Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, March 31, 2012

Bicara tentang Cinta...

Sayapun sebenarnya tidak tahu tajuk yang sesuai untuk saya kongsikan penulisan kali ini. Saya dedikasikan ia insyaAllah pada anak-anak remaja saya yang secara khususnya mula didatangkan ilham sedemikian sebaik melalui proses perubahan fisiologi hormon sebagai seorang insan lelaki mahupun seorang gadis yang lebih berketrampilan.

Di mana-mana sahaja... fokus pada usia peralihan antara kanak-kanak dan dewasa dibincangkan hebat dan menerima pelbagai maklumbalas dan hujah pandangan. Namun, saya menyaksikan bahawa perbincangan hebat itu biasanya hanya ditangani secara kekal mereka yang memang tugasnya menjurus dengan mereka pada usia remaja... selainnya, ia hanya relevan pada ketika mana mereka berdepan dengan isu anak-anak yang melalui usia sedemikian...atau juga sebagai retorik yang tidak jelas di mana jalan penyelesaiannya

Julat usia remaja begitu singkat sebenarnya... sekitar lebih kurang 10 tahun atau mungkin lebih kurang daripada itu ...; yang mana fasa paling kritikal hanya sekitar 2 hingga 3 tahun. Selepas julat kritikal berkenaan, jika ditangani secara santun dan hikmah.. insyaAllah fasa lanjut remaja berikutnya, tidak sukar dihadapi. Panjang atau singkat fasa remaja.. bergantung pada usia taklif yang didefinisikan sebagai usia baligh atau juga pada kematangan fikiran yang ditunjukkan dalam fikiran dan emosi masing-masing.

Perubahan hebat pada usia remaja terbahagi pada tiga iaitu yang pertama merupakan perubahan fizikal... yang nyatanya Allah susun menyerlahkan ketampanan seorang remaja lelaki atau juga gadis yang lebih manis dan ayu kelihatannya.

Kedua merupakan perubahan cara berfikir iaitu pada usia remaja jelasnya mereka bersungguh-sungguh untuk memiliki watak berfikir yang bukan lagi sebagai kanak-kanak yang perlu di’dictate’ dalam segala segi... namun hampir setiap remaja yang saya temui (termasuk saya juga pada usia sedemikian) mahu di'layan' sebagai insan ‘lebih dewasa’ yang mempunyai kemampuan berfikir dan dihormati apabila memilih sesuatu keputusan.

Ketiga pula, perubahan emosi... ianya jarang ditangani secara bersungguh-sungguh, namun inilah juga yang merupakan gelodak yang begitu memberikan impak mendalam pada jiwa seorang remaja.


Saya berpandangan, setiap remaja perlu memahami proses fisiologi yang mereka lalui... demikian juga perubahan emosi dan skop pemikiran; yang mana kesemua perubahan itu sebenarnya merupakan platform untuk menyediakan mereka sebagai insan dewasa yang lebih bersedia menghadapi segala-galanya. Perlu juga mereka mengenalpasti sumber kekuatan untuk memperteguh gelodak emosi yang begitu cepat berubah dan mendadak turun naiknya... insyaAllah sumber kekuatan itu antaranya adalah sahabat yang baik dan sering mengingatkan, ikon ikutan yang didengar nasihatnya serta juga bimbingan secara hands on yang datang terus meneladani isi hati mereka.

Apa yang nyata melalui pengalaman yang pernah saya lalui... usia remaja penuh dengan ketidak stabilan... serba-serbinya tidak stabil; paling kuat adalah dari segi perasaan, emosi dan tekanan dari suasana sekeliling. Pada usia remaja saya dahulu, saya masih ingat semasa mempelajari subjek kimia bukan organik yang membincangkan tentang kestabilan struktur bahan... adakala ianya mencapai tahap metastabil iaitu dengan haba pelakuran atau juga suhu penentu yang menjadikannya berubah kepada bentuk bahan yang lain... saya pula selalu membayangkan diri saya ketika usia remaja itu sebagai unsur yang metastabil, yang akan 'berubah' menjadi 'makhluk lain' yang sayapun tidak pasti entah apa jadinya nanti...

Disebabkan oleh tahap emosi yang saban berubah, ia sering membawa saya kepada komunikasi yang entah di mana objektifnya... kadang-kadang melakukan sesuatu tanpa difikirkan akan penyelesaian akhirnya, sekadar diredah ibarat cuba-cuba dan entah di mana ‘betul’nya.

