Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, October 16, 2017

Pantun seloka KETAWA

Jangan dileka penganan nenda,
Hiris serawa bersama gula,
Jangan dilupa pesanan bonda,
Sinis ketawa janganlah alpa.

Hiris serawa bersama gula,
Dingin berpantang tidak keruan,
Sinis ketawa jangan di alpa,
Mungkin terkekang dek kekeliruan.

Jerang serawa bersama halwa,
Dingin baklawa di tengah kota,
Orang ketawa kita ketawa,
Mungkin yang ditertawa adalah kita.

Bakar baklawa di tengah kota,
Sandar dibentang  di hadapan bara,
Biar yang diketawa adalah kita,
Sabar dan kemaafan..tinggalkanlah bicara.



Sunday, October 1, 2017

Tentang syaitan yang menunggu-nunggu peluang



Dari sahabat saya yang banyak kongsi tazkirah dari pembacaan beliau (Ustazah Umm Abdullah)

Dalam kitab mukhtasar minhaj alqasidin disebut, syaitan masuk ke dalam hati manusia melalui sifat manusia itu sendiri.



Ibnu Qudamah sebut cara syaitan masuk ke dlm hati kita adalah melalui sifat2 yg ada pd hamba. Contohnya masa tengah marah, tengah hasad, cintakan harta dll.

Hati ni ibarat kubu. Syaitan sebagai musuh kita memang nak masuk nak menawan kubu tersebut utk jatuhkan kita. Jadi cara utk elakkan syaitan masuk ke kubu adalah dgn cara menjaga pintu masuk.

Menurut ibnu Qudamah antara pintu masuknya adalah sifat hamba. Sebab itu kitab minhaj alqasidin memfokuskan ttg akhlak. Mcm mana nak exercise hati dan jiwa.


Syaitan lebih mudah menawan kita bila akhlak kita buruk. Kalau kita jaga akhlak kita, syaitan boleh dijauhi dgn zikir. Conthonya kalau ada anjing nak dekat dgn kita, dan di tangan kita ada makanan, tak cukup kalau kita hanya halau dengan 'syuuhh', anjing itu akan datang semula. Tapi kalau di tangan kita tidak ada makanan, dia akan pergi dengan sekali ‘syuuh’.

Saturday, September 30, 2017

Keserabutan, kesilapan dan harga sebuah diam..

Bertalu-talu intensiti stress melanda segenap penjuru tanpa diduga. Ada dimensi yang tiada kena mengena dengan diri saya, namun keperitannya membakar emosi dan jiwa. Ada pula yang terjadi atas kekhilafan manusia lain yang mengambil mudah apa yang perlu dilakukannya, namun kesilapan itu menyebabkan saya 'terjun' dalam konklusi bicara yang tidak disukai.



Di satu dunia yang lain, ada manusia yang tidak jemu mencari sesuatu yang baru untuk mengangkat dirinya....walau ditemui berdalih dan meninggalkan 'seseorang yang pernah dijanjikan berjuang bersama.

Atau ada manusia yang terhutang budi, lalu melanggar hukum bicara menyebabkan kejengkelan meratah setiap jiwa yang memandang.



Keserabutan menjadi simpulan yang memedihkan. Membuka pekung kekecewaan, menambah pedih luka semalam dan menyentap banir kesabaran. Betul...saya sepatutnya DIAM.



Dalam satu masa, saya tidak mampu untuk berada di hujung perspektif sebagai mangsa oportunis. Namun, saya berdoa untuk tidak menjadi oppressor. Hati bergelut mencari arah terbaik untuk membuat keputusan terbaik dan paling harmoni. Namun, jejak berhati-hati dijadikan sandaran pula orang lain yang merasa tidak bersalah menggunakan peluang untuk terus menjadi mangsa kebodohan dan kesombongan diri sendiri.



