Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, February 12, 2016

Mencari "wahhabi"..

Saya harap isu ini sekadar menggamit minda dan usaha kita untuk belajar dan dekat dengan quran dan sunnah.

Semasa saya kecil dahulu, saya masih ingat perbualan insan-insan yang dekat dengan saya memperkecilkan hajat suatu keluarga yang mensyaratkan tidak dibacakan talqin kepada ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Perbualan itu di kalangan individu awam yang tidak mahir soalan fiqh serta bukan di kalangan mereka yang faham Arab serta quran dan sunnah. Jelas dalam perbualan itu, bagai bibit kebencian kepada mereka yang tidak bersetuju dengan amalan talqin.(Talqin sesudah jenazah dikebumikan tidak pernah ditunjukkan/diajar oleh Nabi Muhammad SAW)

Apabila saya mula menduduki menara gading serta aktif berusrah, fokus keilmuan pada masa itu adalah mendidik hati untuk kembali menghayati quran dan sunnah. Banyak dimensi serta orientasi yang membawa fikiran kami untuk berfikir secara positif dalam konteks membina ummah. Meskipun ada perbezaan antara kumpulan-kumpulan usrah ketika itu, namun kami mampu berganding bahu dalam apa jua aktiviti kampus serta saling bantu membantu.

Tidak pernah timbul isu "wahhabi" atau pertelingkahan yang melibatkan kumpulan-kumpulan tertentu. Yang ada di hadapan kami ketika itu hanyalah niat untuk kembali melaksanakan islam yang syumul.

Cuma saya yang ketika itu masih termanggu-manggu kerana masih belum menguasai bahasa arab yang memampukan saya menguasai kefahaman alquran dan kitab-kitab berbahasa arab.

Puluhan tahun berlalu..dalam fasa singkat yang menemukan pintu buat saya kembali untuk belajar tentang quran dan sunnah; saya sekali lagi termanggu. Betapa selama ini, sumber asal yang berada di hadapan mata tidak saya peduli.

Semasa menemui 'pintu' itu saya juga tidak faham pada mulanya tentang apa yang dikatakan sebagai "Orang Asing" dalam suasana islam pada hari ini. Lama saya berfikir..merenung kembali frasa-frasa yang membahagikan kelompok ummah mengikut kumpulan. Akhirnya saya yakin, bahawa kita sebagai muslim ini  adalah satu kumpulan/ jemaah selagimana kita kembali patuh kepada quran dan sunnah yang terpelihara. Sesuatu yang sangat asing untuk dilaksanakan dalam konteks pada hari ini.

Kemudian, saya mula didengarkan tentang isu-isu individu/ kumpulan yang disebut "wahhabi".

Saya cuba mencari ciri-ciri "wahhabi" dalam kumpulan yang dikatakan "wahhabi" itu. Apabila dibentangkan bukti secara ilmiah rujukan asas quran dan hadith-hadith sahih… saya semakin keliru dengan identiti kumpulan yang dikatakan "wahhabi".

Lebih terkejut apabila saya dapati mereka yang berusaha mengamalkan quran dan sunnah itulah yang ditunjukkan oleh majoriti manusia sebagai "wahhabi".

Lebih terkejut apabila ciri-ciri wahhabi itu tidak pernahpun saya dapati dalam kumpulan yang dikatakan wahhabi itu. Entah dari mana label itu datang; entah dari sudut mana pula tuduhan yang tidak pernah wujud itu dicanangkan sehingga menjurus kepada melabelkan kumpulan wahhabi itu sebagai penyembah berhala dan pengganas.

Mengapa manusia yang mengamalkan quran dan ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa mencampur adukkan dengan amalan dan budaya bangsa dikatakan "wahhabi"?

Bagaimana pula identiti mulia untuk kembali ke sumber yang benar itu dicemari pula dengan tuduhan penyembah berhala dan pengganas?

Sesungguhnya, hidayah dan taufik itu dari Allah SWT jua. Laluan saya sebagai pelajar AlQuran dan Bahasa Arab pada masa ini tidak menidakkan hakikat bahawa kekeliruan ini berpunca dari sebahagian kumpulan yang TIDAK MEMAHAMI QURAN, HADITH SERTA BAHASA ARAB secara ilmiah.

Mereka yang meneruskan perjuangan bermati-matian menghina kelompok 'wahhabi" adalah sekadar menyokong apa yang disebut oleh individu yang mereka yakini sedangkan hakikat jelas menunjukkan bahawa mereka yang tidak langsung menghayati Quran dan sunnah. Gelagat berapi-api penuh emosi terus menyokong golongan yang tahap pemikirannya tidak mencapai tahap optima sebagai ilmuwan yang bijaksana.

Kembalilah belajar quran dan sunnah dalam bahasa asalnya. Pasti di situ kita akan bertemu dengan insan-insan yang dikatakan "wahhabi"...



No comments: