Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, December 24, 2015

Tentang Maulidur Rasul...

Saya tidak bermaksud untuk memanjangkan isu perbahasan mengenai konteks maulidur rasul menurut dimensi sunnah mahupun bid'ah. Saya bukan ustazah…bukan juga ilmuwan agama yang mempunyai hujah sahih untuk memberikan pendapat-pendapat yang perlu dihujahkan.

Namun sambutan Maulidur Rasul ini memberikan kenangan yang sangat hebat dalam jiwa saya. Di zaman kanak-kanak dahulu saya melaluinya sebagai acara tahunan yang menemukan saya dengan insan-insan yang memelihara hubungan sosialnya sesama jiran, warga masjid serta menghubungkan ukhuwah antara guru-guru sekolah agama, saya dan rakan-rakan sebagai murid serta warga kampung yang begitu pemurah sudi menjamu kami dengan hidangan yang istimewa.

Saya bersetuju dengan sebahagian besar pandangan yang mengemukakan dalil bahawa perayaan itu tiada dalam agama kita. Memang betul…selama ini juga saya menganggapnya bukan satu perayaan. Ia sekadar platform masyarakat untuk saling memperingatkan tentang insan yang kita kasihi, yang kehidupannya diperjuangkan untuk menyampaikan nikmat Islam ini kepada kita semua. Secara tidak langsung, kami saling mengenal. Saling membantu dalam mewujudkan keharmonian serta kerjasama baik dalam strata masyarakat. Saya tidak pernah menganggapnya sebagai kewajipan aqidah atau berkaitan dengan ibadah.

Ambillah kebaikan-kebaikan yang boleh dikongsikan sesama insan. Ianya jauh lebih baik dari mencalarkan ukhuwah dalam bahasa-bahasa yang menjauhkan masyarakat dari da'wah. Sudah pasti kaedah terbaik meraikan kelahiran baginda SAW adalah seperti yang disebutkannya dalam hadith sahih iaitu untuk kita berpuasa setiap Isnin..

Wednesday, December 23, 2015

Bayangan 'Mus'ab bin Umair' di Masjid Wilayah...

Pengalaman belajar Bahasa Arab secara intensif di Masjid Wilayah ogos lalu menemukan saya dengan beberapa insan yang merupakan sukarelawan Masjid tersebut. Begitu tenang sekali tatkala menelusuri kelana selama sebulan berada di Masjid tersebut, dan sukar untuk saya lupakan kenangan manis bersama Bayyinah serta sahabat-sahabat yang lama saya kenali dan juga yang pertama kali saya temui dalam majlis ilmu ketika itu.

Apabila dihulurkan borang untuk memohon sebagai sukarelawan, saya tidak teragak-agak untuk mengisinya. Peluang itu yang merupakan 'milestone' baru dalam perjalanan saya untuk mendalami usaha da'wah serta belajar dari mereka yang lebih tahu.

Beberapa bulan saya bertugas di Masjid tersebut, pengalaman siang tadi menyentuh dan menggetar perasaan saya. Saya berpeluang duduk berbicara dengan seorang remaja perempuan berbangsa Cina berusia 17 tahun. Hadir ke Masjid bersama ibu dan dua adik-adiknya. Dengan satu niat, memperjelaskan pengetahuannya tentang masjid dan Islam. Saya nyata terpaku menerima kehadirannya. Beliau dibawa masuk melawat kawasan masjid serta diberikan penjelasan tentang Masjid oleh sahabat saya seorang sukarelawan muslim berbangsa Cina.

Dalam kesempatan bersembang saya dekati  dia dengan bahasa mudah, lalu bertanya padanya. "What make you come to this masjid?"

Jujur..saya begitu curious apabila berdepan dengan insan muda belia, belasan tahun dengan segenap kekuatan yang ada pada mereka sebagai remaja. Namun, mencipta kelainan berbanding remaja seusianya apabila hadir ke masjid dengan niat yang begitu mulia. Pengalaman saya mengajar lebih sepuluh tahun ini nyata berbeza apabila berhadapan dengan individu sepertinya.

Sambil tersenyum dia memulakan patah-patah bicaranya. Rancangan asal untuk melawat Masjid bersama rakannya dari Jerman tidak menjadi. Namun, beliau terus dengan niatnya untuk hadir juga ke Masjid itu. Meskipun sendirian dengan keluarganya.

Tanpa saya tanya, dia tidak segan menceritakan bagaimana seorang rakan baiknya telah memberikan ilham untuknya mengetahui tentang masjid dan Islam.

Beliau menceritakan bahwa sahabat baiknya itu…"He has a very much impact on me"

Cerita remaja berbangsa Cina itu lagi bahawa rakan baiknya itu adalah seorang muslim, pernah menjadi atheis dalam kehidupan sebelum itu. Namun, kehidupan peribadi sahabatnya itu yang tidak bertangguh dalam usaha seharian (ciri unik yang sering tidak ada dalam remaja-remaja seusia mereka) ,  dan kini mengamalkan Islam dengan penuh kesungguhan,  sangat menarik perhatiannya. Dia tidak segan untuk terus berbicara bahawa rakan baiknya itu seorang yang open minded, mudah berbicara, sering memberikan nasihat yang baik buatnya.

Tanpa saya sedar, saya membayangkan insan itu dan kebaikan-kebaikannya. Betapa pula bayangan saya itu, menggetarkan sanubari..jauh ke sudut hati.

Subhanallah..subhanallah.

Betapa dalam kemelut remaja hari ini dengan isu-isu sosial yang sering dibahaskan, namun wujud lagi insan dengan karakter baik yang mengingatkan saya dengan sahabat Rasullullah SAW bernama Mus'ab bin Umair r.a.

Saya perhatikan remaja yang hadir ke masjid itu penuh kesungguhan memerhatikan kami solat serta bertanyakan segala aspek yang ingin diketahuinya. Semoga Allah membuka hatinya untuk menerima taufik dan hidayah. Doa saya untuknya yang bernama Karen..






Wednesday, December 16, 2015

Antara komitmen hadir majlis ilmu dan menterjemahkan ilmu dalam kehidupan...

Saya sebelum ini sukar membezakan hadir mendengar ilmu, sibuk dengan majlis-majlis ilmu, sibuk memahamkan ilmu dan  untuk mengamalkan apa yang telah didengar dari ilmu itu.

Menyedari diri yang memerlukan reminder dari masa ke semasa,  saya cuba isikan masa dengan majlis ilmu untuk dihadiri, sama ada secara langsung atau melalui kuliah online atau melalui diskusi dan perbincangan. Pantang mendengar kuliah atau tajuk seminar yang menarik.

Namun di suatu tahap, saya bagai tersentak apabila saya dinasihatkan untuk 'berehat' seketika. Yang tersayang memberi isyarat untuk tidak menyibukkan dengan majlis-majlis ilmu dahulu. Saya agak terpinga juga, mencari-cari apa yang tersirat sebenarnya.

Lama juga saya berfikir..yang akhirnya saya menemui jawapan; bahawa majlis ilmu yang dihadiri itu tidak bermakna jika apa yang dinasihatkan untuk diamalkan hanya tertinggal dalam catitan. Majlis ilmu yang dihadiri, keutamaannya ialah beramal dengan apa yang didengar. Bukan sibuk mendengar segala BAGAI…tapi hati terus kosong dan tiada niat untuk berubah.



Monday, December 14, 2015

Barakah itu dari Allah jua...

Pertama kali saya mendengar tentang terjemahan barakah adalah ketika saya belajar tafseer Surah AlMulk bersama Syeikh Redha Bedeir di AlMaghrib beberapa tahun dahulu. Saat itu baru saya tahu bahawa barakah itu adalah kebaikan yang sentiasa bertambah dan terus bertambah dan terus menerus bertambah.

Dalam bahasa kita, kita sebutkan berkat. Ada yang menyebut hidup tanpa restu ibubapa adalah hidup yang tidak berkat. Atau ilmu yang tidak mampu mendidik seseorang mengamalkan kebaikan ilmu itu, dikatakan ilmu berkenaan tidak berkat. Tidak berkat dikaitkan dengan nikmat atau kebaikan yang terputus. Lalu sebelum ini jika disebut berkat atau barakah, saya sekadar mengaitkannya pada contoh terhad…dan tidak saya tahu bahawa tafsirannya jauh lebih luas daripada itu.

Dunia akademik yang saya ceburi selama ini menemukan banyak contoh bagaimana Allah sentiasa mrmbuka pintu barakah untuk kita pilih. Barakah imu, masa, usia, usaha, keutamaan serta apa jua yang kita sangat inginkan.

Pernah satu ketika dahulu semasa saya menyiapkan tesis di peringkat sarjana, saya perlu hantarkan draf penulisan itu dalam tempoh 24 jam. Namun, permintaan keluarga saya ketika itu untuk menghantar pulang ibu saya jauh ke selatan tanahair sekembali beliau dari menunaikan umrah. Saya terima permintaan itu, dan saya serahkan pada Allah untuk bantu saya menyiapkan penulisan tesis berkenaan. Di luar jangkaan saya, Allah kurniakan barakah waktu buat saya yang mana tesis berkenaan saya siapkan pada malam itu juga (saya berjaga malam hingga awal pagi) dan kami bertolak balik ke Bangi jam 4 pagi. Sesuatu yang bagi saya ajaib apabila tesis itu berjaya saya siapkan dengan izin Allah tanpa banyak pembetulan pada pagi berikutnya.

Semasa saya mula belajar Bahasa Arab dari Bayyinah, Ustaz Nouman sering mengungkapkan konsep barakah. Yang saya terus ingat tazkirah beliau, sesuatu yang kita buat semata-mata mengharap keredhaan Allah, Allah will put barakah in it. Beliau sebut usahanya dalam mengajar dan berkongsi ilmu bahasa arab untuk masyarakat memahami alquran dan bacaan di dalam solat, pengalamannya menemukan betapa realiti barakah itu Allah izinkan buat beliau dan team Bayyinah untuk terus menyampaikan kebaikan mereka di dalam bidang berkenaan.

Berbekal usaha, doa dan tawakkal pada Allah SWT, saya turut berdikit-dikit memulakan kelas Bahasa Arab untuk memahami AlQuran. Sudah tentu bidang ini di luar jangkaan saya. Satu usaha yang selama ini saya tidak pernah terfikir untuk melakukannya. Namun untuk menyahut cabaran serta menebus kekhilafan saya selama ini yang mengabaikan bahasa tersebut dalam kehidupan, saya mula menyinsing usaha-usaha yang sebenarnya saya niatkan untuk berkongsi di samping memanfaatkan ilmu yang sedang saya belajar dari Bayyinah secara online.

Kelas saya yang pertama hanya dua orang. Kemudian, datang seorang demi seorang. Yang mana, hampir setiap minggu individu yang hadir bertukar ganti meskipun ada beberapa di kalangan mereka yang agak konsisten.

