Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, October 30, 2016

Tatkala hati di sapa 'syaitan'...

Rhetorik tajuk tulisan saya kali ini bukan untuk membincangkan tentang unsur-unsur hantu syaitan yang sudah sekian lama berakar umbi dalam masyarakat kita. Bukan juga unsur seram atau mistik dan sebagainya yang nyata merupakan tema yang menjadi bisul yang meng 'onar 'kan aqidah..

Namun..saya sekadar berkongsi tentang peranan syaitan yang terus berusaha dengan helah dan bisikan untuk melemahkan hati dan perjuangan kita kembali ke jalan Allah SWT. Syaitan dan tenteranya yang tidak mampu kita lihat dengan mata kasar, terus-terusan tanpa hentinya mencari ruang untuk mencipta suasana hati dan diri kita berbuat dosa, terlupa tentang banyaknya ruang kebaikan, tidak mengambil berat tentang kepentingan masa dan usia, tidak mengendahkan tentang tazkirah, pandang rendah pada unsur yang dekat dengan quran dan hadith nabi SAW...dan sebagainya.

Syaitan datang dalam bisikan..hasutan..idea..

Syaitan juga datang dalam perangai bentuk manusia....menghasut dan menimbulkan dosa di hati kita.

Syaitan juga datang dalam bentuk manusia... menyakiti dan menimbulkan kemarahan hingga menyebabkan permusuhan sesama kita, manusia..

Saya berdoa...semoga manusia berperangai syaitan dan wakil-wakil syaitan itu untuk dijauhkan Allah dari kita semua ......

Thursday, October 13, 2016

Tentang sakit belakang dan acupuncture..

Saya mengalami gejala sakit belakang akibat slipped disc sejak beberapa tahun yang lalu. Pada awal sakit berkenaan saya keliru dengan corak sakit yang tidak seragam. Selepas pemeriksaan doktor dan MRI beberapa minggu selepas sakit tersebut, mengesahkan diagnosis berkenaan.

Sakit akibat slipped disc berbeza dengan sakit biasa kerana gejala utama merupakan sakit belakang dan juga sakit pada anggota kaki. Keterukannya berbeza dan berubah. Terdapat juga rasa sengal, kebas dan kadang-kadang seperti kejang.Ia melibatkan semangat juang yang tinggi..bertahan di tempat kerja, atau juga meneruskan rutin ringan dalam urusan domestik

Pada awalnya saya hanya mengambil ubat tahan sakit dan melakukan senaman ringan. Sehinggalah ada seorang sahabat saya mengesyorkan acupuncture. Saya pergi mendapatkan rawatan tersebut entah berapa puluh jam...sekadar menurut nasihat perawat. Dengan kadar RM 25 sejam; sekali sesi hingga 2jam...rawatan itu saya ikuti hampir yang semuanya untuk berpuluh-puluh jam. Ketika itu, saya tidak pula mem browse tempat-tempat lain yang menawarkan acupuncture. Sangka saya, berubat dengan tabib Cina yang mahir, pastilah lebih mahal harganya.

Saya pernah juga mendapatkan rawatan di Bangi...kosnya Rm60 untuk setengah jam. Jika mahukan ubat tahan sakit alternatif..tambah lagi berpuluh-puluh ringgit.

Namun kunjungan saya ke Tung Shin Hospital untuk mendapatkan rawatan itu jauh berbeza dengan rawatan acupuncture yang pernah saya lalui. Tabibnya mengajar saya simple stretching iaitu senaman yang dibuat ketika berbaring atas couch yang datar dan keras, dengan sebelah kaki memijak ke lantai dan sebelah kaki lagi dibengkok dan dilipatkan semaksima mungkin ke arah abdomen (perut) untuk beberapa minit.

Sesi acupuncture selepas itu hanya mengambil masa 20 minit, yang mana boleh terasa aliran udara panas di bahagian yang dirawat...seperti meletakkan bahagian kulit tersebut di bawah lampu.

Tabib itu tidak mengenakan syarat berapa kali sesi tersebut perlu dilakukan, katanya terpulang pada perkembangan sakit yang saya alami. Jika ada gejala yang teruk boleh datang untuk rawatan semula, jika ok dengan simple stretching, boleh teruskan dengan senaman tersebut. Tidak perlu untuk folllow up.
Kosnya...hanya RM28 untuk satu sesi konsultasi dan acupuncture.

Alhamdulillah... sakit yang saya alami semakin pulih. Saya belajar... kita perlu bertanya pada mereka yang lebih tahu jika tidak tahu. Carilah mereka yang lebih tahu...moga Allah temukan kita dengan mereka-mereka yang tersebut...


Friday, September 30, 2016

Tribut buat almarhumah bonda....

Lalu takdir yang Maha Kuasa menentukan berakhirnya kasih sayang kami di dunia, almarhumah bonda telah dijemput kembali ke sisi ilahi pada pagi Ahad 18 September lalu. Tempoh sakitnya yang dilalui selepas dua episod strok yang agak tenat. Terlantarnya dalam kesunyian dalam diam yang panjang. Tanpa bicara dan suara. Atau juga pada isyarat yang mungkin mendekatkan perasaan dan aura.

Juga berlalulah episod kembara saya mengejar tiket keretapi atau dengan kenderaan sendiri mengisi waktu-waktu di celah kesibukan menjenguknya. Terpatrilah kenangan, rimbunan kasih sayang serta budinya kekal abadi di dalam hati. ...yang pastinya tidak ada insan kedua yang mampu menyamai kasih sayangnya yang tidak bersyarat.

Hati saya berbolak balik tatkala menuliskan  ini. Betapa dekatnya kasih bonda di hati ini... demikian wujudnya seorang ibu di hati majoriti kita. Tidak ada pula insan-insan lain yang lebih dekat di hati berbanding hampirnya seorang ibu dengan anaknya.

Kenangan demi kenangan bersilih menunggu giliran. Dari waktu ke waktu menelah setiap detik yang mampu saya ingati. Satu peristiwa apabila saya masih berada dipangkuannya ketika masih menyusu. Juga kasih sayangnya yang tidak pernah penat apabila membelai dan mencekang mata tatkala saya merengek sakit demam atau kesakitan akibat sedikit luka atau cedera. Juga semasa saya disuapnya   atau tatkala menunggu waktu rehat di tepi pagar sekolah dengan sepinggan nasi dan ikan goreng.

