Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, December 31, 2009

...berleluasanya tamadun batu...

Istilah lainnya materialistik...budaya kebendaan. Berlumba-lumba mencipta kemewahan adalah objektif bagi kebanyakan paparan dalam realiti yang saya lihat, sehingga memisahkan dua sahabat baik atau menerjahkan kekalutan dalam persaudaraan adik-beradik. Cuma saya ingin kongsikan satu kisah yang saya pendamkan sejak sekian lama; ianya semakin jelas meneroboskan kemampuan 'aqliyah dalam menyisihkan apa yang perlu diutamakan berbanding 'tamadun batu' yang sepatutnya ditinggalkan.

Semasa menerima tawaran menyumbang derma pada sebuah menara memperingati sebuah institusi; saya sekadar menyimpannya di dalam laci dan kemudian terus membuangnya ke dalam tong sampah. Aturan derma/ sumbangan bagi pembinaan menara itu mengambil teladan penyumbang derma di Zoo Negara iaitu nama penyumbang akan diabadikan di atas plak-plak yang bakal ditulis di bawah menara tersebut.

Menara tersebut yang merupakan menara yang juga menempatkan jam yang mencirikan sesuatu binaan yang dibina sempena ulangtahun... (maaf saya tak begitu ingat); cuma saya terus mematikan hasrat memberikan apa-apa sumbangan sebab saya tidak begitu 'convince' dengan tujuan pembinaan menara tersebut. Sumbangan intelektual merupakan sumbangan secara langsung ('live') untuk dimanfaatkan dalam kehidupan; bukan terpapar dalam menara batu yang tidak dapat bercakap. Ditambah pula dengan nama-nama yang bakal tertera di atas plak. Jika sekadar jam yang diletakkan di situ memberikan manfaat untuk insan mengungati tentang masa, hampir kesemua kita sudah ada jam...baik jam tangan..dalam kereta...pada telefon bimbit atau pada komputer riba..

Perlukah nama kita diplakkan untuk diingati...sesungguhnya kebaikan seseorang itu abadinya di dalam hati; bukan di atas tembok batu seperti ingatan individu yang telah tiada..

Sunday, December 27, 2009

Perbandingan yang setara...

Mungkin kita biasa mendengar..."we should compare apple with apple, orange with orange; Not apple with orange".

Saya secara prinsipnya bersetuju dengan pendapat itu, meskipun kedua-duanya berasal dari kumpulan yang sama namun epal dan oren memang nyata berbeza. Tidak banyak isu jika ia masih ingin dibandingkan. Di dalam apa jua hujah ilmiah, perbandingan dua perkara biasanya akan didasari dengan persamaan dan perbezaan...yang mana hasil dari hujah itu akan memfokuskan kepada objektif mengapa perbandingan itu perlu dilakukan.

Saya biasa bercakap tentang objektif atau matlamat...kerana itulah sebenarnya hakikat yang menggerakkan seseorang melakukan sesuatu; hakikat yang memotivasikan mengapa sesuatu perkara itu berlaku walaupun kadang-kadang ia bertentangan dengan kebiasaan atau lumrah sekeliling.

Saya sekadar ingin berkongsi tentang beberapa contoh perbandingan tidak betul yang kini sering menjadi hujah atau perdebatan apatah lagi dalam mengisi penterjemahan kefahaman kita terhadap amalan Islam yang benar. Antara budaya masyarakat melayu yang sudah sekian lama menjadi tradisi ialah membaca yasin dan membuat tahlil beramai-ramai. Isu mengenai ini telahpun mula saya dengar sejak di kampus dahulu...betapa amalan itu tidak menepati apa yang diajar Rasulullah SAW...malah tidak pernah dilakukan oleh baginda dan para sahabat. Namun, bila isu itu diutarakan; ada yang menjawab....daripada kita berdisko atau buat maksiat...bukankah amalan membaca yasin dan tahlil itu lebih baik...?

