Saya berasa sangat cemburu apabila memerhati dari kejauhan insan-insan yang jauh lebih muda dan remaja dari usia saya begitu berusaha bersungguh-sungguh mengumpul bekal untuk menemui ramadhan kali ini. Aura dan dedikasi hati mereka sangat menakjubkan, usaha-usaha dalam halaqah buat menyuburkan kembali kesungguhan untuk berjuang, saling mengingatkan serta bersungguh sekali stamina mereka menghidupkan amalan quran dan sunnah.
Saya pula 'sendirian' masih terbungkam dalam laluan sukar berhadapan dengan kelompok manusia-manusia yang wujudnya pelbagai kisah dan cerita. Dari strata yang dilihat memiliki elitus mahupun kecerdikan terbilang…hinggalah pada strata yang di'jentik-jentik' kesabaran mereka serta diperlakukan seperti peminta sedekah dalam mengharap upah kerja bulanan. Demi menghadapi ramadhan penuh barakah ini…saya berjanji untuk tidak lagi berbicara tentang apa sahaja yang melukakan hati dan perasaan saya dalam perjalanan tugas yang sukar itu. Biarlah apa jua persepsi mahupun 'tamparan-tamparan' lidah dan gesture yang menyebabkan perasaan tidak selesa terus menggigit di hati…saya terus berharap dan berdoa pada Allah, moga saya diselamatkan dari perlakuan zalim serta tidak bertindak untuk menindas mahupun membalas dendam dalam lisan dan amalan.
Usaha untuk saya mendekat dengan alquran…pada menghayati bacaan serta memahatnya dalam kehidupan…satu perjuangan yang begitu sukar sekali. Ditimbal-balik pula dalam keadaan hati yang terkadang bercelaru atau berhadapan dengan manusia-manusia yang 'kerja'nya sekadar mengeluarkan kata-kata yang saya anggap 'tajam' merobek kedamaian di dada…saya terkadang khilaf dalam memusatkan kembali khusyu' dan fokus di hati.
Ya…syaitan-syaitan manusia dan jin itu belitannya terus menusuk dan mencengkam peluang-peluang yang dilihat mereka sebagai modal untuk kita terus berdosa. Tidaklah ada kekuatan untuk kita selain dari berharap dan terus berdoa kepada Allah SWT.
Dalam kemelut perasaan serta menghitung hari-hari dan doa untuk sampai ke bulan ramadhan kali ini…moga janji saya untuk menahan lidah dan memilih untuk diam menyempurnakan amalan-amalan rutin diizinkan Allah SWT sebagai bekal dalam perjalanan ramadhan ini...
No comments:
Post a Comment