya yang bermaksud: (Bermegah-megah) dengan sesuatu yang lebih banyak/ lebih hebat telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk ke kubur. Janganlah begitu kerana kamu pasti akan mengetahui, kemudian janganlah begitu kerana kamu pasti akan mengetahui. (Surah At Takathur ayat 1-4).

FirmanNya lagi yang bermaksud, “Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu dari manusia (kerana sombong) dan jangan berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong (Surah Luqman ayat 18).

FirmanNya lagi, ...dan berbuat ihsanlah terhadap dua ibubapamu, keluarga yang dekat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran dekat dan jiran yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri (Surah An Nisa’ ayat 36).

Iktibar dari kematian adalah untuk kita menginsafi bahawa kehidupan di dunia ini bakal berakhir; justeru tidak berguna apa-apa yang diburu untuk apa yang dipandang sesama insan. Kita sekadar membawa bekal pada amalan yang diredhai di sisi Tuhan yang Maha Pengasih.

Justeru, adalah tidak benar serta BUKAN petunjuk Al Quran dan sunnah untuk kita terus bernostalgia tentang seseorang yang telah tiada... diiringkan pula dengan amalan bida’ah seperti tahlil atau majlis peringatan kematian. Secara fitrah,kesedihan dan rasa kehilangan sesuatu adalah sesuatu realiti yang tidak dapat ditolak. Tidak mengapa untuk disebarkan kebaikan-kebaikan yang ditinggalkan oleh insan yang telah tiada. Namun mengadakan majlis khusus serta jamuan memperingati kematian tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Majoriti pandangan ulama sunnah wal jamaah menolak amalan bacaan yasin serta tahlilan mengingati majlis kematian kerana tidak ada dalil amalan sedemikian pada amalan Rasulullah SAW serta para sahabat baginda. Sesungguhnya tiada yang lebih utama untuk diikut selain dari petunjuk dari Al Quran dan sunnah Rasullah SAW.

Sunday, August 19, 2012

Eid Mubarak yang istimewa...

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin... segenap puji untuk Allah, Tuhan yang Maha Menguasai dan Memiliki sekalian alam. Musim ramadhan 1433H baru sahaja berlalu. Saya masih terpinga-pinga akibat tersilap berkira-kira kerana menyangkakan ramadhan berakhir pada hari Isnin nanti.

Seperti juga ramadhan-ramadhan yang lalu; begitu pantas terasa hari-hari dalam bulan ramadhan. Meskipun pula aktiviti akademik banyak yang ‘terhenti’ kerana pelajar majoritinya bercuti, namun kesibukan dalam aktiviti rutin terasa berganda serta menyebabkan saya terkadang terkejar-kejar untuk mencari masa dalam menghayati isi alquran.

Tibanya syawal..perayaan eid mubarak yang disambut dengan penuh kesyukuran oleh segenap muslimin muslimat. Berpuluh syawal yang pernah saya lalui, dengan pelbagai pengertian dan sentimen; atau juga aura dan emosi. Namun pada usia yang lebih 40 tahun ini baru saya mengerti betapa ‘fatal’nya pengertian ‘eid’ yang diamalkan tanpa meninjau kepada sunnah Rasulullah SAW.

Secara tradisi, sebahagian kita menganggap syawal begitu sentimental.. di kala itulah dikenang mereka yang sudah tiada...dikenang pula hajat yang tak kesampaian... diungkit pula mereka-mereka yang gagal ditemui. Ada yang tidak peduli ibu dan ayah masing-masing dalam tempoh waktu yang berbulan-bulan selain dari syawal... namun begitu mengkhususkan kebaikan kepada kedua mereka dalam acara tradisi yang istimewa, tidak sengaja pula membawa kuih-kuih raya yang tidak diperlukan mereka... Tidak ketinggalan di kalangan pasangan suami isteri yang tidak sekata dalam memilih destinasi beraya, rumah ibubapa sendiri atau mertua (sedangkan kedua-dua pasangan ibu bapa itu penting dalam kehidupan kita sebagai keluarga).

Aidilfitri juga dianggap meriah dengan persiapan dari segi luaran dan keperluan makan minum yang lazat dan istimewa. Ada yang bertukar perabot, mengecat rumah atau juga kenderaan baru. Semuanya untuk diisi oleh rutin sambutan penuh tradisi. Di saluran media radio mahupun TV; suasana sambutan di’kuasai’ oleh pesta lagu-lagu dan hiburan yang secara turun temurunnya di’anggap’mencirikan uniknya aidilfitri. Tidak ketinggalan ‘letupan’ mercun yang membingitkan telinga; juga ‘semarak’ bunga api yang dianggap menawan walaupun ianya membakar wang dan membazir. Pelita-pelita juga dihidupkan... demi memeriahkan suasana; ada juga pelbagai lampu yang dihiasi indah.

Berbalik pada konteks sambutan syawal mengikut sunnah; tidak satupun yang saya kongsikan di atas merupakan amalan rasulullah SAW dan para sahabat. Nyatanya, Rasulullah SAW dan para sahabat menyambut syawal dengan penuh gembira dan syukur kepada Allah. Pada suasana penuh kegembiraan itu, syiar agama ditingkatkan melalui takbir dan tahmid penuh semangat.. (tanpa lagu mendayu-dayu); solat sunat di kawasan lapang serta ucapan saling mendoakan moga amalan kita masing-masing diterima di sisi Allah.

Isrimewanya Eid Mubarak adalah dari ruh kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah SWT. Kita juga yang perlu sentiasa memuhasabah diri agar ‘ujian’ sebulan penuh sabar itu diterjemahkan pula dalam konteks rutin biasa dalam bulan-bulan bukan ramadhan. Paling penting syiar da’wah Islam dikibarkan dengan penuh semangat dan hikmah...tanpa kepentingan atau agenda peribadi...ikhlas semata-mata keranaNya.

Tuesday, August 7, 2012

Tadabbur ayat tentang “penyair-penyair” (juga penulis apa jua karya)....

Sebahagian dari ayat-ayat Allah yang membawa saya pada pengamatan yang amat dalam ialah tentang ayat Allah dalam surah Asy Syua’ara’ iaitu ayat 224 - 227.

Firman Allah yang bermaksud,

“Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat, Tidakkah engkau melihat bahawa mereka itu mengembara di lembah-lembah. Dan bahawa mereka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya? Kecuali penyair yang beriman dan beramal soleh dan banyak mengingati Allah dan mendapat kemenangan selepas mereka dizalimi, dan orang kafir pasti mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali”

Tafsiran ayat-ayat ini menurut Tafsir Ibnu Kathir menjurus pada kelompok penyair yang dikisahkan pada zaman rasulullah SAW dan para sahabat. Namun ingatan dari Allah ini sebenarnya bagi saya begitu jelas menggambarkan keadaan penulis yang menulis sesuatu karya jika menulis tanpa objektif yang jelas serta tidak menghubungkannya dengan keredhaan Allah SWT.

Penulis atau penyair yang menulis sesuatu yang menyesatkan orang lain (lalai dari mengingati Allah).... Termasuklah skrip, lirik, lagu-lagu atau apa jua konotasi dalam apa jua yang diterjemahkan sebagai bahan bacaan untuk didengar lalu disebarkan. Diibaratkan oleh Allah sebagai pengembara yang ‘berangan’ dari lembah ke lembah, bercakap (menulis) sesuatu yang tidak dilakukannya.

