Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, June 28, 2014

Ramadhan Kareem - untukmu isteri/ibu yang bekerja seperti saya


Alhamdulillah..kita diambang menyambut kedatangan ramadhan. Ramadhan yang disambut penuh syukur dan gembira ini, wajar juga kita sama-sama isikan dengan kebaikan yang termampu kita lakukan secara praktis dan kerendahan hati kepada Allah SWT.

Fokus beribadah merupakan sasaran utama tatkala tibanya bulan yang mulia ini. Bagi isteri/ ibu bekerja, rutin bulan ramadhan menjadi begitu padat serta menjadi tugas yang agak mencabar.

Siapa yang tidak mahu mengkhatamkan AlQuran serta duduk beriktikaf di masjid. Siapa pula yang tidak mahu menghabiskan waktu dengan mendengar tazkirah serta berdoa sambil berzikir dalam setiap saat meneladani ramadhan.

Namun bagi isteri/ ibu bekerja, ia bagaikan ‘uphill task’ yang mana jika ianya tidak diberikan keutamaan pasti menyebabkan perjalanan rumahtangga ‘huru-hara’ sedikit...tambah pula jika tiada pembantu domestik serta diduga ujian catuan air (sempena musim kemarau).

Saya sering berangan-angan andai tugasan akademik mahupun pejabat menjadi ringan tatkala datangnya ramadhan. Namun seperti juga tahun-tahun sebelum ini, ramadhan menjadi bulan paling sibuk untuk segala macam ‘review’ dalam sistem mahupun format yang perlu diberikan penambahbaikan.

Untuk anda yang seperti saya, bergelut dengan ‘kesibukan’ di pejabat, urusan domestik mahupun niat menggunung untuk bersungguh-sungguh mengisi ramadhan, jangan terlalu terkekang dengan jadual rutin. Buatkan senarai yang utama dan perlu dilakukan.

Elakkanlah ‘berlumba’ untuk mengkhatamkan alquran tanpa memahaminya. TV Bayyinah merupakan program yang menyediakan asas tafsir yang sangat baik di samping lintas langsung mahupun kuliah-kuliah tafsir yang lain.

Satu cara yang boleh dilakukan ialah dalam pada kita mengisi tugas domestik itu, cuba hubungkan ayat-ayat Allah SWT dalam pengalaman demi pengalaman yang kita lalui sempena ramadhan ini.

Contohnya apabila kita membasuh pinggan, ayat mengenai air yang diturunkan Allah dalam keadaan suci, bersih, mubarak serta menumbuhkan tanaman; Allah menampakkan ajaibnya fungsi air dalam kehidupan (yang sebenarnya gabungan unsur dua gas iaitu oksigen dan hidrogen) namun kombinasinya menjadi fungsi utama dalam kehidupan (An Nahlu ayat 10, Qaf ayat 9).

Apabila kita memandu kereta, betapa besarnya nikmat Allah yang mempermudahkan kenderaan tersebut. Bayangkan andai kita terpaksa berjalan kaki tanpa kenderaan ke pejabat..banyaknya barang yang perlu dibawa serta fizikal kitabyang tidak gagah untuk menapak sendirian. Allah rakamkan betapa hebatnya kebaikan Allah sebagat Tuhan Ar Rauf dan Ar Rahim (An Nah ayat 7).

Begitu juga tatkala menyiang ikan. Betapa Allah menundukkan lautan dan isi kandungannya dengan dianugerahkan daging-daging segar yang menyedapkan sebagai platform untuk kita bersyukur padanya (AnNahl ayat 14).

Apabila kita menyalakan api dapur untuk memasak. Ayat Allah dalam surah Al Waqi’ah iaitu ayat 71-72 bagi saya merupakan ilustrasi mukjizat Al Quran yang sangat mengkagumkan. Allah memberikan maklumat kepada kita bahawa Dialah yang mengeluarkan api dari pohon-pohon. Tafsir ayat tersebut memfokuskan kepada sejenis pohon di padang pasir yang digunakan untuk menyalakan api untuk kegunaan mereka pada masa itu. Namun relevannya ayat ini tidak terlawan oleh fakta saintifik. Segala api yang kita ada pada hari ini, majoriti sumbernya adalah dari pokok-pokok.... minyak tanah, petroleum, arang batu, gas memasak mahupun dari sumber elekterik; yang mana Allah lah yang mengeluarkan apa-api itu.