Saya tetap niatkan di dalam hati, saya hanya ingin mengikut jejak langkah Ustaz Nouman dan team Bayyinah untuk berkongsi kebaikan Alquran serta menghargai kitab suci itu sebagai mukjizat agung dalam kehidupan kita sebagai muslim.  Saya tidak pernah terfikir tentang yuran, saya tidak anggap beban pengajaran atau penyelidikan sebagai alasan untuk saya batalkan kelas berkenaan. Meskipun sering saya perlu buat ulangan demi ulangan, namun akhirnya saya akur bahawa ulangan-ulangan itu sebenarnya memberikan kebaikan-kebaikan tidak ternilai kepada diri saya sendiri.

Saya tidak mempunyai pembantu khas, person incharge atau organiser dalam membantu mengendalikan kelas berkenaan. Ada beberapa staf pengkeranian yang membantu hebahkan serta menempah bilik. Ada juga membantu menyalurkan maklumat pentadbiran kepada yang berkenaan. Itu sahaja. Serba-serbinya memang kekurangan.

Selepas hampir 4 bulan, kelas berkenaan sudah mempunyai hampir 10 kehadiran tetap dan 10 lagi yang bertukar ganti disebabkan komitmen tugas yang tak dapat dielakkan. Dengan kelas itu juga kami mulakan kelas hafazan serta membuat terjemahan sedikit demi sedikit ayat-ayat yang dibaca serta menyusun struktur nahu yang semestinya untuk kita tahu.

Hanya Allah SWT yang menggerakkan sahabat-sahabat saya hadir mendengar perkongsian saya. Hanya Allah SWT jua yang memberikan barakah masa untuk saya siapkan nota-nota serta bahan bacaan untuk dikongsikan. Hanya Allah SWT jua yang memberikan insight humbleness di kalangan sahabat-sahabat saya terus hadir mendengar dari individu seperti saya yang entah di mana kedudukan saya sebenarnya dalam neraca piawai ilmu yang saya kongsikan itu.

Sungguh…barakah itu dari Allah jua...




Friday, December 11, 2015

Hidup ini teorinya 'SEIMBANG'..

Ingatan saya jauh menelusuri segmen waktu lalu..sering dikhabarkan kepada saya bahawa kita perlu seimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Yang saya tahu kala itu, biarlah sibuk bagaimanapun kita, namun jangan sesekali lupa keperluan kita untuk beramal untuk hari akhirat. Jangan sesekali dibaikan tikar sejadah serta apa sahaja ibadah yang merutinkan kita sebagai muslim!

Fokus itu nyata terbatas dalam lingkungan teori. Tiada nilai ihsan dan naluri aqidah. Jauh sekali dalam penghayatan khusyu' nya ibadah. Apa yang berlaku, saya yang sentiasa mendahulukan apa yang tampak di depan mata. Fokus akhirat yang begitu sayup dalam saujana hati yang sering terlupa tentangnya, apatah lagi konteks dosa dan pahala!

Hidup yang seimbang sebenarnya merupakan kehidupan yang memenuhi objektif kehidupan beribadah kepada Allah SWT sahaja. Tiada dalam agenda kehidupan yang diklasifikasikan sebagai 'self centred' atau sekadar memenuhi agenda diri dan hati sendiri. Ubudiyah kepada Allah SWT meletakkan seseorang pada niat dan amalan untuk melaksanakan sesuatu yang terbaik menurut keredhaan Allah SWT serta mengambil teladan sunnah.

Seimbang adalah mengutamakan keperluan diri tanpa mengabaikan hak insan yang wujudnya disekeliling kita. Menghormati hak mereka serta memberi fokus pada konteks masyarakat secara keseluruhannya. Agendanya adalah menterjemahkan quran dan sunnah, bukan menyusun prioriti diri, berbangga-bangga sehingga menindas dan mengenepikan hak-hak orang lain.

Saya melihat kehidupan pada hari ini perlumbaan sesama insan dalam mencanangkan apa lebihnya dia berbanding orang lain. Tidak sedikit kadang-kadang terlintas juga di hati perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya fikirkan. Betapa kita ini sentiasa memerlukan hidayah dan bimbingan suci dari Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pengasih untuk hidup di dunia ini dalam keadaan yang seimbang.

Wednesday, December 9, 2015

Bicara lisan


Bicarakanlah lisanmu,
lalu didengar insan,
disambut emosi, senyum dan geram,
berbolak balik,
dalam kitaran fakta dan mimpi,
terlontar keliru diulit nyata,
lalu ditulis dosa dan pahala.

Bicara lisan dengan insan,
berubah dengan niat dan tujuan,
lalu digubah rayuan syaitan,
berbelanglah warna-warna suara insan,
dengan bebulu nifaq sarat tersirat,
patah lidah yang tidak pernah retak,
tidak sunyi mencipta skrip beritma,
terlontar pula ditindih lisan yang tidak sopan.

Sesungguhnya insanlah memilih bicara itu,
untuk melihat sisinya dari dimensi iman,
atau tersadung bungkam dikaram syaitan.

Bicara lisan dengan Allah ArRahman,
dalam solat mahupun tadabbur quran,
adalah dari hati yang sentiasa kerinduan,
tidak jerlus dalam meredah keperitan materialis,
tabah kalis dihentam  nifaqis,
redup hatinya memohon,
di mihrab agung yang bukan asing,
menyusun bicara yang difahaminya,
bukan sebagai yang pekak mahupun buta,
penuh linangan airmata.

Pilihlah wahai hati..
antara buta atau nampak,
antara dengar atau pekak,
antara jelas atau kusam,
antara benderang atau padam.

bicaramu adalah pilihan pada kufur atau syukur,




Wednesday, November 25, 2015

Yang dikatakan BAHAGIA...

Kita melihat orang lain, ada sesuatu padanya yang menjadi tumpuan dan perhatian.

Ada yang punya sesuatu yang hebat, tidak ada pada kebanyakan orang. Lalu kita dambakan untuk mendapat apa yang dimiliki orang itu…lantaran kita menyangka itulah yang pasti membuatkan kita BAHAGIA.

Ada pula orang lain, punya rupa paras hebat. Manis, tampan. segak atau cantik dan menawan. Atau pada kata-kata dan penampilannya begitu ranggi dan menjadikan dirinya berbeza. Lalu kita berharap untuk turut mendapatkan status yang dimilikinya. Kerana kita begitu yakin…itulah yang menyebabkan kita BAHAGIA.

Ada pula orang lain, ada publisiti penuh glamour di TV. Jadi tumpuan dan ikutan. Puluhan ribu respon di FB dengan komen viral yang sangat menarik. Kita juga berharap untuk menjadi sepertinya, kerana dengan itu kita rasakan membuatkan kita lebih baik dan BAHAGIA.

Dalam kehidupan, tatkala kita lihat orang lain ada pasangan yang menyenangkan. Rupa paras indah, cantik, tampan dan hebat. Punya harta dan rumah agam serta kenderaan yang menjadi idaman. Kita juga lantas menyimpan harapan. Kerana kita lihat…itulah nilai-nilai hidup yang akan membahagiakan kita.

Kita melihat orang lain ada semuanya. Kita melihat mereka seperti bahagia dengan apa yang mereka ada. Namun kita lupa…kita tidak pernah tahu apa yang ada dalam hatinya. Kita tidak pernah tahu apa yang sedang diambil darinya.


Lalu kita fokus pada diri kita. Selepas kita cuba untuk dapatkan bahagia dari apa yang kita lihat, kita mahu lebih pula. Kita mahu lebih hebat.

Tatkala diri sendiri kita rasa hebat…kita dabik dada tunjukkan bahawa kitalah yang hebat. kadang-kadang ada lidah diplomasi yang kita gunakan, untuk orang sedar bahawa nilai 'hebat ' itu sebenarnya ada pada kita.

Lalu, kita rasa dengan mencapai sesuatu yang terhebat adalah nilai hidup yang membahagiakan hidup kita. Walaupun kadang-kadang terpaksa berdalih atau memperdayakan sesuatu realiti…agar kita tampak hebat; semata-mata mengisi ruang di hati kita untuk lebih bahagia.

Tidak cukup dengan bicara. Kita ambil gambar atau selfie. Tunjukkan apa yang kita ada..susun kata-kata untuk berkongsi bahagia.

Kita tidak sedar, bahawa itu semua tidak perlu kita lakukan. Aksi tunjuk menunjuk mungkin melukakan hati orang lain. Mungkin pula ada orang lain merana kesusahan kerananya.

Kita tidak tahu juga bahawa mungkin  'kebahagiaan' yang kita lihat sebenarnya siksaan perlahan-lahan sebagai hukuman dari Tuhan. Kita tidak nampak bahawa kenikmatan itu adalah istidraj untuk ke neraka yang abadi.

Apatah lagi…mungkin 'kebahagiaan' yang kita lihat itu menyebabkan seseorang itu menjadi lebih kufur dan tidak tahu bersyukur.

Bahagia dan kesengsaraan itu merupakan izin dari Allah SWT. Dialah yang menyebabkan kita sedih dan ketawa. Tidak mungkin bahagia itu datang bergolek tanpa sebab. Terkadang, ada kesedihan yang menjadi nadi untuk membuat seseorang itu tersenyum tenang.

Bahagia itu datang dari Allah SWT. Kekal sifatnya dan bersih suci dari nifaq dan dosa-dosa sendiri.

Bahagia pada nilai materialis, pudar kecundang ditelan pusingan jam.
Bahagia pada nilai kecantikan manusia, semuanya luntur tatkala bertambah umur.

Sesungguhnya bahagia itu adalah hadiah dari Allah, Dialah AlWahab AlMujib Tuhan Pencipta setiap sesuatu. Hadiah dalam apa jua yang diterima sama ada bahagia atau sengsara sebenarnya adalah laluan untuk membuka jalan kita ke syurga.

Tiada kemanisan paling bahagia selain kita dapat memahami setiap patah perkataan alquran serta doa-doa yang diungkap penuh takut dan harap kepadaNya, ikhlas semata-mata mengharap dan beribadah kepadaNya.

Saturday, November 21, 2015

Kita telah kalah tatkala berpecah..

Allah melalui firmanNya dalam Quran jelas mengingatkan kita untuk berpegang pada taliNya dan jangan berpecah belah..secara keseluruhannya.

Bersatu padu demi aqidah adalah keutamaan. Maknanya mengutamakan Allah dan sunnah Rasul adalah keutamaan yang tidak boleh dikemudiankan.

Konteks ini takkan mampu diterjemahkan jika isi Alquran kita tak faham.

Quran kita takkan faham andai terus bergantung pada terjemahan yang pada ungkapan perkataan terjemahan itu TERLALU banyak makna yang hilang

Quran kita takkan faham jika kita cuai dan ambil mudah untuk memahami Bahasa Arab.

Hari ini, ramai yang baca dan hafaz Quran..tetapi kita masih kurang usaha untuk faham dan merasai 'keajaiban' quran sebagai mukjizat dalam kehidupan. Adapula yang baca quran demi keajaiban-keajaiban yang tidak disandarkan pada sebarang tafsir atau rujukan muktabar.