Ini berbalik kepada isu epal dan oren tadi...? Kenapa masih hendak juga bandingkan eal dan oren sedangkan memang dah sahih benda2 itu memang berbeza.Perbandingan setara dengan amalan bida'ah bukan lah amalan maksiat; ia sepatutnya difokuskan dengan inti ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW; bukan dengan amalan maksiat yang dirasuk oleh bisikan syaitan.

Saya terbaca tentang kisah ayam ternakan yang dibacakan alquran untuk menghasilkan daging yang lebih baik. Hujah penternak, ia berdasarkan kajian di negara barat bahawa ayam yang diperdengarkan muzik latar yang menarik akan menghasilkan daging yang lebih berkualiti. Lalu lahirlah idea memperdengarkan bacaan alquran di kandang ternakan ayam dengan hujah iaitu daripada perdengarkan dengan lagu yang sia-sia, baiklah diperdengarkan ayam-ayam itu dengan bacaan alquran (rakaman mp3). Prinsip yang diajarkan didlm alquran ialah 'rezeki yang halalan dan toiyiban = halal dan baik; tidak pernah pula kita diajar mendengarkan haiwan ternakan dengan alquran...
Alquran bukan diturunkan untuk diperdengarkan kepada ayam....tetapi untuk kita mencernakan hidayah/ bimbingan di dalamnya sebagai terjemahan di dalam kehidupan.

Friday, December 25, 2009

Tentang "menggelegak"..

Satu peristiwa yang pernah dikisahkan kepada saya tentang pekerja kilang besi di Banting beberapa tahun dahulu; di atas kesilapan teknikal berlaku ledakan pada dandang pemanas sehingga menyebabkan kebocoran pada sistem. Percikan besi menggelegak terkena pada beberapa pekerja, salah seorang darinya terpercik pada bahagian abdomen dan dada. Akibat dari percikan tersebut, pekerja tersebut meninggal selepas berlari kesakitan ke arah punca air untuk meredakan kesakitan tersebut.Cumanya ketika itu, saya tidak pula mengambil iktibar dari peristiwa tersebut. Di sini, saya kongsikan sedikit terjemahan mengenai siksaan untuk mereka yang kufur terhadap Allah dan isi alquran:




(1) Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang dia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah dan jika dia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab Neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).
(Al-Anaam, ayat 70)

(2) KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.
(Yunus, ayat 4)

(3) Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api Neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
(Al-Hajj, ayat 19)

(4) Apabila Neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.
(Al-Furqan, ayat 12)

(5) Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
(As-Saaffat, ayat 67)

(6) Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka);
(Sad, ayat 57)

(7) Iaitu orang-orang yang mendustakan Al-Quran dan segala yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus; maka mereka akan mengetahui kelak. Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret ; Ke dalam air panas yang menggelegak*; kemudian mereka dibakar dalam api Neraka;
(* Ghafir, ayat 72)

(8) Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu), Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum; (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut; Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga Neraka): Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah Neraka. Kemudian curahkanlah di atas kepalanya (azab seksa) dari air panas yang menggelegak.* (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu). (Kemudian dikatakan kepada ahli Neraka umumnya): Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!
(*Ad-Dukhan, ayat 48)

(9) Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya) dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!
(Muhammad, ayat 15)

(10) Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api Neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!
(Ar-Rahman, ayat 44)

(11) Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
(Al-Waqiah, ayat 42)

(12) Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
(Al-Waqiah, ayat 54)

(13) Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak,
(Al-Waqiah, ayat 93)

(14) Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.
( Al-Mulk, ayat 7)

(15) Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir,
(An-Naba, ayat 25)

(16) Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina, Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang amat panas (membakar), Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun.
(Al-Ghashiya, ayat 5)

Wednesday, December 23, 2009

Isu bas sekolah: Bagaimana agaknya....

Terkejut juga apabila mendengar berita lanjutan usia bas sekolah hingga ke 30 tahun...'lawak' mana pula yang memberikan pandangan usia bas sehingga berpuluh tahun ini selamat untuk digunakan oleh anak-anak yang bersekolah.Ooops...saya bukan mendengar lawak; tapi itulah keputusan penting yang diambil oleh pihak yang berkenaan dalam menangani masalah kenaikan harga tambang dan kos pengangkutan.