Di akhir renungan, saya tidak mampu untuk terus membuat kesilapan. Padanya ada dosa yang meresahkan. Dosa yang menyebabkan niat kebaikan terhalang. Dosa yang menjarakkan saya dengan hubungan dengan ArRahman  dan sesama insan. Renungan tentang  kesilapan mengajar begitu tingginya harga sebuah diam.



Wednesday, September 20, 2017

Tentang 'mengejek' dan 'diejek'

Insiden 'membakar Tahfiz', jumlah kematian dan individu remaja yang menunggu sabitan hukuman sangat mengejutkan dan melukakan hati sebahagian majoriti kita ibubapa di Malaysia. Saya tiada kata-kata bicara untuk mengungkapkan semuanya, selain fasa berdiam yang panjang serta linangan airmata.

Anak-anak saya semua di Tahfiz, dan anak-anak Tahfiz juga seperti anak-anak saya. Tiada ekspresi yang dapat mengungkapkan segalanya, dan dalam masa ini; saya masih tercari-cari jalan penyelesaian untuk membantu anak-anak yang 'tercicir' dalam dunia remaja mereka.

Budaya mengejek wujud dalam dua suasana. Nada bergurau atau nada menyindir/ memperlekeh. Kami di kala remaja dahulu juga kerap bergurau. Zaman saya di asrama MRSM, itulah juga pengikat persahabatan antara kami sehingga kini. Namun dalam dimensi yang berbeza, sebahagian anak-anak remaja, mengejek bagi mereka seperti rutin untuk memperlekeh/ mengindir atau menghina orang lain. Dan dalam usia mereka, sebahagain besarnya tidak memiliki kemampuan berfikir panjang akan implikasi dan akibat perbuatan sedemikian.

Budaya mengejek untuk menghina termasuk dalam kategori penderaan secara lisan. Ada kala yang diejek tidak tahan diperlakukan sedemikian lalu bertindak dalam dimensi tertentu sebagai 'proses' membalas dendam atau menunjukkan 'autoriti.

Suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa budaya mengejek bukan terhad sekadar dalam dunia remaja atau kanak-kanak sahaja. Dalam peringkat umur seperti saya, penderaan lisan berlaku dalam gesture / lisan yang ditanggap bagai diplomasi terancang; namun sebenarnya wujud sebagai senjata yang menikam dari belakang. Peranan lidah yang tidak takut berbohong dan memperdaya demi apa yang dihajatkan oleh hati bernafsu nafsi, lalu mencipta polemik penuh komplikated untuk menghalalkan apa yang dihajati.

Antara doa yang Nabi SAW ajarkan:

Ya Allah, Yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi dan terlihat, Maha Pencipta langit-langit dan bumi, Tuhan yang Menguasai dan Memiliki setiap sesuatu; aku berlindung denganMu dari kejahatan diriku sendiri, dari kejahatan syaitan dan sekutunya dan aku berlindung dari membuat kejahatan (menghinakan) terhadap diriku atau menimpakannya kepada muslim yang lain.

Untuk mengekang kita menjadi 'terduduk' atau tidak bermaya apabila diejek; saya berpendapat ambillah sisi positif terhadap penghinaan yang diterima. Ia merupakan kesempatan untuk kita menghisab diri sendiri serta berubah menjadi lebih baik. Apa yang dihinakan atau ejekan yang menyedihkan, merupakan saham pahala berterusan selagimana kita bersabar.

Jagalah lidah; jagalah hati. Jangan mengejek dan jangan sekali-kali memperolok orang lain.

Tuesday, July 11, 2017

Untuk apa kita menulis...

Kita biasanya menulis untuk kita ingati semula tentang sesuatu yang ingin kita ketahui. Sebahagiannya kita simpan sebagai nota, atau catatan atau sekadar beberapa nombor sebagai sandaran di atas kertas.

Ya, sebahagian besar yang kita tulis adalah untuk diri sendiri. Bukan untuk dibaca oleh orang lain.

Bagaimana sesuatu yang baik itu dapat kita kongsikan dalam bentuk tulisan? Mahukah orang lain membacanya?

Terpulanglah bentuk legasi tulisan yang bagaimana untuk kita drafkan. Yang terbaik, adalah sepertimana yang ditinggalkan ulama-ulama terdahulu. Gigihnya mereka menulis. Tiada komputer riba, tiada teknologi maklumat seperti yang kita milki kini.

Namun, karya yang menjiwai kehidupan yang penuh kerendahan hati mengharap redha Allah, kian tandus di rak-rak yang terpamer buku-buku tatapan umum. Saya juga tercari-cari tema perspektif bentuk tulisan untuk dimanfaatkan oleh insan-insan yang saya kasihi. Sudah pasti..saya berharap ianya bukanlah sebuah karya syok sendiri.

Demikian juga dalam bidang akademik. Saya melihat tidak ramai yang mampu menulis. Majoriti mampu membaca dan menyampaikan ilmu, namun dalam perbahasan berupa bicara pena ini, karyanya sangat terhad. Termasuklah saya yang sering terbatas ke arah pengumpulan tulisan yang berkenaan.

Jiwa yang tenang, diilhamkan Allah swt untuk menulis. Hati yang penuh kerendahan, mampu mencoretkan pelbagai skematik tulisan untuk sampai ke hati yang membacanya. Betul..niat yang benar di hati  dengan izin Allah yang membukukan segala-galanya.


Friday, July 7, 2017

Kembali berusrah..

Semasa dalam pengajian dahulu, ada kala saya begitu tertekan apabila tiba giliran untuk berusrah. Meski tidak dinafikan isi di dalamnya baik untuk santapan rohani dan saling mengingatkan, namun saya sedari bahawa teori yang saya miliki tidak sama dengan apa yang saya amalkan.

Saya menanggapi usrah ketika itu sebagai beban. Sering juga saya tidak faham apa yang saya katakan. Bertahun-tahun lamanya saya tercampak sendirian apabila menjauhi diri dengan usrah dan perkataan usrah.

Ada kala saya keliru dengan segelintir yang saya anggap faham tentang islam. Sehinggalah berlaku pergelutan dan perbahasan serta mencampakkan sebahagian yang saya kenal dalam ketirisan ukhwah yang ketara. Namun siapa sangka..?

Namun, pada usia begini..saya mulai faham bahawa sahabat yang baik merupakan rezeki kehidupan yang tidak boleh kita tinggalkan. Usrah yang saya kenali hari ini, jauh berbeza dari saat pengajian dahulu. Biarlah apa yang dikata...saya berusrah dengan niat beribadah kepada Allah. Bukan untuk yang selainNya. Noktah

Sunday, April 23, 2017

Solat di masjid : Tatkala airmata mula bergenang

Saya ke masjid sebagai rutin mengikut suami untuk solat maghrib dan isya'. Ianya bukanlah yang kerap saya lakukan. Jika stamina selepas seharian bergelut dalam dunia kerja masih berbaki, alhamdullah jejak saya singgah untuk sujud di masjid. Jika tidak, alhamdulillah 'ala kulli hal...saya 'terperap' di rumah menyusun kembali muhasabah dan ritual beribadah sendiri.

Namun pengalaman semalam, menyentap ketenangan yang selama ini tidak saya singkap sedalamnya. Fokus saya tidak banyak pada jemaah masjid, yang mana semua yang hadir saya kira mengejar pahala ibadah sebaik-baiknya.

Sebelum waktu isya' berjemaah semalam, seorang ibu tua yang agak uzur masuk ke saf hadapan. Mengisi ruang yang telah dibentangkan sejadah buatnya. Saya tidak mempedulikan fokus saya pada ibu tersebut pada mulanya. Namun selepas penyusunan jemaah mengisi ruang kosong sebelum solat bermula,  Allah letakkan posisi saya berdiri qiyam di sebelah ibu tua itu.