Saya fokuskan ayat ini pada diri saya sendiri..pada objektif penulisan dan juga apa jua yang pernah saya tuliskan. Lalu saya didakap oleh perasaan takut dan risau yang mendalam...

Mereka yang menulis, menyunting, menerbit, mencetak dan menyebarkannya..tertaklif padanya ayat-ayat di atas yang merupakan terma dan syarat dalam batas-batas sebagai mukmin yang beramal soleh serta berjuang menyampaikan kebenaran.

Sabda rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya mukmin berjuang dengan pedang dan lisannya. Demi rabb yang jiwaku ditanganNya, seakan-akan kalian melontarkan mata ujung tombak kepada mereka." (Hadith Riwayat Ahmad dari Kaab bin Malik).

Thursday, August 2, 2012

....sampaikan da'wah..atau kita mendengar pula "da'wah mereka"..

Saya mendengar ungkapan ini iaitu "Call..or Be called" semasa saya mendengar satu majlis ilmu mengenai tafsir juz Tabarak. Fokus dalam majlis itu juga diizinkan Allah utk saya memehami hakikat bangun menunaikan solat malam serta mengukuhkan pengisian di dalam hati dan diri untuk bangkit sebagai muslim yang memahami dan mengamalkan isi-isi kehidupan sebagai muslim.

Satu dari tugas utama yang selama ini saya abaikan ialah BERDA'WAH. Apabila menatap kesungguhan saudara semuslim saya dari laman web ini; saya benar-benar kehilangan kata dan bicara. Terkedu dengan kesungguhan dan pengorbanan mereka.. yang saya ini langsung tidak sampai atau pernah terfikir di tahap sedemikian.

Pernah dahulu semasa saya mula 'turun padang' belajar menulis untuk tazkirah hati dan dikongsikan isinya...saya perhatikan setiap isi-isi dalam media cetak dan majoriti yang ada dipersembahkan pada masyarakat.Dari hasilan yang dipapar di layar monitor komputer mahupun di papan iklan dijalanraya..suratkhabar, novel dan buku cerita atau juga buku-buku ilmiah, motivasi dan kisah teladan; saya simpulkan,bahawa kurang 5% darinya yang mengajak kepada iman dan taqwa kepada Allah.

Majoriti menjurus kepada ehwal keduniaan, menghasut minda dan hati untuk taat dan setia pada fokus yang tidak mengingatkan Allah dan kebaikan hidup beragama. Sebahagiannya pula penuh dengan fitnah dan tohmah...terus mendera potensi kebaikan dalam minda dan hati individu.... seterusnya menyimbah api taksub lisan tulisan buat menambah dendam dan terus berbalah saling menyalah. Fokus yang 5% itu pula, terus diuji dengan pengisian yang bercampur baur antara yang benar-benar petunjuk quran dan sunnah... atau fokus yang terkeluar dari apa yang diajarkan oleh baginda rasulullah SAW.

Perjuangan menegakkan da'wah mengajak kembali ke jalan Allah sangat getir akan realitinya. Campur baur definisi jalan yang BENAR dan BUKAN BENAR...juga campur aduk definisi mereka yang Islam..atau yang dilabel sebagai 'musuh Islam'..

Da'wah Rasulullah SAW mengajak insan untuk kembali membawa hati dan diri patuh penuh kerendahan kepada Allah iaitu sepenuhnya dalam kehidupan ini terhadap peraturanNya (total submission to Allah). Menjadi muslim yang beramal dengan amalan sebagai muslim ADALAH MERUPAKAN DEFINISI SEBAGAI MUSLIM; a practicing muslim BUKANLAH OPTION untuk seseorang kelihatan sebagai lebih baik atau bertaqwa (more pious).

Di tengah kegawatan sebahagian besar muslim yang mengucap syahadah ini 'tertekan' dalam suasana yang menghambat mereka jauh dari mengingati Allah serta mengenal cara hidup sebenar sebagai muslim; adapula mereka yang mencipta golongan tertentu sehingga mendefinasikan manusia di luar kumpulannya sebagai musuh Islam; lalu mengisytiharkan perjuangan dan lisan yang 'menggegarkan' telinga menjurus pada terlerainya ukhuwah fillah.

Muslim sesama muslim adalah saudara seikhwah (saudara sedarah sedaging)..tiada yang lebih baik seseorang itu di sisi Allah selain dari taqwa yang dihimpunkannya di dalam hati. Lalu sesungguhnya; tidak ada kemuliaan yang lebih baik dari berda'wah ke jalan Allah dengan ikatan ukhuwah yang saling memperteguhkan antara satu sama lain. Suatu ikatan yang hanya disyaratkan oleh lafaz "Laa ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah"...

Sunday, July 29, 2012

Puasa yang mendekatkan hati kepada taqwa..

Puasa adalah amalan penuh suci dan mulia dalam mendekatkan hati seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Menahan keperluan biologi iaitu makan, minum dan hubungan suami isteri; yang merupakan konteks umum yang biasa didengar dan ditafsirkan. Namun hakikat sebenarnya kita menahan diri penuh ikhlas kerana Allah (dalam tempoh tertentu di bulan ramadhan) dari sesuatu yang sebenarnya halal untuk kita nikmati.

Agak lama juga saya terkongkong dengan faham tradisi (tanpa nas sahih) mengenai hakikat dan hikmah berpuasa. Sedari kecil, secara umum kita disarankan untuk tidak menggosok gigi, mandi ketika letih, tidak dibenarkan membasuh muka atau kepala... serta memasukkan apa-apa ke dalam rongga.. kesemuanya itu yang dikatakan membawa kepada luputnya pahala puasa (kerana perkara berkenaan dikatakan makruh dan boleh membatalkan puasa..).

Namun, jarang ditekankan bahawa semasa berpuasa kita perlu mengisinya dengan doa dan zikrullah, kita perlu mengisinya dengan bacaan al quran, dengan kata-kata yang baik. Semasa puasa juga kita sepatutnya menjauhi amalan sia-sia seperti menonton TV, mendengar lagu atau sebarang perkara yang tidak bermanfaat.

Seolah-olah pahala puasa lebih tinggi darjatnya apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang menyegarkan dirinya; namun pahala puasa masih OK walaupun berterusan dengan amalan dan bicara yang sia-sia.

Konteks kefahaman sedemikian perlu sama-sama kita perbetulkan... saya mendengar bicara seorang ilmuan mengenai penjajahan minda kita sebagai muslim terhadap banyak perkara-perkara yang tidak perlu...itulah antaranya TV, radio, fokus minda dan hati yang menjauhi dari ingat kepada Allah dan aqidah.

Puasa merupakan ibadah yang istimewa kedudukannya di sisi Allah SWT ...ganjarannya tidak dinyatakan lantaran keikhlasan individu melakukannya demi memenuhi apa yang diperintahkan Allah SWT; hasanat pahala juga kekal walau ditebus dengan kesilapan atau dosa (bukan dosa besar).

Moga amalan kita diiktiraf keikhlasannya di sisi Allah SWT..

Tuesday, July 24, 2012

Tentang wanita, kerjaya dan KELUARGA (2)..

Kehadiran wanita dalam sektor pekerjaan memberikan impak signifikan dalam pembangunan masyarakat. Antaranya, keperluan TASKA berkualiti untuk menggantikan fungsi mereka dalam mendidik anak-anak.