Apabila kita sibuk mengemas dan menghias rumah, setiap peralatan mahupun perkakasan adalah hasil ciptaan manusia yang mana manusia dijadikan Allah.
kita yang tidak pernah mampu mengadakan sesuatu yang tidak pernah ada. Betapa banyak generasi sebelum kita yang lebih hebat mempunyai pelbagai perkakasan yang lebih mengkagumkan, dibinasakan Allah lantaran kezaliman mereka (As Syu’ara’ ayat 57- 58)

Saya kongsikan ini sebagai laluan untuk kita dekat dengan ayat-ayat Allah. Bahawa tugas domestik bukanlah suatu yang terpisah dengan ucapan-ucapan Allah dalam kitab yang mulia itu. Bahawa tugas rutin kita adalah terjemahan ubudiyah yang diperintahkan Allah untuk kita laluinya dalam keadaan berfikir, menggunakan aqal, mengingatinya serta menghubungkannya dengan aqidah yang benar..

Fokus penghayatan dan memahami makna ayat-ayat ucapan Allah ini tidak mampu kita hubungkan dengan realiti andai Al Quran kita baca dalam keadaan kelam kabut, tergesa-gesa serta hanya memfokuskan untuk khatam sahaja.

Thursday, June 19, 2014

Apabila hati disakiti silih berganti...

Respon dari Mufti Ismail Menk mengenai sejarah dirinya yang pada masa remaja begitu mudah pemarah dan menjadi 'bengis' serta kemudian berubah menjadi insan paling susah untuk menjadi marah selepas menuntut ilmu di madinah Al Munawarah, mencuri perhatian saya. Demikian..antara kisah menakjubkan dengan izin Allah yang perlu diambil teladan dan iktibar.

Saya juga mempunyai sifat sedemikian. Mudah 'irritable' dan menjadi marah pada sesuatu isu walaupun di akhir kisah ianya hanyalah memenatkan emosi dan fizikal apabila kemarahan atau geram terkuak menderam-deram.

Lazimnya, saya akan meluahkan kegeraman tersebut atau memberikan respon yang hampir serupa atau setidak-tidaknya, jiwa saya 'mengembang' bagai bulu seekor kucing yang bergaduh sesama sendiri, sehingga pelbagai pengisian waktu yang sepatutnya mampu saya lakukan, terabai sia-sia begitu sahaja.

Alhamdulillah, peringatan dari Mufti Menk serta anjuran untuk bersungguh-sunguh mendoakan insan sesama muslim sebagai doa yang tidak tertolak di sisi Allah merupakan tazkirah yang begitu berharga. Lalu saya gantikan rasa kemarahan yang hampir saja meletus itu dengan doa-doa yang saya lafaz berulang-ulang.

Saya hadapkan wajah hati saya pada Allah, mohon kedukaan yang saya rasai itu digantikan dengan kebaikan dan permohonan ampun dari Allah kepada insan yang memperlakukan kesilapan itu terhadap saya. Apalah gunanya saya melawan, andai kesilapan bicara di dalam hati mahupun lisan menyebabkan ketenangan menjadi suram lalu bakal menyebabkan ingatan terhadap ayat-ayat Allah yang pernah terpahat hilang berterbangan diarus 'dendam'...

Syaitan yang tidak pernah penat untuk menghasut kita marah dan berdendam!!!

Saturday, June 7, 2014

Tentang DNA babi, gelatin babi, halal dan persepsi...


I - DNA Babi

Isu halal sesuatu produk makanan terus mewarnai situasi berita dan cerita. Lazimnya juga berita seperti ini sering menarik perhatian masyarakat muslim..banyaklah hujah, kata kritik dan komen serta puluhan maklumat dan info yang terus menjadi rantaian untuk dihebahkan sesama sendiri.

Berita tentang pengesanan DNA babi dalam produk coklat syarikat tempatan bagai letupan 'bom jangka' dalam isu halal di negara ini. lebih musykil apabila pengesanan tersebut dikesan melalui prosedur oleh Kementerian Kesihatan yang selama ini lebih menitikberatkan isu kesihatan dan perlanggaran label dalam sesuatu produk makanan.

