Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, November 30, 2011

Ilmu dan bijaksana...dua alam yang BERBEZA..

Pengalaman saya berinteraksi dengan ilmu...mudah seseorang dan sesiapa sahaja menerima dan memahami ilmu. Mudah pula untuk menyusun hujah dan tindakbalas apabila isu-isu teknikal berkaitan ilmu yang difahami itu...apatah lagi, ilmu yang diperolehnya itu diamalkan. Itulah dunia anak-anak pelajar...juga dunia kami yang menimba ilmu bersama mereka. Kuat daya ingatan seseorang menghafal ilmu serta menghujahkan fakta-fakta yang difaham...kelihatannya ilmu berkenaan sudah dikuasai serta diberikan pula kayu ukuran cemerlang dan hebat.

Sebaliknya pula..mereka yang gagal menguasainya..tertinggal ke belakang, dan ada pula yang gagal memperolehi ‘insight’ betapa ‘kurang’nya ilmu yang telah difahami mereka. Lalu terus-terusan tenggelam dalam batas ilmu...terkial-kial menyusun hujah tetapi masih dianggap ‘norma’ dalam ukuran lulus dan gagal (skala 40% dalam ujian adalah markah minima lulus untuk peperiksaan akhir di peringkat pengajian tinggi).

Uniknya pula..saya kian menghargai bahawa tatkala seseorang memiliki ilmu yang hebat, tidak semestinya pula tindakan hidupnya menjadi bijaksana. Ada kala, ‘gah’ ilmu yang pada tanggapan dimiliki itu dipamer begitu kaku, keras serta menghampakan. Ada pula, mereka yang kelihatan berbuku-buku ilmunya...namun jelas tidak mampu menghidupkan ilmu dalam hidupnya lalu menyusun fakta ilmunya bagai robot dan objek kaku tidak berfungsi. Di satu spektrum, saya dapati sebahagian yang kaku itu...memusnahkan pula unsur-unsur sejahtera yang ‘tertipu’ dengan timbunan ilmunya yang kelihatan hebat pada pandangan manusia.

Insan berilmu...punya falsafah dan pendekatan mengikut apa yang dicitakan. Mereka yang mengamalkan ilmu yang disandarkan pada unsur kemanusiaan...kelihatan bijaksana dalam tindakan. Namun, ianya jelas tidak seimbang andai wujudnya tanpa hubungan dengan Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana (‘alimul Hakim)...

Mudah-mudahan kita tidak kabur terpedaya dengan ilmu yang kita miliki... moga Allah pelihara ilmu berkenaan dengan batas-batas bijaksana yang membawa kita semakin dekat kepadaNya..

Wednesday, November 23, 2011

Gaya komunikasi yang TIDAK lagi serupa

Fokus alam cyber terus melebar untuk memungkinkan pelbagai komunikasi antara individu. Jika semalam, alam komunikasi ada hijab serta terhad pada komunikasi langsung lisan dan tulisan secara nyata serta dipagari oleh batas dan tata susila menurut latarbelakang individu, bangsa, agama dan budaya...namun ciri-ciri itu pada hari ini sudah kian terpadam dan malap keadaanya.

Saya menganalisa ciri-ciri komunikasi dalam pelbagai forum perbincangan...mahupun di pentas facebook dan juga blog mahupun twitter serta apa jua yang menjadi pentas komunikasi d alam cyber. Nyatanya...gaya komunikasi kita pada hari ini merupakan sesuatu yang sangat berbeza.

Batas komunikasi kini jelas merentasi hubungan lisan antara individu lelaki dan wanita. Satu situasi yang satu ketika dahulu ditangani dengan santun, hemah dan menurut adab. Garis keterbukaan maklumat terus melebar di antara isteri orang dan lelaki-lelaki bukan mahramnya, antara suami orang dan gadis-gadis, antara isteri orang dan suami orang...semuanya berlaku begitu bersahaja, dipaparkan penuh nyata serta tanpa selindung dan batas bahasa. Adakala...diskusi menjadi hangat dengan lawak jenaka mencuit rasa. Adakala, timbul isu yang mungkin mengungkit ‘keindahan’ di dalam jiwa serta adakala merosakkan tanggapan baik sesama mereka yang telah biasa ditemui di dunia nyata.

