Saya mempunyai tabiat yang tidak begitu baik…selalu memandang remeh syiling-syiling yang tertinggal di lantai mahupun yang saya jumpa bersepah di ruang meja atau di mana sahaja. Antara usaha saya mengatasi tabiat buruk itu dengan mengambil Tabung syiling Kemanusiaan milik sebuah NGO…yang mana syiling yang saya kutip sebahagiannya saya masukkan ke dalam tabung itu.
Namun..tabiat itu tidak lama bertahan. Dalam majoriti peluang..jarang yang saya manfaatkan untuk dimasukkan dalam Tabung itu…tambahan pula, usaha memulangkan kembali Tabung itu saya anggap agak renyah, apatah lagi saya menganggap terlalu banyak soalan yang ditanya semasa saya memulangkan Tabung itu ke pihak berkenaan.
Satu hari..saya nampak ada beberapa kepingan syiling terdampar atas lantai bilik air. Saya biarkan sahaja kedudukannya. Dalam kelam kabut, saya bergegas keluar ke tempat kerja. Dalam perjalanan, saya singgah di Pejabat Pos untuk sesuatu urusan namun tanpa saya duga, dompet saya sebenarnya tertinggal di rumah. Lalu urusan saya di Pejabat Pos yang memerlukan wang itu hampir pasti terpaksa saya tangguh.
Namun, saya berhenti seketika sambil berfikir-fikir bahawa nilai yang saya perlukan tidaklah banyak. Hanya beberapa ringgit. Enjin kereta telah saya hidupkan, beberapa kali saya cuba beredar. Namun dalam hati saya seperti begitu positif bahawa syiling-syiling saya di dalam kereta mencukupi untuk menjelaskan nilai bayaran yang sepatutnya saya bayar.
Saya selongkar semua ruang yang saya sering nampak ada kepingan syiling. Hampir setiap pintu kereta saya buka, termasuk bonet. Saya kumpulkan satu persatu dan mengiranya berulangkali…Saya masih kekurangan kira-kira beberapa puluh sen. Owh..saya bagai digaru-garu kekesalan kerana memandang remeh pada kepingan syiling-syiling itu selama ini.
Saya tidak berputus asa. Saya terus lagi menyelongkar ruang di dalam kereta. Tempat yang sama saya ulangi..termasuk menyelak di bawah alas kaki. Saya bertemu lagi beberapa keping. Namun masih kekurangan sepuluh sen.
Subhanaallah..saya hampir menangis. Terasa benar nikmat yang Allah beri untuk saya selama ini tidak sedikitpun saya hargai dan syukuri. Saya hampir sahaja menyerah kalah…tiba masa untuk saya terus beredar dari Pejabat Pos. Temujanji di tempat kerja saya tangguhkan seketika. Namun untuk berpatah balik ke Pejabat Pos sekali lagi, ia mengambil masa yang agak panjang. Ini adalah satu pengalaman yang perlu saya ambil iktibar sungguh-sungguh. Dalam hati..saya ulang-ulangkan doa..Ya Allah, cukupkan keperluan untuk saya.
Saya menyelongkar sekali lagi. Kali ini saya menyelak lipatan alas tempat duduk berdekatan kotak gear. Alhamdulillah…ada beberapa keping lagi yang tertinggal di situ. Melebihi nilai sepuluh sen yang saya perlukan.
Sebenarnya..nilai syiling itu BESAR nilainya. Terpulang bagaimana kita menilai dan menghargainya serta bersyukur atas pemberian Allah SWT.
Trend peniaga kini sering meminta wang syiling tambahan dari harga bayaran untuk menggenapkan baki wang yang perlu dipulangkan. Saya berfikir, saya tidak rugi apa-apa jika saya memilih untuk menghalalkan baki syiling itu pada peniaga…apatah lagi mereka yang ikhlas mencari rezeki tanpa meminta-minta.
Seorang penjual makanan yang pertama kali saya membeli lauk darinya…membuka kembali ikatan getah lauk ikan patin yang telah saya ikat sempurna. Satu tindakan yang sebenarnya menjengkelkan saya…namun saya diam. Apalah salahnya dia bertanya elok-elok pada saya..saya mahu membeli, bukan mencuri lauk-pauknya tanpa dibayar. Apabila ditanya jumlah bayaran, beliau menyebut RM 8.50. Sangka saya harganya lebih mahal dari itu. Saya nampak beliau terkial-kial mencari wang baki.. seketika kemudian, beliau nampak termangu apabila saya memberikan isyarat padanya untuk menyimpan sahaja baki yang sepatutnya beliau pulangkan.
Sebentar tadi..penjual sebuah restoren di Kota Warisan. Saya meminta beberapa jenis lauk untuk dibungkus. Disebabkan suara saya serak akibat jangkitan di kerongkong, saya sekadar memerhatikan tugasannya mengambil lauk-lauk itu. Apabila ditanya jumlah harga, beliau menyebut RM14.50. Saya berikan RM15, sambil saya beri isyarat untuk beliau menyimpan baki lima puluh sen. Spontan..kalimah 'alhamdulillah' keluar dari bibirnya. Lafaz itu begitu indah sekali kedengaran di hati saya…Saya bergegas keluar. Sambil beliau menyambung..terima kasih puan. Moga Allah tambah berkat rezeki puan. Saya jual ya puan..minta halal. Katanya lagi (lebih kurang).
Owh…hati saya benar-benar tersentuh. Nilai lima puluh sen yang kecil itu…menjadi sebab lafaz mulia puji dan syukur pada Allah SWT dan menjadi doa buat insan kerdil seperti saya…Subhanaallah.
No comments:
Post a Comment