Sungguh kasihnya tiada syarat. Tidak ada rungutan. Tidak ada kalimah satu persatu untuk mengungkit kesusahan  demi kesusahan yang dilaluinya. Adakala saya gagal meneladani  bicara tindakannya. Adakala juga leterannya tidak saya fahami atau terkadang menyesakkan emosi...namun itulah juga yang saya warisi pada usia sebegini.

Dengan kami sembilan beradik di sisinya (almarhumah kakak ketika itu di kampung berkongsi kasih dengan keluarga nenek saudara)...kehidupan kami sekeluarga ketika usia saya sebagai  kanak-kanak  begitu 'humble' dan sederhana.  Meski susah sekalipun...Allah anugerahkan kami rezeki untuk dikongsi.  Itu sudah cukup mengajar saya tentang erti syukur dan menghargai apa jua yang ada.

Almarhumah bonda juga tidak pernah jemu payahnya membantu arwah abah melalui jualan  kuih muih atau nasi lemak untuk dijual. Saban pagi tidak pernah lupa bangkit sebelum subuh menyiapkan segalanya. Atau menyiapkan pintalan ais krim Malaysia pada waktu siangnya. Indahnya kenangan tatkala saya termenung  menunggu bungkusan-bungkusan nasi lemak untuk dibeli hampir setiap pagi. Atau juga menghitung entah bila bungkusan kerepek ubi atau kuih siput dalam beg sekolah saya akan habis untuk dijaja. Atau pada hasil buah-buahan dari kebun untuk dikongsi bersama kawan-kawan sekolah pada harga yang sangat murah.

Sungguh...kasih sayang almarhumah bonda tidak bersyarat.

Airmata saya sering bergenang tatkala mengenang kesusahannya berdikit tatkala membesarkan kami atau berdoa serta berpuasa mendoakan kami setiap kali menduduki peperiksaan. Dirinya yang sentiasa diilhamkan naluri untuk menyediakan masakan setiap kali anak cucu singgah bertandang. Atau berjaga hampir sepanjang malam semasa malam menyambut raya atau sebarang keramaian keluarga.

Doanya yang berkali-kali disebut...Mak doa semua anak-anak mak dapat pergi haji.

Cuma saya tidak tahu mengapa almarhumah bonda menyebut beberapa kali tentang tapak tanah rumah yang pernah dicagarkan sebagai jaminan perniagaan salah seorang dari kami meskipun ia sebenarnya telahpun lama dulu ditebus. Saya harap untuk tidak pernah tahu tentangnya... Namun kisah itu diulang-ulangkan bonda entah berapa kali sebelum episod koma dan perubahan drastik akibat serangan angin ahmar 4 tahun dulu.


Sungguh...kasih sayang almarhumah bonda tidak bersyarat.

Saya yang gagal menghargainya tatkala usianya masih ada.

Thursday, August 25, 2016

Sehari tulis sesuku, lama-lama menjadi buku..

Pertama kali saya terpandang ungkapan itu semasa saya menunggu lampu hijau di persimpangan hadapan UKM. Ungkapan itu jauh membekas dalam fikiran saya..baru saya sedar bahawa sesuatu yang banyak bermula dari usaha sedikit demi sedikit.

Usaha berdikit yang diselang-seli dengan pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga serta kesakitan dan dukacita kecewa...mewarnakan hasil akhir yang diharapkan.

Untuk itu, menjadi seorang yang hebat dalam apa jua, adalah perubahan sedikit demi sedikit. Perubahan yang memotivasikan seseorang untuk terus berbuat baik, disamping konsisten mengharapkan agar apa yang dilakukan merupakan apa yang diredhai di sisi Allah SWT.

Demikian juga yang ingin saya kongsikan dengan ilmu pengajian bahasa Arab utk memahami Alquran. Tidak mungkin kita akan menjadi fasih memahami apa yang diungkapkan hanya belajar beberapa hari, bulan atau jangkamasa tertentu. Ianya adalah usaha berdikit..namun diteruskan walau pelbagai halangan dan cabaran melanda.

Bahasa Arab bukan bahasa pertuturan kita. Namun, ia menghubungkan jiwa kita dengan agama kita. Itulah juga yang merupakan syarat kita memahami hidayah Allah utk menterjemahkan dalam apa yang kita lakukan.

Suka atau tidak... andai kita meneruskan kehidupan sekadar membaca alquran tanpa difaham..kita sebenarnya memilih untuk meneruskan KEBODOHAN  dan KELALAIAN dalam memahami agama kita sendiri!!

Tuesday, August 16, 2016

Kita yang sebenarnya tidak ada pilihan untuk menolak bahasa Arab Quran dalam kehidupan

Semasa kecil, kita diberitahu Quran itu wahyu Allah SWT. Jika baca dapat pahala.

Sebagai muslim, kita kena tahu baca Quran. Lalu kita belajar Quran dari kecil. Belajar mengeja dan menulis. Sepatah demi sepatah dalam muqaddam hinggalah akhirnya sebahagian surah kita hafal dan bacakan dalam solat.

Kemudian, kita diberitahu juga Quran itu panduan hidup manusia. Berdegar rhetoriknya dalam ucapan perasmian atau apa sahaja yang berkaitan dengan Quran. Kita cuma angguk. Ya, kita baca Quran dan dalam hati kita akui ia adalah kitab agung, wahyu dari Allah SWT. Kita baca dan kita percaya. Lalu kita ANGGAP, kita juga mendapat panduan dari Quran.

Kita baca semula. Kita anggap kita bahagia sebab kita 'dekat' dengan Quran. Ada masa kita hias bilik atau rumah kita dengan ayat-ayat Quran. Atau kita baca surah-surah tertentu yang dianggap mustajab untuk beri manfaat tertentu. Kita terus anggap kita ok dan 'dekat' dengan Quran.

Kita terus baca macam kakak tua. Jika kita rasa nak faham kita hanya buka quran terjemahan. Kadang terjemahan kita faham. Kadang-kadang kita tak faham. Tapi kita ok. Kita rasa sekurang-kurangnya kita baca Quran.