Saya berdiskusi panjang dengan sahabat saya yang merupakan Pakar dalam bidang kesihatan keluarga..tentang isu kes-kes kematian bayi di pusat jagaan kanak-kanak yang kelihatan semakin ketara sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Meskipun punca sebenar masih dalam peringkat perbincangan ataupun masih belum disahkan; namun apa yang nyata, salah satu puncanya ialah kewujudan pusat jagaan kanak-kanak yang mengambil tenaga tidak terlatih sebagai pekerja mereka.Ada juga yang mengambil pekerja asing... yang dikatakan tidak langsung mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anak-anak berkenaan. Dari perbincangan dengan agensi yang berkenaan; hal tersebut berlaku kerana beban kos yang semakin tinggi serta tekanan hidup masakini yang menyaksikan tidak ramai ibubapa yang sanggup mengeluarkan belanja lebih tinggi untuk upah menjaga anak masing-masing.

Kira-kira 10 tahun yang lepas, yuran bayaran ke Taska ialah RM250; manakala upah pengasuh untuk anak-anak berusia kurang 2 tahun ialah RM300. Mungkinkah agaknya selepas tempoh 10 tahun ini bayarannya masih pada julat yang sama?? Saya seakan tercengang bila mendapat maklumat bahawa sebahagian Taska masih mengenakan bayaran yang hampir serupa malah ada yang hanya mengenakan yuran sebanyak RM200 untuk menarik perhatian ibubapa menggunakan khidmat mereka.

Anak-anak pada usia belum bersekolah sangat 'fragile' serta memerlukan perhatian yang ikhlas. Menjaga anak kecil bukan seperti memelihara haiwan kesayangan; namun memerlukan input emosi, pendidikan serta latarbelakang sosial yang membantu peningkatan perkembangannya sebagai insan. Sebagai juga seorang ibu, saya sangat merasakan akan keperluan untuk kita para ibu sama-sama membangunkan institusi perkembangan minda anak-anak serta meningkatkan kesedaran ibubapa untuk TIDAK BERKIRA dari segi wang ringgit untuk keselamatan, kesihatan dan pendidikan anak-anak mereka yang memerlukan perhatian kasih sayang, bimbingan dan didikan.

Siaran TV berbayar yang kini mencecah harga ratusan ringgit atau juga jalur lebar internet serta kos komunikasi dan utiliti yang berkaliganda dan juga bayaran kereta yang bukan lagi RM200-300 sebulan...membuatkan saya berfikir kembali bahawa sebahagian besar belanja untuk itu semua boleh di adjust semula untuk memberi laluan kepada perlaksanaan situasi yang lebih baik di TASKA. Sebahagian besar siaran berbayar atau internet itu tidak perlu.. demikian juga berbelanja untuk barangan yang memudaratkan seperti rokok. Apa yang utama dan penting untuk kita sama-sama fokuskan ialah masa depan anak-anak kita yang bakal dewasa seterusnya memimpin masyarakat dan negara..

Memperbanyakkan doa dan kata-kata yang baik...

Alhamdulillah..moga Allah memudahkan kita membicarakan kata-kata yang penuh dengan manfaat dan kebaikan. Lisan bicara yang menambah keimanan dan juga kebaikan.

Kita doa dan sama-sama kita harap. moga pengisian ramadhan ini penuh dengan lisan, tulisan juga apa sahaja yang diamalkan sebagai kebaikan yang mendatangkan pahala dan keredhaanNya.

Saya mengambil pendekatan yang sangat mudah terhadap perbincangan atau diskusi yang dinamakan 'politik'. Zaman remaja dahulu... saya begitu teruja dengan segenap perubahan atau isu-isu sensasi yang berkaitan dengan kuasa ataupun perkembangan semasa mengenai politik tanahair. Pernah saya berselisih faham dengan sahabat baik kerana tidak sependapat mengenai isu-isu panas politik ini..

Alhamdulillah.. pada usia yang semakin dewasa.. dan juga semakin 'tua' dalam meneladani stuasi dan pengalaman; semakin jelas dalam pengamatan saya bahawa agenda politik dan isu-isu berkaitan antaranya.. hanyalah patform untuk memurnikan kebaikan sesama insan. Ia perlu dikuasai dengan hikmah, kebijaksanaan serta penuh ketqwaan. Yang penting, ukhuwah sesama muslim perlu diperteguhkan. Budaya menuding jari, saling menyalahkan atau mencari salah serta meremeh-remehkan kebaikan... tidak membawa apa-apa manfaat.

Ibarat memetik buah yang sedang ranum... jika tangan tak sampai, pastinya kita gunakan apa sahaja alatan untuk memetiknya. Mungkin ada yg gunakan galah, kren, tangga atau memanjat sendiri pokok berkenaan... Jangan pula kerana berebut galah atau tidak setuju dengan kaedah yang digunakan; kita terjerumus dalam dosa memfitnah dan mengumpat sesama sendiri. Moga ramadhan ini Allah mudahkan hati kita untuk berbicara dan berdoa perkara-perkara yang baik..

Thursday, July 19, 2012

Semerbak di ambang Ramadhan...

Tazkirah ramadhan yang saya dengar baru-baru ini memberikan beberapa konotasi penting untuk kita sama-sama amalkan dalam bulan yang penuh berkah ini.

1. Puasa yang dilakukan dengan penuh kesabaran, dijanjikan Allah dengan pahala yang hanya Allah sahaja yang mengetahui balasannya yang terlalu istimewa..

2. Hasanat berpuasa kekal walaupun ditebus dengan kesilapan atau dosa; tidak seperti amalan-amalan kebaikan yang lain yang luput apabila ditebus dengan amalan yang buruk.

3. Sambil memperhatikan bagaimana amalan puasa wajar dilakukan mengikut sunnah, wajar juga untuk kita isi amalan kebaikan sesama manusia juga menurut sunnah (cara bercakap, komunikasi, menunaikan tanggunjawab dan tugas, memenuhi rutin serta apa sahaja yang melibatkan sesama insan).

4. Membanyakkan amalan infaq iaitu bersedekah dan memberi hadiah.

5. Memelihara Al Quran di dalam hati..iaitu dengan menghafaz dan mengingatinya dalam lidah dan akal fikiran serta dijadikan amalan dan terjemahan dalam praktis kehidupan. Menghafaz alquran tanpa memahami maknanya bagi saya tidak membawa apa-apa manfaat dalam kehidupan yang mencabar ini.

6. Membanyakkan sujud pada sepertiga akhir malam melalui solat sunnat... serta melipatgandakan amalan berdoa.

7. Menjauhkan amalan sia-sia yang tidak mendatangkan pahala; sebaliknya diisi dengan zikrullah dan bacaan surah-surah pendek atau tadarus alquran.

Saya dengan penuh kerendahan hati mendoakan anda semua... setiap anda yang dekat di hati saya, moga ramadhan ini menambahkan kebaikan dan keberkatan dalam kehidupan kita..

NB: Doa saya yang terbaik buat sahabat saya Dr. ERMT atas hadiah apron dan glove memasak (tahan panas) baru-baru ini ...saya selama ini berharap benar dapat membeli atau memiliki apron. Hanya lafaz syukur alhamdulillah atas hibah yang Allah anugerahkan...

Thursday, July 12, 2012

Pilihan sebagai insan TERKENAL atau sebagai insan TERBILANG ...

Bismillah wal hamdulillah, wassolatu wassalamu 'ala rasulillah...

Lafaz syukur kepada Allah yang tidak terhingga apabila harapan dan doa saya menjadi nyata.. salah seorang bekas pelajar saya diizinkan Allah menerima Islam; menyatakan penuh yakin syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad SAW adalah Rasulullah.

Apabila saya mengimbau kembali akan 'turning point' saya dalam dunia ilmiah serta hubungan akrabnya dengan da'wah menyeru kembali kepada aqidah yang benar.. jejak awal dalam mengenal dan melaksana Islam menurut manhaj sunnah memang penuh dengan cabaran. Saya sendiri lemas dan agak resah apabila menyedari entah di mana sepatutnya saya bermula. Apa yang nyata... airmata saya sering bergenang apabila mengenang puluhan tahun yang berlalu ini tidak saya abadikan kebaikan ilmu untuk mendekatkan hati-hati yang bersama saya untuk mengenal Tuhan Maha Pencipta.

Saya sering digusarkan dengan outcomes yang tidak menentu..., apakah usaha saya ini bakal ditempelak, diremehkan atau di'buang' secara terhormat dalam bingkisan 'tong sampah' kehidupan, yang kadang-kadang saya seperti segan atau malu untuk ianya didengari... dan apabila saya belajar tentang indahnya Asmaul Husna.. nyatanya kegusaran-kegusaran saya itu datangnya dari bisikan was was makhluk-makhluk yang jahat dan berhajat menyesatkan hati kita dari meneladani jalan yang benar dan diredhai Allah. Sesungguhnya rahmat dan kebaikan Allah tidak tertanding apa sahaja yang wujud di sekeliling kita.... betapa Allah Al Waliy Al Hafiz..Maha Pelindung; padaNya Al Wakil juga kita sandarkan penuh harap segala apa yang kita lakukan; Allah Al Kareem, Al Jawad, Al Barr adalah Tuhan Yang Maha Pemurah the most Generous, Al Muhit yang Maha Meliputi..Allah Asy Syakur dan Asy Syakir...Tuhan yang Maha Menghargai (the Most Appreciative) walau apa yang kita lakukan dipandang remeh dan begitu 'useless' dalam pandangan kebanyakan orang.

Saya kongsikan juga di sini bahawa kita ini hanya ditaklifkan Allah untuk berusaha; kita tidak disyaratkan untuk menang atau diwajibkan untuk diiktiraf dengan sesuatu hadiah/ gelaran sebagai tanda bahawa kita telah berusaha. Syeikh Waleed yang merupakan penunjukajar/ pensyarah dalam Seminar Rays of Faith oleh Institut AlMaghrib baru-baru ini berkongsikan tentang beza istilah TERKENAL dan TERBILANG (FAME AND GREAT).

Seseorang itu akan berusaha untuk menjadikan dirinya TERKENAL dalam skop yang didefinisikan untuk dirinya; DENGAN KATA LAIN, A PERSON GAIN FAMOUS BASED ON WHAT HE/ SHE DID FOR HIM OR HERSELF.

Berbeza pula dengan insan yang TERBILANG; beliau memberikan apa sahaja kebaikan pada dirinya untuk dimanfaatkan oleh masyarakat TANPA PEDULI BELIAU DIKENALI ATAUPUN TIDAK. A GREAT PERSON IS A PERSON WHO GIVES ANY GOOD/ BENEFICIAL THINGS TO OTHERS.

Bukan pula niat saya untuk mempromosikan tentang konsep mendahulukan TERBILANG dalam apa sahaja usaha yang kita lakukan; namun saya juga sering tersilap apabila beranggapan bahawa menjadi TERKENAL DAN TERBILANG merupakan perkara yang sama; padahal ianya merupakan konteks yang berlawanan antara satu sama lain.

Mudah-mudahan amalan kita merupakan amalan yang diterima di sisi Allah; sebagai amalan yang ikhlas, bukan mengharap pengiktirafan sementara di dunia.. Allahul Musta'an.

Monday, July 9, 2012

Tentang MENANG yang menyesakkan...

Apabila saya meneliti kembali banyaknya punca pertelingkahan atau juga perselisihan yang tidak disengajakan; "root cause" yang sering saya temui ialah keperihalan tentang betapa obses nya seseorang dan saya juga yang kadang-kadang memfokuskan pada objektif untuk MENANG terhadap sesuatu isu atau hal yang kita berinteraksi padanya. Maaf jua jika formula yang saya kongsikan ini bersifat terlalu fakta atau memerlukan banyak ruang yang terbuka luas untuk disimpulkan, namun di sini saya kongsikan beberapa teladan untuk dikongsikan.

Kita ini... mempunyai pandangan atau persepsi. Dalam menyelesaikan masalah atau dalam kerangka mencari penyelesaian; kita kadang-kadang bertelagah untuk memBETULkan apa yang kita kemukakan. Ada pula pandangan dari insan lain yang tidak seiring dengan apa yang kita mahukan; ada juga di antaranya yang melanggar batas kesopanan dan juga 'privacy' dalam ruang yang kita lindungi... sehingga ia mencetuskan kegusaran serta suasana yang tidak comfortable untuk kita sama-sama hadapinya. Puncanya... cuma ingin menang dalam isu yang diterokainya yang dianggap menenangkan hatinya.

Aapabila anak pelajar saya yang kadang-kadang sibuk dengan isu pilihanraya atau juga isu pemilihan dalam apa jua organisasi.. saya nyatakan pada mereka kenapa kita perlu menang dalam satu suasana yang begitu hebat emosinya; tapi bila berhadapan dengan assignment atau peperiksaan atau juga jadual kuliah...sebahagian mereka ini sudah tewas dan terkandas dalam perjuangan. Sebahagian mereka ini juga gagal memenangkan diri dan hati mereka dalam meredah arus cabaran virtual atau Facebook atau computer game sehingga menghadapkan kerja-kerja kuliah dalam bentuk sambil lewa yang menyakitkan mata apabila membacanya.

Di luar dunia penuh realiti, majoriti insan berlumba-lumba menang dalam fokus yang bersifat fizikal dan apa yang mampu disentuh penuh materialistik. Ukuran kebahagiaan dalam hidup atau juga organisasi yang dianggap tersohor diproksikan pada nilai banyaknya wang atau hasilan yang dijana... ukuran pahala disimpan dalam solat, puasa dan jua ibadah-ibadah yang dianggap rahasia. Lalu pahala dan dosa, ghaib dalam dunia penuh harta dan pesona.

Fokus untuk menang dalam kebanyakan situasi tanpa sentuhan nilai penghayatan pahala dan redha Allah SWT, disamarkan oleh 'kehebatan' penuh takbur oleh syaitan dan iblis. Makhluk yang dilaknat Allah itu bersungguh-sungguh berhajat agar majoriti insan menjadi seperti mereka, MENANG penuh kesombongan dalam keadaan yang cukup terhina.

Ya Allah bantulah kami..


Sunday, June 24, 2012

Untukmu Vivien..


Tiga tahun lalu, saya ada menuliskan tentang kecemerlangan bekas pelajar yang saya kagumi. Gadis tionghua yang sangat baik perwatakannya, penuh sopan serta uniknya begitu mengambil berat keadaan ibunya.