Apabila kita tak faham Quran, kita rela berkelompok untuk menang perjuangan. Kita kata kita perlu istiqamah berjuang dalam kelompok yang menjiwai aspirasi Islam demi keredhaan Allah, dunia dan akhirat. Tapi kita tidak apakan perpecahan..rela pula bergaduh sesama individu seaqidah.

Sesungguhnya kita telahpun kalah apabila kita berpecah.

Jom kita tumpukan usaha belajar Bahasa Arab, belajar tafsir…pegang sungguh-sungguh kalam Allah dan amalkan sunnah. Kita kukuhkan aqidah, bersatu eratkan ukhuwah. Jangan biarkan kita terus berpecah..


Kuota ke asrama penuh… saling BERGANDING bukan BERTANDING..

Semasa mengambil rekod keputusan akhir tahun anak saya di SRAI Bangi baru-baru ini, guru kelasnya memaklumkan tahap pencapaian Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang semakin baik. Mereka yang cemerlang dalam PSRA terutama pelajar perempuan berhadapan saingan sengit untuk terpilih ke Sekolah Agama Berasrama Penuh di bawah kelolaan JAIS.

Kuota markah untuk pelajar perempuan ditetapkan pada  markah 98%; maknanya untuk kemasukan sessi 2016, anak-anak perempuan yang lulus mencapai 98%  dalam PSRA sahaja layak dipertimbangkan ke sekolah berasrama seperti SAMBES di Subang. Saya terkedu seketika…bukan kecewa kerana diskriminasi sedemikian.  Kuota sedemikian telah lama wujudnya… juga diaplikasi hampir semua institusi mahupun bidang-bidang tertentu. Namun, kedudukan kuota sedemikian semakin menyedarkan saya bahawa untuk wanita/ perempuan…kita memerlukan penilaian semula kurikulum yang berbeza dengan pelajar lelaki.

Era masa hadapan semakin mencabar. Fokus pembangunan lahiriyah memerlukan gandingan individu lelaki dan perempuan.Ia merupakan GANDINGAN…bukan TANDINGAN antara satu sama lain.

Satu seminar yang disampaikan oleh sahabat/ Professor yang saya kasihi Dr Harlinah Halizah Hj Siraj baru-baru ini turut memberikan tumpuan pada fokus untuk memberikan keutamaan yang spesifik untuk pembangunan wanita. Dana dalam bentuk kewangan, masa dan logistik berkaitan yang diberikan kepada pembangunan wanita secara umumnya akan memberikan pulangan hampir 99% kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya. Fakta ini membuka dimensi penting untuk kita sama-sama fikirkan bahawa untuk pembangunan masyarakat dalam masa akan datang, skop kurikulum yang mengoptimakan kemampuan unik wanita dapat dilaksanakan.




Mulai tahun 2016 ini, pengurusan Al NIDAA yang bertanggungjawab dalam pembangunan Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al Amin (SMITA) mengumumkan telah mula membuka pendaftaran untuk pelajar puteri.

Satu perkembangan yang sangat memberansangkan serta sangat dinanti-nantikan. Di tengah-tengah kerancakan masyarakat Muslim majoriti negara ini yang kian cenderung untuk memilih pendidikan komprehensif anak-anak terutama dalam konteks memartabatkan alquran, SMITA kini turut menyediakan pakej pendidikan untuk para puteri yang kita kasihi.


Sudah tentu, potensi yang dikongsikan oleh SMITA Puteri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya ke arah pembangunan masyarakat seterusnya kejayaan individu berkenaan di dunia dan akhirat.

Dan saya juga…mula memikirkan potensi untuk membangunkan Universiti/ Kolej yang khusus untuk golongan wanita sahaja. Bantu saya untuk mendrafkan kurikulum yang dapat membangunkan potensi seorang puteri untuk menjadi anak, isteri, ibu, pemimpin dan individu yang insyaaAllah mampu memberikan pulangan terbaik kepada masyarakat secara keseluruhannya. Allahul musta'an..

Thursday, November 12, 2015

Amalan yang bagaimana membawa kita ke syurga..?

Antara maksud hadith Rasulullah SAW yang paling saya ingati maksudnya ialah untuk kita tidak memandang remeh terhadap apa jua yang kita lakukan. Antaranya, berjumpa dengan saudara semuslim dengan senyuman (walaupun muslim itu kita tidak kenal rapat dengannya) atau bersedekah walaupun hanya dengan separuh dari tamar.

Saya sering berfikir…bertanya pada diri sendiri. Entah amalan saya yang bagaimana merupakan sesuatu yang dipandang di sisi Allah SWT. Selalu juga..kadang-kadang saya terlupa untuk meniatkan sejujur-jujurnya ikhlas dengan amalan yang dilakukan. Ada juga..sekadar bersaing dengan manusia lain. Atau juga tewas disebabkan ada keadaan yang menyebabkan saya kalah atau tercabar untuk meneruskan perjuangan.

Siang tadi, dalam sesi bertukar-tukar hadiah sempena sesi retreat jabatan,…saya tergamam seketika apabila deskripsi tentang diri saya disebut oleh seorang staf di tempat saya bekerja. Sebelum menyebutkan nama saya..dia menyebut beberapa perkara, yang saya rasa rasa itu orang lain. Lebih pelik apabila disebutkan, pegawai yang akan menerima hadiah darinya itu memberikan kad padanya setiap tahun. Pasti, itu bukan saya… Namun, seketika kemudian, nama saya dipanggil ke hadapan untuk menerima hadiahnya.

Saya betul-betul terlupa…bahawa saya saban tahun menghadiahkan kad ucapan selamat menyambut ramadhan dan aidilfitri kepada setiap staf di jabatan. Satu perkara yang saya anggap biasa, rutin…dan mungkin juga tidak dipandang; walaupun jauh di hati saya, saya meniatkannya sebagai satu dari usaha saya untuk mereka yang menerimanya dekat dengan tazkirah serta terpanggil untuk kembali ke jalan Allah SWT.

Allah SWT jua yang Maha Mengetahui tentang diri saya, Dia juga yang Maha Mengetahui segala isi hati. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita, Dialah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Monday, November 9, 2015

Sebuah retro tentang semalam..

Jika bukan kerana hidayahNya, atau juga lowongan yang mengikat hati saya untuk mencari kebaikan…pasti saya masih terikat dalam kehidupan semalam. Satu kehidupan yang berlalu tanpa niat dan matlamat. Beredar tanpa tujuan, sekadar memenuhi apa yang ingin dilalui dan dinikmati.

Ironinya pula..pada waktu yang berlalu sebelum itu, saya payah mengakui kesilapan. Saya tidak memandang semalam itu sebagai suatu kekeliruan yang cenderung membawa dosa. Puluhan waktu yang berlalu dengan secara bersahaja…jauh sekali untuk memusabah agar tidak terus menerus melakukan kesilapan yang sama.

Antara dosa dan kesilapan saya, saya tidak memandang apa yang saya lakukan tanpa tujuan itu sebagai dosa. Saya cenderung merasakan bahwa saya seperti bukan pendosa. Lalu berlalulah hari-hari, merakamkan segenap dimensi dalam apa yang ditafsirkan oleh kebanyakan insan terhadap definisi kebahagiaan.

Saya cuba mendekati hidayah Quran; membacanya saban waktu. Namun, saya sedar istiqamah untuk dekat dengan pengertian yang dibawa oleh Quran..hampir tidak ada. Puluhan usrah dan tazkirah saya hadiri.Terkadang diberi peluang pula berkongsi kebaikan melalui penyampaian. Di kala ini, saya sangat menyesali hari-hari yang telah berlalu itu…saya sebenarnya menipu diri sendiri kerana kala itu saya sebenarnya TIDAK TAHU apa isi alquran. Obviously, I was just faking myself.

Kala ini, saya menghitung stamina yang masih dipinjamkan Allah untuk terus berlari. Terus mencari kekuatan untuk membuka ruang-ruang ilmu yang selama ini tidak saya hiraukan.

Bagai anak kecil yang baru memahami bahasa senyum..atau juga pengertian perkataan demi perkataan…demikianlah dengan bahasa Arab yang singgah dalam kehidupan saya ini dalam destinasi dekat kepada ArRahman. Sahabat saya yang turut hadir dalam halaqah bahasa siang tadi menangis sebak mengenang waktu remajanya yang juga seperti saya.

Penuh harapan… moga diizinkan Allah untuk kami terus belajar dan terus dekat dengan kalimahNya yang mulia

Wednesday, November 4, 2015

Senyummu kini kenangan (Tribut buat sahabatku Almarhumah Alijah Selamat)


Gelenang yang basah dan bungkam,
hatiku terdampar di rantau kelam,
menolak semuanya tersurih suram,
lalu sepi sekali rindu semalam.

Noktah khabar menyentap leka,
suara itu yang dahulu tidak kusahut seadanya,
betapa rinduku, 
sering menjemput bayangan cemburu,
untuk hadir berkisah denganmu di majlis ilmu,
namun kesilapanku terus membatas waktu,
dan kubiarkan segalanya itu berlalu.

Hari ini,
senyummu adalah kenangan,
kita yang pernah berkongsi sebuah kehidupan semalam,
kulerai gema sebak dan derai tangisan,
bahawa aku ini juga kini sedang menunggu giliran.


Aku akan terus merindui senyummu teman.

" Ya Allah, ampuni dan rahmatilah dia, tempatkan dia bersama mereka yang Engkau redhai"

Saturday, October 31, 2015

Layakkah kita berbuat baik..?

Apakah sebenarnya syarat untuk kita penuhi sebelum kita layak untuk bebuat baik? Apakah pula keadaannya yang meletakkan kita pada pendirian untuk meneruskan status quo tanpa sedikitpun mempedulikan arah penambahbaikan yang diberikan neraca pahala pada rujukan ilmu mahupun insan yang ‘alim?

Kita masih berkira-kira mendahulukan kebaikan...menangguhkannya pada satu waktu yang entah bila. Dan dalam masa yang sama kita merasa tidak apa memperolok-olokkan diri kita sendiri seolah-olah memang benar kita TIDAK LAYAK untuk terpilih dalam kebaikan sedemikian.

Fitrah seseorang menjiwai kecenderungan untuk berbuat baik. Sangat redha dengan kebaikan, dalam diri seseorang yang ditemui mahupun pada sekitaran yang dilaluinya. 

Namun, fitrah insan yang berkecai, menampakkan diri sebagai slot bernyawa yang lebih hina dari haiwan. Lebih suka menyahut fitrah yang tidak mengiktiraf anugerah akal dan kecenderungan fitrah yang dianugerahkan Tuhan Maha Agung kepadanya.

Di manakah laluan kita seterusnya..? Jalan mana pula sebenarnya yang membuka laluan akhir dalam kehidupan kita di dunia. Kita sedar dunia ini sementara. Kita tahu tidak ada apa yang kekal wujudnya. Kita tahu juga, betapa nilai dunia ini jauh dari kesempurnaan dalam dimensi kebaikan yang kita inginkan.

Namun, untuk berbuat baik...kita seringkali merasakan bahawa bukan kita orangnya. Status iman yang kita miliki seperti belum melayakkan kita sedemikian. Seolah-oleh ada waktu ‘reserved’ yang sangat kita pasti akan kita lalui sebelum diri dijemput pulang ke sisi Tuhan.

Tidak ada sesiapa yang mampu menelah entah bila lagi datangnya peluang untuk kita berbuat baik. Hakikat kebaikan itu  datang dalam keadaan yang pelbagai, spektrum kesusahan yang melemahkan hinggalah pada kemewahan yang menyenangkan. Ia  yang  sebenarnya didatangkan di hadapan kita sebagai pilihan pada jalan yang lebih dekat kepada kebaikan. 

Oleh itu...kehidupan ini tiada status quo. Ia suatu yang turun dan naik. Kitalah juga yang membuat pilihan untuk sesuatu yang lebih baik, atau menolaknya untuk terus kecundang dalam delusi bahawa kita belum lagi layak berbuat baik. 

Saya jemput anda bersama saya mempelajari AlQuran. Kita baca, belajar, mentadabbur keindahannya dalam kehidupan. Kita juga membuka ruang untuk mendalami perantara Bahasa Arab yang merupakan bahasa pilihan yang menyampaikan isi-isi keagungan firman Allah SWT yang diturunkan khusus sebagai bimbingan buat kita. Kita mohon juga diberi peluang untuk menghafaz ayat-ayat indah sebagai bekal kala kita memerlukannya. Sesungguhnya mendalami Quran adalah sebesar-besar sunnah yang perlu kita pertahankan.

فٱذكُرُنىِ ٱذْكُرْكُمْ وٱشكُرُوْالِى وَلَا تَكْفُرُونِ
(Al Baqarah ayat 152)


Masihkah lagi kita rasakan kita BELUM LAYAK membaca dan mempelajari Alquran dengan penuh kesungguhan??



Sunday, October 25, 2015

Tentang jalan kembali pada ISLAM...

Kala hati 'terpanggil' untuk kembali. Kembali pada fitrah diri. Terpanggil mendekati jalan untuk pulang menginsafi diri. Pulang ke pangkuan keredhaan Allah, pulang menjalani hidup seoptimanya sebagai muslim.

Lalu hati mencari jalan yang dikatakan dekat kepada Tuhan. Tuhan yang Maha Menciptakan, Maha Pengampun, Maha Menganugerahkan segala-galanya. Pengisian hati dan diri yang perlu seiring dengan nama sebagai muslim.

 "….Dia memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus" Al Baqarah maksud ayat 142.

Hidayah kembali ke jalan kehidupan yang diredhaiNya adalah milikNya. Mudah-mudah Islam yang kita pilih itu adalah Islam yang memepertemukan kita dengan kebenaran.

Atas nama Islam, ramai yang berjuang. Pada hidup, pada masa dan pada usianya.

Atas nama Islam juga, kita ada sahabat, ada teman dan ada kawan. Sesuatu yang kadang-kadang kita tafsirkan menurut apa yang dikongsikan dan sesuai dengan ikatan yang kita namakan Islam.

Namun, atas nama Islam juga ada yang keliru menamakan orang lain tidak setaraf kebaikan dirinya, ada di luar sana kelompok yang tidak pernah baik pada pandangan Islam yang difahaminya.

Ada juga yang faham Islam, tetapi sesat dalam laluan kebaikan untuk menyantuni kedua ibupanya. Ada yang hebat dalam da'wah tetapi bercakaran membuang keluarga serta berkira dengan saudara yang dekat dengannya. Ada yang petah berhujah namun tenggelam dalam keangkuhan dan berlumba sesama insan.

Ada yang ilmunya berada atas nama Islam tetapi mengajak manusia mengumpul dosa demi dosa menghina dan mengejek manusia Islam mahupun bukan Islam yang lain. Ada yang menyebut tentang Islam, namun jalan kehidupan ibadahnya caca merba dari teladan Nabi SAW dan para sahabat serta salaf terdahulu.

Tidak ada sesiapa yang dapat memastikan seseorang mendapat hidayah yang benar. Ianya milik Allah SWT, itulah doa-doa kita dalam solat yang kita bacakan di dalam surah Al Fatihah "Tunjukkanlah Kami jalan yang lurus"..

Jalan menuju Allah adalah jalan yang penuh sejahtera dan kedamaian dan fitrahnya adakala diuji dengan kesusahan dan ujian. Ia membuahkan hati dan kehidupan penuh rahmah, empati, kebaikan serta menyuburkan kesejahteraan. Jalan yang kian mendekatkan hati dan kehidupan pada Quran, sunnah  Rasulullah SAW dan kehidupan para sahabat dan keluarga baginda r.a. Jalan yang mengajak manusia lain kepada kebaikan serta mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT, dengan persaudaraan dan kasih sayang.

Andai jalan yang dilalui berjenama Islam tetapi penuh dengan dendam kebencian, saling berdebat dan menunjuk-nunjuk kehebatan…serta jauh pula dari menghayati quran dan sunnah Rasulullah SAW…. itu sebenarnya adalah jalan syaitan yang penuh dengan saduran.

Wednesday, October 14, 2015

Membezakan ya’malun (يعملون) dan yaf’alun (يفعلون)...


Dalam bahasa melayu istilah yang kongsikan kali ini ialah MEREKA YANG BERAMAL dan MEREKA YANG MEMPERLAKUKAN PERBUATAN. Sekali imbas, ia nampaknya serupa; namun konteks sebenar dalam kehidupan ia merupakan dua perkara yang cukup berbeza.

Beramal menghasilkan output positif, diredhai Allah SWT namun perbuatan tanpa niat, berterbangan bagai debu atau mungkin terdedah pula untuk mendapat dosa, malah mungkin berganda (moga kita dijauhkan Allah SWT dari dosa-dosa yang tidak disedari mahupun yang disedari ).

Saya juga sebenarnya jarang memperhatikan apa yang saya lakukan sehari-hari. Meskipun ada niat di hati ingin mencari kebaikan; atau juga berniat untuk mendapat pahala...namun sebahagian besar yang saya lakukan itu tanpa niat dan objektif yang jelas.

Fokus keterlaluan mengasingkan urusan dunia dan akhirat; atau juga kesilapan dalam mentafsirkan sesuatu ilmu yang dikatakan duniawi mahupun yang menterjemahkan pahala menjerumuskan orientasi kita pada batas keliru tentang apa sebenarnya yang hendak kita cari dalam kehidupan sementara ini.

Ketara sekali keadaannya pada perkara yang kita anggap rutin, juga pada yang kita anggap tiada kena mengena dengan kematian/akhirat.

Namun, ingin saya kongsikan disini; sejak saya mula serius belajar alquran, saya berusaha sekadar adanya mencari ayat-ayat alquran yang relevan dengan sesuatu 'event' atau perbuatan yang sedang saya lakukan. Saya sering teringat satu kisah seorang wanita di zaman tabi'ut tabi'in dahulu, yang bicara beliau dalam rutin sehari-hari adalah lafaz dari ayat-ayat alquran (secara peribadi saya tidak ingat kisah detailnya, dan juga tidak pasti sama ada kisah tersebut sahih atau sebaliknya). Namun, iktibar kisah tersebut menyebabkan saya sering memperhatikan diri saya untuk kerap mengingati ayat-ayat alquran dalam apa jua suasana yang kita hadapi.

Contohnya apabila kita makan; perhatikan makanan yang kita makan. Saya teringat Firman Allah dalam Surah 'Abasa  ayat 24 ini yang maksudnya

"Adakah kamu tidak perhatikan apa yang kamu makan?"

Tidak ada manusia yang mampu mencipta makanan yang dimakannya (dari tidak ada menjadi ada).


Berbalik pada konteks AMAL dan PERBUATAN; katalah seorang pelajar yang menyasarkan berjaya dengan cemerlang. Sejarah kehidupan saya di kampus dahulu membawakan kehidupan yang memfokuskan perlakukan untuk menghasilkan kejayaan dalam peperiksaan. 

Andai duduk di kampus tiada tujuan untuk lulus, pastilah pula seseorang itu menghabiskan masanya untuk ‘chills around’ serta berpeleseran memenuhkan apa yang diinginkan di dalam hati tanpa memikirkan hasilan yang bakal diperolehi.

Seorang pelajar yang ingin lulus cemerlang, serius dalam pelan pembelajarannya; suasana berbeza dengan pelajar yang tidak kisah dirinya berjaya ataupun tidak.Bergurau dan berborak tanpa tujuan; menghabiskan masa secara melampau tanpa mengulangkaji serta tidak kisah apa yang bakal berlaku andai dirinya gagal.

Konteks dua jenis perlakuan berbeza memberikan kita dimensi jelas bahawa kehidupan kita yang mempunyai matlamat kehidupan selepas kematian; mempunyai pelan tindak, serius, bersungguh-sungguh serta memerhatikan objektif yang dicapai di akhir sesuatu yang dilakukan.

Hidup yang sekadar dihabiskan untuk kehidupan di dunia, tiada hubungan dengan kematian dan akhir merupakan kehidupan tanpa niat. Lalu tidak kisah memperlakukan serta melakukan apa sahaja perbuatan tanpa tujuan.


Di dalam AlQuran, dua konteks kehidupan tersebut dengan amal yang mempunyai niat; Allah addresskan dalam perkataan يعملون.
Perhatikan banyaknya ayat-ayat yang membentangkan perihal beramal soleh (penuh kebaikan).

Allah ungkapkan di dalam Al Quran:

عملوا اصالحات  

BUKAN فعلوالصالحات 



 Dan ayat terakhir surah Al Muthafiffin:

هلْ ثُوِّبَ الكفّاَر ماَ كانوُايفعلوْنَ

Maksudnya, “Sudahkan ‘ganjaran’ untuk orang kafir itu diperolehi atas apa yang dilakukannya?”

Allah gunakan istilah يفعلون ; konteks perlakuan yang dilakukan secara umum tanpa niat dan objektif. 


Mudah-mudahan DIAM kita adalah amalan; bukan perbuatan  yang berlalu TANPA NIAT (HEEDLESS)

Wednesday, September 30, 2015

Meneruskan langkah…walau di mana jua kita berada...

Naluri di dalam hati sentiasa mengharapkan kebaikan. Padanya kita impikan untuk bahagia…padanya jua untuk kita capai apa yang kita hajatkan dalam kehidupan yang kita lalui ini.

Pada naluri itulah juga, kita berharap agar kebaikan itu tulin sifatnya, ikhlas tidak tercemar serta suci dari kemelut prasangka mahupun paranoid yang menghambat rasa. Namun..tiadalah kebaikan itu andai wujudnya bersendirian tanpa sebarang hubungan dengan Tuhan Maha Pencipta.

Ke manakah kebaikan itu hendak kita bawa andai bukan sandaran keredhaan pahala dan matlamat abadi sesudah kematian? Kebaikan yang disadurkan mengharap pujian manusia, berderai dalam variasi dendam dan ketidaktentuan.