Dan bila kita dah hampir memasuki usia tua, kita sedar kita perlu banyak amalan. Dan kita jumpa pula...owh, rupanya ramai lagi dalam usia kita yang tak tahu baca Quran. Dan kita terus rasa kita OK. sebab kita baca Quran.

Lalu kita tanya diri kita...takpe ke kita terus baca Quran tanpa memahami sebenarnya apa yang kita baca?

Kita terus rasa takpe..kita rasa hanya manusia yang 'terpilih' sahaja perlu belajar bahasa Arab. Kita rasa, kita bukanlah orangnya.

Cukuplah kita buat apa yang kita mampu..sebab jauh di sudut hati kita sebenarnya sudah ada agenda lain lebih utama dan kita rasa tak dapat nak utamakan Quran dan Bahasa Arab dalam hidup kita walau dalam hati kita percaya dan beriman padanya.

Bila ada sahabat atau rakan meninggal dunia...mulanya kita sedih tapi lepas itu kita ok semula. Kemudian, tiada lagi sedih sebab kita rasa kita perlu teruskan semuanya.  Dunia untuk kita banyak lagi. Kita masih sibuk dan perlu waktu untuk menikmati apa yang kita ada di dunia. Untuk apa kita risau..kita kan baca Quran.Walau setahun sekali atau dua tiga bulan sekali atau saya baca semasa kenduri tahlil dan arwah. Kita terus rasa tak apa tak apa walau kita terus tak faham apa yang kita baca.

Tapi...jika kita pergi bank. Untuk ambil wang simpanan. Sanggupkah kita mengisi borang dalam bahasa yang tidak kita faham.

Atau jika kita beli rumah, kita tandatangan Sales and Purchase Agreement dalam bahasa Jepun??

Atau bila kita hadir kelas untuk menjadi seorang doktor, kita belajar dalam bahasa Tamil (ini adalah contoh bagi mereka yang tak tahu Tamil seperti saya). Adakah syarahan, buku dan nota bermakna untuk saya serta membimbing saya menjadi seorang doktor?

Kita rasa kita tahu tentang Quran...tapi kitalah sebenarnya yang paling tidak tahu, kerana kita tidak tahu apa yang kita masih tidak tahu..namun menganggap diri tahu.

Hingga bila agaknya kita akan tahu bahawa banyak isi dan bentuk perkataan/ayat dalam Quran membawa mesej yang merupakan mukjizat dari Allah SWT. Adakah kita masih tunggu satu keajaiban seorang guru untuk ceritakan semuanya satu persatu ?

Kita sedar kita bukan ahli dalam Bahasa Arab. Tanpa Bahasa Arab, kita sebenarnya tak dapat mencapai pengertian dan kefahaman dengan jelas ayat-ayat quran yang kita baca. Terjemahan ke dalam bahasa..meyebabkan banyak makna dan intonasi bentuk-bentuk ucapan dalam Quran TERPOTONG dan TERHENTI maknanya.

Kita sebenarnya tidak ada pilihan untuk memilih jalan terus meninggalkan pengajian Bahasa Arab untuk memahami AlQuran.

Thursday, August 11, 2016

Andai Maryam (a.s) hadir mendirikan solat di mana saya berada...

Saya mengulangi surah Maryam berkali-kali sejak mula mempelajari tafseer Surah Maryam sejak beberapa bulan yang lalu. Semasa usia saya mula mengenal AlQuran dahulu, Surah Maryam adalah antara surah yang bagi saya agak susah untuk dibaca disebabkan sebutan lafaz di dalamnya agak berbeza bentuk berbanding surah-surah yang lain. Namun kelainannya terserlah apabila lapisan demi lapisan pengertian mula menjengah dalam  siri kefahaman yang bagi saya terlalu banyak untuk difahami dan diamalkan dalam realiti.

Motivasi yang mendorong saya mendalami Surah Maryam adalah atas sifat istimewa Maryam yang merupakan 'abidah (ahli 'abid) yang sangat tekun beribadah. Kurniaan rezeki di sisi Maryam di mihrab tempat ibadahnya...sehingga mengundang pertanyaan dari Nabi Zakaria (as)...keistimewaan itu yang mendorong Nabi Zakaria berdoa di sisi rezeki Allah SWT itu untuk mendapat zuriat yang baik. (Surah Ali Imran ayat 38-39).

Saya sekadar menyorot kembali apa yang saya lakukan semasa iktikaf dalam beberapa malam dalam bulan ramadhan. Tidak saya nafikan..ada masa saya seperti 'mati kutu' kerana tidak biasa terus menerus dalam suasana keterikatan dalam ruang ibadah sepenuhnya. Ada masa..malam ramadhan itu berlalu begitu sahaja tanpa pengisian apa-apa..

Andai saya terus mengikut suasana kontemporari dalam mewujudkan rasa pengabdian terhadap Allah, saya pasti saya tidak ke mana. Allah jua yang Maha Mengetahui betapa dalam saban waktu solat yang saya hadiri...saya bertarung dengan perasaan sendiri untuk mewujudkan khusyu yang bertahun-tahun saya mencarinya.

Dalam konteks ilmiah...mudah sahaja untuk memahami hakikat ubudiyah, khusyu' , taqwa...namun untuk mewujudkan semua itu dalam hati dan diri..adalah merupakan mujahadah bagi mereka yang ingin mencarinya.

Saya mengharapkan bertemu Maryam (as). Saya harap dapat berada di sisinya untuk mengalami pengalaman ubudiyah, i'tikaf serta berterusan dalam suasana hati yang dekat dengan Allah SWT. Kesucian Maryam yang diuji Allah SWT dengan satu ujian yang sangat hebat, tabah menghadapi jangkamasa kehamilan dan melahirkan tanpa suami... owh, saya terlalu sukar membayangkan kehebatan Maryam melalui semuanya itu.

Nama Maryam disebut 25 kali di dalam AlQuran. Satu-satunya nama wanita yang disebut secara khusus. Peristiwa yang merakamkan wanita-wanita hebat yang lain dinyatakan dalam bentuk lafaz yang bukan nama khas seperti Maryam contohnya isteri Firaun, ibu Nabi Musa a.s, saudara perempuan Nabi Musa a.s, anak-anak perempuan Nabi Syua'ib, kisah Aisyah r.a atau juga wanita yang lainnya seperti isteri pembesar Mesir dalam surah Yusuf dan wanita yang disebut Allah mengkhianati  suami mereka di kalangan para Rasul dan nabi seperti isteri Nabi Lut a.s dan isteri Nabi Nuh (as).

Satu lagi yang istimewa...di dalam surah Maryam jugalah nama Ar Rahman paling banyak sebutannya. Allah menurunkan ayat-ayat yang mengandungi atribut namanya yang paling indah itu sebanyak 15 kali di dalam Surah Maryam.

Monday, July 25, 2016

Saya telah memaafkan semuanya; kali ini maafkanlah saya...

Posting kali ini sebenarnya agak sukar untuk saya menjelaskan semuanya. Elok jika saya tidak menyatakan secara langsung, namun cukuplah di sini untuk saya juga mengambil teladan.

Memang sukar untuk memaafkan untuk kesilapan berulang-ulang, dari insan yang sama. Apatah lagi apabila kesilapannya merupakan bentuk sesuatu yang tidak sukar untuk diperbaiki, namun atas nama keegoan syaitan agaknya..ia terus menyerlah. Sehingga terus terusan menepis nilai kehormatan saya sebagai insan.

Syaitan akan terus memarakkan api dendam dan permusuhan. Syaitan juga mencari peluang meremuk redamkan persahabatn, kebaikan mahupun nilai-nilai yang merupakan penghargaan terbaik untuk seorang insan.

Saya sudah memaafkannya. Jauh lebih lama dari panggilan yang tidak saya duga itu menjengah kesunyian papan kekunci yang rancak saya gunakan buat menulis berkongsi ilmu.

Detik memaafkannya secara total itu adalah  antara detik paling hebat apabila saya lurutkan semuanya, kerana saya hanya berniat untuk kembali ke sisi Allah sebelum perjalanan mengembara beribadah menunaikan haji serta melupakan segala kesilapan demi kesilapan yang pernah saya lakukan.

Lantas, saya tidak mahu mengulangi kesilapan saya terhadap'nya'. Saya tidak mahu lagi andai ada kata-katanya yang bakal datang untuk menyalakan semula dendam dan kemarahan yang telah lama saya padam.

Namun, kala ini saya hanya mampu memilih komunikasi sehala. Jangan berkecil hati andai laluan secara langsung melalui panggilan telefon dan komunikasi internet itu tidak berjawab; atau bicara yang saya balas dengan diam atau senyuman....

Saya tidak memerlukannya dalam persahabatan di dunia ini, saya juga tidak memerlukannya dalam kehidupan saya yang sementara ini. Namun, pintu-pintu kebaikan untuk saya kongsikan kebaikan dengannya terus saya buka. Moga Allah mengampunkannya dan mengampunkan saya.


Thursday, July 14, 2016

Kita semua perlu faham dan amalkan alquran...

Ramadhan baru saja berlalu. Sejauh mana pengisiannya...hanya diri masing-masing yang dapat menjawabnya. Dan Allah SWT jua yang Maha Mengetahui nilai amalan yang merupakan pengisian ramadhan itu merupakan amalan yang diredhaiNya atau sekadar berterbangan sia-sia...

Sejak akhir-akhir ini...saya banyak memikirkan komitmen kehidupan dengan pemahaman isi alquran. Betapa kurikulum kita, jauh dari seimbang dalam melestarikan isi-isi alquran itu dalam konteks kebijaksanaan ilmu serta isi-isi penting untuk dihayati dalam kehidupan.

Sering saya bertanya..bagaimana mungkin para sarjana masih tersasul memilih jalan rasuah atau penyelewengan dalam penerbitan bahan ilmiah; atau juga di kalangan mereka yang tahap pendidikannya begitu tinggi , namun akhlak dan amalan tersasar jauh dari menepati apa yang sepatutnya.

Kita hanya ada dua pilihan; untuk kembali pada apa yang Allah perintahkan atau sukahati memilih jalan sendiri. Demikianlah...saya akhirnya beroleh jawapan pada persoalan-persoalan yang menyendat perasaan. Ilmu tanpa iman...tersadai dalam satah tidak bermakna, dan sia-sia.

Sempat juga saya membelek teks bahasa arab persekolahan...hati saya dirundung duka lantaran menyedari bahawa sebahagian anak-anak pelajar hari ini hanya mempelajari bahasa itu untuk lulus periksa. Yang akhirnya tidak ke mana.

Teks bahasa arab itu tidak memampukan mereka memahami teks alquran, hadith mahupun teks-teks agama penting di dalam bahasa arab.

Ya..tugas kita juga untuk melestarikannya. Moga ada jalan yang dimudahkan Allah untuk diperbetulkan itu semua.

Mencari jalan pulang...

Pada usia-usia yang bukan lagi remaja mahupun popular dan glamour...kita mengharung pelbagai persoalan, penafian dan keinginan untuk kekal dalam apa yang kita nampak sebagai kehidupan.

Kita arif pada situasi itu yang sementara semuanya. Tidak ada di sisi kita yang kekal; tidak ada pula yang padanya dapat kita 'gendong' selama-lamanya.

Kita sebenarnya menuju jalan pulang. Kembali ke sisi Tuhan yang Maha Menciptakan. Lalu, mengapa perlu lari dari realiti. Mengapa kita terus bercakap atau bersenda tentang sesuatu yang tiada nilai dalam memberikan konstruk dalam sebuah penghidupan yang bermakna.

Jalan pulang yang bagaimana hendak kita pilih. Jalan yang terus mengingatkan kita tentang semalam yang telah berlalu...atau jalan yang penuh kesusahan namun membawa kita kembali pada realiti yang disebut dalam Quran.

Kembali menjadi muslim yang beramal sebagai muslim, bukanlah kembara yang mudah dan dilihat sebagai membahagiakan. Sudah tentu, saduran demi saduran untuk menampakkan muslim itu sebagai sesuatu yang indah terus dicelup dengan nilai sekular dan bentuk-bentuk budaya mahupun campuran dari amalan agama yang lain terus berlaku. Tanpa kekangan dari kebijaksanaan ilmu dan kekuatan iman, kesemuanya dilihat sebagai ok...walaupun pada hakikatnya ia TIDAK OK.

Saya kongsikan dalam catatan seterusnya, bahawa mencari jalan pulang bukanlah kembara penuh nostalgia ataupun seperti aura 'bercuti' yang menjadi idaman kebanyakan orang. Kembara ini memerlukan jiwa munib yang sentiasa merendah diri dan bertaubat; sentiasa memohon hidayah dan taufik untuk kekal di jalan yang benar.

Langkah pertamanya...carilah peluang dan masa untuk mempelajari bahasa arab. Bahasa arab yang memudahkan kefahaman kita terhadap alquran serta teks-teks yang membawa kita pada dunia muslim yang sebenarnya..

Tuesday, May 17, 2016

Tentang sebuah doa yang dikabulkan...

Pesanan Allah SWT dalam beberapa ayat di dalam quran yang menegah kita menggunakan bahasa sarcastic..

Saya selama bertahun-tahun tidak mempedulikan implikasi penggunaan perkataan, bahasa mahupun intonasi. Kala saya diasak rasa marah dan geram, susunan bahasa bernada sarcasm itulah yang saya pilih. Terkadang juga, kita berniat untuk berlapik..namun adapula intonasi atau mimik muka yang menyatakan sebaliknya.

Satu kesilapan yang tidak boleh saya lupakan apabila saya menggunakan bahasa perli atas kesilapan seorang pelajar yang sebenarnya telahpun saya maafkan. Namun, atas sesuatu di dalam hati saya yang tidak mengambil berat bentuk-bentuk bahasa yang perlu digunakan...terserlah kesilapan itu dalam keadaan yang begitu menyesakkan sekali.

Selepas mendekati bahasa alquran serta memuhasabah isi-isi alquran dalam kehidupan, betapa kesalnya saya mengenang saat saya menggunakan komunikasi sarcastic terhadap pelajar yang berkenaan. Ada kala ingin sekali saya menghubunginya untuk menyatakan kesal saya atas tindakan sedemikian, namun disebabkan begitu panjang waktu yang telah berlalu...membiarkan sahaja niat saya terbiar sedemikian.

Saya berdoa kepada Allah andai satu hari nanti ada peluang untuk saya kembali padanya dan berbahasa dalam bahasa lisan yang penuh kebaikan.

Sempena hari guru semalam, saya menerima hadiah yang begitu istimewa. Demikian Allah susunkan....alhamdulillah...sebak kekesalan yang saya simpan bertahun-tahun itu akhirnya berakhir dengan kiriman sms ucapan Selamat Hari Guru serta doa dari pelajar yang pernah saya sakiti itu. Tiada ekspresi yang dapat menggambarkan perasaan saya...sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang serta Maha Mengabulkan doa..






Tuesday, May 10, 2016

Emel yang berbalas....

Silap saya yang selama ini tidak menyedari pentingnya membalas SETIAP emel pelajar sebaik-baiknya. Segala-galanya bermula apabila patah- patah perkataan ini tajam menusuk ke telinga saya..

"Yes Dr., I sent you email but you didn't reply"

Ya...bicara itu berat menatap dada dan fikiran saya. Owh...saya membiarkan kesilapan bertahun-tahun itu tanpa mempedulikan untuk memohon maaf atau bercakap dengan terus terang pada insan-insan yang hadir berkongsi ilmu bersama saya. Sungguh...tanpa mereka, pasti saya juga tenggelam dalam karat-karat pemikiran tanpa diasah daya intelek dan ingatannya. Allah jua yang mengizinkan saya dalam laluan ini...bersedia dan berusaha memenuhi niat dan menatap setiap mata dan hati yang datang untuk berkongsi ilmu.

Mulai semester ini, sebahagian besar assignment saya 'kerahkan' untuk dihantar melalui emel. Mulanya, saya bimbang andai kotak terima emel (inbox) saya berserabut...atau penuh dengan emel spam yang sibuk untuk 'dilayan'.

Namun..sebenarnya, ia jauh lebih baik dari meminta pelajar menghantar dalam bentuk hardcopies. Submission kekal dalam memori inbox selagi tidak di delete; dan ia juga mengelakkan meja tulis saya penuh dengan pelbagai nota dan assignment pelajar yang bercampur aduk dengan surat-surat dan segala fail akademik. Saya juga tidak lagi bimbang assignment pelajar hilang atau ada yang mendakwa telah menghantarnya tetapi tidak saya sedari.

Alhamdulillah...selepas menerima teguran pelajar tentang emel mereka yang tidak saya balas itu...saya mula menjawab emel pelajar-pelajar saya satu-persatu.

Saya tuliskan ayat ringkas namun tepat untuk menjelaskan maklumbalas serta langkah penambahbaikan. Saya nyatakan perlunya perbincangan lanjut andai ada output yang mereka tuliskan dalam frasa yang saya sendiri tidak fahami.

Subhanaallah...nyata majoriti mereka gembira sekali menerima maklumbalas ringkas saya. Kegembiraan yang sukar saya perincikan nada auranya di sini. Nota-nota  balasan yang mereka tuliskan, beserta dengan penghargaan serta hampir semua diakhiri dengan ucapan doa yang menyentuh ke dalam hati.

Mana mungkin ada hadiah yang lebih istimewa dari kata-kata penghargaan serta tulisan yang mendoakan.... terasa kecilnya diri saya....   Allahu akbar...






Saturday, May 7, 2016

Menyusun jalan kembali kepada Alquran

Bertahun-tahun saya membaca AlQuran tanpa mengambil usaha serius untuk memahaminya. Sangka saya, cukuplah dengan membaca..ia sudah dikira sebagai ibadah yang diredhai Allah.

Namun, selepas saya melalui beberapa fasa pembelajaran dan pengalaman, saya mula menyedari bahawa terdapat 'points' penting yang saya terlepas pandang. Sehingga menjadikan saya kadang-kadang 'clueless' dengan apa yang saya lakukan sebagai pengisian sebagai seorang muslim.

Sebaik menyedari kesilapan mengabaikan isi-isi alquran..iaitu saya hanya membaca secara mendatar tanpa memahami maksud sebenar, saya tercari-cari cara bagaimana atau pendekatan bagaimana perlu saya lakukan untuk mengatasi kesilapan dan kelemahan masa lalu.