Saya teruja apabila pertama kali mengetahui tentang namanya. Persis menyerupai nama watak utama dalam kisah ‘Pretty Woman’ lakonan Julia Robert; lalu saya begitu mudah mengingati namanya berbanding anak-anak pelajar yang lain. Dia juga seperti saya...turut teruja apabila saya mengingati namanya.

Pada perwatakannya yang baik, saya sangat mengharapkan dan berdoa agar dirinya akan menemui hidayah dan taufik Allah. Beberapa kali saya berkesempatan menemuinya; namun tidak tersusun bahasa saya untuk berbicara tentang Islam. Dalam kesempatan bersembang semasa bas universiti yang kami naiki tersadai di tepi jalan, pernah saya menjemputnya untuk belajar dan mengetahui tentang Islam yang saya yakini ini. Namun, susun bahasa saya ketika itu agak kelam kabut, dan dia sekadar tersenyum... “Dr., if I manage to get place to oversea, I would tell you something”.

Hari ini, kelibat nyata wajah dan kehadiran Vivien dalam Seminar Rays of Faith (Rukun-Rukun Iman) benar-benar mengejutkan saya. Di sisinya, sahabat baik yang juga merupakan individu muslim yang menerima hidayah beberapa tahun lalu, yang dengan beliau pernah kami berbicara tentang kebaikan Vivien.. subhanallah.

Kedua mereka tersenyum memandang saya; dengan patah-patah bicara yang juga saya masih seperti kelu untuk berbicara sepenuhnya. Menanti kini dengan penuh debar dan harap kepada Allah, mudah-mudahan dengan kehadiran Vivien dalam majlis ilmu ini dan juga doa-doa yang saya susun sejak mula mengajar Vivien... dibukakan Allah pintu ke syurga untuk anak-anak pelajar saya seperti Vivien....

Sunday, June 10, 2012

Neraka yang tiada jalan keluar...

Satu hakikat yang tidak boleh kita lupa atau abaikan ialah bahawa kita akan menghadapi satu tempoh yang sangat sukar sebelum kita ditentukan berjaya ke syurga Allah ketika di akhirat nanti.

Kita semua akan menemui detik kematian, yang kemudiannya berada di alam barzakh dan kemudian dibangkitkan untuk dihitung amalan baik dan buruk. Kesemua tempoh itu sangat sukar dan lama..dihuraikan panjang lebar di dalam alquran dan hadith-hadith nabi SAW.

Namun kealpaan menghadapi situasi dunia dengan segenap kemewahan dan kekayaan, sering melalaikan kita dalam menghayati bahawa hidup di dunia ini tidak abadi, penuh dengan perkara yang saling bersaing dan terkadang menipu serta menindas sesama sendiri.

Dosa dan pahala hadir dalam setiap apa yang kita lakukan. Ianya bukan sekadar dalam solat, puasa, haji atau ibadah khusus antara kita dengan Tuhan Maha Pencipta. Membuang sekecil-kecil sampah sebesar debu juga adalah kebaikan; Allah As Syakir (The Most Appreciative) tidak akan menolak amalan yang baik hatta sekecil-kecilnya asalkan ikhlas.

Ya, ikhlas adalah kunci dalam setiap amal, di samping menepati menurut teladan yang Rasulullah SAW tunjukkan. Allah mengulangkan beberapa kali di dalam Al Quran betapa luasnya keampunan dan jalan menuju syurga itu lebih luas dari langit dan alam seisinya.

Mudah-mudahan kita memilih berlumba-lumba kepada keampunan dan syurga Allah walaupun jalan-jalan menujunya sukar dan diuji dengan kepayahan. Setiap ujian sebagai tanda kasih Allah sebenarnya merupakan laluan kita ke syurga; ia juga merupakan perlindungan Allah untuk kita menjauhi neraka yang tidak ada jalan keluar padanya.

Sedekah, derma, bantuan kewangan... saya semakin keliru...

Apabila seorang anak pelajar saya berkongsi kisah beliau menghadiri temuduga untuk sebuah sekolah perubatan yang begitu tersohor namanya dengan yuran hampir mencecah juta ringgit... yang kesemuanya ditaja sepenuhnya oleh badan yang berkenaan, nyatanya saya hampir tercengang. Namun, bayangkan yang hadir temuduga... majoriti dengan kenderaan mewah serta tiada tanda-tanda kekurangan kewangan. Pelajar saya ini nyatanya bertanggapan agak tersisih dan merasa terkejut dengan situasi betapa mewahnya bakal-bakal pelajar perubatan itu. Belumpun menjadi pelajar perubatan, tetapi segak dengan kenderaan mewah seperti Mazda 6, Suzuki Swift dan sebagainya...namun hampir pasti menerima tajaan hampir RM sejuta seandainya permohonan mereka diterima.

Apabila isu PTPTN meletup baru-baru ini dengan pembekuan dana kepada institusi tempatan tertentu, saya juga terduduk memikirkan betapa sengsaranya sebahagian pelajar dan keluarga yang tidak berkemampuan untuk mengharungi detik yang tidak mereka duga, mujurlah juga (alhamdulillah)...situasi itu tidak berpanjangan. Dana berkenaan diagihkan semula kepada mereka yang layak menerima.

Mengenai bantuan kewangan untuk pelajar, saya sekadar menambah di sini iaitu umum mengetahui bahawa dana zakat menurut alquran..asnafnya ialah kesemuanya manusia. Jika menurut pandangan sarjana agama, asnaf zakat adalah individu yang memerlukan di kalangan fakir, miskin, yang berjihad, yang terkandas dalam perjalanan, para penuntut ilmu, mualaf dan para amil. Tidak pula didalam senarai berkenaan pembangunan sekolah, surau, masjid, kenderaan jabatan, permaidani surau dan sebagainya... Para penuntut ilmu, layak mendapat bantuan zakat mengikut kemampuan mereka.

Namun, adalah wajar untuk semua kita terus menabung untuk pendidikan dan apa jua keperluan pada masa hadapan. Sesuatu yang diperolehi dengan cara susah dan sukar..melalui usaha yang bersungguh-sungguh biasanya akan lebih diinsafi serta dihargai hasil yang diperolehi. Ramai anak pelajar saya yang tidak setuju bila saya ungkitkan mengapa habiskan wang untuk komunikasi tak perlu seperti handphone atau sms serta talian internet untuk bersantai-santai sesama sendiri (facebook terutamanya) sedangkan fokus mereka adalah belajar..demikian juga, mereka nyatanya kerap memohon bantuan kewangan untuk membiayai aktiviti kokurikulum mereka namun tidak kreatif untuk mendapatkan dana secara usaha sendiri.

Paling saya tidak setuju dengan trend pelajar yang memohon derma orang ramai/ syarikat korporat untuk majlis makan malam di hotel 5 bintang..perlu dilihat pada fokus pertemuan; untuk memupuk persahabatan atau menikmati selera mewah?
Kita perlu hidup dengan kemampuan kita, bukan mengikut trend.

Saya juga perhatikan trend meminta derma dan sumbangan untuk program-program tertentu; namun keutamaan juga diselitkan dengan keperluan berbelanja barangan mewah yang boleh diketepikan jika benar objektif nya adalah untuk kebaikan semata-mata. Jika trend bermewah-mewah sudah dipupuk sejak di dalam kampus, cuba kita bayangkan generasi ini dalam tempoh 10-30 tahun akan datang...




