Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...
Saturday, June 28, 2014
Ramadhan Kareem - untukmu isteri/ibu yang bekerja seperti saya
Alhamdulillah..kita diambang menyambut kedatangan ramadhan. Ramadhan yang disambut penuh syukur dan gembira ini, wajar juga kita sama-sama isikan dengan kebaikan yang termampu kita lakukan secara praktis dan kerendahan hati kepada Allah SWT.
Fokus beribadah merupakan sasaran utama tatkala tibanya bulan yang mulia ini. Bagi isteri/ ibu bekerja, rutin bulan ramadhan menjadi begitu padat serta menjadi tugas yang agak mencabar.
Siapa yang tidak mahu mengkhatamkan AlQuran serta duduk beriktikaf di masjid. Siapa pula yang tidak mahu menghabiskan waktu dengan mendengar tazkirah serta berdoa sambil berzikir dalam setiap saat meneladani ramadhan.
Namun bagi isteri/ ibu bekerja, ia bagaikan ‘uphill task’ yang mana jika ianya tidak diberikan keutamaan pasti menyebabkan perjalanan rumahtangga ‘huru-hara’ sedikit...tambah pula jika tiada pembantu domestik serta diduga ujian catuan air (sempena musim kemarau).
Saya sering berangan-angan andai tugasan akademik mahupun pejabat menjadi ringan tatkala datangnya ramadhan. Namun seperti juga tahun-tahun sebelum ini, ramadhan menjadi bulan paling sibuk untuk segala macam ‘review’ dalam sistem mahupun format yang perlu diberikan penambahbaikan.
Untuk anda yang seperti saya, bergelut dengan ‘kesibukan’ di pejabat, urusan domestik mahupun niat menggunung untuk bersungguh-sungguh mengisi ramadhan, jangan terlalu terkekang dengan jadual rutin. Buatkan senarai yang utama dan perlu dilakukan.
Elakkanlah ‘berlumba’ untuk mengkhatamkan alquran tanpa memahaminya. TV Bayyinah merupakan program yang menyediakan asas tafsir yang sangat baik di samping lintas langsung mahupun kuliah-kuliah tafsir yang lain.
Satu cara yang boleh dilakukan ialah dalam pada kita mengisi tugas domestik itu, cuba hubungkan ayat-ayat Allah SWT dalam pengalaman demi pengalaman yang kita lalui sempena ramadhan ini.
Contohnya apabila kita membasuh pinggan, ayat mengenai air yang diturunkan Allah dalam keadaan suci, bersih, mubarak serta menumbuhkan tanaman; Allah menampakkan ajaibnya fungsi air dalam kehidupan (yang sebenarnya gabungan unsur dua gas iaitu oksigen dan hidrogen) namun kombinasinya menjadi fungsi utama dalam kehidupan (An Nahlu ayat 10, Qaf ayat 9).
Apabila kita memandu kereta, betapa besarnya nikmat Allah yang mempermudahkan kenderaan tersebut. Bayangkan andai kita terpaksa berjalan kaki tanpa kenderaan ke pejabat..banyaknya barang yang perlu dibawa serta fizikal kitabyang tidak gagah untuk menapak sendirian. Allah rakamkan betapa hebatnya kebaikan Allah sebagat Tuhan Ar Rauf dan Ar Rahim (An Nah ayat 7).
Begitu juga tatkala menyiang ikan. Betapa Allah menundukkan lautan dan isi kandungannya dengan dianugerahkan daging-daging segar yang menyedapkan sebagai platform untuk kita bersyukur padanya (AnNahl ayat 14).
Apabila kita menyalakan api dapur untuk memasak. Ayat Allah dalam surah Al Waqi’ah iaitu ayat 71-72 bagi saya merupakan ilustrasi mukjizat Al Quran yang sangat mengkagumkan. Allah memberikan maklumat kepada kita bahawa Dialah yang mengeluarkan api dari pohon-pohon. Tafsir ayat tersebut memfokuskan kepada sejenis pohon di padang pasir yang digunakan untuk menyalakan api untuk kegunaan mereka pada masa itu. Namun relevannya ayat ini tidak terlawan oleh fakta saintifik. Segala api yang kita ada pada hari ini, majoriti sumbernya adalah dari pokok-pokok.... minyak tanah, petroleum, arang batu, gas memasak mahupun dari sumber elekterik; yang mana Allah lah yang mengeluarkan apa-api itu.
Apabila kita sibuk mengemas dan menghias rumah, setiap peralatan mahupun perkakasan adalah hasil ciptaan manusia yang mana manusia dijadikan Allah.
kita yang tidak pernah mampu mengadakan sesuatu yang tidak pernah ada. Betapa banyak generasi sebelum kita yang lebih hebat mempunyai pelbagai perkakasan yang lebih mengkagumkan, dibinasakan Allah lantaran kezaliman mereka (As Syu’ara’ ayat 57- 58)
Saya kongsikan ini sebagai laluan untuk kita dekat dengan ayat-ayat Allah. Bahawa tugas domestik bukanlah suatu yang terpisah dengan ucapan-ucapan Allah dalam kitab yang mulia itu. Bahawa tugas rutin kita adalah terjemahan ubudiyah yang diperintahkan Allah untuk kita laluinya dalam keadaan berfikir, menggunakan aqal, mengingatinya serta menghubungkannya dengan aqidah yang benar..
Fokus penghayatan dan memahami makna ayat-ayat ucapan Allah ini tidak mampu kita hubungkan dengan realiti andai Al Quran kita baca dalam keadaan kelam kabut, tergesa-gesa serta hanya memfokuskan untuk khatam sahaja.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment