Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, March 15, 2014

Sebuah keluhan, pelajar itu dan nilai sebenar seorang diri...

Hati saya terbuku seketika.. nota yang berisi keluhan, sindiran, tempelak, komplen , rungutan dan pelbagai keluh kesah mengenai sikap anak-anak pelajar di kampus tempat saya menumpang berkongsi ilmu itu terasa hangat menggigit naluri tatkala membacanya. Saya tidak tahu apa objektif sebenar nota itu di whassap kan.. dibincangkan penuh perasaan, panjang lebar serta 'menghentam' pula sebahagian pendidik yang dikatakan tidak cekap mendidik anak-anak peajar itu.
Rungutan menyakitkan mata dan hati tatkala membacanya itu bukan perkara baru. Saban tahun ke tahun, lagu yang sama didendangkan... dibentang dan dibincangkan. Tercari-cari juga cadangan usaha untuk memperbaikinya dari individu yang begitu hebat menghentam, sayangnya cadangan itu tidak 'pernah' ada di alam nyata. Sebaliknya pelajar-pelajar itu terus diremehkan, dipersenda malah pensyarah yang mengajar sebelum itu turut dipersalahkan dengan natijah yang dikatakan 'membengangkan' mereka..

Saya bukan pendidik yang sempurna. Apatah lagi jika kita himpunkan segenap ilmu perubatan dan kesihatan ini untuk digarap secara keseluruhan. Tidak mampu rasanya utk saya meng orientasikannya kepada pembentukan sikap, amalan dan tingkahlaku pelajar secara 'perfect ten' dalam score knwledge yang begitu excellent. Pasti sebagai insan, ada masa kita ingat dan ada masa kita terlupa. Peranan kitalah juga sebagai pendidik untuk saling ingat mengingati, untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ilmu, sahsiah dan juga pembentukan professional yang kita harapkan. Bahawa saya juga yang kadang-kadang terlupa tatkala diuiji penuh emosi.. memerlukan pesanan demi pesanan untuk selalu 'dekat' di sisi Allah..
Pelajar yang saya kongsikan ilmu ini.. adalah anak-anak saya juga sebenarnya. Mereka ini adalah insan seperti saya ...bukan seperti objek tanpa akal untuk terus dikritik, diumpat, di'hina' atau direndah-rendahkan.
Masalah disiplin wujud di mana-mana. Bukan sekadar diperingkat pelajar, namun begitu prevalen di kalangan professional dan elit yang lain. Tinggal lagi pada kedudukan mana ianya boleh diperbaiki atau ditegur..

Aura mendidik kaku dan beku jika kita mendidik tanpa kasih sayang sebagai insan. Apatah lagi apabila konteks bimbingan itu digarap dengan penuh 'meluat', dendam mahupun kebencian..
Kedudukan hati yang terbuku, terlerai juga manganyam tenang tatkala saya mengingati semula bahawa.. anak-anak pelajar itu sebenarnya adalah sebahagian 'masa depan' saya. Itulah konotasi 'amalan' yang bakal saya bentangkan semasa dibangkitkan berhadapan dengan Allah swt. Sentuhan kasih kerana Allah, lahir dengan aura ikhlas pasti sampai ke hati.. Diterima kerana Allah dan ikhlas keranaNya..

Kita adalah komposit pd apa yg kita niatkan, sebut, dan amalan yg dilakukan..

Sunday, March 9, 2014

MH 370, Buku "The Humility in Prayer" dan asmaul husna...

I:

Insiden kehilangan MH370 terus mengisi berita terkini dan pada masa ini juga merupakan isu yang menjadi tumpuan. Sejak insiden ini dimaklumkan kepada umum, hati saya tidak dapat mengelak dari merasa sebak. Serta merta juga ingatan saya terus menjangkau kenangan dan pengalaman bermusafir menaiki kapalterbang. Pengalaman menunaikan haji hampir dua tahun lepas juga hadir bersama dalam ingatan dengan berita misteri kehilangan pesawat tersebut.

Pelbagai spekulasi, tanggapan dan juga reaksi emosi. Betapa kita kini berada dalam satu medan 'juri' yang kebarangkaliannya bakal memberikan keputusan yang selama ini tidak ingin kita fikirkan secara mendalam.