Seingat saya...tatkala teknologi ini memenuhi ruang platform komunikasi...saya begitu teruja. Apatah lagi meluaskan perkenalan saya pada mereka yang ingin berkongsi kebaikan...atau juga membolehkan kita menambah pengetahuan dan membetulkan kesilapfahaman. Lebih teruja apabila berpeluang menemui insan-insan yang pernah dikenali dalam tahun-tahun di usia kanak-kanak mahupun remaja. Terkadang terhibur dengan bicara dan santai penyambung hubungan persahabatan.

Bertahun-tahun saya mengikuti rentak ini...yang pada awalnya saya juga terhakis dalam dunia bahasa yang begitu bervariasi. Terkadang lupa pada identiti diri, adakala mengeluar pendapat penuh emosi . Tersentak juga apabila terbaca tulisan mereka yang kelihatannya sopan tetapi di luar jangkaan ‘ganas’ berhujah melalui papan kekunci sehingga mencetus sedih dan kecewa. Terkedu pula apabila isteri-isteri dengan santainya bersenda gurau dengan suami-suami orang di laman thread mahupun FB atas nama persahabatan atau pengenalan. Ada pula yang hebat berhujah...tanpa ilmu dan kebijaksanaan sehingga terkeliru antara bicara-bicara da’wah dan tohmah.

Saya menyalahkan diri saya, lantaran bertahun melayari pentas komunikasi cyber ini, saya terlalu lambat mendefinisikan potensi kelemahan dan ‘keterbukaan’ yang semakin mengancam minda, taqwa dan setiap nadi emosi. Biarpun terkadang rasa tidak selesa yang sebenarnya berpunca dari dosa yang dicipta namun membuat pelbagai justifikasi untuk membenarkan komunikasi terus berlaku ‘secara semulajadi’. Banyaknya kesilapan-kesilapan saya....

Penjelasan tafsir Surah Al Kahfi..tentang perihal Dajjal yang bakal menjahanamkan aqidah umat Islam. Selain kemilau harta.... komunikasi lampau batas di alam cyber tanpa objektif da’wah kerana Allah juga merupakan peranti hebat yang bakal bermetamorfosis menjadi raksasa dajjal pemusnah ummat.

Saya kongsikan kegusaran ini demi memelihara pembinaan jiwa kita dan anak-anak dan sahabat-sahabat semuanya untuk terus beristiqamah di atas jalan kebenaran iaitu menghayati dan menterjemahkan quran dan sunnah dalam kehidupan....

Sunday, November 13, 2011

Sebenarnya... saya tidaklah sesibuk mana..

Hati dan naluri saya sering terusik apabila sesuatu keadaan/ 'task' yang tidak dapat diteruskan lantaran persepsi mengatakan saya terlalu sibuk. Seringnya pula... saya tidak pula menolak tanggapan tersebut atau meng'iya'kannya... kerana dalam fokus/urusan untuk menyelesaikannya isu yang berkenan, saya terus berfikir...Benarkah saya ini terlalu sibuk?

Allah Maha Mengetahui... Bahawa jumlah waktu yang dianugerahkan kepada kita selama sehari semalam 24 jam, sangat ideal dan sesuai untuk kita sebagai insan untuk mengisinya dengan apa jua tugas atau keperluan yang mesti kita laksanakan. Setiap kali selesai solat...dan kadang-kadang saya dalam keadaan kelam kabut untuk memperuntukkan masa berzikir penuh penghayatan dan berdoa penuh kerendahan..hati saya tercuit rasa bersalah kerana menyia-nyiakan peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan hati dengan Allah SWT. Difikir-fikirkan semula, apa sebenarnya yang hendak dikejarkan sangat tanpa fokus terbaik dalam solat dan doa.... meluru menatap kembali kehidupan yang penuh 'camouflage' atas persepsi rasa SIBUK.