Jiwa di kala itu pula mudah asyik dengan lantunan muzik pelbagai versi; atau juga dengan seribu satu kisah mereka yang popular dan menjadi tumpuan media dan lensa kamera. Kadang-kadang mudah dipengaruhi dengan fakta dan hujah politik dan isu semasa yang ditanggap betul meskipun banyak ilmu dan pengalaman lain yang kurang matang dan serba kekurangan.

Ketika remaja dahulu juga, saya mempunyai beberapa individu yang saya sebut sebagai ‘secret admirer’.. sebahagiannya meluahkan rasa suka mereka kepada saya, yang akhirnya saya lemas dengan tekanan emosi serta hadiah-hadiah atau surat/ kad yang diberikan. Ada pula yang menyuarakan rasa hati melalui tulisan kerja rumah yang guru berikan... yang saya secara peribadi berasa malu ketika membaca komen guru dan diketahui rakan-rakan.

Saya kongsikan pandangan sarjana mengenai cinta apabila kami berbincang dengan nama Allah yang indah iaitu Allah Al Wadud. Al Wadud ialah zat yang Maha Menyintai( The Loving). Di dalam Al Quran Allah menyatakan melalui firmanNya dalam dua ayat iaitu Surah Hud ayat 90 dan Surah Al Buruj ayat 14-15.

Dan mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengasih dan Maha Menyintai (Maha Menyayangi)

Dan Dia Maha Pengampun dan Maha Menyintai (Maha Menyayangi), Yang Maha Memiliki arasy , Maha Terpuji


Allah menghubungkan rasa mengasihani dengan menyintai. Untuk hamba yang sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayangNya... diseru untuk sentiasa memohon ampun dan bertaubat; bagi yang terlanjur dalam kesilapan dan dosa, jangan pula berputus asa.. bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya yang memohon ampun dan bertaubat.

Allah menyampaikan rasa cintaNya kepada kita melalui anugerah dan pemberian segala-galanya dengan tidak terbatas.. termasuk pada penciptaan diri kita yang begitu sempurna dan seimbang kejadiannya (pertama kali hati saya sebak apabila menghayati penysunan sel-sel dan mekanisma molekul yang begitu sempurna membentuk organ dan sistem tubuh manusia) serta rezeki-rezeki yang dilimpahkanNya tanpa mengira sama ada seseorang itu muslim mahupun kufur. Namun Allah Maha Menyintai mereka yang memohon ampun dan bertaubat.

Rasa cinta anugerah Allah ini adalah perasaan yang begitu mendalam, wujudnya secara ‘ghaib’ tidak terlihat kemudiannya diluah dan diterjemah menerusi aura kasih dalam setiap yang terserlah kelihatan. Fenomena cinta yang luhur.. menghasilkan keadaan yang mana mereka yang menyintai, akan menerima pula cinta dari individu/ mereka yang dikasihinya.

Cinta sebenarnya adalah dimensi dalam kehidupan yang perlu diperteguhkan. Cinta juga adalah kekuatan-kekuatan dalam kehidupan. Dimensinya tidak terhad dalam menyatakan sekutuan emosi dua jiwa yang berbeza. Namun, salah satu keindahan cinta dinyatakan Allah dalam terjemahan kasih dan saling mengasihani antara suami dan isteri.

Cinta juga merupakan dimensi dalam menyelesaikan apa jua konflik dan perselisihan. Satu kelebihan yang Allah anugerahkan bagi individu yang memandang kebaikan cinta dan saling mengasihi itu jauh mengatasi permusuhan dan kebencian.
Lalu.. ekspresi cinta tidak hanya terbatas pada pengakuan lisan atau bicara kertas atau dikekang oleh luahan sms/ email atau ekspresi ‘update status’ di facebook. Ekspresi cinta sebenarnya adalah rahsia yang tersurat dalam terjemahan yang kita lakukan. Itulah sebenarnya hakikat yang eloknya kita juruskan pada seruan kembali menghayati jalan kembali kepada Allah dan kebaikan. Paling utama, kita perlu mewujudkan rasa cinta kepada Tuhan yang telah menciptakan diri kita semua..

Manisnya mengenang zaman remaja... Saya yang dahulu pernah menyimpan naluri suka dan cinta... sebahagian besarnya terpendam dari luahan rasa; sebahagiannya pula diluahkan sebagai tanda kasih sahabat dalam halaqah dan mengenal jalan da’wah. Kadang terpaut seketika pada watak insan berlainan hormon yang kelihatan terikat jiwanya pada kebaikan dan tazkirah... atau pada wajah yang tunduk raut pandangannya dari memerhati kami sebagai muslimah. Itu sekadar ledakan sementara, datang dan pergi... hadir dan surut serta terbatas pada kesantunan budi dan 'gesture' komunikasi; kerana naluri cinta sebenar hanya saya kenal selepas berumahtangga..

InsyaAllah tatkala kita menyaksikan atau merasai nikmatnya anugerah cinta, mudah-mudahan mengingatkan kita semua pada keindahan nama Allah Al Wadud..

Wednesday, March 28, 2012

Jalan da'wah yang menuntut pengorbanan...BERTERUSAN..

Sesekali memandang pelbagai rentangan banner mahupun poster/ bunting yang memaparkan iklan atau promosi sesuatu program pengisian hati dan motivasi dari aspek kehidupan hidup beragama... saya teruja juga apabila fokus ke arah kebaikan dalam masyarakat kian subur diberikan keutamaan. Namun sesekali... saya terfikir juga, bahawa 'learning objective' dalam sesuatu penyampaian ilmu adalah sebenarnya agar sampai dalam hati individu masyarakat dan kesanggupan mereka untuk berubah dan mengamalkan perubahan kepada sesuatu yang lebih baik. Fokus pengisian ilmu sepatutnya menggerakkan minda dan praktis masyarakat ke arah menterjemahkan ilmu tersebut, bukan pada program itu atau pada individu yang bakal berkongsikan ilmu.

Saya dilontar dengan pelbagai dilemma serta persoalan; apabila sejenak menghayati peristiwa Rasulullah SAW menghadapi tentangan di Thaif serta cabaran-cabaran da'wah baginda untuk mengajak manusia kepada ubudiyah semata-mata kepada Allah. Fokus Rasulullah SAW dan juga melalui kisah para anbiya' sebelum ini adalah pada individu masyarakat; juga diulang-ulang penjelasan melalui firman Allah bahawa mereka itu tidak pernah meletakkan imbuhan apa sahaja yang hebat atau sebarang upah atas tugas-tugas berat yang mereka lakukan.

Fokus da'wah jika diperhatikan dalam ungkapan-ungkapan indah Al Quran kesemuanya mengajak bersungguh-sungguh setiap hati yang ingin mengambil pengajaran dan teladan... bukan 'speaker centered' iaitu tidak sebagaimana majlis-majlis ilmu hari ini yang sepertinya 'mengumpan' masyarakat dengan penceramah hebat untuk dipenuhi duduk kerusinya...

Saya dalam dilemma kerana saya juga terkadang melalui situasi sedemikian tatkala dijemput berkongsi penyampaian... Allah izin, pesanan suami dan silau publisiti mengejutkan saya bahawa, jika 'hits' diharap sebagai pengukur kejayaan, itu tersasar dari matlamat pembinaan jiwa insan. Jujurnya saya berpendapat, andai jalan membina jiwa insan itu penuh dengan gemerlapan yang menggamit kehebatan dan pujian, ianya perlu dimuhasabah kembali sama ada benar atau tidaknya seseorang itu (terutama diri saya sendiri) dalam niat sebenar di atas jalan da'wah.

Saya hanyalah insan kerdil yang masih bertatih dan belajar tentang pengisian sebenar sebagai muslim yang beriman. Banyak yang masih belum diketahui, dan banyak juga yang saya ketahui namun tidak saya amalkan. Ada juga yang mampu saya lakukan, namun kadang-kadang tenggelam tidak berkekalan seperti yang diharapkan.

Sesuatu persepsi yang mungkin kita pandang, namun ditanggap berbeza oleh mereka yang lain. Apa yang penting, biarlah segenap apa yang kita lakukan ini merupakan sesuatu yang benar-benar diredhai Allah.

Fokus pendidikan masyarakat adalah diri individu dalam masyarakat termasuklah juga mereka yang diamanahkan menyampaikan pengisian. Tidak ada siapa yang lebih hebat melainkan mereka yang lebih tinggi taqwanya di sisi Allah. Sesungguhnya saya dan anda semua akan dibangkitkan dengan niat yang kita tetapkan di dalam hati... mudah-mudahan niat ikhlas kita Allah bantu untuk tidak berubah...

Wednesday, March 21, 2012

Tentang wanita, kerjaya dan KELUARGA...

Saya membenarkan bahawa kita perlu memilih pilihan yang lebih utama, iaitu antara memilih bahagia dengan keluarga atau 'hebat' dalam kerjaya...

Sesungguhnya kerjaya adalah ibadah untuk kita memurnikan laluan mencari rezeki yang halal, disantuni dengan sopan pergaulan serta menurut lunas fitrah seseorang. Insan perempuan yang dicipta Allah dengan kelembutan dan kelebihan untuk mendidik dan mengasuh...kelebihannya adalah berkongsi kasih dan memekarkan pembangunan emosi dan minda anak-anak; sebaliknya insan lelaki dijadikan Allah dengan perwatakan lebih lasak dan mampu bertindak lebih matang dalam meneladani isu-isu luaran dalam konteks mencari rezeki.

Kesilapan dalam mengenal peranan dalam hidup berkeluarga serta keutamaan yang difokuskan, membuka peluang keluarga yang 'tidak sempurna' pembangunannya. Fokus pembentukan keluarga ini pula perlu disantuni dengan serius dan berhati-hati. Kita menyaksikan hasilan dari pelbagai kes-kes yang merentap ketenangan, menyentuh dan menyayat perasaan serta terkadang bagai dirasakan tidak logik untuk itu menjadi kenyataan...

Secara santunnya, wanita berkerjaya perlu diberikan sokongan dari segi emosi, kekuatan jiwa dan minda untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai. Janganlah peranan mereka diremehkan dengan seloka dan gurau tawa. Kisah rumah tangga dan pasangan hidup bagi saya perlu dijuruskan pada perbincangan berhemah untuk memperkasakan pendidikan anak-anak generasi yang bakal dilahirkan serta pembinaan keluarga yang diisi dengan kebaikan dan kekuatan.

Sesungguhnya kehebatan dalam kerjaya adalah bonus dalam kehidupan; yang mana boleh ditangguh pencapaiannya...asalkan disiplin dan akhlak dalam mencari rezeki yang halal merupakan laluan diredhai Allah; itu sudah memadai. Biarlah tidak hebat sekalipun..kerana bagi seorang wanita itu sebenarnya, bahagia yang sebenar adalah bahagia di dalam hati suami dan anak-anaknya...

Monday, March 19, 2012

Saya masih belum tunaikan tanggungjawab berda'wah...

Setiap kali membaca dan menghayati ayat-ayat Allah mengenai tugas dan peranan kita untuk menyampaikan khabar gembira dan menakutkan iaitu amar ma'ruf dan nahi munkar.... ingatan saya sering terlontar pada tazkirah yang mengingatkan kita tentang salah tanggap amalan da'wah yang perlu kita tangani.

Saya sebelum diperingatkan sedemikian, sering menyangka bahawa tugas kita cukuplah seperti yang dimaklumkan dalam surah alkafirun iaitu untukmu agamamu dan untukku agamaku (lakum dinukum waliyadin)... saya juga berpendapat dalam dunia yang penuh dengan sistem serta agama di negara ini masing-masing telah mempunyai pengurusan masing-masing; dan di sana sudah ada jabatan da'wah serta jabatan yang mengendalikan hal ehwal agama islam; maka tugas dan tanggungjawab da'wah bukan tugas saya..

Namun, tazkirah yang begitu menyentuh dan membuka minda/ hati saya ialah... sarjana berkenaan mengingatkan tatkala ketika berhadapan dengan Allah nanti iaitu ketika kita dihisab... adakah kita yakin dengan amalan yang kita lakukan sekarang ini... bahawa tempat kita memang di syurga? Namun..percayalah, kafirin yang dijanjikan Allah dengan neraka serta dihumbankan dalam ruang sengsara penuh azab itu, dalam neraka yang tiada jalan keluar...yang azabnya semakin pedih dan menyakitkan dari masa ke semasa.. yang makanan dan minumannya menjijikkan..; kafirin itu akan mencari apa sahaja alasan termasuk meng'implicate'kan diri kita yang muslim ini untuk melepaskan diri mereka dari neraka! Rasa takut pula tatkala memikirkan bahawa kita mungkin dijadikan sebab mereka itu kekal kafir lantaran kita tidak berbuat apa-apa...lalu kita tidak dibenarkan ke syurga (Ya Allah jauhkan kami dari keadaan ini)..

Saya sebahagian dari muslim hari ini yang masih lesu dan lesi dalam menyemarakkan kalimah-kalimah Allah dan anutan sunnah dalam medan da'wah.. Saya mohon taufik dan kekuatan dari Allah untuk memulakan sedikit demi sedikit apa yang termampu saya lakukan..