Kebetulan surah-surah yang dibaca imam adalah berkenaan ingatan Allah untuk kita tidak lupakan 'hari esok'; untuk kita bersedia; jangan biarkan harta dan anak-anak menyebabkan kita lupa dari mengingati Allah swt.. ibu tua di sebelah saya ini, bergerak dari satu rukun ke satu rukun dengan postur yang payah sekali. Saya bagai terkedu dalam diam. Pukulan 'keinsafan' yang sangat dalam. Saya sebelum ini selalu menyangka sakit belakang saya sudah begitu teruk yang kadang-kadang menyebabkan saya memerlukan kerusi untuk tunaikan solat.

Namun, memerhati secara tidak langsung ibu tua itu bersungguh-sungguh dalam solatnya walaupun begitu payah untuk beliau lakukan terutama dari sujud ke qiyam...air mata saya mula bergenang.

Benarlah... bahawa apa yang kita lalui hari ke hari; sebahagiannya semakin pudar dan telahpun menemui 'kematiannya'. Berpuluh tahun dulu, ibu tua ini pasti juga seperti majoriti kami. Mampu bergerak dengan mudahnya..namun apa yang mudah itu pada hari ini, sudah tidak ada.

Saya menyeru pada diri saya dan sahabat-sahabat yang sudah menganjak ke fasa usia tua. Tinggalkanlah permainan TV dan golf, tinggalkanlah stadium dan bicara kosong, tinggalkanlah masa yang tiada hubungan dengan akhirat. Masa kita yang berbaki terus semakin sedikit..dan tiada pula masa yang pasti sempurna untuk kita lakukan kebaikan. Betapa saya mengharapkan kehadiranmu dalam majlis-majlis ilmu yang turut saya hadiri. Allahul musta'an..




Tuesday, April 11, 2017

Surah AlMulk

Tafseer Surah AlMulk adalah antara ilmu yang paling berharga utk dihayati. Peluang mendengar sekali lagi tafseer itu melalui pendekatan oleh Bayyinah, membuka lembaran yang selama ini tidak saya ketahui.

Allah memulakan ayat ini dengan 'tabaraka' ..perkataan yang mempunyai makna yang sangat mendalam untuk menggambarkan kekuasaan dan keagungan Allah swt. Ia merangkumi segenap kebesaran, kerajaan mutlak yang tidak ditandingi oleh mana-mana makhluk.

Sesuatu kerajaan yang semakin melebar empayarnya, terdedah kepada ketidakstabilan, namun Allah menjelaskan dalam ayat pertama ini juga bahawa kerajaanNya adalah ditanganNya; dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kedua-duanya dalm peringkat makriskopik dan mikroskopik, dikuasai sepenuhnya oleh Allah SWT dengan penuh sempurna.

Dimensi 'kerajaan' untuk manusia yang sebenar adalah kurniaan Allah swt, bukan sekadar pada faset fizikal yang dilihat oleh manusia. Demikian bagaimana Nabi Yusuf a.s yang sebenar di sisi Allah swt, bukan hamba yang dijual beli dengan harga murah, yang kemudian dipenjarakan atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Atau antara nabi Musa a.s dengan firaun; serta para sahabat ahli badar yang hanya berjumlah 313 berdepan dengan kekuatan 100 tentera musyrikin.

Langkah demi langkah, bersama kombinasi waktu yang telah berlalu. Baru saya faham, bahawa perjalanan kehidupan di dunia ini semakin' mereput' dengan berlalunya waktu serta dekatnya seseorang dengan kematiannya. Allah sebut kematian terlebih dahulu, untuk memberikan kita peringatan bahawa kematian itu sangat dekat. dan kematian itu bukanlah fasa terhentinya satu kehidupan yang sedang dilalui, namun fasa baru yang membawa seseorang hamba untuk diadili sama ada berjaya ataupun tidak.

Semakin meningkat usia, semakin sedikit ruang yang berbaki. Berdoalah pada Allah swt, moga usia yang berbaki ini di penuhkan dengan keutamaan mencari redhaNya.