Bagaimana agaknya keputusan yang sama diambil untuk semua kenderaan kerajaan yang digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan...termasuk kenderaan yang digunapakai oleh Tuan-tuan pengarah; tuan-tuan yang dihormati dan juga para VVIPs.Bagaimana agaknya rupa Merc atau BMW yang dah berusia 30 tahun? Kenapa pula pada insan yang masih muda remaja dan mentah itu digasakkan dengan isu bas tua yang melampaui etika keselamatan??

Sunday, December 20, 2009

Mungkin saya sudah penat membaca....

Beberapa kali pejabat saya dikunjungi oleh wakil penjual majalah/makalah yang menawarkan pelbagai tawaran pakej bahan bacaan.Yang paling menarik, salah seorang darinya mendakwa dari sebuah universiti tempatan. Bekejar ke Kuala Lumpur semata-mata mencari pensyarah yang terpilih untuk ditawarkan pakej bahan bacaan yang 'sangat istimewa'. Tersenyum juga saya menghadapi pelbagai strategi penjualan sedemikian.

Seperti yang pernah saya kongsikan, kekhilafan kebanyakan kita selama ini ialah gagal memahami alquran, mengambil iktibar tafsirnya serta mengetahui semua intipati nas hadith dan sejarah nabawi dan sahabat. Pada usia seperti ini, saya terkejar-kejar peluang untuk menimba ilmu pengetahuan dalam melengkapkan pengisian hati agar memanfaatkan semua ilmu yang memantapkan kewibawaan sebagai seorang muslim; mempraktikkan taqwa serta mengiltizamkan semua nilai dan peradaban yang baik.

Ribuan bahan ilmiah dan khazanah keilmuan yang pernah saya tatap....atau juga melangkaui bahan-bahan bacaan ringan sedia ada; namun di satu persimpangan dalam perjalanan ini saya menyedari betapa banyaknya masa yang telah saya habiskan kepada ilmu yang tidak memberikan pemberat kepada pencirian seorang muslim yang sejati.Jika saya luruskan neraca ini pada hujah dosa dan pahala; kebanyakan bahan bacaan itu tidak menambah apa-apa selain kelalaian yang terus mengelirukan di dunia yang nyata ini..tiada bicara langsung tentang iman dan akhirat selain warna-warna kehidupan dunia yang terlalu dikagumkan.

Berbalik kepada cerita penjual majalah yang tampil dengan pakej istimewa...semua majalah yang disebutkannya merupakan titipan ringan untuk dibaca melepas 'stress' yang bagi saya pada usia begini...terlalu penat untuk saya hayati bahan bacaan sedemikian....

Friday, December 18, 2009

Bila yang menyediakan data tidak memahami data yang disediakan....

Saya sering memberikan pendapat betapa data yang disediakan untuk dibentangkan perlu diterjemahkan sebaik-baiknya; ia membawa kepada banyak implikasi apatah lagi jika yang bertanggungjawab menyedia dan menterjemahkan data itu merupakan 'orang besar' di kerusi yang memegang banyak autoriti/ kuasa.
Salah satu implikasi yang sangat saya titikberatkan ialah betapa berharganya masa yang kita agihkan untuk hadir dalam mesyuarat yang membincangkan data tersebut. Jika data yang disediakan itu bukan sahaja salah dan gagal diterjemahkan menurut logik dan saintifik, ia bukan sahaja membuang masa dan mengelirukan malah (mungkin 'menyesatkan' fakta) menghasilkan rumusan yang salah.
Kita adalah pemegang amanah yang menyempurnakan tanggungjawab kebaikan dari mereka yang telah memberikan amanah...bukan sekadar membuat kerja berdasarkan budaya..."asal buat...entah apa kesinambungannya, biarlah orang lain selepas ini yang menyelesaikannya'.