Ya Allah tunjukkan kami jalan yang benar sebagai muslim beriman yang Engkau redhai...anugerahkan kami taufik untuk melaksanakan hidayah bekenaan dan berkongsikannya dengan manusia sejagat...

Tuesday, March 13, 2012

Tentang penghargaan dan dihargai...

Mungkin kita pernah mendengar... " Geram betullah, bercekang mata dan buat apa yang boleh dibuat... penat-penat buat semua, tapi tak ada siapa nak appreciate.." Berulangkali juga saya berjumpa..." Buat penat je kita habiskan masa, itu dan ini, dan settle semua tapi tak ada siapa yang nak hargai.."

Dimensi untuk dihargai atau berasa terkilan tatkala tidak dihargai.. sering wujudnya menjadi hambatan yang mendukacitakan. Ia menjadi pencetus stress serta geram pada sesuatu yang diharap sebagai 'recognition' atas apa yang dilakukan. Saya juga terkadang terjerat dalam fenomena serupa, cuma perspektif dan tanggapan mungkin dipandang berbeza.

Sesuatu yang kita lakukan... ada taklif dan ada tujuan. Pasti kitapun tahu tentang objektif sebenar sesuatu tugasan atau amanah yang kita sempurnakan. Setiap individu, akan dibangkitkan di akhirat nanti atas apa yang diniatkannya. Jika ikhlas, maka berbahagialah... jika dilakukan bukan kerana ikhlas kerana Allah..maka bangkitlah dirinya dengan sekutu-sekutu yang menjadi 'sembahan' yang difokuskannya bersungguh-sungguh dalam urusan di dunia dalam keadaan tidak sedar atau diabaikan lantaran tiada ilmu dan faham..

Menerima penghargaan atas sesuatu tugas, hanyalah kesempurnaan etika untuk membalas ucapan rasa terima kasih. Menghargai pula bukanlah wajib namun manis jika dapat kita luahkan kebaikan menghargai demi mengeratkan kasih persahabatan dan persaudaraan. Namun, jangan pula dilakukan sesuatu untuk dihargai...

Dalam kehidupan berkeluarga mahupun yang masih bujang berkelana, pada ekspresi amalan dan terjemahan yang dilakukan biasanya kita sandarkan ihsan pada insan yang kita sayang. Jangan lupa untuk menyandarkannya pula secara mutlak pada Allah yang memiliki nama-nama indah iaitu Asy Syakur (The Appreciative) dan Asy Syakir (The Recognizer and Rewarder of good)

Memahami dan menterjemahkan Allah Asy Syakur dan Asy Syakir iaitu Allah Maha Menghargai setiap amalan kita walau pada 'timbangan' manusia (yang kita harapkan penghargaannya) begitu remeh dan boleh diabaikan, begitu indah penghayatannya..

Allah Maha Menghargai apa sahaja kebaikan yang kita lakukan walau sebesar debu, Dia lah juga yang Maha Mengiktiraf setiap usaha kita walau tidak dipandang di sisi manusia... Jangan sesekali diharap penghargaan sesama manusia, selain ia membawa kepada syirik kecil ia juga seringnya membawa kepada bergandanya rasa duka dan kecewa...

Wednesday, March 7, 2012

Mengharapkan hanya pada Allah..

Jika mampu dihitung..sayapun tidak pasti sudah kali ke berapa agaknya saya kecewa atas harapan yang saya sandarkan menjadi realiti dari insan-insan yang saya harapkan itu tidak kesampaian... Betapa seringnya saya terlupa bahawa hati seseorang itu sentiasa berubah-ubah. Demikian juga wujudnya hati dan emosi saya..

Kesilapan besar saya tatkala menangani isu rutin, terlupa pada bahawa 'ultimate' keputusan adalah milik Allah..bagaimana outcome dan cetusan realiti yang bakal terhampar merupakan susunanNya, Allah Al Qadir yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Terkadang, adakala kita harapkan sedemikian jadinya, wujud pula keadaan yang mendukacitakan ataupun mengganggu cara kita berhadapan dengan sesuatu keadaan sehingga membawa pula pada situasi yang agak tertekan.

Apa yang nyata..mencari reda sesama manusia, menitip rasa kecewa dan menjarakkan hati dengan kebaikan akibat dosa..

Bahawa hidup ini lebih tenang apabila sandaran harapan itu diharapkan pada Allah SWT sahaja...