Fokus alam cyber terus melebar untuk memungkinkan pelbagai komunikasi antara individu. Jika semalam, alam komunikasi ada hijab serta terhad pada komunikasi langsung lisan dan tulisan secara nyata serta dipagari oleh batas dan tata susila menurut latarbelakang individu, bangsa, agama dan budaya...namun ciri-ciri itu pada hari ini sudah kian terpadam dan malap keadaanya.
Saya menganalisa ciri-ciri komunikasi dalam pelbagai forum perbincangan...mahupun di pentas facebook dan juga blog mahupun twitter serta apa jua yang menjadi pentas komunikasi d alam cyber. Nyatanya...gaya komunikasi kita pada hari ini merupakan sesuatu yang sangat berbeza.
Batas komunikasi kini jelas merentasi hubungan lisan antara individu lelaki dan wanita. Satu situasi yang satu ketika dahulu ditangani dengan santun, hemah dan menurut adab. Garis keterbukaan maklumat terus melebar di antara isteri orang dan lelaki-lelaki bukan mahramnya, antara suami orang dan gadis-gadis, antara isteri orang dan suami orang...semuanya berlaku begitu bersahaja, dipaparkan penuh nyata serta tanpa selindung dan batas bahasa. Adakala...diskusi menjadi hangat dengan lawak jenaka mencuit rasa. Adakala, timbul isu yang mungkin mengungkit ‘keindahan’ di dalam jiwa serta adakala merosakkan tanggapan baik sesama mereka yang telah biasa ditemui di dunia nyata.
Seingat saya...tatkala teknologi ini memenuhi ruang platform komunikasi...saya begitu teruja. Apatah lagi meluaskan perkenalan saya pada mereka yang ingin berkongsi kebaikan...atau juga membolehkan kita menambah pengetahuan dan membetulkan kesilapfahaman. Lebih teruja apabila berpeluang menemui insan-insan yang pernah dikenali dalam tahun-tahun di usia kanak-kanak mahupun remaja. Terkadang terhibur dengan bicara dan santai penyambung hubungan persahabatan.
Bertahun-tahun saya mengikuti rentak ini...yang pada awalnya saya juga terhakis dalam dunia bahasa yang begitu bervariasi. Terkadang lupa pada identiti diri, adakala mengeluar pendapat penuh emosi . Tersentak juga apabila terbaca tulisan mereka yang kelihatannya sopan tetapi di luar jangkaan ‘ganas’ berhujah melalui papan kekunci sehingga mencetus sedih dan kecewa. Terkedu pula apabila isteri-isteri dengan santainya bersenda gurau dengan suami-suami orang di laman thread mahupun FB atas nama persahabatan atau pengenalan. Ada pula yang hebat berhujah...tanpa ilmu dan kebijaksanaan sehingga terkeliru antara bicara-bicara da’wah dan tohmah.
Saya menyalahkan diri saya, lantaran bertahun melayari pentas komunikasi cyber ini, saya terlalu lambat mendefinisikan potensi kelemahan dan ‘keterbukaan’ yang semakin mengancam minda, taqwa dan setiap nadi emosi. Biarpun terkadang rasa tidak selesa yang sebenarnya berpunca dari dosa yang dicipta namun membuat pelbagai justifikasi untuk membenarkan komunikasi terus berlaku ‘secara semulajadi’. Banyaknya kesilapan-kesilapan saya....
Penjelasan tafsir Surah Al Kahfi..tentang perihal Dajjal yang bakal menjahanamkan aqidah umat Islam. Selain kemilau harta.... komunikasi lampau batas di alam cyber tanpa objektif da’wah kerana Allah juga merupakan peranti hebat yang bakal bermetamorfosis menjadi raksasa dajjal pemusnah ummat.
Saya kongsikan kegusaran ini demi memelihara pembinaan jiwa kita dan anak-anak dan sahabat-sahabat semuanya untuk terus beristiqamah di atas jalan kebenaran iaitu menghayati dan menterjemahkan quran dan sunnah dalam kehidupan....
No comments:
Post a Comment