Antara perangkap syaitan menjauhkan kita dari ubudiyah kepada Allah ialah dengan menanamkan rasa TIDAK APA pada perkara-perkara yang harus...saya sendiri pada usia ini baru menyedari bagaimana banyaknya perkara-perkara yang HARUS itu menyebabkan hati saya tersadai dalam keadaan yang KERAS tanpa hubungan dengan hakikat ubudiyah dan iman yang benar. Itulah juga yang mencalarkan fokus solat dan doa saya... atau juga terlepas perkataan/ tulisan hingga tanpa disedari menyakiti hati orang lain..

Susunan waktu dalam kehidupan Allah izinkan untuk kita yang memilih dan melakukan apa yang kita mahukan... dalam ruang yang diizinkanNya. Ada yang kita mahukan...diizinkanNya menjadi kenyataan dan ada pula yang sebaliknya. Tak semua yang kita mahukan mampu menjadi kenyataan... semuanya tertakluk pada kekuasaan Allah yang Maha Hebat dan Maha Berkuasa.

Lantas... ruang-ruang waktu sentiasa menunggu kita untuk memanfaatkannya dengan praktis yang dijanjikan Allah dengan pahala. Jika itu keutamaan kita...insyaAllah pelbagai medan dapat dimanfaatkan untuk menjurus pengisian kita menurut amanah yang ditaklifkan.

Mengenai pengisian waktu yang bagi saya bermanfaat untuk dikongsikan,
1. Perlu ada 'rank of priority' dalam kehidupan... jika sebagai isteri, sibuk bagaimanapun perlu ada ruang untuk suami. Jika tugas di pejabat yang membayar gaji bulanan... maka tugas di pejabat yang perlu diutamakan bukan kerja sambilan atau " moonlighting" di luar pejabat

2. Tidak terpedaya dengan perkara-perkara yang HARUS

3. Line of communication yang jelas.... perlu saling ingat mengingati akan kerja2 yang perlu diutamakan serta memenuhi amanah dan tanggungjawab...

Moga Allah mempermudahkan tugas-tugas kita semua...

(NB: Berkongsi tulisan semasa bertugas mengendalikan Klinik Komuniti di Pasir Gudang)

Wednesday, November 9, 2011

Memuliakan anak-anak..

Pada era kebelakangan ini, kursus-kursus mahupun seminar bertemakan motivasi serta 'pencetus' semangat di kalangan anak-anak (termasuk remaja) untuk berubah; mencuri perhatian dan mendapat tempat di kalangan kita. Pernah saya terpandang satu banner yang mengiklankan bagaimana istimewanya Kursus yang ditawarkan sehingga dikatakan 'TERBUKTI' program yang dilakukannya itu mengubat penyakit anak-anak nakal..wallahua'lam.

Sempena Aidil Adha baru-baru ini, saya sempat menyorot sejarah dan pengorbanan serta siri-siri ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s; tafsiran serta konteks penghayatannya dalam pembentukan minda anak-anak serta mempertahankan aqidah mereka agar kekal sebagai muslim yang mukmin.

Masjid adalah salah satu unsur penting dalam pembinaan jiwa anak-anak. Kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s membangunkan Baitullah sebagai ka'bah umat muslim memberikan konotasi yang jelas betapa pendidikan jiwa anak-anak agar hatinya terikat dengan aqidah ialah masjid (tempat kita bersujud iaitu solat). Masjid yang begitu gemilang pengisiannya di zaman Rasulullah SAW pula sering kisahnya menggetarkan jiwa dan hati naluri saya.... pendidikan jiwa dan hati secara hands on dari rasulullah SAW serta terjemahan langsung dalam praktis kehidupan begitu indah perlaksanaannya. Rasulullah sebagai imam dalam solat, pemimpin dalam masyarakat, pendidik jiwa umat, mengambil berat setiap individu muslim...baik yang tua, para sahabat, wanita mahupun anak-anak. Mereka menjadikan masjid sebagai teras membangunkan jiwa dan minda...yang akhirnya menghasilkan insan muslim mukmin yang terdorong hatinya untuk sentiasa memanfaat dan berkongsikan kebaikan.

Namun...apa yang terjadi pada masjid kita pada hari ini?? Imam dengan fungsinya yang terbatas sewaktu mengimamkan solat sehingga habis membacakan doa... atau Nazir, yang urusannya memastikan logistik dan fasiliti masjid cukup dan lengkap...atau jawatankuasa masjid...yang saban tahun berbahas dan berdebat demi mempertahankan 'kerusi-kerusi' panas atas nama sebaga AJK.. .

Siapa pula dari masjid yang tarbiyahnya sampai kepada masyarakat? Jika ada..itulah penceramah jemputan yang mengisi slot-slot undangan. Dan siapa pula yang mendengar ceramah tersebut...di mana anak-anak kita yang belum baligh mahupun pada usia remaja? Di mana mereka ketika aktiviti pendidikan oleh masjid berlangsung? Bagaimana kita boleh mewujudkan daya 'magnet' menarik minat anak-anak ke masjid?

Yang nyata...hati dan naluri saya sebak setiap kali melintasi masjid-masjid yang seringkali kosong sunyi dan sepi...tanpa pengisian ilmu mahupun manfaat kebaikan daripadanya kecuali pada waktu-waktu khusus. Ada kemudahan bilik kuliah...perlu pula di sewa pada harga yang tidak munasabah...Namun ada pula peruntukan khas makan-makan untuk AJK masjid untuk bermesyuarat.. Pernahkah ada masjid yang mengadakan jamuan khas meraikan anak-anak mahupun kanak-kanak??

Anak-anak adalah generasi yang perlu kita muliakan kesucian dan kemurnian jiwa serta mindanya. Memperkukuh binaan dengan mendidik unsur-unsur yang baik perlu juga disertakan dengan langkah sekatan dari unsur-unsur yang bakal menjahanamkan. Jika di zaman saya kecil dahulu, sering saya mendengar kritikan terhadap ibubapa yang membelikan motorsikal untuk anak-anak yang terlalu belia demi menyempurnakan 'kasih sayang' padahal tindakan itu kurang tepat dalam membina kedewasaan sebelum sampai masanya.

Pada hari ini, saya mengesyorkan sungguh-sungguh agar anak-anak yang masih kecil serta belum mampu berfikir secara matang (kurang dari 15 tahun) agar sentiasa di bawa ke masjid dan majlis-majlis ilmu. Jangan sesekali diberikan mereka telefon bimbit...apatah lagi telefon bimbit dengan sms ataupun perayauan internet. Jangan sesekali biarkan anak-anak kurang 15 tahun melayari internet sendirian, jangan benarkan mereka melayari facebook mahupun forum chatting yang entah apa-apa objektifnya, jangan benarkan mereka sendirian ke cyber cafe...ia bakal 'mengundang malapetaka' jika mereka tidak dibimbing bersungguh-sungguh!!

Bantulah saya untuk membimbing mereka...

Sunday, November 6, 2011

Menghayati erti PENGORBANAN

Alhamdulillah.. Saya bersama jutaan muslim berhimpun menunaikan solat dan menghayati khutbah Aidil Adha.

Pengorbanan yang bagaimana pernah kita lakukan demi menunaikan seruan Allah dan Nabi Muhamad SAW menurut terjemahan yg benar berdasarkan taqwa dan ikhlas?

Salam Aidil Adha.. EID MUBARAQ