Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, August 25, 2016

Sehari tulis sesuku, lama-lama menjadi buku..

Pertama kali saya terpandang ungkapan itu semasa saya menunggu lampu hijau di persimpangan hadapan UKM. Ungkapan itu jauh membekas dalam fikiran saya..baru saya sedar bahawa sesuatu yang banyak bermula dari usaha sedikit demi sedikit.

Usaha berdikit yang diselang-seli dengan pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga serta kesakitan dan dukacita kecewa...mewarnakan hasil akhir yang diharapkan.

Untuk itu, menjadi seorang yang hebat dalam apa jua, adalah perubahan sedikit demi sedikit. Perubahan yang memotivasikan seseorang untuk terus berbuat baik, disamping konsisten mengharapkan agar apa yang dilakukan merupakan apa yang diredhai di sisi Allah SWT.

Demikian juga yang ingin saya kongsikan dengan ilmu pengajian bahasa Arab utk memahami Alquran. Tidak mungkin kita akan menjadi fasih memahami apa yang diungkapkan hanya belajar beberapa hari, bulan atau jangkamasa tertentu. Ianya adalah usaha berdikit..namun diteruskan walau pelbagai halangan dan cabaran melanda.

Bahasa Arab bukan bahasa pertuturan kita. Namun, ia menghubungkan jiwa kita dengan agama kita. Itulah juga yang merupakan syarat kita memahami hidayah Allah utk menterjemahkan dalam apa yang kita lakukan.

Suka atau tidak... andai kita meneruskan kehidupan sekadar membaca alquran tanpa difaham..kita sebenarnya memilih untuk meneruskan KEBODOHAN  dan KELALAIAN dalam memahami agama kita sendiri!!

Tuesday, August 16, 2016

Kita yang sebenarnya tidak ada pilihan untuk menolak bahasa Arab Quran dalam kehidupan

Semasa kecil, kita diberitahu Quran itu wahyu Allah SWT. Jika baca dapat pahala.

Sebagai muslim, kita kena tahu baca Quran. Lalu kita belajar Quran dari kecil. Belajar mengeja dan menulis. Sepatah demi sepatah dalam muqaddam hinggalah akhirnya sebahagian surah kita hafal dan bacakan dalam solat.

Kemudian, kita diberitahu juga Quran itu panduan hidup manusia. Berdegar rhetoriknya dalam ucapan perasmian atau apa sahaja yang berkaitan dengan Quran. Kita cuma angguk. Ya, kita baca Quran dan dalam hati kita akui ia adalah kitab agung, wahyu dari Allah SWT. Kita baca dan kita percaya. Lalu kita ANGGAP, kita juga mendapat panduan dari Quran.

Kita baca semula. Kita anggap kita bahagia sebab kita 'dekat' dengan Quran. Ada masa kita hias bilik atau rumah kita dengan ayat-ayat Quran. Atau kita baca surah-surah tertentu yang dianggap mustajab untuk beri manfaat tertentu. Kita terus anggap kita ok dan 'dekat' dengan Quran.

Kita terus baca macam kakak tua. Jika kita rasa nak faham kita hanya buka quran terjemahan. Kadang terjemahan kita faham. Kadang-kadang kita tak faham. Tapi kita ok. Kita rasa sekurang-kurangnya kita baca Quran.

Dan bila kita dah hampir memasuki usia tua, kita sedar kita perlu banyak amalan. Dan kita jumpa pula...owh, rupanya ramai lagi dalam usia kita yang tak tahu baca Quran. Dan kita terus rasa kita OK. sebab kita baca Quran.

Lalu kita tanya diri kita...takpe ke kita terus baca Quran tanpa memahami sebenarnya apa yang kita baca?

Kita terus rasa takpe..kita rasa hanya manusia yang 'terpilih' sahaja perlu belajar bahasa Arab. Kita rasa, kita bukanlah orangnya.

Cukuplah kita buat apa yang kita mampu..sebab jauh di sudut hati kita sebenarnya sudah ada agenda lain lebih utama dan kita rasa tak dapat nak utamakan Quran dan Bahasa Arab dalam hidup kita walau dalam hati kita percaya dan beriman padanya.

Bila ada sahabat atau rakan meninggal dunia...mulanya kita sedih tapi lepas itu kita ok semula. Kemudian, tiada lagi sedih sebab kita rasa kita perlu teruskan semuanya.  Dunia untuk kita banyak lagi. Kita masih sibuk dan perlu waktu untuk menikmati apa yang kita ada di dunia. Untuk apa kita risau..kita kan baca Quran.Walau setahun sekali atau dua tiga bulan sekali atau saya baca semasa kenduri tahlil dan arwah. Kita terus rasa tak apa tak apa walau kita terus tak faham apa yang kita baca.

Tapi...jika kita pergi bank. Untuk ambil wang simpanan. Sanggupkah kita mengisi borang dalam bahasa yang tidak kita faham.

Atau jika kita beli rumah, kita tandatangan Sales and Purchase Agreement dalam bahasa Jepun??

Atau bila kita hadir kelas untuk menjadi seorang doktor, kita belajar dalam bahasa Tamil (ini adalah contoh bagi mereka yang tak tahu Tamil seperti saya). Adakah syarahan, buku dan nota bermakna untuk saya serta membimbing saya menjadi seorang doktor?

Kita rasa kita tahu tentang Quran...tapi kitalah sebenarnya yang paling tidak tahu, kerana kita tidak tahu apa yang kita masih tidak tahu..namun menganggap diri tahu.

Hingga bila agaknya kita akan tahu bahawa banyak isi dan bentuk perkataan/ayat dalam Quran membawa mesej yang merupakan mukjizat dari Allah SWT. Adakah kita masih tunggu satu keajaiban seorang guru untuk ceritakan semuanya satu persatu ?

Kita sedar kita bukan ahli dalam Bahasa Arab. Tanpa Bahasa Arab, kita sebenarnya tak dapat mencapai pengertian dan kefahaman dengan jelas ayat-ayat quran yang kita baca. Terjemahan ke dalam bahasa..meyebabkan banyak makna dan intonasi bentuk-bentuk ucapan dalam Quran TERPOTONG dan TERHENTI maknanya.

Kita sebenarnya tidak ada pilihan untuk memilih jalan terus meninggalkan pengajian Bahasa Arab untuk memahami AlQuran.

Thursday, August 11, 2016

Andai Maryam (a.s) hadir mendirikan solat di mana saya berada...

Saya mengulangi surah Maryam berkali-kali sejak mula mempelajari tafseer Surah Maryam sejak beberapa bulan yang lalu. Semasa usia saya mula mengenal AlQuran dahulu, Surah Maryam adalah antara surah yang bagi saya agak susah untuk dibaca disebabkan sebutan lafaz di dalamnya agak berbeza bentuk berbanding surah-surah yang lain. Namun kelainannya terserlah apabila lapisan demi lapisan pengertian mula menjengah dalam  siri kefahaman yang bagi saya terlalu banyak untuk difahami dan diamalkan dalam realiti.

Motivasi yang mendorong saya mendalami Surah Maryam adalah atas sifat istimewa Maryam yang merupakan 'abidah (ahli 'abid) yang sangat tekun beribadah. Kurniaan rezeki di sisi Maryam di mihrab tempat ibadahnya...sehingga mengundang pertanyaan dari Nabi Zakaria (as)...keistimewaan itu yang mendorong Nabi Zakaria berdoa di sisi rezeki Allah SWT itu untuk mendapat zuriat yang baik. (Surah Ali Imran ayat 38-39).

Saya sekadar menyorot kembali apa yang saya lakukan semasa iktikaf dalam beberapa malam dalam bulan ramadhan. Tidak saya nafikan..ada masa saya seperti 'mati kutu' kerana tidak biasa terus menerus dalam suasana keterikatan dalam ruang ibadah sepenuhnya. Ada masa..malam ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pengisian apa-apa..

Andai saya terus mengikut suasana kontemporari dalam mewujudkan rasa pengabdian terhadap Allah, saya pasti saya tidak ke mana. Allah jua yang Maha Mengetahui betapa dalam saban waktu solat yang saya hadiri...saya bertarung dengan perasaan sendiri untuk mewujudkan khusyu yang bertahun-tahun saya mencarinya.

Dalam konteks ilmiah...mudah sahaja untuk memahami hakikat ubudiyah, khusyu' , taqwa...namun untuk mewujudkan semua itu dalam hati dan diri..adalah merupakan mujahadah bagi mereka yang ingin mencarinya.

Saya mengharapkan bertemu Maryam (as). Saya harap dapat berada di sisinya untuk mengalami pengalaman ubudiyah, i'tikaf serta berterusan dalam suasana hati yang dekat dengan Allah SWT. Kesucian Maryam yang diuji Allah SWT dengan satu ujian yang sangat hebat, tabah menghadapi jangkamasa kehamilan dan melahirkan tanpa suami... owh, saya terlalu sukar membayangkan kehebatan Maryam melalui semuanya itu.

Nama Maryam disebut 25 kali di dalam AlQuran. Satu-satunya nama wanita yang disebut secara khusus. Peristiwa yang merakamkan wanita-wanita hebat yang lain dinyatakan dalam bentuk lafaz yang bukan nama khas seperti Maryam contohnya isteri Firaun, ibu Nabi Musa a.s, saudara perempuan Nabi Musa a.s, anak-anak perempuan Nabi Syua'ib, kisah Aisyah r.a atau juga wanita yang lainnya seperti isteri pembesar Mesir dalam surah Yusuf dan wanita yang disebut Allah mengkhianati  suami mereka di kalangan para Rasul dan nabi seperti isteri Nabi Lut a.s dan isteri Nabi Nuh (as).

Satu lagi yang istimewa...di dalam surah Maryam jugalah nama Ar Rahman paling banyak sebutannya. Allah menurunkan ayat-ayat yang mengandungi atribut namanya yang paling indah itu sebanyak 15 kali di dalam Surah Maryam.