Bayangkan apakah maknanya ini....:

1. Mesyuarat yang membincangkan data yang mana pengurus data tidak faham data yang dibincangkan.
2. Objektif data dan indikator yang diukur tidak tepat malah boleh dipertikai dari aspek validiti dan reliabiliti.
3. Bos yang empunya data tidak hadir mesyuarat dengan alasan bercuti di luar negara.
4. Mesyuarat diteruskan juga atas alasan keperluan organisasi menghadapi audit pengurusan yang hampir tiba.
5. Mereka yang menyediakan data tidak dijemput ke dalam mesyuarat.

Ya Allah...ampunkan dosa-dosa saya dan mereka yang menyedari betapa berat nya amanah ini...

Wednesday, December 16, 2009

SOLAT JEMAAH DI MASJID...

Ia adalah syiar yang MESTI ditegakkan...bukan disandarkan pada konotasi fardu kifayah semata-mata. Kita gusar apabila sebuah tapak untuk pembinaan masjid 'dikorbankan' kerana tidak cukup qariah tetapi syi'ar berjemaah yang merupakan antara ikutan sunnah Nabi dan para sahabat tidak pula diberikan penekanan.
Fokus beri'badah terus menjadi perselisihan dan pertikaian.Sebahagian kita masih keliru dengan ibadah bersandarkan sunnah dan ibadah yang tercipta atas bida'ah. Sehingga mencetuskan implikasi tidak selesa di kalangan kita...situasi diburukkan pula oleh pendapat dari individu yang tidak mempunyai sandaran ilmu.Fokus pengislahan pula terkepung oleh prejudis meletakkan label atau hukuman pada mereka yang masih meraba-raba mencari kebenaran. Yang dalam kemelut dimana akhirnya sbhg kita menghabiskan masa dalam menyelesaikan serangan bersifat peribadi (self interest and survival)...sehingga terlupa pada sebahagaian besar yang memerlukan bimbingan dan pendidikan di jalan da'wah.

Saya berpendapat sebagai muslim kita tidak ada pilihan selain mempunyai ilmu yang komprehensif dalam tafsiran alquran dan hadith yang sahih serta memiliki sandaran terhadap definisi dan pengisian ijmak ulama' yang benar. Ia memberikan kita garispanduan dalam menangkis pendapat individu yang tidak cukup ilmu agamanya...yang kini bukan sekadar mengelirukan umat dengan persepsi dan takwil ilmu yang mempersenda nilai ilmu malah menambah kesusutan fikiran dan membuka kepada jalan kesesatan.

Monday, December 14, 2009

Apa ertinya universiti untuk sebuah komuniti.....

