Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, December 6, 2013

Universiti yang bukan kilang...

Banyak sekali artikel-artikel yang menegur sikap para mahasiswa yang gagal berinteraksi dalam menyumbangkan idea dan kemampuan mereka dalam membangunkan masyarakat. Banyak pula tohmahan yang mengkritik pelajar yang dikatakan umpama robot serta item-item yang mekanikal, tidak mampu bertindak di ‘luar kotak’ serta dikatakan sangat terikat dengan aktiviti pengajian serta assignment yang diberikan.

Sayang sekali, kebanyakan artikel tersebut gagal mentafsirkan hakikat pembelajaran, penghayatan dan seterusnya penterjemahan ilmu dalam realiti yang dilalui oleh seseorang individu. Tambah mendukacitakan lagi, serpihan ilmu yang ditatap di dalam kelas...terus dikritik dengan label sekularisma serta mempunyai objektik materialistik. Memisahkan pula kelompok anak-anak ini dengan ikutan dan ikatan politik serta tidak malu menuding jari menyalahkan pihak lain apabila timbul isu yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan pendekatan konstruktif.

Individu amnya bukan merupakan komponen fikiran dan fizikal semata-mata. Namun, hakikat insan yang merupakan makhluk ciptaan Allah Al Khallaq adalah merupakan manusia, bukan haiwan dan bukan juga benda-benda tidak bernyawa. Manusia ada akal, emosi, perasaan, keinginan serta komposit-komposit lain yang membentuk dirinya menjadi manusia. Realiti dunia akademik ini yang menjuruskan kemahiran akademik melalui kecemerlangan akal secara majoritinya, menjadikan sebahagian individu pelajar gagal menggunakan akal mereka untuk membentuk sikap dan amalan masing-masing. Sebahagian besar keputusan akademik itu diberikan keutamaan, sedangkan kesan sikap mereka yang tidak diberikan tumpuan dengan niat dan motivasi yang betul...tertinggal dalam saki baki kehidupan.

Bagaimanakan seseorang itu mampu menyumbang apabila kedudukan dirinya sifar dari aspek niat, motivasi dan akhlak yang merupakan entiti utama dalam menterjemah sikap dan amalan terpuji? Bagaimana pula andai hakikat ilmu di dalam kelas kuliah di anggap ‘second class’ dalam membantu mereka mempelajari hakikat pendekatan penyelesaian masalah dunia sebenar berbanding usrah-usrah yang ‘mengapi-apikan’ semangat perjuangan atau ‘glamour’ menghitung sokongan, pujian mahupun undi pilihanraya? Glamour menghadiri workshop dan seminar kepimpinan dianggap keperluan mutlak, lalu ‘membakulsampahkan’ jadual-jadual pengajian dan peperiksaan serta memontengkan diri secara jijik melalui penipuan tandatangan kehadiran?
 Seolah-olah dosa dan pahala itu tersisih dalam amalan yang bukan merupakan solat, puasa, haji/umrah dan apa-apa sahaja yang ditakrifkan agamawan.


Mampukah individu yang tidak mampu menyusun jadual keutamaan dalam diri dan kehidupan dirinya sendiri, bangkit untuk membantu membangunkan sesuatu organisasi? Mampukah pula manusia yang menipu, berdalih dan tidak menunaikan amanah berilmu menjadi ikon dalam konteks kepimpinan?

Saya kecewa berhadapan dengan insan yang merasakan mereka ‘terpilih’ dalam barisan kepimpinan ini kelihatannya sukar dalam mengakui kesalahan..dan tidak segan ‘membengongkan’ para guru mereka apabila gagal hadir ujian atau kuliah dengan alasan meraban-raban!!

Hakikat ilmu membawa kita lebih dekat dengan Allah SWT...fokus ketaatan dan ta’abud yang menjadikan manusia itu lebih ‘humble’ dan terus memperbaiki dirinya dalam konteks menterjemahkan quran dan sunnah dalam amalan...

Dan universiti memang sebenarnya bukan kilang..