Monday, May 28, 2012

Menterjemahkan data... keperluan untuk para ilmuwan..

Topik menterjemahkan data sentiasa dekat di hati saya. Inilah juga yang memberikan input kepada saya dalam memahami apa jua isu-isu terkini yang dibangkitkan untuk tatapan masyarakat.

Sayangnya, saya dapati kebanyakan individu yang saya temui tidak mengambil kisah tentang penterjemahan data yang berkaitan dengan isu yang merupakan masalah sebenar dalam masyarakat untuk diperbaiki. Banyak mata-mata yang 'kembang' keningnya bila saya nyatakan bahawa statistik juga perlu difahami oleh ilmuwan dalam bidang agama yang bertanggungjawab mendidik INDIVIDU masyarakat.

Hasilnya, tanpa memahami statistIk..lahirlah kupasan ilimah yang bersifat 'trendy', menggamit publisiti, bersifat 'selebriti', menumpukan pada isu-isu yang menghiburkan (lawak jenaka) atau sesuatu yang ditanggap 'sedap' di hati atau di telinga/ mata. Lebih merimaskan lagi apabila wujud generasi yang mementingkan hits dan sambutan awam serta terbawa-bawa dengan penampilan ikon-ikon yang mahsyur di mata masyarakat; berbanding dengan hasilan akhir iaitu sama-sama saling ingat mengingati dan mewujudkan individu yang berilmu, beramal dengan ilmu dan sentiasa bertaqwa serta merendah diri.

Hasilan yang lain pula ialah apabila fokus untuk sama-sama mendidik hati digantikan oleh forum yang saling tuduh menuduh atau jawab menjawab. Sesungguhnya untuk membina, memerlukan banyak persediaan, kerja dan menempuh pelbagai kesulitan. Saya pernah ditegur.. jika terbuka jalan yang membawa kepada sesuatu yang menyenangkan atau disukai oleh majoriti insan; maka berhati-hatilah, bahawa fitrah jalan da'wah tidak sedemikian.

Mempromosikan da'wah dan mengajak manusia pada jalan Allah adalah tugas paling mulia di sisi Allah.. bahawa kita mempromosikan da'wah yang insyaAllah kita doa dengan izin Allah membuka jalan kita ke syurga...

Thursday, May 17, 2012

Ajaibnya hibah dari Allah Al Wahab..

Keperluan program-program yang baik terhadap bantuan dana dan kewangan sering menziarahi saya..mohon dihulurkan walau sedikit asalkan ikhlas, bantuan untuk menjayakan program yang mereka rancangkan. Alhamdulillah.. setakat yang mampu, saya kongsikan apa jua yang ada.


Antara keperluan yang perlu kita sama-sama tunaikan ialah memberikan sesuatu apabila ianya diminta... jika ada mana-mana pihak yang meminta bantuan, adalah menjadi keperluan untuk kita kongsikan atau hulurkan apa sahaja yang mampu. Cumanya, saya dahulu pernah berkira apabila ada wajah-wajah yang ‘suspicious’ meminta bantuan yang saya anggap tidak manasabah (seperti anak-anak pelajar yang meminta derma sekolah di pusat membeli belah atau mereka yang bergerak dengan surat yang di laminate kan membenarkan mereka mengutip derma).

Berkongsi kemampuan kewangan dengan mereka yang memerlukan perlu didahulukan untuk mereka yang perlu menyambung hayat iaitu memberi bantuan pada individu yang lapar... bantuan pada organisasi boleh dihulurkan terus ke organisasi; tidak perlu melalui orang tengah.

Antara keajaiban dalam kehidupan ini yang datangnya berulang-ulang sebagai pengalaman ialah... apa sahaja yang pernah saya berikan, ‘ia’ biasanya datang semula kepada saya dalam bentuk-bentuk yang tidak saya duga . Mungkin datang kembali dalam bentuk wang yang pernah dihulurkan, atau juga kembali dalam bentuk pelbagai wajah kebaikan atau manfaat..... serta apa jua nilai tulus yang dikongsikan dalam suatu dimensi yang kita sebut sebagai kehidupan.

Mungkin sebelum ini saya sekadar menganggapnya seperti kebetulan... namun apabila dimuhasabah semula; saya membenarkan janji-janji Allah bahawa apa yang kita berikan atas niat yang suci dan ikhlas keranaNya, digantikan Allah dengan pulangan atau ganjaran yang lebih baik.

Pernah saya berjanji menghulurkan sejumlah peruntukan untuk menaja keperluan suatu program... namun terkejut apabila julatnya begitu jauh melebihi anggaran... namun Allah izin tiba-tiba, saya menerima pula pulangan zakat tahunan yang terlebih bayar yang nilainya jauh melebihi dari janji tajaan yang saya janjikan. Allahuakbar.... Sesungguhnya usaha yang benar dan suci niatnya, Allah jualah yang mencukupkan segala kekurangan...

Friday, May 4, 2012

..memBERSIHkan niat di hati..HANYA kerana Allah...




Isu demonstrasi BERSIH serta juga demonstrasi yang menyampaikan rasahati rakyat dalam negara demokrasi ini terus berkocak. Sentimen dan api kemarahan, kecewa serta saling menyalahkan mendapat tempat di media-media mahupun di alam maya.

Tidak dinafikan pula peranan para ilmuwan terutama yang arif dalam tata etika menurut alquran dan sunnah, turut menyuarakan pandangan masing-masing. Di kala ini, setiap pihak mengemukakan dalil dan hujah untuk mempertahankan pendirian masing-masing, yang bagi saya kelihatannya menyamarkan lagi fokus rakyat yang sepatutnya ditunjukkan arah kehidupan mereka mencari jalan ke syurga abadi.

Saya hormati mereka yang menyokong atau bersama umum yang kebanyakan kecewa dengan perjalanan sistem yang dianggap tidak adil; namun dari segi justifikasi penyelesaian masalah atau penambahbaikan, ianya tidak membawa apa-apa manfaat. Jujurnya, saya tidak setuju dengan sebarang usaha demonstrasi yang menjemput publisiti... kerana ia biasanya dipacu oleh api emosi. Demonstrasi dengan sepanduk dan sorak-sorak serta luahan atau ekspresi menyatakan kecewa atau apa sahaja yang tidak dipersetujui bagi saya tidak membawa sebarang kebaikan selain menambah rasa dendam atau geram sesama sendiri.

Mereka yang mempunyai karisma berhujah di hadapan umum di atas pentas politik, kelihatannya bijak memainkan emosi dan perasaan majoriti kita, sehingga sebahagian kita gagal berfikir melalui neraca yang diredhai Allah. Lalu keluarlah kata bicara penuh nista, penghinaan sesama insan, keaifan yang dijaja serta pelbagai rentetan yang melukakan hati dan perasaan yang menghayatinya. Lebih menghampakan apabila mereka yang mengajar kita tentang perkara-perkara yang membawa dosa dan pahala, turut membuka ruang untuk menghina dan meremehkan manusia-manusia jahil yang memerlukan bimbingan..