Sesungguhnya, saya melakukan kesilapan terbesar apabila meninggalkan alquran sepenuhnya dalam konteks keilmuan, pembelajaran, cara hidup serta bimbingan-bimbingan yang perlu saya perolehinya dari Quran dan juga petunjuk sunnah.

Jalan kembali kepada Alquran bukan jalan mudah sepertimana kita mendengar radio, lagu-lagu atau menonton TV/ wayang cerita. Ia bukan usaha penuh berfoya-foya atau berpeleseran tanpa tujuan. Jauh sekali dalam mengharap pulangan dalam bentuk kefahaman mahupun kekuatan untuk menterjemahkannya dalam masa singkat.

Apatah lagi dalam dunia penuh dengan pengisian/ aktiviti online ini...kita kadang-kadang tenggelam dalam perbahasan dan isu yang tidak perlu serta mungkin membuang masa dalam keadaan yang tidak produktif.

Sesungguhnya saya mengambil masa yang cukup panjang untuk menyedari rutin yang saya rasakan tidak berdosa itu untuk ditinggal dan ditanggalkan sepenuhnya dari rutin kehidupan.

Ia merupakan jalan yang penuh dugaan. Jalan yang memerlukan komitmen dan pengorbanan.

Terpulang pada kita untuk memilih keutamaan dalam pengisian kehidupan. Sesungguhnya, dengan izin Allah jua apa yang kita doa dan harapkan bertepatan dengan keredhaanNya utk menjadi kenyataan.

Keajaiban yang tidak putus-putus terus berlaku sebaik saya menetapkan niat dan arah kehidupan untuk mempelajari alquran. Sesuatu yang selama ini saya rasa mustahil, namun kekuasaan Allah SWT adalah mutlak dan mengatasi segala-galanya. Subhanaallah, wal hamdulillah.

Betapa pula saya menyedari bahawa kerendahan hati dan ikhlas kembali memohon doa dan ampun dariNya adalah prerequisite sebelum kembara kembali kepada Alquran itu untuk kita lakukan. Tanpa kerendahan hati dan keikhlasan doa dan taubah...ia menjadi satu jalan yang berakhir tanpa tujuan...

Wednesday, May 4, 2016

Saya mohon nasihat dalam isu-isu berikut...

1. Pembuat dan penjual kuih- menbuka tempahan kuih dengan promosi utk disedekahkan sempena iftar di pusat anak yatim. Info dari beliau, sesiapa yg hajat bersedekah utk anak yatim berbuka puasa, boleh mesej beliau utk buat tempahan..

2. Penjual/ supplier buku utk pusat tahfiz membuka tempahan buku utk tujuan infaq sempena kejadian banjir. Sesiapa yg hajat nak buat infaq buku boleh hubungi syarikat mereka dan pilih bentuk-bentuk buku/ jumlah wang untuk diinfaq kan.

3. Pengendali kursus topik-topik utk mantapkan amalan sbg muslim. Menjemput pelajar/ anak yatim hadir, dalam masa yg sama membuka tawaran infaq utk sesiapa yg hajat utk menaja kehadiran pelajar/ anak yatim tersebut.

Saya terfikir, andai semua lapisan penjual/ peniaga termasuk nelayan mengguna idea yang sama:

Nelayan yg terhimpit dengan peraih yg dikatakan sering mengambil ikan mereka dgn harga yg murah...membuka tawaran infaq dari orangramai untuk menyedekahkan ikannya ke Pusat Anak Yatim/ orang miskin...

Atau peniaga jalanan, giat berkempen dapatkan dana utk sedekahkan kuih/ sayur jualannya utk disedekahkan ke dewan makan pusat tahfiz...

Saya tidak berniat utk memperlekeh sesiapa tapi hati saya tak comfortable dengan urusniaga yg ambil kesempatan atas nama agama..maafkan saya..

Tuesday, March 8, 2016

Ilmu dan kita...

Ilmu adalah platform untuk kita mengetahui apa jua di sekeliling kita; dengan ilmu juga kita kenal bahawa kita memerlukan Tuhan. Dengan ilmu kita kenal Tuhan serta bagaimana untuk mendekatkan diri dan hati padaNya. Dengan ilmu dan juga izin dari Allah SWT yang merupakan Tuhan kita, kita lakukan sesuatu untuk teruskan kehidupan di dunia yang sementara ini.

Ilmu sebenarnya bukanlah sandaran untuk kita ambil nilaiannya untuk kita bezakan taraf antara satu sama lain.

Puluhan tahun berlalu...

Hari ini...ilmu dituai untuk hasil yang digunakan untuk menunjuk-nunjuk kemampuan dan kehebatan seseorang. Ilmu sebahagian besarnya tersimpan atas kertas, nota, artikel dan buku. Sebahagian besar insan, ilmu yang dipelajarinya tidak digunakan untuk panduan dalam kehidupan, tidak juga digunakan untuk kembali dekat ke sisi Allah SWT, Tuhan yang telah menciptakan dirinya.

Majoriti insan merasakan ilmu itu miliknya dan ia dimilikinya untuk hebat, untuk bongkak, untuk kaya, untuk suka-ria terus merakamkan keputusan periksa dalam facebook dan whassap.

Kesilapan yang selama ini turut sama-sama saya dilakukan. Mungkin dosa-dosa yang tidak disedari menjadikan kita semua sukar mempelajari Alquran dan teladan sunnah..serta gagal menghayati wahyu suci Tuhan  dalam kehidupan.

Semoga Allah melindungi diri kita dari menyalahgunakan fungsi ilmu, semoga ilmu menjadikan kita sebagai insan yang mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT. Semoga Allah memelihara kita dari menggunakan ilmu yang menyebabkan kita bongkak menunjuk-nunjuk.

Tuesday, February 16, 2016

Tentang 'duit syiling'

Saya mempunyai tabiat yang tidak begitu baik…selalu memandang remeh syiling-syiling yang tertinggal di lantai mahupun yang saya jumpa bersepah di ruang meja atau di mana sahaja. Antara usaha saya mengatasi tabiat buruk itu dengan mengambil Tabung syiling Kemanusiaan milik sebuah NGO…yang mana  syiling yang saya kutip sebahagiannya saya masukkan ke dalam tabung itu.