Ingatan kepada tazkirah dalam kuliah Kursus Haji yang saya hadiri lalu kembali mengimbau, iaitu kita yang bermusafir di atas jalan Allah ini perlu ada persediaan kemungkinan kita akan pergi dan tidak kembali. Maksudnya, kita perlu bersedia untuk kematian; iaitu tidak kembali ke kampung halaman dan bersedia tidak kembali di sisi keluarga dan insan yang dikasihi. Bahawa saya ketika itu, hati bagai terawang-awang untuk menerima realiti tazkirah itu sebagai realiti yang MESTI saya terima dengan penuh keyakinan. Bagaimana saya meyakinkan diri bahawa pemergian saya 'berjuang' dalam menunaikan amalan rukun Islam ke 5 merupakan mujahadah sepenuhnya untuk Allah dan berserah dengan penuh tawakkal atas apa jua outcomes nya. Dan saya mungkin tidak akan kembali lagi menemui suami, anak-anak dan juga individu yang saya kasihi.

Betapa saat itu juga saya merasa cukup kecil dan lemah di sisi Allah SWT. Sepanjang musafir menaiki kapalterbang, kenderaan dan juga perjalanan waktu itu… saya tidak putus-putus berdoa dengan kesayuan di hati. Ya Allah, kembalikanlah saya dengan aman ke sisi suami, anak-anak, keluarga serta insan yang saya kasihi.

Terlintas juga sekali-sekala, apabila melakukan perjalanan dengan kapalterbang..terbayang andai saya perlu mengharungi saat cemas dan kemungkinan berlaku kemalangan udara…

Pada saat ini, saya merasakan naluri dan emosi penuh harap dari semua ahli keluarga individu di dalam MH370. Betapa kebimbangan, harap dan doa penuh harapan dipanjatkan kepada Tuhan Al Mujib, Ar Rahman, Al Wakil Al Mu'min. Betapa airmata saya terus bergenang apabila menyaksikan rakaman foto dan video yang meng'highlight'kan situasi tersebut..

Untuk itu, buat para musafir semuanya, bersedialah dalam setiap perjalanan dengan niat yang baik, membersihkan aqidah serta bersedia menghadapi kematian, kembali ke sisi Tuhan Rabbul Jalil.

Namun, SATU sahaja penawar dalam kegelisahan seperti ini… berdoa dan serahkanlah segala-galanya dari tulus niat di hati kepada Tuhan Al Aziz yang Maha Agung dan Al Qadeer (yang Maha menguasai segala-galanya). Biar apa sekalipun outcomes nya…bahwa kita sebagai insan, banyak dalam kehidupan ini yang kita sebenarnya TIDAK MAMPU untuk menanganinya..


II:
Sehari sebelum peristiwa kehilangan MH370, Allah mengizinkan saya membeli buku Al-Khushyu' filSalah tulisan Ibn Rajab yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris (The Humility in Prayer). Satu tulisan yang sangat 'kontemporari' dan tepat dalam mendeskripsikan fakta yang saya cari selama ini.

Saya mengalami masalah dengan fokus dan khusyu' di dalam solat yang saya dirikan selama puluhan tahun ini. Beberapa buku yang saya beli sebelum ini tidak begitu terpeinci dan padat seperti tulisan Ibn Rajab ini dalam mengupas secara terperinci aspek kerendahan hati khusyu' di dalam solat dan doa.

Teori mengenai sahnya solat dan kesempurnaan solat mengikut sunnah banyak dibincangkan namun secara 'spiritual' ia jarang ditekankan secara harmoni untuk diikuti dan dilakukan dengan penuh sandaran kepada Allah SWT.Konteks ini juga saya panjangkan dalam aspek berdoa kepada Allah…betapa perlunya kita sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah SWT.

Buku ini juga menemukan saya pada pengertian ilmu yang bermanfaat..
"Menurut al-Hasan , pengetahuan merupakan dua jenis. Ilmu yang disampaikan melalui lidah secara tidak mendalam (superficial) dan satu lagi ilmu yang berakar di dalam hati". Ilmu yang bermanfaat perlu jauh meresap ke hati, membuahkan keimanan, menyerahkan hatinya tunduk merendah diri kepada Allah SWT, mengakui dengan rela keagungan dan kemuliaan Allah SWT serta aspek-aspek gnosis [knowledge of spiritual mysteries].

Fokus itu yang akhirnya saya simpulkan bahawa khusyu' itu intipatinya merupakan perbendaharaan di dalam kefahaman dan terjemahan sebenar asmaul husna dalam kehidupan.


III.