Senerio saudara kita sesama muslim hari ini memerlukan pemantapan aqidah dan ukhuwah. Kita perlu kembali dengan sungguh-sungguh apa yang dibawa dalam ajaran Rasulullah SAW...menghayati Al Quran dan isinya serta faham amalan sunnah (antaranya wajib untuk lelaki muslim yang tiada keuzuran berjemaah di masjid dalam setiap solat fardhu.. yang mana hakikat ini diabaikan dengan berleluasa tanpa rasa salah dan berdosa!). Keutamaan kita ialah bersatu padu dengan berpegang ‘tali’ (nilai-nilai/ hukum) Allah, niat hanya kerana Allah. Biarlah bagaimana kelompok saingan menafikan atau meremehkan usaha tersebut, namun niat yang baik dan jujur insyaAllah dekat dengan pertolongan Allah.

Karisma dan ketokohan yang dianugerah Allah adalah modal untuk kita sama-sama berda’wah menyeru manusia kepada ibadah hanya kepada Allah, menyeru manusia kepada agama yang benar, membebaskan dari fikiran yang dikekang perhambaan kepada harta dan habuan dunia serta tegas dalam memurnikan matlamat masyarakat dan ummah MELEBIHI kepentingan naik pangkat atau mengaut segenap keuntungan...

Masyarakat majoritinya menggunakan platform politik untuk mengubah kepimpinan, secara ‘pukul rata’ mengganggap perubahan sedemikian mampu mengubah keadaan. Dalam banyak keadaan, fokus menyalahkan ahli politik serta ‘skandal’skandal’ yang dicipta mereka menjadi hujah kuat untuk menghalalkan kebangkitan sentimen menuntut keadilan.

Saya pernah tuliskan sebelum ini... sebagai penjawat awam, saya menyaksikan bahawa sebenarnya dalam menyampaikan amanah dan tanggungjawab kepada negara, sebahagian komitmen tersebut ditanggung oleh penjawat awam seperti saya. Amanah menggunakan wang rakyat dalam organisasi, amanah melaksanakan tugas yang dibayar gaji dengan sungguh-sungguh serta mengelak sebarang konflik yang menyebabkan diri terperangkap antara ‘self interest’ atau kepentingan organisasi.

Saya menyaksikan juga, hanya dengan membersihkan niat di hati, kembali melakukan amalan dengan niat kerana Allah... insyaAllah ditunjukkanNya kepada jalan yang benar. Bahawa kita muslim perlu meneguhkan hubungan persaudaraan kita, memantapkan barisan perjuangan mengajak kepada jalan Allah (bukan kepada parti) dan berusaha untuk mengislamkan seramai yang boleh mereka yang masih belum menerima hidayah....

Wednesday, April 25, 2012

Indahnya surah Al A’raf..



Surah yang merupakan surah ke tujuh itu mengandungi 206 ayat (ayat Makkah kecuali ayat 163-170)... dimulakan dengan Aliff,lamm, miim, sad...; isi-isinya begitu menusuk dan menyentuh hati tatkala diulang bacaan dengan faham dan penuh penghayatan. Tidak pula saya hayati selama ini bahawa kebanyakan isi-isi dalam surah Al A’raf sering dibawakan oleh para penda’wah tatkala menyampaikan tazkirah serta peringatan untuk kita saling ingat mengingati. Saya kongsikan fakta-fakta dan kandungan dalam surah berkenaan yang selayaknya untuk dijadikan panduan dan peringatan.

Ayat dalam surah ini dimulakan dengan firman Allah yang mengingatkan bahwa ayat-ayat Al Quran bukan diturunkan untuk menyusahkan dan menyempitkan dada.. al quran adalah peringatan dan tazkirah bagi insan yang memilih untuk beriman. Allah seru manusia untuk mengikut nasihat dan garispanduan yang difokuskan penghayatannya dengan impak bahasa yang menggetarkan. Manusia disuruh untuk menjadikan Allah sahaja sebagai pelindung (waliy)..jangan sekali-kali bergantung pada selain Allah untuk mendapat perlindungan dari apa jua keselamatan dan ketakutan ataupun kerisauan yang menimpa.

Azab dan hukuman Allah sifatnya datang secara mendadak... tatkala manusia sedang leka berisitirehat... menyangkakan segalanya aman dan tenang. Seperti yang dikisahkan dalam ayat 4, banyaknya negeri yang dibinasakan Allah tatkala penghuninya berada di malam hari atau sedang berehat di siang hari.

Para rasul utusan Allah bakal menjadi saksi kepada manusia.. bahawa peringatan Allah telah disampaikan kepada manusia; dan kita ini pula perlu memikul tanggungjawab da’wah, agar di akhirat nanti...jangan ada manusia kafirin yang menyalahkan kita yang muslim ini gagal melaksanakan tanggungjawab da’wah dan menyampaikan risalah Al Quran.

Ayat berikutnya memperingatkan bahawa konotasi manusia sebagai manusia baik secara luaran bukanlah syarat untuk menjamin dirinya masuk ke syurga; timbangan di sisi Allah adalah mutlak sifatnya, sesuatu yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Mereka yang berat timbangan adalah mereka yang beramal dengan amalan yang baik ; dan diiktiraf IKHLAS oleh Allah SWT (bahawa kita semua akan dihisab dan dibangkitkan atas apa yang kita niatkan dalam amalan yg dilakukan).

Amalan sekadar memeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa, selain menyia-nyiakan waktu; dalam masa yang sama bersangka sudah menjadi baik lantaran tidak melakukan sesuatu yang nyata berdosa, adalah suatu yang sangat RUGI (ini dijelaskan dengan mudah dan ringkas dalam surah Al ‘Asr). Mereka yang ringan amalannya... tidak berbuat kebaikan, menyi-nyiakan kehidupan, merupakan kelompok yang disifatkan Allah sebagai golongan yang rugi.

Rahmat Allah yang begitu melimpah ruah kepada kita sebagai manusia yang ditempatkan mencari kehidupan di dunia.. subhanalLah, begitu banyak rahasia kehidupan yang memberikan manfaat dan faedah dalam hidup manusia. Tumbuhan yang dikeluarkan dari perut bumi dengan rahsia genetik yang pebagai, begitu juga haiwan-haiwan... kesemuanya dimanfaatkan untuk kehidupan manusia.

Kluster ayat berikutnya iaitu dari 12 hingga 27 adalah kisah sejarah Nabi Adam as... peristiwa kesombongan iblis yang enggan sujud hormat kepada Adam, memohon penangguhan Allah hingga hari akhirat selepas diiktiraf dengan penuh hina dan dikeluarkan dari syurga.
Betapa bencinya iblis pada manusia yang berjanji sungguh-sungguh pada Allah untuk menyesatkan dan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka. Pengkisahan nabi Adam as diulang-ulangkan dalam beberapa surah, demikian kisah ketakburan dan kejahatan iblis... serta dendam permusuhannya yang kekal terhadap kita manusia. Iblis mendatangi manusia dari kanan (menjadikan urusan agama sebagai samar-samatr, dari kiri (menyebabkan manusia cenderung kepada maksiat dan dosa), dari belakang (suka pada dunia) dan dari depan (lupa tentang akhirat).

Seorang sarjana memberikan tazkirah mengingatkan bahwa asal kita sebagai manusia adalah dari syurga... syurga adalah asal kediamana kita, insyaAllah kita perlu doa dan mohon sungguh-sungguh mengharap rahmat Allah untuk kembali masuk ke syurga pada hari akhirat nanti.

Atas kesilapan yang disedari keduanya membawa kedua-dua ibu dan ayah kita itu memohon ampun dalam frasa doa memohon ampun yang sangat menyentuh perasaan iaitu.. wahai Rabb Kami, sesungguhnya telah kami aniaya/ zalimi diri kami, andai tidak Engkau ampunkan dan rahmati kami, maka pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.

Berikutnya Allah berfirman memerintahkan kedua-duanya turun dari syurga ke bumi, memulakan penghidupan dengan mencari sumber kehidupan yang telah dusediakan Allah dan kemudian dimatikan serta dibangkitkan semula di hari pembalasan. Allah juga telah mengingatkan manusia bahawa sebahagian kita akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.

Allah mengingatkan kita manusia untuk sentiasa ingat peranan iblis sebagai musuh paling jahat dalam menyesat dan merosakkan kebaikan manusia.. kita yang perlu ingat dan tidak leka akan usaha iblis dalam setiap waktu dan apa jua kita lakukan. Allah perintahkan kita supaya ‘aware’ hakikat tersebut dengan mengingatkan betapa kerana sifat jahat iblis yang memandang rendah seterusnya menggoda Adam dan Hawa untuk melanggar arahan Allah lalu mengeluarkan kedua-duanya dari syurga. Iblis juga yang menyebabkan tertanggal aurat kedua-duanya.. dari konotasi dalam ayat tersebut yang memberikan peringatan kepada kita untuk menjaga aurat dan kehormatan serta memeliharanya dalam julat yang dibenarkan Allah.

Dan Allah berfirman lagi mengingatkan manusia tentang sebaik-baik pakaian adalah TAQWA.. berhati-hati terhadap sebarang perkara dan kemungkinan yang mendatangkan dosa.

Secara mudah dalam kluster ayat tentang sejarah Nabi Adam as dan Hawa as; pengajaran penting untuk sama-sama kita hayati ialah:

1. Iblis adalah musuh utama yang tidak boleh ditinggalkan... kita perlu mencari jalan untuk menutup laluan iblis menyesat dan menyebabkan kita cuai. Itulah empat laluan iaitu dari depan (tak ingat tentang akhirat) , dari belakang (suka dan terikat dengan dunia), dari kanan (meluat dan rasa tak perlu dengan majlis-majlis ilmu/ tazkirah tentang kebaikan) dan dari kiri ( suka berbuat dosa dan amalan sia-sia). Ini termasuklah memelihara niat, mendekati dan terikat hati mendatangi taman-taman syurga (majlis ilmu), menjauhi perkara yang sia-sia, mencantas angan-angan panjang tentang dunia, menjauhi pasar-pasar dan tempat yang disukai syaitan serta gosip pelbagai yang mencetus permusuhan sesama kita.

2.Iblis bersifat takbur dan memandang rendah pada orang lain; mereka yang memiliki sifat tersebut merupakan sahabat yang disenangi iblis..

3. Iblis menggoda manusia dalam setiap ketika untuk menyesat dan mencampakkan manusia ke neraka.. itulah yang telah dilakukan kepada Adam a.s dan Hawa a.s; sehingga menyebabkan aurat kedua-duanya terbuka.

4. Kita perlu sentiasa memohon keampunan dan sentiasa mengharap rahmat dari Allah... bacalah doa keampunan seperti yang dibacakan oleh ibu dan ayah kita iaitu Adam dan Hawa sewaktu mereka memohon keampunan Allah SWT ketika dikeluarkan dari syurga.

NB: TAZKIRAH BUAT DIRIKU TERUTAMANYA YANG SELALU LUPA...

Saturday, April 14, 2012

The 30th Reunion.. sahabat zaman remaja yang selalu dekat di hati...

Tahun ini genaplah usia ke 30 persahabatan saya dan sahabat-sahabat yang pernah ‘membesar’ bersama dalam suasana suka duka di asrama MRSM. Pengalaman berjuang selama lima tahun itu bermula pada tahun 1982, bagai masih dekat dengan perkenalan yang telah bermula. Pada masa kini, masing-masing ditakdirkan Allah memilih haluan kehidupan. Sebahagian menjawat jawatan penting dalam negara, sebahagaian terus berbakti dalam bidang yang diminati di sisi keluarga tersayang... masing-masing berkongsi kepakaran dan pengalaman serta menterjemahkan kembali manfaatnya untuk kebaikan keluarga dan masyarakat.

Majlis pertemuan baru-baru ini, membawa sebahagian kami pada suasana kemesraan dalam satu keluarga besar yang unik keadaannya. Dengan kehadiran anak-anak dan pasangan masing-masing, atau juga bagi yang hadir berkelana sendirian. Namun semuanya hadir dengan penuh bahagia, gembira dan ekspresi ‘cinta’ yang sukar ditafsirkan pada luahan lisan bicara. Betapa besarnya keagungan Allah SWT apabila menyaksikan generasi pewaris (anak-anak) sahabat-sahabat saya ini mewarisi kelibat, wajah, mata, senyum dan telatah yang tak tumpah dengan ibu atau bapa mereka semasa kami remaja..

Sahabat-sahabat bekas pelajar inilah yang pernah menghuni rantau teratak kayu bersama, bergelut ‘mencari air’ bila kemarau pili melanda, ceria dengan senyum ketawa atau sesekali duka geram diuji kecewa.

Bersama mereka dan bimbingan guru-guru yang dedikasi hatinya, saya mengharung erti remaja yang ‘sendirian‘ (jauh dari ibu bapa serta keluarga) buat mengenal kehidupan. Betapa ‘berbekas’nya aura persahabatan pada usia remaja... itulah juga zaman yang menurut psikologi, banyak membentuk keperibadian yang bakal di’pilih’ tatkala telah dewasa.

Insan-insan yang pernah saya temui dalam perjalanan hidup zaman remaja ini, masih santun dan santai telatahnya. Masing-masing dengan perwatakan yang tidak jauh berbeza. Meski ada yang berbeza penampilan rupa, namun uniknya,.. laras bahasa komunikasi masih dalam nada serupa. Itulah manis senyum dan jenaka serta gelagat ‘tumpang bermanja’... Indah sekali dikenangkan saat-saat manis dan telatah tatkala remaja..

Seingat saya juga, kami kebanyakannya matang selepas lima tahun di’latih’ dalam suasana kehidupan asrama penuh. Meski kadang-kadang wujud isu atau juga rentetan khabar yang dikatakan tidak seiring dengan disiplin kampus... namun itu tidak merubah kesungguhan di kalangan sahabat-sahabat saya itu untuk terus berjaya di peringkat yang lebih tinggi.

Bercakap tentang berjaya... bagi saya, pertemuan selepas 30 tahun ini adalah suatu kejayaan untuk semua. Padanya kita mengumpul hati dan budi untuk memanjangkan manfaat dan kebaikan sebagai sahabat dan masyarakat, tidak kira walau di mana kedudukan kita berada. Tidak ada yang lebih mulia dan kaya, selain dari mereka yang lebih bertaqwa dan kaya jiwanya dengan kebaikan..

Satu dedikasi buat semua sahabat saya yang pernah melalui zaman remaja bersama..istimewa buat sahabat-sahabat yang sentiasa bertungkus lumus meneruskan usaha ‘keep in touch’ together.. salute penuh hormat utk Wae (Sdra Wan Naziran) sebagai Presiden alumni kelas ExMuor 86 serta jawatankuasa semuanya.. moga persahabatan kita abadi diberkati Allah SWT...