Universiti sejak mula diwujudkan dianggap gedung ilmuan; tempat di mana ilmu diajar dan diberikan fokus dalam melahirkan mereka yang berketrampilan.Status ijazah, sarjana dan doktor falsafah secara langsung memberikan status tersendiri pada setiap yang pernah mempunyai pengalaman belajar dan menuntut ilmu.
Secara rutinnya juga, setiap universiti mempunyai matlamat untuk mencipta kehebatan dan kecemerlangan; terutama dalam bidang-bidang yang tersendiri, sesuatu yang mencirikannya berbeza dari institusi yang lain.
Namun, falsafah keilmuan untuk dilaksanakan pada situasi hari ini tidaklah begitu mudah. Terlalu banyak pula prosedur sampingan yang menenggelamkan fokus universiti sebagai gedung ilmu. Ini sekadar pandangan saya...sebab agak lemas juga apabila kita perlu membuat sesuatu kerja berulangkali tanpa sebarang sumbangan kepada indeks pencapaian yang memberikan impak kepada kecemerlangan institusi. Tidak cukup dengan 'world class ranking', sistem ISO yang mencakupi pentadbiran skop utama tugas di universiti, sistem akreditasi makmal,sistem-sistem on-line, sistem fail meja, audit yang pelbagai...(masa habis menyediakan persiapan audit) - audit ISO, audit RU, audit swa akreditasi, audit fail meja dan audit-audit yang pelbagai lagi.
Persoalannya...adakah universiti kini telah berubahan menjadi sebuah pusat untuk diaudit. Keadaan pula tidak dibantu oleh sistem pengurusan manusia yang bergantung sebahagian besar kepada pekerja kontrak, yang boleh meninggalkan isntitusi bila-bila masa. Yang akhirnya meninggalkan pensyarah terkebil-kebil menongkah arus dalam mencapai KPI sebagai pensyarah yang melayakkannya duduk di kerusi akademik.
izinkan saya mencadangkan sesuatu yang mungkin di luar batas yang sering dibahaskan. Saya masih teringat pesan seorang guru saya...jika kita hendak melihat sesuatu masalah secara komprehensif, kita perlu keluar sebentar dari lokus di mana kita berada. Bayangkan kita di luar, umpama mencari kerosakan pada sebuah banguna sfera...susah untuk dimengertikan jika kita berada di dalam...cuba keluar dari bola sfera untuk mencari pilihan penambahbaikan.
Universiti mengumpulkan tenaga yang begitu pakar dalam bidang masing-masing. Jika sesebuah universiti mempunyai populasi hampir 10 000 orang termasuk para pelajar, bukankah banyak peluang penjanaan untung serta platform mengasah kecemerlangan. Jumlah tersebut cukup untuk Fakulti Perniagaan membina HYpermart berdasarkan masalah perniagaannya untuk dikongsi oleh masayarakat sekeliling, begitu juga tenaga Pereka Hiasan dalaman dan pakar Lanskap serta para arkitek yang boleh membantu memberikan idea pembinaan struktur universiti yang lebih baik dan 'economical' serta menjadi ikutan masyarakat setempat, pembinaan hopital tempat rujukan (ini sudahpun menjadi realiti kepada beberapa universiti, sayangnya tidak diikuti oleh fakulti-fakulti yang lain), hub penternakan haiwan domestik yang memberikan bekalan kepada komuniti setempat terutama pada musim perayaan malah boleh dipasarkan di hypermart Universiti, para jurutera yang boleh menampilkan ilmu dalam apa sahaja yang boleh diterjemahkan dalam kehidupan...

Ia lebih baik dari mencipta modul baru selama dua hari untuk menampilkan ketrampilan siswazah...

Sekadar berkongsi pandangan.

Tuesday, December 8, 2009

...derma....derma....derma lagi....

Golongan yang bijak menggunakan pendekatan kutipan derma mencipta pelbagai strategi untuk mendapat wang mudah. Meski saya tidak menafikan ada yang memang memerlukan bantuan, namun terdapat kaedah yang agak mendukacitakan.

Pernah saya diterpa sebaik keluar dari sebuah masjid selepas menunaikan solat...seorang lelaki yang sihat dan sasa menghulurkan kepingan kertas dan plastik berisi wang tunai. Tujuannya meminta derma untuk.....sayapun tidak pasti. Saya yang agak terkejut, sekadar memberi isyarat tidak bersedia untuk menghulurkan derma ketika itu...semua barangan saya disimpan di kotak 'rahsia' di dalam kereta. Terdetik juga di hati saya,...tidak malukah seorang lelaki yang mampu membanting tulang (mencari nafkah dan mendermakan sebahagian dari rezekinya untuk tujuan amal) meminta derma dari seorang wanita?? ...saya sekadar menyeru di dalam hati...cubalah pergi cari kerja, dapatkan rezeki yang halal.

Di satu situasi lain...saya melihat anak-anak remaja yang beratur meminta derma melalui penjualan kalendar di pasaraya Bintang dan Billion Bangi, selepas ditanya mereka rupanya datang jauh dari Kedah dan meminta derma untuk sumbangan prasarana sekolah dan asrama. Saya sekadar mengucapkan kepada mereka...sepatutnya tanggungjawab mencari sumber kewangan ialah tanggungjawab mudir atau guru sekolah kamu, tanggungjawab kamu sekarang ialah belajar dan mencari ilmu, bukannya menjual kalendar atau meminta sedekah.Saya pula yang menyimpul perasaan geram di atas sikap tidak bertanggungjawab pendidik/ penguasa yang sepatutnya melunaskan tanggungjawab itu.

Terkini...ada seorang lelaki memperkenalkan diri mereka sebagai pihak pengurusan sebuah anak yatim, menelefon bilik pensyarah (bijak juga, hanya pensyarah yang didekati...tidak pula kakitangan bukan akademik yang lain...bukankah derma itu ibadah yang tidak dikhususkan kepada sesiapa, tidak seperti zakat) dari seorang ke seorang yang lain. Disebabkan agak sibuk dengan temujanji, saya tidak dapat melayan perbualannya. Rupa-rupanya mereka itu datang satu pasukan, yang seorang menelefon pensyarah memberi penjelasan panjang lebar, dan yang seorang lagi siap dengan resit dari kutipan derma, bersedia dihadapan pintu bilik pensyarah yang bersetuju menghulurkan derma. Ia agak menakutkan saya...licik benar mengatur strategi...Pihak berkenaan pada pendapat saya bila-bila masa boleh menghubungi Lembaga Zakat untuk mendapat bantuan kewangan; namun syaratnya mereka mesti mempunyai penyata kewangan yang telah diaudit. Memohon derma secara adhoc seperti itu lebih mudah serta tidak perlu menunjukkan bukti perjalanan kewangan. Ini bukanlah kali pertama kami didekati oleh pelbagai pihak memohon derma di ofis...menimbulkan curiga pula tindak tanduk sedemikian.

Sempat saya bertanyakan pandangan seorang sahabat. Terkejut bila mendengar...ada pengusaha rumah anak yatim yang datang meminta derma mempunyai sejarah memanipulasi dana anak yatim. Bersungguh-sungguh mendapatkan dana, namun peruntukan itu didahulukan untuk gaji pengurusan sebanyak RM4-5K sebulan. Mudahnya mendapat wang percuma.

Atas nama kebajikan dan anak yatim...pelbagai strategi dimanipulasikan; saya tertanya-tanya sendiri...

Wednesday, December 2, 2009

Hadiah cemerlang akademik...apa maknanya di dunia nyata?

Kecemerlangan akademik bagi saya sekadar rhetorik untuk memotivasikan pelajar bersungguh-sungguh dalam pengajian mereka. Ia bukan lah matlamat sebenar pengajian atau pembelajaran. Keperluan pengajian dan pembelajaran hanyalah untuk memenuhi segala 'learning outcomes' yang telah dikenalpasti; bonus hadiah kecemerlangan sekiranya seseorang itu mampu memenuhi semua hasil akhir pembelajaran itu dengan pencapaian yang mengkagumkan.

Terjemahan ilmu akademik perlu diselarikan dengan keperluan di dunia nyata. Ia bukan juga sekadar teori tetapi garapan yang tidak mengenepikan kepentingan aqidah yang membimbing jiwa ke jalan yang benar.Berkali-kali saya berhadapan dengan perdebatan...mengapa ini berlaku, mengapa itu terjadi?? Kes-kes jenayah kewangan, gangguan seksual malah hubungan di luar nikah yang saban waktu menampilkan berita penglibatan mereka yang tergolong dalam dunia ilmuwan menimbulkan isu iaitu tidak cukupkah dengan ilmu yang cemerlang untuk membendung segenap kemungkaran itu? Sesungguhnya ilmu cemerlang sahaja memang tidak akan mampu membataskan manusia dari terjebak dalam dunia gelap yang celaru. Namun di dunia persepsi manusia ini, hadiah kecemerlangan itulah menjadi rebutan sehingga menimbulkan isu di kalangan ibu bapa dan guru serta bagi saya, menyebabkan sebahagian anak-anak tertinggal dalam dunia pemikiran dan pembangunan sahsiah.

Saya sempat bersama beberapa orang ilmuwan ternama negara...berbincang mencari-cri calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Dekan di sebuah pusat pengajian yang bakal ditubuhkan. Menariknya, perbincangan tidak formal itu menjelaskan kepada saya hakikat kecemerlangan yang wajar dijadikan ukuran. Berkata salah seorang dari mereka..." of course we don't need the most brilliant person, but we need somebody who can get the work done".