Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, April 23, 2017

Solat di masjid : Tatkala airmata mula bergenang

Saya ke masjid sebagai rutin mengikut suami untuk solat maghrib dan isya'. Ianya bukanlah yang kerap saya lakukan. Jika stamina selepas seharian bergelut dalam dunia kerja masih berbaki, alhamdullah jejak saya singgah untuk sujud di masjid. Jika tidak, alhamdulillah 'ala kulli hal...saya 'terperap' di rumah menyusun kembali muhasabah dan ritual beribadah sendiri.

Namun pengalaman semalam, menyentap ketenangan yang selama ini tidak saya singkap sedalamnya. Fokus saya tidak banyak pada jemaah masjid, yang mana semua yang hadir saya kira mengejar pahala ibadah sebaik-baiknya.

Sebelum waktu isya' berjemaah semalam, seorang ibu tua yang agak uzur masuk ke saf hadapan. Mengisi ruang yang telah dibentangkan sejadah buatnya. Saya tidak mempedulikan fokus saya pada ibu tersebut pada mulanya. Namun selepas penyusunan jemaah mengisi ruang kosong sebelum solat bermula,  Allah letakkan posisi saya berdiri qiyam di sebelah ibu tua itu.

Kebetulan surah-surah yang dibaca imam adalah berkenaan ingatan Allah untuk kita tidak lupakan 'hari esok'; untuk kita bersedia; jangan biarkan harta dan anak-anak menyebabkan kita lupa dari mengingati Allah swt.. ibu tua di sebelah saya ini, bergerak dari satu rukun ke satu rukun dengan postur yang payah sekali. Saya bagai terkedu dalam diam. Pukulan 'keinsafan' yang sangat dalam. Saya sebelum ini selalu menyangka sakit belakang saya sudah begitu teruk yang kadang-kadang menyebabkan saya memerlukan kerusi untuk tunaikan solat.

Namun, memerhati secara tidak langsung ibu tua itu bersungguh-sungguh dalam solatnya walaupun begitu payah untuk beliau lakukan terutama dari sujud ke qiyam...air mata saya mula bergenang.

Benarlah... bahawa apa yang kita lalui hari ke hari; sebahagiannya semakin pudar dan telahpun menemui 'kematiannya'. Berpuluh tahun dulu, ibu tua ini pasti juga seperti majoriti kami. Mampu bergerak dengan mudahnya..namun apa yang mudah itu pada hari ini, sudah tidak ada.

Saya menyeru pada diri saya dan sahabat-sahabat yang sudah menganjak ke fasa usia tua. Tinggalkanlah permainan TV dan golf, tinggalkanlah stadium dan bicara kosong, tinggalkanlah masa yang tiada hubungan dengan akhirat. Masa kita yang berbaki terus semakin sedikit..dan tiada pula masa yang pasti sempurna untuk kita lakukan kebaikan. Betapa saya mengharapkan kehadiranmu dalam majlis-majlis ilmu yang turut saya hadiri. Allahul musta'an..




No comments: