Saya mengulangi surah Maryam berkali-kali sejak mula mempelajari tafseer Surah Maryam sejak beberapa bulan yang lalu. Semasa usia saya mula mengenal AlQuran dahulu, Surah Maryam adalah antara surah yang bagi saya agak susah untuk dibaca disebabkan sebutan lafaz di dalamnya agak berbeza bentuk berbanding surah-surah yang lain. Namun kelainannya terserlah apabila lapisan demi lapisan pengertian mula menjengah dalam siri kefahaman yang bagi saya terlalu banyak untuk difahami dan diamalkan dalam realiti.
Motivasi yang mendorong saya mendalami Surah Maryam adalah atas sifat istimewa Maryam yang merupakan 'abidah (ahli 'abid) yang sangat tekun beribadah. Kurniaan rezeki di sisi Maryam di mihrab tempat ibadahnya...sehingga mengundang pertanyaan dari Nabi Zakaria (as)...keistimewaan itu yang mendorong Nabi Zakaria berdoa di sisi rezeki Allah SWT itu untuk mendapat zuriat yang baik. (Surah Ali Imran ayat 38-39).
Saya sekadar menyorot kembali apa yang saya lakukan semasa iktikaf dalam beberapa malam dalam bulan ramadhan. Tidak saya nafikan..ada masa saya seperti 'mati kutu' kerana tidak biasa terus menerus dalam suasana keterikatan dalam ruang ibadah sepenuhnya. Ada masa..malam ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pengisian apa-apa..
Andai saya terus mengikut suasana kontemporari dalam mewujudkan rasa pengabdian terhadap Allah, saya pasti saya tidak ke mana. Allah jua yang Maha Mengetahui betapa dalam saban waktu solat yang saya hadiri...saya bertarung dengan perasaan sendiri untuk mewujudkan khusyu yang bertahun-tahun saya mencarinya.
Dalam konteks ilmiah...mudah sahaja untuk memahami hakikat ubudiyah, khusyu' , taqwa...namun untuk mewujudkan semua itu dalam hati dan diri..adalah merupakan mujahadah bagi mereka yang ingin mencarinya.
Saya mengharapkan bertemu Maryam (as). Saya harap dapat berada di sisinya untuk mengalami pengalaman ubudiyah, i'tikaf serta berterusan dalam suasana hati yang dekat dengan Allah SWT. Kesucian Maryam yang diuji Allah SWT dengan satu ujian yang sangat hebat, tabah menghadapi jangkamasa kehamilan dan melahirkan tanpa suami... owh, saya terlalu sukar membayangkan kehebatan Maryam melalui semuanya itu.
Nama Maryam disebut 25 kali di dalam AlQuran. Satu-satunya nama wanita yang disebut secara khusus. Peristiwa yang merakamkan wanita-wanita hebat yang lain dinyatakan dalam bentuk lafaz yang bukan nama khas seperti Maryam contohnya isteri Firaun, ibu Nabi Musa a.s, saudara perempuan Nabi Musa a.s, anak-anak perempuan Nabi Syua'ib, kisah Aisyah r.a atau juga wanita yang lainnya seperti isteri pembesar Mesir dalam surah Yusuf dan wanita yang disebut Allah mengkhianati suami mereka di kalangan para Rasul dan nabi seperti isteri Nabi Lut a.s dan isteri Nabi Nuh (as).
Satu lagi yang istimewa...di dalam surah Maryam jugalah nama Ar Rahman paling banyak sebutannya. Allah menurunkan ayat-ayat yang mengandungi atribut namanya yang paling indah itu sebanyak 15 kali di dalam Surah Maryam.
No comments:
Post a Comment