Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Tuesday, August 20, 2013

Kita yang didatangi ‘utusan’ syaitan…


Antara satu peristiwa sangat besar dalam kehidupan ini yang sering saya abaikan ialah tentang perjuangan syaitan dalam bersungguh-sungguh menunaikan janjinya untuk menyesatkan, melalaikan serta menghasut manusia untuk menyertai mereka ke neraka secara kekal.

Umat muslimin baru sahaja menamatkan proses ‘pembersihan’ jiwa, mengumpul segenap kebaikan dalam bulan ramadhan serta meneruskan kebaikan dengan aura-aura yang sangat kita hargai dan syukuri nikmatnya; tiba-tiba dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan massa tanpa kasihan di bumi Egypt. Pembunuhan demi pembunuhan yang masih diteruskan serta didokumentasikan dengan jelas dalam apa jua media(terutama tweeter dan facebook); situasi yang cukup berbekas dan tidak dapat diungkapkan kesedihan. Airmata yang terus bergenang dan terus bergenang tatkala setiapkali menatap kedukaan dan penindasan yang menimpa mereka.

Namun… satu peristiwa yang menyedihkan saya apabila kita umat muslim ini dikelirukan pula dengan kekhilafan kesimpulan hukum perjuangan, pembunuhan serta saling tuduh menuduh menyalahkan satu pihak dengan pihak yang lain. Ada pula yang tidak kita fahami doktrinnya yang mendefinisikan rakyat yang tidak bersenjata dan berhimpun secara aman sebagai ‘terrorist’; dan terus menerus menyalahkan rakyat yang wujudnya sekadar menuntut keadilan secara aman yang ‘menyebabkan’ mereka dibunuh dan terus dizalimi. Ironinya pula, tiada teguran langsung dari individu yang dipandang hebat sebagai ‘golongan agamawan’ itu pada sifat kezaliman individu yang merampas kuasa politik menggunakan kuasa tentera secara tidak sah; kemudiannya menyiksa dan membunuh pula rakyat yang tidak bersetuju dengan mereka.

Saya secara umumnya bersetuju bahawa setiap perjuangan memerlukan strategi, setiap individu perlu di’islah’kan serta objektif perjuangan disandarkan pada pembetulan aqidah dan pengukuhan ilmu sebagai individu muslim yang ‘abid; bukan bercakaran merebut ‘keagungan survival politik’. Demikian juga, saya juga cenderung untuk memilih keputusan yang lebih ringan mudaratnya berbanding kemudaratan yang lebih hebat sehingga menjerumuskan ummah secara massa kepada tribulasi dan kekejaman.

Di US atau Negara barat yang lain, umum mengetahui bahawa demonstrasi secara aman berlaku saban waktu…namun tidak pernah kita mendengar pembunuhan massa kepada mereka yang membuat tunjuk perasaan hatta demo itu ditujukan kepada presiden atau ketua Negara mereka. Secara umum, pada hari ini demonstrasi dianggap norma masyarakat; yang saya sebenarnya secara umum tidak pernah bersetuju dengan sebarang demonstrasi dan tunjuk perasaan yang diadakan. Ia sebahagian besarnya membuang masa (yang sepatutnya dihabiskan dengan berzikir, mendalami ilmu dan mengamalkan kebaikan), dan langsung tidak menjejaskan keputusan polisi atau pentadbiran sesebuah Negara yang dibina mengikut sistem yang sah menurut undang-undang.

Namun, berdasarkan situasi hari ini demonstrasi aman merupakan satu dari pendekatan yang diterima secara umum untuk menuntut keadilan. Siapa duga darah dan hak sebagai manusia yang tiada niat langsung untuk berperang (sekadar menuntut keadilan secara aman) itu dianggap seperti langsung tidak mempunyai harga serta dilabel sebagai pemberontak dan dijatuhkan hukuman menyalahi aqidah sunnah wal jama’ah. Berdemo secara aman dihukumkan sebagai pemberontakan terhadap pemerintah; namun penipuan terang-terangan oleh pihak yang menindas dan mengangkat dirinya sebagai pemerintah; yang bukan berlaku secara rahsia dan tersebar secara umum dianggap ‘mulia’ dan tidak boleh disanggah sebagai ‘pemerintah yang sah’?

Beberapa hari selepas pembunuhan massa di Misra (Egypt) itu membuatkan saya termenung panjang. Sebak setiap kali menatap outcomes penuh zalim yang menimpa rakyat terutama wanita dan kanak-kanak. Dan, terus sebak apabila manusia agamawan di Malaysia saling bercakaran sesama sendiri dengan hujah yang saya sifatkan sebahagiannya sangat ‘meraban’ dan tidak ubah seperti para ‘utusan’ syaitan. Manusia apakah mereka itu sehingga tiada langsung simpati dan kasihan dengan mereka yang dizalimi sedemikian rupa? Lebih teruk, mereka yang dizalimi itu disalahkan pula; dan lebih teruk mereka yang tiada kena mengena dengan demonstrasi aman turut dibunuh dan dizalimi namun langsung tidak diberikan komen oleh agamawan berkenaan.

Dalam surah Al Baqarah ayat 266 Allah berfirman maksudnya,
Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; dia mempunyai kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada seseorang itu sedang dia mempunyai keturunan yang kecil-kecil, Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Tafseer ayat ini dari Kitab Tafsir Ibnu Kathir menukilkan Ibnu Abbas menjelaskan perumpamaan yang disampaikan Allah dalam ayat berkenaan ialah mengenai seorang kaya yang beramal dengan ketaatan kepada Allah. Lalu Allah mengirimkan syaitan kepadanya, maka iapun berbuat banyak maksiat sehingga semua amalnya terhapus. Penjelasan berkenaan dinyatakan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, satu ayat yang yang memberikan perumpamaan tentang seseorang yang pada permulaan hayatnya dipenuhi oleh amal yang baik, namun ia mengganti amalnya dengan amalan yang jahat penuh berdosa (moga kita semua dilindungkan Allah).

Dalam tafseer ayat Kursi sebelum itu, dijelaskan pula oleh Rasulullah SAW bahawa syaitan itu ada yang berupa manusia.

Fokus penyelesaian memerlukan analisa jiwa manusia yang wujudnya sebagai manusia. Bukan dalam bentuk saduran manusia oleh hati yang sebenarnya merupakan utusan para syaitan! Doa saya untuk semua saudara-saudara saya di Misra…moga Allah amankan semula situasi dan keadaan mereka.

NB: Selain dari doa dan bantuan kemanusiaan, saya berkongsi pandangan seorang aktivis Palestin iaitu antara cara terbaik untuk kita membantu mereka ialah dengan memperkukuhkan ilmu dan amalan sebagai muslim (baca alquran dan dalami sunnah serta amalkan), meninggalkan perkara yang sia-sia (tinggalkanlah lagu-lagu hiburan, drama-filem yang melalaikan ) serta tidak menjadikan mereka yang jelas kekafirannya sebagai rujukan, ikon atau ikutan.

Thursday, August 15, 2013

Darah di Misra


Hiba di bumimu Misra,
ulangan sejarah manusia-manusia bacul,
gamat menyeksa jiwa-jiwa luhur,
ganas membunuh dan melebur,
penuh fitnah,
pilu berdarah.

Darah membanjirimu Misra,
nafas juang saudara-saudaraku yang syahid dibunuh,
tafsih bangkit membakar perjuangan,
juga....
pada hentaman peluru yang menikam ulama',
pada nadi yang terbujur tanpa kasihan,
adalah aura dari Tuhan AlJabbar yang memanggil kami berdoa,
tidak terluah tangis ratapan,
kesedihan dihimpit kesedihan,
Ya Allah... bantulah saudara-saudara kami di Misra.

Sesungguhnya darah di Misra,
menyeka warisan zalim kerajaan silam,
14 Ogos yang benar-benar suram...

Wednesday, August 14, 2013

Hukum agama: Dipelihara jidar kemuliaannya, BUKAN untuk di'jidal' kan

Ya, saya bukan ustazah. Jauh sekali untuk bercakap tentang hukum-hakam yang tidak pernah saya tela'ah sepertimana saya menatap kitab-kitab perubatan moden mahupun lembaran biostatistik dan penyelidikan penyakit berjangkit.

Mereka yang dimuliakan Allah dengan ilmu Bahasa AlQuran, memahami kitab-kitab bahasa Arab serta memanfaatkan pula isinya dengan rujukan silang secara langsung dengan tafsir muktabar AlQuran serta terjemahan sunnah dan kehidupan sahabat dan tabi'in serta tabi'ut tabi'in...nyata adalah insan yang unggul dan istimewa di mata masyarakat.

Nyata kedudukan saya untuk bercakap tentang isu semasa (poligami) yang berkait hukum syari'e yang seringnya 'gamat'; tidak memenuhi kriteria 'qualified' ; apatah lagi membincangkan polemik yang disensasikan serta mengundang pula perbahasan dan ketidakselesaan ruang peribadi mereka yang terlibat.

Izinkan saya berkongsi apa yang saya rasa perlu untuk kita sama-sama menterjemahkannya dalam amalan kehidupan. Perhatikanlah hikmah pentarbiyahan Alquran; dimensi persembahannya yang jauh menusuk ke sanubari. Ungkapan kisah yang berulang-ulang, skop yang terkadang dirasakan tidak terjangkau batas fikiran (saya merasakannya setiap kali membaca surah Al-fil), dengan pemilihan kalimah yang sangat agung untuk dihayati serta diamalkan. Dan tiada siapa yang mampu mengambil hidayah Alquran jika hati tidak 'submit' sepenuhnya kepada Allah SWT.

"Apakah kamu tidak mahu masuk islam? Jika mereka menyerahkan diri sepenuhnya (islam) kepada Allah, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk..." Ali 'Imran maksud ayat 20.

"Katakanlah, "Ta'atlah kepada Allah dan rasulNya, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir" ..Ali 'Imran maksud ayat 32.

Fokus seseorang yang sedar dirinya muslim adalah pada keredhaan Allah. Apa keperluannya 'berdebat' tentang rumahtangga atau keluarga orang lain sekadar untuk menambah 'juice'(ghibah atau sarcastic remarks) sosek-sosek bicara yang cenderung membawa dosa? Lebih mengejutkan, lantang pula berbahas/ berdebat/ berbantahan (jidal) dengan ilmuwan agama yang nyata tersohor ilmunya.

Hukum agama adalah 'jurisdiction' mereka yang diamanahkan untuk memelihara kemuliaan peraturan dan undang-undang Allah, sesuai ditempatnya. Bukan hak sebarangan indidivu yang mengaku muslim (individual rights) yang sesuka hati meluahkan penuh emosi setuju atau tidak setuju. Sesuatu yang pada pandangan saya tidak logik apabila individu yang tiada mengena dalam lingkungan peribadi memberikan komen / luahan negatif sesuatu yang tidak pun berlaku pada dirinya.

Sebagai muslim, hukum agama seperti isu poligami sepatutnya sama-sama kita pelihara kemuliaan hukum dan amalannya; bukan diperdebat/ diremeh sehingga membawa 'outcomes' yang menimbulkan persepsi yang bukan-bukan...

Monday, August 12, 2013

Eid mubaraq- manifestasi 'ibadah, keluhuran aqidah dan da'wah..

Saya agak terkedu tatkala disapa oleh seorang rakan non muslim yang begitu gembira mengucapkan selamat bercuti kepada saya...namun diakhir kalam beliau, "Okay...enjoy yourself".
Semasa menuruni anak tangga perlahan-lahan, hati saya nyata berbaur emosi. Gembira menjalani saat akhir mulianya ramadhan serta menantikan indahnya eid mubaraq namun sedu seketika bila dilontarkan dengan kalimah perkataan sedemikian.

Saya mungkin mendefinisikan 'enjoy' dalam frasa serta orientasi yang berbeza; namun ia bagi saya dikaitkan dengan simbol ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan sambutan aidilfitri. Sehingga majoriti beranggapan aidilfitri adalah sambutan kegembiraan yang diwarnai oleh lazatnya makanan, merdu dan meriahnya aura muzik lagu raya, dentuman mercun yang sinonim dengan kedatangan syawal, pesta bunga-bunga di kuburan, saling bertukar juadah raya serta saling kunjung mengunjung di kalangan kerabat dan teman. Tidak lupa pula pada siaran demi siaran di TV mahupun pawagam yang dikatakan menambahkan lagi kemeriahan perayaan.

Sesungguhnya saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami bahawa sambutan eid mubaraq sebenarnya adalah manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Azza wajala Maha Pencipta. Ia merupakan ibadah iaitu bentuk ubudiyah yang ikhlas kepada Allah SWT, yang mana kembalinya kita kepada fitrah semulajadi sebagai insan tanpa larangan serta ditahan pada julat waktu tertentu.

Apabila kita meluruskan pandangan dan fokus pada definisi Islam (total submission to Allah SWT), kita pasti sedaya upaya berusaha untuk mengisi sambutan eid itu 'in-line' dengan fokus untuk mengabdikan diri kepada Allah, memurnikan tauhid serta membersihkannya dari segenap kemungkaran dan 'sembahan-sembahan' yang melupakan kita pada Allah SWT.

Saya masih ingat, betapa 'tersiksa'nya jiwa saya apabila menyedari waktu yang begitu pantas berlalu selepas 1 syawal mula di sambut. Saya ketika itu begitu berharap agar biarlah pagi 1 syawal itu 'lama' sedikit supaya sentimental dan nostalgianya dinikmati sepenuhnya. Namun...waktu terus berlalu...sehingga menjadikan lagu-lagu dan ketupat raya menjadi kenangan 'nostalgia' apabila berlalunya waktu dan hari demi hari. Dan silap saya, yang langsung tidak mempedulikan definisi ubudiyah kepada Allah SWT yang sebenar dalam memanifestasikan segenap kesyukuran yang sepatutnya disandarkan pada kekuatan 'aqidah.

Lebih dukacita apabila sambutan 'eid mubaraq yang sepatutnya menjadi platform menobatkan syi'ar da'wah melalui takbir dan solat berjemaah (afdalnya di tempat terbuka) bukan priority dalam kehidupan saya ketika itu.

'Eid mubaraq bukanlah hari yang penuh sentimental, penuh nostalgi dan disulam dengan kesedihan demi kesedihan mengenang silam mahupun insan yang telah tiada; ia juga bukan pesta makanan demi makanan serta lagu-lagu yang tiada kaitan dengan 'ibadah dan 'aqidah.

Tidak perlu kita mengenang zaman silam, nostalgi mengenang bau asap 'kuih bahulu' atau leka menitip 'tepung di jemuran' atau merenung sedih teratak tinggalan keluarga serta kematian insan-insan tertentu; lalu melupakan tanggungjawab utama yang perlu diisi dan didahulukan. Ya, sesungguhnya tanggungjawab da'wah ini merupakan sesuatu yang begitu berat apatah lagi untuk membetulkan persepsi "Enjoy yourself" seperti yang sering dikaitkan dengan perayaan yang penuh mulia ini..

Memahami asas sambutan aidilfitri ini sepatutnya membawa jiwa dan semangat kita yang terus bermotivasi untuk bersungguh-sungguh bekerja dan menyambung tugasan seperti biasa, bukannya 'liat' untuk kembali bertugas. Sehingga ada yang sepatutnya kembali bertugas, masih meneruskan cuti, sehingga 'menyusahkan' pula insan lain yang mempunyai dateline dan sebagainya. Sesungguhnya sambutan aidilfitri itu hanya pada 1 Syawal sahaja..

Friday, August 2, 2013

Sajak: Akhir-akhir ramadhan...

akhir-akhir ramadhan,
bersilih pantas berganti jernang,
bagai tak terkejar liputan warnanya,
penuh barakah, penuh mulia.

detik-detik akhir ramadhan terus menjalur rindu,
mendatangi hati-hati munib yang berbisik sayu,
namun....
letih lesu kadang sarat membahu,
atau juga keinsafan yang kalis membisu,
fokus'ibadahku dihambat rencam sms/ email seribu satu.

Aku berbicara disisimu ramadhan,
mengadu merayu pada Tuhan ArRahman,
pada menyusun pengisian demi pengisian,
sering digamit lalai yang kunjung bertandang,
terlalu jauhnya 'mihrab' hati ini berbanding Maryam a.s.

Lalai dan susah yang datang bertindan,
terus bersilih berganti ruang,
namun itu Ya Tuhan...
pada amalan sia-sia tanpa nilai dan penuh sambang,
bebannya jauh lebih sukar untuk kutanggalkan...


[NB: Tazkirah untuk diri saya terutamanya untuk meninggalkan amalan sia-sia yang tidak berkaitan dengan ramadhan dan sambutan syawal; tetapi masih giat diamalkan sebahagian majoriti masyarakat, lebih mendukacitakan...bulan mulia tersebut begitu giat dikomersilkan serta dilagu-lagukan dengan hiburan demi hiburan]