Pengesanan DNA babi hanyalah pengesan 'tracing' bahan yang mengandungi genetik babi yang mana perkara yang perlu kita semua ketahui ialah pengesanan DNA sesuatu organisma biasanya menggunakan kaedah amplifikasi gene seperti PCR (polymerase chain reaction) yang mana ujian berkenaan tidak spesifik serta terdedah kepada kemungkinan kontaminasi silang mahupun pencemaran dalam rantaian pemerosesan makanan.

'Takut'nya majoriti muslim negara ini dengan wujudnya unsur mengandungi babi, membawa pelbagai implikasi dan polemik dalam menangani urusan seharian. Bukan sekadar pengutkuasaan dan fatwa serta penswastaan prosedur pengiktirafan halal, fokus babi dalam makanan membawa kepada pelbagai penyelidikan, rekaan teknologi kit saintifik mengesan DNA serta proses komersil produk-produk berkenaan untuk menyokong indistri halal negara.

Apabila berita pengesanan DNA babi dalam produk makanan ringan itu tersebar, saya secara peribadinya tidak setuju cara mana kes tersebut dikendalikan. Di dalam hati, saya masih tidak faham mengapa isu berkenaan diberikan perhatian begitu 'menggunung' sekali berbanding isu mereka yang mengambil gaji secara 'tidak halal'.

Dua calon Sarjana yang saya hadiri peperiksaan tesis GAGAL dengan teruknya dalam peperiksaan viva mereka. Bermula dengan tajuk dan objektif yang tidak seragam sehingga membawa kepada pendedahan metod penyelidikan yang salah serta kesimpulan penyelidikan yang tidak tepat. Ironinya…di tesis mereka ada tandatangan dua professor yang mengaku menjadi pensyarah pembimbing; dan dalam pembentangan tresebut pelajar-pelajar yang gagal itu memaklumkan bahawa tesis mereka selama ini dibimbing oleh individu lain bukan oleh dua professor berkenaan. Situasi yang bagi saya teruk tercemar dengan sikap dan falsafah yang lebih jijik dari kontaminasi DNA babi.

II - Gelatin babi

Nyata berita ini http://www.astroawani.com/news/show/bahan-berubah-sifat-boleh-jadi-halal-jika-diproses-dr-asri-37362 membawa kesan 'domino' yang tidak sedikit.

Kita semua mengetahui betapa sentimen kehalalan produk makanan terutama gelatin dalam industri farmaseutikal begitu hebat diperbahaskan.Itulah juga yang membawa kepada wujudnya industri gelatin halal serta perlbagai produk sokongan lain.

Andai gelatin babi difatwakan halal oleh badan berkenaan di negara ini, bayangkan implikasi terhadap industri gelatin halal serta produk berkaitan secara keseluruhannya. Saya menjangkakan berlaku 'letusan perang saraf' untuk terus memutarbelitkan isu ini demi menyelamatkan merudumnya bisnes yang dikatakan berasaskan 'HALAL'…


III - Halal

Halal dan haram secara umum dikaitkan dengan kotoran yang diklasifikasikan sebagai najis.

Konteks halal dan haram bukan terhad pada najis babi sahaja. Rokok yang telah bertahun difatwakan haram, namun tiada siapa yang 'bother' untuk mefatwakan putung rokok, tembakau, asap rokok, nikotin yang mewarnai gigi juga najis sifatnya.

Dan siapa pula 'bother' untuk mengesan DNA tembakau/rokok pada pakaian untuk memastikan kita benar-benar bersih dari najis!!!

IV - Persepsi

Konteks komunikasi dalam era ini terlalu kuat dipengaruhi persepsi. Sehingga membawa kepada keadaan mereka yang tidak mempunytai latarbelakang ilmu dan teknikal mengenai sesuatu perkara juga 'tidak malu' berdebat dan berhujah meskipun tulisan atau lisannya mengandungi fakta-fakta yang tidak memberi markah (andai ia merupakan suatu peperiksaan akademik). Namun persepsi inilah yang banyak mewarnai halatuju polisi dan politik serta 'masa depan' karier seseorang.