Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, February 23, 2017

Pesona kilauan harta dan permata..

Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan sesiapa. Jauh sekali untuk menghukum atau menyatakan sesuatu berkenaan pendosa yang berkaitan harta dan permata.

Sungguh dugaan bersaing sesama insan dalam status dan harta merupakan antara mujahadah yang sangat hebat. Jika bukan kerana ikatan aqidah dan motivasi yang Allah pesan dalam Quran mahupun petunjuk sunnah dari nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta tabi'in..pastinya delusi demi delusi oleh syaitan yang datang dalam pelbagai rupa mudah menyebabkan tertewasnya jiwa.

Pada usia yang semakin dekat pada pengakhirannya, kita semua sangat pasti akan satu saat ketibaannya. Namun, kedatangan saat  kematian itu masih ghaib, sama seperti janji Allah pada hisab pahala atau dosa, atau pada balasan syurga atau neraka. Ghairah pesona pada bentuk kemegahan yang berupa harta, kemewahan tatkala bercuti di luar negara, atau pada kenderaan mewah yang menawan mata...mengaburi hakikat yang bakal dilalui oleh semua. Demikian juga pada lirik mata atau lisan yang seperti menyindir apa yang kita ada tidak seperti yang ada pada mereka, memberi ilham bicara seolah-olah harta dan permata itu kekal hingga ke bila-bila waktunya.

Bicara malam ini membuka rahsia yang selama ini tidak saya peduli. Rupa-rupanya kemewahan yang mereka raih selama ini, hasil dari pakej demi pakej kecantikan atau awet muda. Bukan perjuangan untuk membantu menyembuhkan mereka yang sakit, atau membantu mereka yang dilanda masalah kesihatan semakin pulih untuk beribadah sebaik-baiknya.

Langsung rasa penghormatan pada kerjaya doktor ini..saya rasa berbaur kelam dengan tamparan hebat pesona wang dan harta. Antara pakej ubat rawatan puluhan ringgit dan pakej kosmetik kecantikan ribuan ringgit, insan itu mengkisahkan kepada saya....biarlah dirinya kekal dalam pakej puluhan ringgit, tak mengapa. Dia tersenyum redha...

Saya beristighfar berkali-kali. Moga saya dan insan yang berkongsi bicaranya dikayakan Allah dengan doa-doa insan yang berkongsi kebaikannya dalam kehidupan sementara ini..


Wednesday, February 15, 2017

Skrip dalam sebuah perjalanan

Saya pernah terbaca tentang catatan buku kehidupan. Buku yang bagaimana hendak kita hasilkan, adalah sesuatu yang sebenarnya kita pilih sendiri. You're the author of you own book of life

Itulah catatan waktu ke waktu. Ruang yang kita isikan sebagai apa yang kita lalui sebagai pengalaman atau cerapan. Kita yang memilih, merancang dan cuba memenuhi apa yang dihajatkan. Tidak pula melupakan hakikat qadha' dan qadr..segala-galanya merupakan liputan Allah AlMuhit.

Hingga ke tahap ini, saya saksikan pelbagai siri demi siri keajaiban. Dan sebagai insan yang penuh dengan kesilapan, saya tak menolak, dalam masa yang saya..saya turut terkesima dengan pengalaman penuh pahit dan menyedihkan.

Usia yang semakin mendekati separuh abad...saya juga turut menghargai apa yang dinamakan 'wisdom' (bijaksana). Adalah sia-sia untuk melepaskan kemarahan atau tindakbalas agresif apabila diuji dengan kata-kata yang memprovokasi kemarahan. Saya yakin..masa-masa itu untuk saya sudah lama berlalu.

Saya sudahpun memaafkan semuanya, walau ada situasi yang melukakan itu baru sahaja saya ketahui. Saya sudah sedia maafkan..tanpa syarat dan tanpa keadaan. Tidak perlu perkataan 'jika' atau sebarang syarat untuknya. Saya harap..tiada beban dan dendam di hati untuk melepaskan segalanya.

Perjalanan saya untuk terus memuliakan isi kandungan AlQuran, nyata merupakan perjuangan yang sangat hebat, sangat mencabar. sayalah juga yang kadang-kadang bergelut dalam perjuangan diri dan hati. Namun, segalanya ini tidak mungkin mampu saya lalui tanpa kasih sayang dan bantuan Allah swt. Allah lah jua yang mengaturkan segala-galanya. Dan Dialah juga yang mengizinkan skrip terbaik yang saya pilih untuk perjalanan kehidupan ini.

Tiada siapa juga menduga..impian saya selama puluhan tahun untuk melihat wujud kurikulum doktor perubatan yang menghargai deenul Islam dalam membentuk jiwa bakal-bakal doktor dalam sebuah universiti sekular, Allah izinkan ianya menjadi kenyataan. Parallel Islamic Curriculum, akhirnya bakal dibincang dan diminitkan. Saya serahkan pada Allah SWT untuk memudahkan seterusnya  laluan demi laluan. Moga anak-anak pelajar saya semuanya memilih skrip yang terbaik untuk kehidupan mereka, dan semoga mereka mengenal Al Quran dalam kehidupan..