Saya masih mempelajari dan terus belajar menghayati maksud dan terjemahan asmaul husna dalam kehidupan. Pertama kali mempelajarinya melalui Syeikh Riad Ourzazi seorang agamawan di Institut Al Maghrib. Mengenal makna dan tafsiran serta dalil-dalil akan asmaul husna tersebut pada usia lebih 40 tahun ini…betapa kala ini saya merasai betapa hakikat ini merupakan sesuatu yang tidak di'miliki' oleh kebanyakan hati muslim ketika ini.Yang mana saya juga masih 'struggle' untuk menemukan dan hidup dengan nama-nama Allah ini dalam setiap aspek kehidupan.

Asmaul husna sekadar dilagukan dalam nashid, atau juga diubah menjadi zikir-zikir tertentu yang dikatakan mempunyai penawar atau keistimewaan tersendiri. Sedangkan hakikat-hakikat yang ditonjolkan itu tidak mempunyai dalil atau bukti di dalam Al Quran dan sunnah.

Misteri MH370 dan buku "The Humility in Prayer" ini membuka ruang dengan izin Allah SWT dari kefahaman asmaul husna yang ingin saya kongsikan.

Fokus untuk kita terus berdoa dan mengharap kepada Allah SWT, menyentuh hati saya untuk mengingati nama Allah Al Mujib, Al Wakeel. Kita yang sentiasa mengharap rahmat Allah Ar Rahman dan Ar Rahim. Kita yang mengharap pada Allah AsSalam dan Al Mu'min semoga mereka yang terlibat dianugerahkan kesejahteraan dan aman dari bahaya. Kita yang begitu mengharap perlu sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada Allah At Tawwab, Al Ghafur, Al Ghaffar dan Al 'Afwu. Kita yangnjuga sentiasa berharap pada Allah Ar Razaq, Al Wahhab, As Samad atas apa sahaja yang dikurniakanNya kepada kita semua.
Betapa dekatnya Allah Al Qareeb dengan kita tatkala kita memanjatkan doa, bahawa AllahAl Muhaymin, AsSyahid dan Ar Raqeeb menyaksikan setiap apa yang kita lakukan…

Dan Allah Al Hayyiy (nama yang menggambarkan kualiti malu [most modesty]) iaitu Allah malu membiarkan tangan seorang hamba yang berdoa kepadaNya terbiar kosong.. dan Allah As Sami' dan Al Basir sentiasa mendengar dan memperhatikan doa dan niat di dalam hati kita semua.

Fakta gnosis mengenai asmaul husna ini yang perlu kita pelajari dan hargainya untuk kita ini wujud sebagai muslim yang mukmin...

Bahawa kita sebagai makhluk yang diciptakan… SEBENARNYA sentiasa mengharap kepada Tuhan Rabbul Jalil. Iktibar untuk kita semua, untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan bahagia mahupun derita….

Saturday, March 1, 2014

Surah Al Munafiqun

Saya yang dahulunya jarang mempedulikan karakter seorang munafik, atau juga tidak mahu memikirkan akan kemungkinan itu mungkin wujudnya dalam diri sendiri.

Sesungguhnya saya begitu 'terduduk' apabila memahami bahawa mereka yang meremehkan ciri-ciri munafik atau merasakan dirinya bebas dari munafik itulah sebenarnya merupakan ciri seorang munafik.

Saya membuka lembaran kitab dan tazkirah. Pada fakta-fakta yang sebenarnya selama ini saya ambil mudah dan tidak pernah merasakan bahawa diri saya sendiri sebenarnya yang perlu terlebih dahulu menghisab kedudukan diri. Saya juga yang seharusnya tidak mem'pointing'kan sesuatu kesalahan untuk dilambakkan pada orang lain. Indikasi seorang munafik itu pula bukan modal kita melabelkan orang lain atau memberikan hukuman triburnal pada sesuatu kelompok!!

Prosiding menyiasat kemungkinan berlaku penipuan dalam peperiksaan ini sangat meletihkan.. Salah satu dari ayat surah Al Munafiqun ini merakamkan bahawa karakter munafik itu wujud kerana seseorang yang mempermainkan keimanan iaitu sekejap beriman namun kemudian ingkar menjadi kafir. Diri yang wujudnya sekejap beriman kemudian mendustai keimanan itu menyebabkan terhijabnya hidayah dan dijerumuskan pada kehinaan manusia yang tidak diampunkan Allah dan bakal tidak dipandang oleh Allah SWT semasa di akhirat nanti...

Saya doakan anak-anak termasuk anak-anak pelajar saya semuanya dibukakan hati oleh Allah SWT untuk beriman dengan keimanan yang sebenar-benarnya..