Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, January 27, 2016

Surah Yusuf - Beautiful Patience

Pertama kali saya duduk mendengar kupasan tafseer Surah Yusuf. Nada ayat demi ayat begitu mengasyikkan, jauh menembusi pancaindera dan berbekas di hati.

Gambaran emosi turun dan naik…episod kesusahan demi kesusahan. Di'tikam' dari belakang oleh insan-insan yang dekat dengan baginda (a.s). Betapa pula dalam setiap episod itu, Allah SWT memberikan petunjuk dan tanda-tanda penuh hikmah buat baginda (a.s) namun sketsa setiap ujian itu dihadapinya dengan  skrip penyelesaian yang INDAH sekali.

Beberapa kali saya menangis. Tatkala dibacakan dan diberikan tafsiran serta hungan dengan sirah dan juga realiti kehidupan. Banyak sebenarnya perkataan yang mempunyai hubungan dalam turutan ayat-ayat dalam surah berkenaan. Fokus yang pernah dan sedang saya pelajari di dalam Bahasa Arab untuk memahami Al Quran, menggetarkan emosi dan fikiran bahawa mukjizat Allah SWT ini sebenarnya sangat dekat untuk kita hayati dalam kehidupan.

Apa yang saya pelajari sepanjang dua hari itu mengenai Surah Yusuf.

1. Kehidupan adalah ujian.

2. Seseorang yang dikasihi Allah SWT, akan sentiasa diuji.

3. Setiap ujian, Allah sediakan penyelesaian. Terpulang untuk kita kita pilih penyelesaian mana yang diredhai Allah SWT.

4. Musuh manusia adalah syaitan.

5. Ujian terbesar untuk lelaki adalah gelora seksual; manakala untuk wanita gelora untuk bergossip sesama sendiri (LIDAH DAN MULUT).

6. Kita perlu tutup kesilapan/ aib seseorang walaupun nyata individu itu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap diri kita.

7. Berda'wah dalam apa jua keadaan dengan menggunakan pendekatan yang sesuai dan hikmah.

8. SENTIASA memaaf dan melupakan kesalahan seseorang; WALAU dalam keadaan berpeluang membalas dendam.

9. Sentiasa berdoa untuk bersama mereka yang soleh; serta dikembalikan kepada Allah (dimatikan) sebagai muslim.