Allah dalam firmanNya dalam surah AlKahfi dalam frasa yang sangat indah, berfirman


 واذكر ربك اذا نسيت وقل عسى ان يهدين ربي لاقرب من هذا رشداMaksudnya, dan ingatlah Tuhanmu apabila kamu lupa, dan katakanlah mudah-mudahan aku ditunjukkan oleh Tuhanku untuk lebih dekat (denganNya) dari ini kepada jalan yang benar

(Alkahfi ayat 24)

Allah SWT mengingatkan kita untuk untuk terus berdoa dan berusaha…untuk lebih dekat denganNya. Ayat mudah yang menunjukkan bahawa objektif perjalanan usaha kita di dunia ini adalah untuk untuk LEBIH DEKAT dengan petunjuk dan mengingatiNya. Perjuangan kita bukanlah kemenangan mutlak ke atas musuh perjuangan, atau kegemilangan mencipta kehebatan, malah kita juga tidak pasti akhiran kehidupan kita yang entah bagaimana. 

Walau di mana kita terhenti, mohonlah pada Allah untuk meneruskan perjalanan untuk lebih dekat padaNya…lebih dekat pada petunjuk taufikNya. Gegas perjuangan kita adalah bertarung dengan diri sendiri. Wujudnya manusia atau bisikan yang melemahkan…hanyalah was was syaitan yang mematahkan usaha untuk melangkah menuju Tuhan.

Allahul musta'an

Friday, August 28, 2015

Membetulkan niat belajar dan mengajar...

Pengalaman yang sangat mengkagumkan, alhamdulillah. Itu sahaja luahan yang mampu saya ungkapkan.

Sungguh…saya tidak pernah tahu bahawa Bahasa Arab yang saya pelajari selama ini hanyalah 15% (pandangan saya) dari konteks keseluruhan untuk memahami alquran.  Sejak sekolah rendah saya belajar bahasa arab, sekadar merupakan keperluan kurikulum. Selepas exam, semuanya bagai 'berterbangan' ditiup angin.

Sukar saya mencari jawapan..dan tidak pula saya pasti, apa sebenarnya niat saya dulu untuk belajar bahasa arab.

Kemudian di sekolah menengah, sekali lagi dengan kurikulum yang sama. Rata-rata terhenti di tahap subtopik dhamir.

Kemudian di universiti…juga terhenti di tahap "dhamir".

Kurikulum oleh Bayyinah Institite… tidak ada di Malaysia.

Learning objectives mereka memberikan penekanan akan pentingnya niat untuk kita belajar, iaitu untuk dekat dengan ayat-ayat Allah dan mengambil ayat2 itu sebagai guidance (panduan dan bimbingan). Elemen penting iaitu submit to Allah only (menyerahkan niat, diri dan kehidupan kepada patuh dan taat Allah SWT sahaja) tanpa mengambil  bahagian dalam agenda selain dariNya.

Saya berpeluang menyemak buku Bahasa Arab anak saya…melihat skop dan kurikulum mereka..saya berdoa moga ada ketika ini kurkulum mereka dirombak supaya anak-anak kita semua merupakan generasi yang tahu dan kenal bahasa arab alquran.

Alhamdulillah..moga Allah izinkan untuk kita terus belajar, diajar dan berkongsi kebaikannya dengan orang lain.

Monday, August 24, 2015

Saya yang baru belajar Al Quran

Titik peralihan penting yang saya lalui adalah tatkala menyedari bahawa saya masih tidak tahu isi-isi Alquran secara detail sepertimana saya menguasai bidang profesional dan teknikal. Malu pula untuk berterus terang pada diri sendiri bahawa saya sebenarnya mempunyai tahap pengetahuan sangat dangkal tentang kitab itu yang merupakan kitab suci untuk kita muliakan.

Betapa pula…saya menyedari bahawa tahap khusyu' dan fokus saya tatkala dan solat mudah merudum dan tercantas. Ada saja idea baru yang menerawang tatkala berusaha menyempurnakan ibadah berkenaan. Satu keadaan yang sebenarnya terdorong dari keadaan diri yang tidak memahami apa yang diucapkan/bicarakan di dalam ibadah berkenaan.

Namun, bertahun-tahun saya hadapi kemelut itu tanpa merasa bersalah status diri yang bagai tunggul kayu yang tidak mendengar dan tidak memahami apa yang dibaca..

Bertahun-tahun berlalu dalam kedudukan saya sebagai muslim, fokus saya terhadap alquran bukan merupakan keutamaan dalam konteks saya menjadi muslim sejati.

Fikiran dan mindsetting saya tidak keruan tatkala menerima pelbagai suggestion untuk saya temui penyelesaian. Sukar untuk saya huraikan..betapa rasa bersalah memperlakukan kita suci itu sedemikan, mencambahkan niat dan hajat supaya saya juga diizinkan Allah merasai nikmat wahyu Allah SWT itu sebagai hidayah, terjemahan, kehidupan dan juga da'wah terhadap insan-insan di sekeliling.

Seorang sahabat pernah menuliskan, kita tidak ada cara lain untuk memahami AlQuran dalam konteks sebenar melainkan mempelajari bahasa arab. Mempelajari alquran itu wajib, jika tanpa bahasa arab itu kita gagal memahami alquran..maknanya adalah wajib kita mempelajari bahasa arab.

Saya termenung sendirian..dalam usia seperti ini (pada ketika itu)..kelas bahasa arab yang bagaimana lagi yang perlu saya hadiri untuk memahami bahasa arab yang dapat menemukan saya dengan khazanah istimewa alquran. Masih ingat di kala itu apabila insan yang saya kasihi menyebut tentang Al Bayyinah di US yang menawarkan kursus sedemikian.

Beberapa petikan youtube, tulisan dan juga laman web yang membawa saya perlahan-lahan untuk dekat dengan bahasa alquran itu. Saya terus mencari…. di dalam hati saya berdoa untuk menemui juga laluan yang menyampaikan saya pada pengetahuan yang tidak saya peduli. Saya ulang berkali-kali di dalam hati..saya ingin belajar supaya saya tahu isi alquran, dan terjemahannya hidup dalam kehidupan serta saya sampaikan melalui kemampuan.

Saya cuba dengan program online… tidak menjadi disebabkan kurang komitmen. Saya cuba juga melalui kelas-kelas seperti yang pernah saya lalui ketika sekolah rendah dan menengah dahulu..namun masih juga 'terbengkalai' tidak bergerak. Arif dengan keadaan setempat, fokus bahasa arab di sini tidak ada matlamat khas untuk memahamkan pelajar untuk 'dekat' dengan kalam Allah itu dalam kehidupan.


Sering juga saya menyemak status kelayakan individu yang ingin menyertai Dream Program oleh AlBayyinah Institute. Namun yang pasti saya tidak layak kerana saya bukan permastautin tetap negara itu.

Seorang sahabat lama mengajak saya menghafaz alquran. Alhamdulillah…saya cuba. Di situ, satu demi satu keajaiban alquran saya temui..Subhanaallah. Allah izin untuk saya rasai keindahan AlQuran.. sayangnya masih banyak tentang dimensi huruf, perkataan, ayat, tafsiran dan penjelasan mendalam yang saya tidak tahu.

Dua tahun lepas,  Bayyinah mula datang ke Malaysia. Mengapa mereka memilih Malaysia...Wallahua'lam… mungkin sebahagiannya merupakan sebahagian dari doa-doa kami. Saya begitu terkesan dengan penjelasan tafsir Surah ArRahman dan AlFatihah ketika itu..lalu serta merta saya melanggan TV Bayyinah.

Kali ini, mereka benar-benar datang sebagai satu pasukan yang mengajar kami di bumi Malaysia ini kurikulum yang selama ini menjadi cita-cita dan harapan saya. Bagai mimpi pula apabila Ustaz Nouman Ali Khan serta team terbaik mereka yang menjadi guru-guru kami. Allah SWT jua yang mengizinkan kami hadir dalam tempoh pengajian yang hampir-hampir mustahil kami lakukan.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar apa jua yang kita doakan; dibentangkanNya buat kita akan kehidupan yang kita pilih untuk dilalui...

Thursday, July 9, 2015

'Menunggu' waktu yang sempurna....


Saya sebenarnya tidak bijak mengurus masa. Banyak keadaan, saya terus keliru untuk menunggu satu waktu sempurna. Satu ruang yang eksklusif yang mana padanya saya mengasingkan diri dari suasana sekeliling dan beranggapan mampu mengutamakan ibadah kepadaNya semata-mata.

Saya juga pernah mengimpikan waktu sempurna untuk saya duduk menghafaz surah-surah pendek...serta bagaimana tingginya harapan saya untuk turut serta dalam 'kafilah hafiz/hafizah' meskipun dalam usia seperti saya ini yang terus kehilangan 'stamina' dalam meneladani rutin seharian.

Saya juga tertunggu-tunggu saat sempurna untuk memuhasabah diri, untuk mencari ruang berdoa bersungguh-sungguh atau juga menghayati setiap tazkirah...biar padanya saya mampu untuk mengumpul kembali kekuatan diri untuk terus memilih jalan dekat pada mengingatiNya.

Saya sebelum ini pernah memikirkan mencari waktu sempurna..agar padanya saya mampu menulis sebarang coretan yang padanya dapat saya kongsikan bersama-sama insan yang saya kasihi.

SubhanaAllah..ramadhan yang telah berlalu kali ini amat menyedarkan saya bahawa kita sebenarnya hampir TIADA waktu yang sempurna. Sebagai insan, kita ada komitmen yang perlu disempurnakan amanahnya. Kita bukan hidup seorang diri atau boleh sahaja 'melarikan' diri untuk keluar sebentar dari realiti untuk berada dalam zon eksklusif atau seklusif (exclusive and seclusive).

Inilah sebenarnya waktu yang kita ada. Pilihan yang boleh kita lakukan, yang kesempurnaanya dengan izin dari Allah SWT.

Sekarang inilah dan apa yang paling dekat untuk kita hadapi. Kitalah juga yang menyempurnakan pengisiannya sebagai waktu yang sempurna. Komitmen tugas dalam setting kerja, sesuatu yang membawa kita berdepan dengan mujahadah komunikasi dan bahasa sesama insan; atau juga dalam ruang-ruang di mana saya merupakan individu yang perlu memenuhi tanggungjawab dan peranan.

Anugerah waktu dari Allah adalah rezeki untuk kita manfaatkan. Bahawa sesungguhnya waktu yang sempurna itu ditandai oleh niat yang ikhlas dan bersih, disandarkan pada  aqidah yang benar serta dipagar oleh akhlak yang terbaik.

Waktu inilah (pada waktu ini) yang sebenarnya perlu kita isi...bahawa waktu yang SEMPURNA itu sebenarnya tidak pernah ada..

"Ya Tuhan kami, terimalah (amalan) dari kami.."

Sunday, June 14, 2015

Mengumpul bekal untuk perjalanan dalam ramadhan...

Saya berasa sangat cemburu apabila memerhati dari kejauhan insan-insan yang jauh lebih muda dan remaja dari usia saya begitu berusaha bersungguh-sungguh mengumpul bekal untuk menemui ramadhan kali ini. Aura dan dedikasi hati mereka sangat menakjubkan, usaha-usaha dalam halaqah buat menyuburkan kembali kesungguhan untuk berjuang, saling mengingatkan serta bersungguh sekali stamina mereka menghidupkan amalan quran dan sunnah.

Saya pula 'sendirian' masih terbungkam dalam laluan sukar berhadapan dengan kelompok manusia-manusia yang wujudnya pelbagai kisah dan cerita. Dari strata yang dilihat memiliki elitus mahupun kecerdikan terbilang…hinggalah pada strata yang di'jentik-jentik' kesabaran mereka serta diperlakukan seperti peminta sedekah dalam mengharap upah kerja bulanan. Demi menghadapi ramadhan penuh barakah ini…saya berjanji untuk tidak lagi berbicara tentang apa sahaja yang melukakan hati dan perasaan saya dalam perjalanan tugas yang sukar itu. Biarlah apa jua persepsi mahupun 'tamparan-tamparan' lidah dan gesture yang menyebabkan perasaan tidak selesa terus menggigit di hati…saya terus berharap dan berdoa pada Allah, moga saya diselamatkan dari perlakuan zalim serta tidak bertindak untuk menindas mahupun membalas dendam dalam lisan dan amalan.

Usaha untuk saya mendekat dengan alquran…pada menghayati bacaan serta memahatnya dalam kehidupan…satu perjuangan yang begitu sukar sekali. Ditimbal-balik pula dalam keadaan hati yang terkadang bercelaru atau berhadapan dengan manusia-manusia yang 'kerja'nya sekadar mengeluarkan kata-kata yang saya anggap 'tajam' merobek kedamaian di dada…saya terkadang khilaf dalam memusatkan kembali khusyu' dan fokus di hati.

Ya…syaitan-syaitan  manusia dan jin itu belitannya terus menusuk dan mencengkam peluang-peluang yang dilihat mereka sebagai modal untuk kita terus berdosa. Tidaklah ada kekuatan untuk kita selain dari berharap dan terus berdoa kepada Allah SWT.

Dalam kemelut perasaan serta menghitung hari-hari dan doa untuk sampai ke bulan ramadhan kali ini…moga janji saya untuk menahan lidah dan memilih untuk diam menyempurnakan amalan-amalan rutin diizinkan Allah SWT sebagai bekal dalam perjalanan ramadhan ini...

Friday, June 12, 2015

Diam..dan teruslah beramal

Saya temui ungkapan ini..satu nasihat dan juga peringatan yang baik untuk didengar dan diikuti


"Jika 'tangan' anda tidak mampu membantu seseorang…jangan lidah anda menyakiti mereka"

Dengan kedatangan ramadhan almubaraq ini..moga Allah mengizinkan suasana terbaik utk kita menghayati, menginsafi dan mengamalkan apa jua usaha yang diredhaiNya.


Friday, May 22, 2015

Tentang kita, interaksi dan dinamik emosi...

Pernah dahulu tatkala dilanda kesusahan atau derita di sanubari….saya terfikir untuk ke rantau asing, jauh dari manusia sekeliling. Sendirian membawa hati dan diri, mungkin juga mengubat keperitan dengan menggembala kambing-kambing atau bertani. Mungkin di sana ada ketenangan yang membawa saya menyelami erti da'wah dan kehidupan yang perlu diterjemahkan sebagai muslim.

Namun detik itu tidak pernah terjadi.

Saban waktu, dalam liputan hari-hari…saya diizinkan Allah SWT untuk terus berinteraksi sesama insan, atau juga makhluk-makhluk yang menumpang persahabatan atau kasih sayangnya, atau juga dengan insan yang tiada kena mengena dengan saya namun wujud sebagai entiti di dalam sistem yang perlu saya hayati.

Interaksi sesama insan…ulangan nasihat tazkirah dari Allah swt di dalam Al quran. Sebahagian mereka membantu antara satu sama lain menyesatkan manusia, memerangi manusia, menyakitkan manusia lain,  membunuh para utusan Allah, mentertawakan manusia beriman, saban mengeluarkan rhetorik pembohongan dan kedustaan, bakhil dalam usaha dan harta…sifat-sifat nifaq dan kufur..

Hakikat menghadapi manusia adalah ruji yang mendepankan kita dengan ujian. Saya pula sering tewas menghadapi manusia yang sebenarnya syaitan datang menyesatkan keimanan dan kesabaran. Menambah emosi kemarahan serta menyakiti sesama sendiri. Sungguh pada usia ini saya tidak mampu untuk terus ditindas atas nama kebaikan atau diplomasi. Ada masa kita perlu bangkit mempertahankan diri, namun nampak gayanya manusia-manusia sekeliling yang tidak dekat dengan tazkirah Alquran atau teladan sunnah…bersuka hati menghentam dan berpoya-poya menyalahguna kedudukan.

Andai diberi peluang…

Saya ingin sekali bertugas dalam skop tugasan yang saya cintai bersama insan-insan yang saya kasihi. saling berbudi dan memberi.

Saya rindukan insan-insan yang tegas memegang amanah tugas dan tidak berkira.

Saya  menaruh harapan yang tinggi agar  mereka  yang diberikan amanah kepimpinan menggunakan kedudukan untuk mendekatkan insan dalam organisasi pada kebaikan dan tanggungjawab aqidah.

Saya mahukan insan yang diberikan Allah kepakaran untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam skop seperti yang diperlukan, bukan membebel menempelak orang lain yang sekadar menunaikan amanah di atas tanggungjawab yang sebenarnya tidak boleh ditolak.

Firman Allah SWT;

Kepada Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi, dan jika kamu luahkan apa yang ada di dalam diri kamu atau kamu rahsiakan..semuanya akan dihisab oleh Allah SW Maksud Surah Al Baqarah ayat 284)

Demikian sebenarnya, interaksi sentiasa berakhir dengan dinamik emosi…pada Allah kita sandarkan kekuatan diri dan hati untuk tidak melakukan dosa dan keburukan pada amanah yang telah diberikan.

Sunday, May 17, 2015

Tentang "Selfie"

Istilah selfie mula menjadi kamus dalam ruji kehidupan sejak awal pertengahan dekad sebelum ini iaitu apabila mudahnya perantis mudah alih yang memuatkan aplikasi kamera dan seterusnya dimuat naik di laman sosial mahupun melalui komunikasi internet. Semasa PDA (Personal Digital Assistant) mula melanda pasaran, ia telah sedia memuatkan aplikasi kamera/ video. Namun seingat saya ketika itu, semua yang dirakamkan adalah untuk simpanan peribadi dan bukannya untuk disebar atau dihebahkan secara meluas.

Dunia hari ini benar-benar telah berubah lanskap perkongsian maklumatnya. Selfie bukan lagi terhad dalam lingkungan peribadi. Namun menular menjadi kebiasaan, sertawujud campur aduk antara yang bersifat formal, sesuatu yang sepatutnya 'privacy', atau ibadah-ibadah hati yang sepatutnya dirahsiakan.

Semasa saya berusia kanak-kanak dahulu, kami sekeluarga perlu meminjam kamera orang lain untuk bergambar sesama ahli keluarga. Betapa jika ada sessi itu, kami masing-masing begitu bersemangat mengenakan pakaian cantik, berhias indah untuk sessi fotografi yang jarang-jarang wujudnya dalam itinerari pada waktu itu. Betapa berharganya sessi fotografi, dianggap acara mewah serta begitu elit sekali.

Dahulu, kamera memerlukan filem yang perlu diproses. Dihantar kira-kira dua tiga hari…menimbangkan pula mungkin filem yang dihantar rosak…kemudian selepas diterjemah dalam bentuk foto hardcopies barulah ianya dapat ditatap. Terkadang ada juga debaran bimbang wajah senyuman menjadi sebaliknya dalam foto sebenar..ada kala juga keseluruhan filem yang dihantar tidak menjadi, lalu sesi bergambar santai bertukar menjadi kenangan yang 'tidak dapat dikenang'...

Dengan beredarnya masa, teknologi terus berubah. Mudahnya untuk kita berfotografi serta berkongsi kegembiraan ataupun pelbagai emosi…menjadikan kamera bukan lagi eksklusif milik individu tertentu. Fenomena instanteneous iaitu foto diambil terus dapat ditatap kemudian dimuatnaik dan disebarkan…juga menyumbang kepada perubahan mega. Sesiapa sahaja pada masakini yang mampu memiliki perantis mudah alih, mudah sahaja ber'selfie' merakamkan aksi dari pelbagai sudut serta sertamerta boleh mendapatkan hasil untuk ditatap serta boleh diulang berulang-ulang sehingga tuan punya diri berpuas hati..

Semasa saya menunaikan ibadah haji beberapa tahun lalu. ketika itu tidak ada aplikasi untuk mengubah lensa pada diri sendiri. Pelbagai aksi jemaah tertentu yang saya saksikan seperti mengambil berkali-kali gambar sendiri berlatarbelakangkan masjid nabawi, yang saya secara peribadi tidak bersetuju ianya dilakukan dalam tempat suci seperti itu. Demikian juga ramai yang berselfie di masjidharam… saya juga amat tidak setuju dan tidak selesa keadaan sedemikian.

Bergambar bagi saya adalah satu aktiviti santai untuk dikongsikan bersama yang dikasihi. Bukan diredah amalannya pada aktiviti ibadah yang perlu kita tuluskan niat dan amalannya. Dan saya sebenarnya merasa malu untuk dirakam sedemikian, apatah lagi untuk menyebarkannya pula di laman facebook atau ditatap oleh masyarakat umum.

Kira-kira sebulan lepas semasa saya menaiki lif di bangunan pejabat, secara kebetulan di sebelah saya seorang pelajar siswazah yang sibuk memegang telfon pintarnya. kebetulan berdiri di sebelahnya, saya dapati beliau begitu asyik menyaksikan gambar-gambarnya sendiri di dalam dan sekitar bilik tutorial, ruang akademik dengan pebagai gaya dan cara. Waktu yang sepatutnya beliau habiskan dengan mentelaah dan menulis semakan literature…

Baru-baru ini pula, seorang pelajar berselfie dengan Pro Canselor Universiti berkenaan sebaik sahaja menerima skrol diploma. Mungkin di tempat lain, ianya dibenarkan, namun ia fenomena asing serta dianggap menyalahi protokol dalam budaya ilmiah kita.

Untuk apa kita berselfie….? Andai untuk dirakamkan buat kenangan diri sendiri, perlukah berselfie hingga berpuluh-puluh aksi untuk satu event yang dilalui. Kemudian dimuat naik utk tatapan seluruh masyarakat manusia. Penyakit apa sebenarnya kita ini…? Ada pula kelompok yang memuat naik hidangan makanan setiap kali makan sedap-sedap bersama keluarga dan rakan…dengan alasan berkongsi kegembiraan. Demikian apabila mendapat keputusan peperiksaan anak yang hebat…

Apa sebenarnya yang kita dapat dari berselfie…? Selain dari mencipta emosi untuk berbangga sesama sendiri atau melayan keindahan yang dikecapi…apakah pula nilainya dalam konteks aqidah kita? Pada dimensi iman kepada Allah dan hari akhirat…?



Satu pertemuan, tentang semalam dan keinsafan...



Saya diizinkan Allah hadir meraikan para guru yang pernah berkongsi ilmu dan bakti dalam kehidupan kami di MRSM Muar. Juga rakan-rakan serta senior dan adik-adik yang pernah berkongsi kisah dan cerita apabila tumpang berteduh selama lima tahun di asrama kayu. Riak wajah masing-masing yang begitu ceria dan gembira. Cuma saya yang agak terbatas emosinya apabila fenomena selfie begitu menguasai kehidupan dan pergerakan. 

Pertemuan ini juga membawa saya menemui khabar bekas rakan sebilik yang kini sudah berkeluarga dan memiliki 7 cahayamata. SubhanaAllah murah rezekinya... dan saya lebih terpegun apabla dikhabarkan 4 dari anaknya merupakan hafiz alquran. Airmata saya hampir bergenang apabila terkenang tentang hadiah yang saya berikan semasa hari perpisahan kami pada 1986 dahulu, iaitu sebuah mushaf Alquran.

Pagi tadi saya singgah mendengar tazkirah dari ayat 30 Surah Al Furqan. Allah bentangkan kisah apa yang akan Nabi Muhamad SAW persaksikan di akhirat nanti iaitu kaum baginda yang telah mengabaikan sejauh-jauhnya Alquran dalam kehidupan. Membawa saya juga terus menginsafi diri, di mana pula kedudukan saya di sisi Al quran. Saya juga yang selama ini mendatangi Al Quran dalam keadaan seperti orang yang ‘buta’ dan ‘tuli’, Membacanya tanpa difahami, lalu wujud dalam kehidupan sebagai manusia yang seperti tidak pernah tahu tentang Al Quran.

Kisah bekas rakan sebilik saya ini menyentuh dalam ke sanubari. Saya menghadiahkannya Al Quran dalam keadaan diri yang tidak memahami sebarang tafsir dan erti. Buat masa ini, dalam diri yang masih ‘struggle’ untuk belajar kembali serta cuba menghayati ayat-ayat Al Quran, saya memandang jauh ke dalam diri. Rahmat dan barakah Al quran itu hanya hadir buat diri yang diizinkan Allah SWT untuk memperolehinya. Kitalah juga yang perlu berusaha memilihnya, bukan memilih untuk terus sesat seperti manusia yang tidak bertuhan atau memilih Tuhan selain dari Allah SWT untuk disembah penuh takjub dan kecintaan.


Tuesday, May 5, 2015

Memandang pada hati dan diri sendiri..

Andai hidup ini bagai teori di makmal sains yang mana banyak keadaan yang boleh dikawal serta diselaraskan, pastinya mudah untuk kita 'menekan' butang keputsan agar hati sentiasa tenang dan bahagia. Realiti insan dalam kehidupan dunia tidak begitu. Ada kala kita waras untuk berfikir namun dalam banyak waktu pula, sering terbawa dengan emosi yang lupa pada hakikat iman kepada Allah dan hari akhirat.

Saya sebenarnya sekali lagi 'terpukul' dengan sikap sebahagian individu yang merasa OK menolak sesuatu tanggungjawab yang diberikan gaji bulanan dengan entah apa alasan.  Pernah saya 'mencacai' mencurah rasa geram… pada sesuatu yang dilihat sebagai begitu aneh sekali apabila seseorang yang mengaku pada akidah Islam yang benar, yakin wujudnya Tuhan Maha Esa  dan hari pembalasan namun di satu dimensi kehidupan mencipta makar-makar yang mencampakkan dirinya dalam penipuan pada diri sendiri….

Namun firman Allah SWT yang beberapa kali berulang, menghamburkan geram-geram itu pada keinsafan untuk diletakkan terutama pada diri saya sendiri.

Sesiapa yang membuat amal yang saleh, ia adalah untuk untuk dirinya sendiri, dan yang membuat kejahatan akan (ditimpakan) keatas diri (pelaku)nya. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan. Maksud Ayat 15 Surah Al Jathiyah)

Saya banyak membuat kesilapan selama ini apabila sering melontarkan rasa tidak selesa apabila berhadapan isu atau sebarang masalah. Jarang sekali saya lontarkan kesalahan itu terutama dan pertama-tama pada diri sendiri. Namun, stress atau keadaan tekanan yang datang memuncak kembali reda apabila saya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab untuk memperbaiki diri, memperbetulkan kesilapan serta berusaha untuk memaafkan dan melupakan segala apa yang saya ranking kan sebagai punca kesilapan.

Betul, dalam banyak keadaan…mengambil tanggangjawab memperbaiki, memaaf dan melupakan adalah sesuatu yang terbaik untuk terus positif dan membina setting yang konstruktif. Fokus ini pula tidak boleh kita pisahkan atas sifat dan ketaatan sebagai muslim yang berusaha untuk memelihara iman dan ihsan. Kerja kita adalah terjemahan ketaatan dan aqidah kita sebagai muslim yang berusaha memelihara iman dan taqwa.

Kunci membaiki keadaan sebenarnya adalah memandang dan memperbaiki apa yang ada di dalam hati dan diri sendiri.

Ya Allah, mudahkanlah urusan ini buat kami...

Friday, April 17, 2015

Hikmah Susunan Surah di dalam Al Quran: 1


Perkongsian ini adalah dari pembelajaran online bersama Sister Farhia Yahya berdasarkan kitab yang ditulis oleh Imam Al Suyuti.

Allah temukan saya pada khazanah pengetahuan ini yang selama ini saya tidak pernah tahu mengenainya…alhamdulillah, subhanaallah.

Semasa saya belajar di sekolah menengah dahulu, antara satu soalan yang pernah ditanya oleh Ustaz yang mengajar kami… bagaimana susunan surah sedemikian seperti yang kita baca pada hari ini?

Tanpa pengetahuan, saya sekadar meneka… itu adalah susunan ulama-ulama?



Ternyata jawapan saya salah. Ustaz membetulkan pengetahuan kami, susunan surah itu adalah merupakan sesuatu yang telah ditetapkan Allah SWT, ramadhan setiap tahun Jibril a.s akan menyemak bacaan Al Quran Nabi Muhammad SAW yang mana turutannya akan diletakkan sepertimana menurut susunan yang ada sekarang.



Ulama secara umu ada 3 pandangan; sama ada surah-surah di dalam alquran adalah

1. Ijtihadi
2. Tawqifi
3. Tawfiqi kecuali pada dua surah


Mari kita fahami maksud tawqifi dan ijtihadi.



Meskipun terdapat beberapa pandangan; sama ada susunan quran adalah tawqifi atau ijtihadi… namun secara umum surah-surah di dalam AlQuran susunannya adalah secara tawqifi (telah ditetapkan oleh Allah SWT, serta diarahkan sedemikian oleh Baginda nabi Muhammad SAW) kecuali pada surah Al Anfal dan Attaubah, ia disandarkan dari ijtihad Uthman r.a.


Para salaf mengikuti penghayatan alquran oleh para sahabat dengan membaca alquran menurut susunan berikut:

Hari pertama: 3 surah yang pertama (Surah Albaqarah hingga An Nisa')

Hari kedua: 5 surah berikutnya (Surah Al An'am hingga Surah Attaubah)

Hari ketiga : 7 surah berikutnya (Surah Yunus hingga Surah An Nahl)

Hari keempat: 9 surah berikutnya (Surah Al Kahf hingga Surah Al furqan)

Hari kelima : 11 surah berikutnya (Surah Assyu'ara' hingga surah Surah Yasin)

Hari keenam: 13 surah berikutnya (Surah Assaffat hingga surah Al Hujurat)

Hari ketujuh : Surah dalam kategori mufassal iaitu Qaf hingga akhir surah Annas




Wednesday, April 1, 2015

Kerja kita, Aqidah kita...

Ayat-ayat Allah mengenai munafiq ada kita baca dalam Surah Al Baqarah; iaitu selepas penjelasan mengenai mereka yang beriman dan juga mereka yang kafir.

Sekian lama sebenarnya saya sering tidak mempedulikan dengan serius mengenai isu munafik serta sifat-sifat munafik yang mungkin ada kita terjemahkan tanpa disedari.

Seriuskah kita memandang hati dalam dimensi yang bersungguh-sungguh mengenai munafik ini?


Dan di antara manusia (ada) yang berkata kami beriman kepada Allah dan hari akhirat TETAPI sebenarnya mereka itu tidak beriman.

Iman merupakan keyakinan di dalam hati, diterjemahkan didalam lisan dan amalan. Ia bukan sekadar harapan atau juga tanggapan di dalam hati. Iman kepada Allah SWT dan adanya hari akhirat terserlah dalam keyakinan kita tatkala berbicara mahupun memilih keputusan untuk melakukan sesuatu perbuatan.

Betul, konsep ini di atas kertas mudah difaham, tidak komplikated, tidak berserabut dan sama sekali tidak mengelirukan.

Namun…dalam realiti; kedudukan hati dan amalan yang merupakan syarat wajib sebagai muslim yang mukmin itu sebenarnya tercabar dalam setiap waktu dan ketika.  Kita semua diuji dengan elemen yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Kita yakin wujudnya Allah..namun ada waktu kita (termasuk saya juga) seperti tidak kisah melanggar pantang dengan bercakap bohong atau mengkhianati amanah dan tanggungjawab.

Kita yakin akhirat wujud, tapi kita adakalanya terus tergamak membelakangi pahala dan dosa dengan membiarkan diri terus berbohong, melupakan amanah dan menghumbankan janji-janji di bawah klausa DIAM.

Fokus saya seperti bercelaru tatkala realiti yang saya anggap benar dan berlaku dalam skop amanah yang saya percayai berlaku oleh insan yang saya percayai…rupanya tidak berlaku seperti itu. saya memandang kembali ke dalam diri…mudahnya majoriti kita melupakan syaitan jin/ iblis dalam menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan.

Setiap kerja kita…adalah sebenarnya terjemahan dari aqidah yang kita pegang. Kesucian dan kemuliaannya goyah apabila najis kemunafikan mencemar niat di qalbu, lalu hanyir loyanya kekal terhidu dari segenap penjuru.

Saturday, March 28, 2015

Kembara waktu mencari "Rahsia susunan surah dalam Al quran"

Kenangan tatkala memberikan jawapan 'merapu' apabila ditanya Ustaz mengapa kedudukan surah seperti yang kita dapati dalam mushaf Al quran, masih segar dalam ingatan. Tinggal lagi butir jawapan yang saya berikan tidak begitu saya ingati…hanya kerut wajah Ustaz dan bicaranya lebih kurang maksudnya, "Susunan itu ditetapkan oleh Allah SWT dan disampaikan melalui Jibrail a.s., setiap ramadhan Jibrail datang menemui Nabi SAW untuk menyemak isi-isi bacaan Alquran oleh Nabi Muhammad SAW supaya menurut seperti yang ditetapkan Allah SWT"

Saat itu hampir 30 tahun yang lalu. Ada juga dalam kuliah-kuliah atau catitan dalam buku yang sempat saya jengah, berkongsikan tentang aspek 'teknikal' tertentu mengenai susunan surah di dalam alquran.

Di dalam hati, saya berharap…satu hari nanti saya diberikan peluang untuk memahami hakikat itu dengan perincian yang benar dan tepat.

Apabila yang tersayang menghantarkan email untuk saya menyertai kelas on line Secret of chronological order of quran menggantikan Seminar lain yang ingin saya hadiri.. hati saya berbaur; sedikit kecewa namun agak teruja. Namun di hati, saya masih tidak  pasti sama ada mampu menghadirkan diri dan hati dalam waktu yang agak 'remote' untuk mendengar kuliah-kuliah berkaitan melalui rangkaian internet. Pengalaman hadir kuliah online pada waktu dinihari sangat berat, apatah lagi jika ianya merupakan hari bekerja.

Hari demi hari berlalu. Saya masih tidak tahu keputusan akhirnya. Hampir sahaja saya lupakan kerana request saya masih tidak dijawab. Beberapa hari berlalu, masih tidak pasti email saya sebelum itu dijawab atau tidak. Cara pembayaran kursus online pula tidak seperti yang biasa lakukan. Saya decide untuk terus menunggu. Email maklumbalas sampai ke inbox. saya diberi 3 hari untuk mengesahkan penyertaan. Entah kenapa saya masih terus berlengah. Tidak menjawab. Tiada keputusan.

Pagi yang tenang…saya terima lagi email. Pendaftaran ditutup dalam tempoh beberapa jam lagi. Subhanallah…di kala itu saya rasai kasih sayang Allah terhadap saya. Dalam keadaan jiwa yang tidak tentu…saya akhirnya membulatkan tekad dengan izinNya memilih untuk mendaftar. Dalam satu zon waktu yang saya sendiri tidak pasti masih diterima atau sebaliknya.

Saya antara yang dipilih Allah hadir dalam kursus yang tidak pernah saya ketahui wujudnya sebelum ini. Doa saya berpuluh tahun yang lalu…diizinkan Allah menjadi kenyataan…di luar pemikiran dan telahan. Alhamdulillah...


Sunday, March 22, 2015

Tentang surah Al Baqarah (Sbhg dari catatan nota dari kuliah Story Night- Fallen oleh Ustaz Nouman AK)

Surah Al Baqarah merupakan surah yang paling panjang iaitu 286 ayat. 

Terdapat 9 bahagian penting dalam Surah ini; susunannya yang sangat cantik  serta membuktikan Al Quran sebagai mukjizat Allah SWT.

Bahagian pertama: Penjelasan Allah SWT mengenai ciri mukminin, kafirin dan mereka yang munafiq.

Bahagian kedua : Kisah penciptaan Nabi Adam a.s. Intipati asas kesilapan Nabi Adam a.s ialah terpedaya kepada iblis untuk terus kekal di dalam syurga lalu baginda melanggar perintah Allah SWT. Keadaan yang merupai sifat TAMAK. Ustaz NAK mengubungkaitkan persaan tamakkan sesuatu untuk kekal dalam sesuatu kedudukan seperti di dalam surah Al Humazah yang maksudnya ‘“Apakah mereka mengira bahawa harta benda mereka membolehkan mereka hidup kekal abadi?”

Bahagian ketiga: Bahagian paling panjang iaitu kisah Bani Israel. Syariat yang diturunkan kepada Bani Israel.

Bahagian keempat: Kisah nabi Ibrahim a.s; pelbagai ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s serta baginda berjaya mengatasi ujian-ujian berkenaan.

Bahagian ke lima (pertengahan): Kisah pertukaran kiblat; dan kedudukan ayat mengeani umatan wasatan (umat pertengahan) di dalam ayat ke 143 (betul-betul di tengah surah Al Baqarah)

Bahagian Ke enam: Ujian-ujian buat kita sebagai Umat Nabi Muhammad SAW.

Bahagian ke tujuh: Syariat-syariat yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas kita muslim Umat Nabi Muhammad SAW.

Bahagian ke lapan: Penjelasan Allah cara bagaimana menginfaq sebaik-baiknya di jalan Allah buat mengatasi tamak dan menghindari mengikut langkah/ bisikan syaitan.

Bahagian ke sembilan : Doa memohon perlindungan Allah untuk dipelihara dari menjadi munafiq, kafir serta memohon pertolongan Allah terhadap orang-orang kafir.


Keseluruhan dari bahagian ayat-ayat Al Quran menerusi segmen yang dibahagikan kepada isi-isi dalam sembilan bahagian adalah merupakan isi kandungan yang berkorelasi antara satu sama lain menurut hubungan simetri iaitu imej cermin dari segi siri kedudukannya, yang mana kandungan bahagian ke lima menjadi titik pembahagi dalam keseluruhan isi surah berkenaan.


Bahagian pertama berkorelasi dengan bahagian sembilan: Penjelasan Allah SWT mengenai ciri mukmin dalam 5 ayat pertama, diikuti dengan dua ayat mengenai ciri kafirin diikuti dengan penjelasan panjang lebar ciri-ciri munafik. Penutup surah ini merupakan doa yang memohon agar Allah tidak menghinakan dan menghukum kita andai kita terlupa atau tersilap; memohon dilindungi Allah dari munafiq dan kafirin.

Bahagian dua berkorelasi dengan bahagian lapan: Pengkisahan yang mempunyai iktibar sifat tamak akibat hasutan iblis untuk kekal di syurga dalam sejarah penciptaan Nabi Adam as dengan isi bahagian ke lapan iaitu nasihat Allah SWT bagaimana membelanjakan harta sebaik-baiknya di jalan Allah SWT. Uniknya juga dalam bahagian tersebut Allah highlight kan tentang peranan syaitan iaitu dalam ayat 168 yang menakut-nakutkan manusia dengan kemiskinan dan menyurh manusia berbuat fahsya’ (keji - tidak tahu malu). Firman Allah maksudnya, “ Syaitan menjanjikan kemiskinan kepadamu dan menyuruhmu berbuat fahsya’ (keji) sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan kurniaNya kepadamu. Dan Allah Maha Meliputi  Maha Mengetahui”.

Bahagian tiga berkorelasi dengan bahagian ke tujuh: Bahagian ke tiga merupakan kisah Bani Israel serta syariat yang telah diturunkan untuk mereka manakala bahagian ke tujuh adalah siri syariat yang diturunkan kepada kita, Umat Nabi Muhammad SAW iaitu solat, puasa, haji, zakat.

Bahagian empat pula berkorelasi dengan bahagian ke enam: Bahagian ke empat mengenai kisah Nabi Ibrahim a.s diuji; bahagian ke enam merupakan bimbingan dari Allah untuk kita muslim dalam menghadapi ujian-ujian dari Allah SWT.


Paling menakjubkan kandungan surah ini adalah isi pertengahannya: Perubahan kiblat dari Masjidil aqsa ke masjidil haram. Dan kandungan ayat mengenai penjelasan umat pertengahan (umatan wasatan) yang betul-betul berada di tengah-tengah surah ini iaitu ayat ke 146.

SubhanalLah...

Tuesday, March 17, 2015

Monolog tentang seorang kawan..

Siapakah insan yang kita namakan kawan?

Siapa pula kawan yang baik?

Bagaimana pula kawan yang tidak ada kategorinya... mungkin bukan kawan yang baik tetapi cukup untuk berbicara atau berkongsi cerita secara mendatar intonasinya.

Puluhan tahun sebenarnya, apabila saya memikirkan kembali strata yang bernama kawan. Setiap insan yang kita temui dalam segenap peringkat kehidupan; baik secara nyata mahupun sebagai teman di dalam dunia maya. kategorinya masih serupa, tinggal lagi penampilan serta perwatakan komunikasi mungkin agak jauh berbeza.

Seorang kawan sejati dianggap sebagai penyubur motivasi, di bahunya kita sandarkan cerita sedih dan duka; atau di laman waktunya kita bergurau dalam senda dan tawa. Adakala pelbagai cerita dikongsi bersama, semuanya dalam konteks mengharap agar apa yang diluahkan menjadi pengikat buat menjadikan hubungan menjadi erat.

Namun adakala juga, ada kata-kata sinis menjadi gurauan, atau label-label zaman remaja terus diperlekeh untuk diketawa, atau juga cerita-cerita kebanggaan untuk dikongsi menyebar ceria. Tidak kurang bahasa tidak berlapik melontarkan kisah yang sepatutnya ditutup dalam tirai hijab atau kisah-kisah tidak sesuai didendang namun dikompang penuh berkemundang. Ada pula kawan yang hanya mencari kawan apabila dirinya susah dirundung kedukaan, tidak kurang yang menjadi seperti jerung yang memakan kawan.

Nasihat Rasulullah SAW...antara maksudnya iaitu ..”Antara baiknya tanda keislaman seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak berkaitan dengannya”. Kita juga diingatkan tentang ciri mereka yang diiktiraf BERJAYA di sisi Allah iaitu meninggalkan amalan yang tidak bermanfaat baginya (ayat 3 Surah Al Mukminun).

Getaran dari ayat-ayat Surah Al Furqan yang saya dengar berulang-ulang, mendefinisikan semula apa yang sebenarnya dimaksudkan sebagai seorang kawan.

Dan ingatlah pada hari orang-orang yang zalim menggigit kedua jarinya (menyesali perbuatannnya) seraya berkata,”Aduhai andai dahulu aku mengambil jalan bersama Rasul”

“Aduhai celakanya aku, andai dahulu aku tidak menjadikan fulan itu sebagai kawan akrabku”
“Sungguh dia telah menyesatkan aku dari peringatan (Alquran ini) tatkala peringatan itu datang kepadaku”
(Maksud ayat 27-29 Surah Al Furqan)

Seorang kawan sejati adalah kawan baik yang mengajak kita bersama di atas jalan Rasul; kawan yang mengingatkan kita tentang Al Quran; kawan yang tidak menyesatkan kita dari Al Quran...

Betul...hati saya sedih. Sedih tatkala mengenang pada usia begini, banyak lagi yang perlu dipelajari; juga banyak perkara-perkara yang masih tidak mampu saya tangani.

Dalam hati, saya kekal sayang pada semua kawan-kawan yang tidak pernah berubah sayang dan penampilannya terhadap saya. Jauh di sudut hati, saya abadikan semua kebaikan mereka dalam doa-doa yang saya hadirkan pada ruang kehidupan yang terluang. Biarpun saya kalah dalam meneruskan ketabahan menghadapi dunia komunikasi yang tidak lagi setara frekuensinya, namun dengan izin Allah moga saya tidak kalah untuk saling mendoakan mereka-mereka yang pernah hadir di hati saya sebagai  seorang ‘kawan’...