Namun..tabiat itu tidak lama bertahan. Dalam majoriti peluang..jarang yang saya manfaatkan untuk dimasukkan dalam Tabung itu…tambahan pula, usaha memulangkan kembali Tabung itu saya anggap agak renyah, apatah lagi saya menganggap terlalu banyak soalan yang ditanya semasa saya memulangkan Tabung itu ke pihak berkenaan.

Satu hari..saya nampak ada beberapa kepingan syiling terdampar atas lantai bilik air. Saya biarkan sahaja kedudukannya. Dalam kelam kabut, saya bergegas keluar ke tempat kerja. Dalam perjalanan, saya singgah di Pejabat Pos untuk sesuatu urusan namun tanpa saya duga, dompet saya sebenarnya tertinggal di rumah. Lalu urusan saya di Pejabat Pos yang memerlukan wang itu hampir pasti terpaksa saya tangguh.

Namun, saya berhenti seketika sambil berfikir-fikir bahawa nilai yang saya perlukan tidaklah banyak. Hanya beberapa ringgit. Enjin kereta telah saya hidupkan, beberapa kali saya cuba beredar. Namun dalam hati saya seperti begitu positif bahawa syiling-syiling saya di dalam kereta mencukupi untuk menjelaskan nilai bayaran yang sepatutnya saya bayar.

Saya selongkar semua ruang yang saya sering nampak ada kepingan syiling. Hampir setiap pintu kereta saya buka, termasuk bonet. Saya kumpulkan satu persatu dan mengiranya berulangkali…Saya masih kekurangan kira-kira beberapa puluh sen. Owh..saya bagai digaru-garu kekesalan kerana memandang remeh pada kepingan syiling-syiling itu selama ini.

Saya tidak berputus asa. Saya terus lagi menyelongkar ruang di dalam kereta. Tempat yang sama saya ulangi..termasuk menyelak di bawah alas kaki. Saya bertemu lagi beberapa keping. Namun masih kekurangan sepuluh sen.

Subhanaallah..saya hampir menangis. Terasa benar nikmat yang Allah beri untuk saya selama ini tidak sedikitpun saya hargai dan syukuri. Saya hampir sahaja menyerah kalah…tiba masa untuk saya terus beredar dari Pejabat Pos. Temujanji di tempat kerja saya tangguhkan seketika. Namun untuk berpatah balik ke Pejabat Pos sekali lagi, ia mengambil masa yang agak panjang. Ini adalah satu pengalaman yang perlu saya ambil iktibar sungguh-sungguh. Dalam hati..saya ulang-ulangkan doa..Ya Allah, cukupkan keperluan untuk saya.

Saya menyelongkar sekali lagi. Kali ini saya menyelak lipatan alas tempat duduk berdekatan kotak gear. Alhamdulillah…ada beberapa keping lagi yang tertinggal di situ. Melebihi  nilai sepuluh sen yang saya perlukan.

Sebenarnya..nilai syiling itu BESAR nilainya. Terpulang bagaimana kita menilai dan menghargainya serta bersyukur atas pemberian Allah SWT.

Trend peniaga kini sering meminta wang syiling tambahan dari harga bayaran untuk menggenapkan baki wang yang perlu dipulangkan. Saya berfikir, saya tidak rugi apa-apa jika saya memilih untuk menghalalkan baki syiling itu pada peniaga…apatah lagi mereka yang ikhlas mencari rezeki tanpa meminta-minta.

Seorang penjual makanan yang pertama kali saya membeli lauk darinya…membuka kembali ikatan getah lauk ikan patin yang telah saya ikat sempurna. Satu tindakan yang sebenarnya menjengkelkan saya…namun saya diam. Apalah salahnya dia bertanya elok-elok pada saya..saya mahu membeli, bukan mencuri lauk-pauknya tanpa dibayar. Apabila ditanya jumlah bayaran, beliau menyebut RM 8.50. Sangka saya harganya lebih mahal dari itu. Saya nampak beliau terkial-kial mencari wang baki.. seketika kemudian, beliau nampak termangu apabila saya memberikan isyarat padanya untuk menyimpan sahaja baki yang sepatutnya beliau pulangkan.

Sebentar tadi..penjual sebuah restoren di Kota Warisan. Saya meminta beberapa jenis lauk untuk dibungkus. Disebabkan suara saya serak akibat jangkitan di kerongkong, saya sekadar memerhatikan tugasannya mengambil lauk-lauk itu. Apabila ditanya jumlah harga, beliau menyebut RM14.50. Saya berikan RM15, sambil saya beri isyarat untuk beliau menyimpan baki lima puluh sen. Spontan..kalimah 'alhamdulillah' keluar dari bibirnya. Lafaz itu begitu indah sekali kedengaran di hati saya…Saya bergegas keluar. Sambil beliau menyambung..terima kasih puan. Moga Allah tambah berkat rezeki puan. Saya jual ya puan..minta halal. Katanya lagi (lebih kurang).

Owh…hati saya benar-benar tersentuh. Nilai lima puluh sen yang kecil itu…menjadi sebab lafaz mulia puji dan syukur pada Allah SWT dan menjadi doa buat insan kerdil seperti saya…Subhanaallah.

Friday, February 12, 2016

Mencari "wahhabi"..

Saya harap isu ini sekadar menggamit minda dan usaha kita untuk belajar dan dekat dengan quran dan sunnah.

Semasa saya kecil dahulu, saya masih ingat perbualan insan-insan yang dekat dengan saya memperkecilkan hajat suatu keluarga yang mensyaratkan tidak dibacakan talqin kepada ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Perbualan itu di kalangan individu awam yang tidak mahir soalan fiqh serta bukan di kalangan mereka yang faham Arab serta quran dan sunnah. Jelas dalam perbualan itu, bagai bibit kebencian kepada mereka yang tidak bersetuju dengan amalan talqin.(Talqin sesudah jenazah dikebumikan tidak pernah ditunjukkan/diajar oleh Nabi Muhammad SAW)

Apabila saya mula menduduki menara gading serta aktif berusrah, fokus keilmuan pada masa itu adalah mendidik hati untuk kembali menghayati quran dan sunnah. Banyak dimensi serta orientasi yang membawa fikiran kami untuk berfikir secara positif dalam konteks membina ummah. Meskipun ada perbezaan antara kumpulan-kumpulan usrah ketika itu, namun kami mampu berganding bahu dalam apa jua aktiviti kampus serta saling bantu membantu.

Tidak pernah timbul isu "wahhabi" atau pertelingkahan yang melibatkan kumpulan-kumpulan tertentu. Yang ada di hadapan kami ketika itu hanyalah niat untuk kembali melaksanakan islam yang syumul.

Cuma saya yang ketika itu masih termanggu-manggu kerana masih belum menguasai bahasa arab yang memampukan saya menguasai kefahaman alquran dan kitab-kitab berbahasa arab.

Puluhan tahun berlalu..dalam fasa singkat yang menemukan pintu buat saya kembali untuk belajar tentang quran dan sunnah; saya sekali lagi termanggu. Betapa selama ini, sumber asal yang berada di hadapan mata tidak saya peduli.

Semasa menemui 'pintu' itu saya juga tidak faham pada mulanya tentang apa yang dikatakan sebagai "Orang Asing" dalam suasana islam pada hari ini. Lama saya berfikir..merenung kembali frasa-frasa yang membahagikan kelompok ummah mengikut kumpulan. Akhirnya saya yakin, bahawa kita sebagai muslim ini  adalah satu kumpulan/ jemaah selagimana kita kembali patuh kepada quran dan sunnah yang terpelihara. Sesuatu yang sangat asing untuk dilaksanakan dalam konteks pada hari ini.

Kemudian, saya mula didengarkan tentang isu-isu individu/ kumpulan yang disebut "wahhabi".

Saya cuba mencari ciri-ciri "wahhabi" dalam kumpulan yang dikatakan "wahhabi" itu. Apabila dibentangkan bukti secara ilmiah rujukan asas quran dan hadith-hadith sahih… saya semakin keliru dengan identiti kumpulan yang dikatakan "wahhabi".

Lebih terkejut apabila saya dapati mereka yang berusaha mengamalkan quran dan sunnah itulah yang ditunjukkan oleh majoriti manusia sebagai "wahhabi".

Lebih terkejut apabila ciri-ciri wahhabi itu tidak pernahpun saya dapati dalam kumpulan yang dikatakan wahhabi itu. Entah dari mana label itu datang; entah dari sudut mana pula tuduhan yang tidak pernah wujud itu dicanangkan sehingga menjurus kepada melabelkan kumpulan wahhabi itu sebagai penyembah berhala dan pengganas.

Mengapa manusia yang mengamalkan quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa mencampur adukkan dengan amalan dan budaya bangsa dikatakan "wahhabi"?

Bagaimana pula identiti mulia untuk kembali ke sumber yang benar itu dicemari pula dengan tuduhan penyembah berhala dan pengganas?

Sesungguhnya, hidayah dan taufik itu dari Allah SWT jua. Laluan saya sebagai pelajar AlQuran dan Bahasa Arab pada masa ini tidak menidakkan hakikat bahawa kekeliruan ini berpunca dari sebahagian kumpulan yang TIDAK MEMAHAMI QURAN, HADITH SERTA BAHASA ARAB secara ilmiah.

Mereka yang meneruskan perjuangan bermati-matian menghina kelompok 'wahhabi" adalah sekadar menyokong apa yang disebut oleh individu yang mereka yakini sedangkan hakikat jelas menunjukkan bahawa mereka yang tidak langsung menghayati Quran dan sunnah. Gelagat berapi-api penuh emosi terus menyokong golongan yang tahap pemikirannya tidak mencapai tahap optima sebagai ilmuwan yang bijaksana.

Kembalilah belajar quran dan sunnah dalam bahasa asalnya. Pasti di situ kita akan bertemu dengan insan-insan yang dikatakan "wahhabi"...



Wednesday, January 27, 2016

Surah Yusuf - Beautiful Patience

Pertama kali saya duduk mendengar kupasan tafseer Surah Yusuf. Nada ayat demi ayat begitu mengasyikkan, jauh menembusi pancaindera dan berbekas di hati.

Gambaran emosi turun dan naik…episod kesusahan demi kesusahan. Di'tikam' dari belakang oleh insan-insan yang dekat dengan baginda (a.s). Betapa pula dalam setiap episod itu, Allah SWT memberikan petunjuk dan tanda-tanda penuh hikmah buat baginda (a.s) namun sketsa setiap ujian itu dihadapinya dengan  skrip penyelesaian yang INDAH sekali.

Beberapa kali saya menangis. Tatkala dibacakan dan diberikan tafsiran serta hungan dengan sirah dan juga realiti kehidupan. Banyak sebenarnya perkataan yang mempunyai hubungan dalam turutan ayat-ayat dalam surah berkenaan. Fokus yang pernah dan sedang saya pelajari di dalam Bahasa Arab untuk memahami Al Quran, menggetarkan emosi dan fikiran bahawa mukjizat Allah SWT ini sebenarnya sangat dekat untuk kita hayati dalam kehidupan.

Apa yang saya pelajari sepanjang dua hari itu mengenai Surah Yusuf.

1. Kehidupan adalah ujian.

2. Seseorang yang dikasihi Allah SWT, akan sentiasa diuji.

3. Setiap ujian, Allah sediakan penyelesaian. Terpulang untuk kita kita pilih penyelesaian mana yang diredhai Allah SWT.

4. Musuh manusia adalah syaitan.

5. Ujian terbesar untuk lelaki adalah gelora seksual; manakala untuk wanita gelora untuk bergossip sesama sendiri (LIDAH DAN MULUT).

6. Kita perlu tutup kesilapan/ aib seseorang walaupun nyata individu itu melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap diri kita.

7. Berda'wah dalam apa jua keadaan dengan menggunakan pendekatan yang sesuai dan hikmah.

8. SENTIASA memaaf dan melupakan kesalahan seseorang; WALAU dalam keadaan berpeluang membalas dendam.

9. Sentiasa berdoa untuk bersama mereka yang soleh; serta dikembalikan kepada Allah (dimatikan) sebagai muslim.