Wednesday, February 15, 2017

Skrip dalam sebuah perjalanan

Saya pernah terbaca tentang catatan buku kehidupan. Buku yang bagaimana hendak kita hasilkan, adalah sesuatu yang sebenarnya kita pilih sendiri. You're the author of you own book of life

Itulah catatan waktu ke waktu. Ruang yang kita isikan sebagai apa yang kita lalui sebagai pengalaman atau cerapan. Kita yang memilih, merancang dan cuba memenuhi apa yang dihajatkan. Tidak pula melupakan hakikat qadha' dan qadr..segala-galanya merupakan liputan Allah AlMuhit.

Hingga ke tahap ini, saya saksikan pelbagai siri demi siri keajaiban. Dan sebagai insan yang penuh dengan kesilapan, saya tak menolak, dalam masa yang saya..saya turut terkesima dengan pengalaman penuh pahit dan menyedihkan.

Usia yang semakin mendekati separuh abad...saya juga turut menghargai apa yang dinamakan 'wisdom' (bijaksana). Adalah sia-sia untuk melepaskan kemarahan atau tindakbalas agresif apabila diuji dengan kata-kata yang memprovokasi kemarahan. Saya yakin..masa-masa itu untuk saya sudah lama berlalu.

Saya sudahpun memaafkan semuanya, walau ada situasi yang melukakan itu baru sahaja saya ketahui. Saya sudah sedia maafkan..tanpa syarat dan tanpa keadaan. Tidak perlu perkataan 'jika' atau sebarang syarat untuknya. Saya harap..tiada beban dan dendam di hati untuk melepaskan segalanya.

Perjalanan saya untuk terus memuliakan isi kandungan AlQuran, nyata merupakan perjuangan yang sangat hebat, sangat mencabar. sayalah juga yang kadang-kadang bergelut dalam perjuangan diri dan hati. Namun, segalanya ini tidak mungkin mampu saya lalui tanpa kasih sayang dan bantuan Allah swt. Allah lah jua yang mengaturkan segala-galanya. Dan Dialah juga yang mengizinkan skrip terbaik yang saya pilih untuk perjalanan kehidupan ini.

Tiada siapa juga menduga..impian saya selama puluhan tahun untuk melihat wujud kurikulum doktor perubatan yang menghargai deenul Islam dalam membentuk jiwa bakal-bakal doktor dalam sebuah universiti sekular, Allah izinkan ianya menjadi kenyataan. Parallel Islamic Curriculum, akhirnya bakal dibincang dan diminitkan. Saya serahkan pada Allah SWT untuk memudahkan seterusnya  laluan demi laluan. Moga anak-anak pelajar saya semuanya memilih skrip yang terbaik untuk kehidupan mereka, dan semoga mereka mengenal Al Quran dalam kehidupan..

Thursday, January 12, 2017

RahmatNya yang meliputi segala-galanya

Ayat 156 Surah Al A'Araf; Allah berfirman:

 قالَ عَذابى أُصيبُ بِهِ مَن أَشاءُ ۖ وَرَحمَتىِ وَسِعَتْ كُلَّ شَىءٍ

Allah berfirman, azabku ditimpakan kepada mereka yg Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi segala-galanya.

'By default' kita semua hidup dalam rahmat Allah, kasih-sayangNya. Spektrum yang mengatasi kasih-sayang sesama makhluk. Antara tanda-tanda kita hidup dan menghargai rahmat kasih-sayang Allah ialah apabila kita berkongsi kasih-sayang sesama manusia...dalam lisan, tulisan, amalan dan juga 'non-verbal- language.

Moga kita semua dilindungi dari azab kubur dan neraka...


Nahu dan perbendaharaan:

 أُصيبُ ; asal perkataan dari huruf ص، و، ب

Maksudnya; tepat mengenai sasaran ; hit the mark.

dalam ayat ini, ia merupakan dari kumpulan IV; membawa maksud-maksud berikut. namun dalam konteks ayat di atas, maksud no.5 paling tepat.