Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, December 27, 2014

Banjir luar biasa: Sesungguhnya manusia MEMERLUKAN tuhan...


Firman Allah SWT dalam surah Fathir ayat 15 yang maksudnya'" Wahai manusia, kamu adalah faqir (sangat memerlukan Allah) dan Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesiapa atau apa-apa) dan Maha Terpuji. [ Sebagai analog andai frasa ini dalam bicara sesama manusia…. Korang..dengar sini; awak tu miskin papa kedana..tak punya apa-apa. Awak perlukan Allah SWT untuk hidup. Allah Al Ghani Al Hamid (Maha Kaya - tak perlukan awak langsung) (Dia Maha Terpuji - Dia tak perlukan awak untuk impress Dia].

Beberapa bulan sebelum ini, semakin galak individu-individu yang bernama muslim memperleceh Allah SWT sebagai tuhan, memandang remeh Alquran dan sunnah serta menyusun bahasa keangkuhan begitu sombong sekali. Keberadaan mukabuku, forum umum serta apa sahaja untuk ditatap secara umum ini, menzahirkan 'warna-warna' sebahagian manusia bernama muslim ini yang semakin menjadi-jadi kebodohan dan kesombongannya.

Jauh di hati saya yang marah dan geram atas keceluparan manusia-manusia yang menganggap dirinya 'bijak' dan 'terlebih pandai' . Mereka kelihatannya angkuh memperlekehkan kewujudan Allah SWT dan sombong dalam memperakukan adanya kuasa yang mutlak dalam mentadbir dan memegang kekuasaan seluruh alam ini. Dalam dimensi yang lebih kurang serupa, manusia-manusia yang mempertikaikan hukum hudud sedangkan tidak pernah tahu isi detail alquran dan sunnah, manusia yang lebih hina dari haiwan apabila menganggap normal hubungan seks sejenis, manusia-manusia yang akalnya jauh hina dari haiwan yang tidak berakal apabila gagal mentafsihkan kedudukan diri yang berada dalam hujung spektrum sangat lemah dan tidak mampu melakukan/mengawal sebahagian besar (lebih dari 99%) dari setiap entiti dalam kehidupan.

Manusia tidak mampu melihat matanya sendiri. Tidak mampu melihat otak dan sel-sel dalam badannya. Tidak mampu melihat atau mengawal aliran darah, mekanisma metabolisma, pencernaan, gerakan nadi, kontraktiliti jantung dan segenap apa yang berlaku dalam dirinya. Produk dari gabungan kimia, fisiologi dan anatomi..mambawa entiti manusia ini bangkit berdiri untuk menggunakan akalnya atau memusnahkannya untuk menafikan kewujudan dirinya sebagai hamba kepada Tuhan Rabbul Jalil.

Manakah manusia-manusia celupar yang menganggap dirinya seperti Tuhan yang menguasai segala-galanya? Angkuh menidakkan kewujudan diri dari tidak ada kepada ada.  Angkuh menafikan dirinya diciptakan oleh Tuhan yang Maha Agung dan Maha Pencipta. Manakah pula manusia yang bermatian menentang alquran dan sombong membidas teladan dan ajaran Nabi Muhammad SAW….manakah manusia yang sering mentertawakan insan lain yang patuh beribadah menyerahkan dirinya pada aqidah dan ibadah...hantarkan mereka di tengah-tengah banjir luar biasa yang kini mengganas. Atau letakkan mereka di daerah terpencil tanpa makanan dan perlindungan.

Banjir ini mengajar kita bahawa alam ini bukan kita yang punya. Makanan yang kita dihidangkan saban hari, didatangkan dari Allah ArRizqi. Keselamatan, keadaan kehidupan, kenderaan, rumah kediaman yang baik…semuanya merupakan anugerah dari Tuhan Al Aziz ArRahim ArRahman An Nasir.

Peristiwa banjir luar biasa kali ini melontarkan hati dan jiwa  merenung sedalam-dalamnya. Sebahagian kita yang 'dikeluarkan' Allah dari 'istana' hebat dan peralatan/kenderaan  mewah yang mereka miliki. Sebahagian kita yang diuji Allah apabila makanannya 'dicatu' dan tiba-tiba terhenti. Sebahagian kita bagai 'dikejar' tentera air untuk berpindah dan terus berlari. Bijak hebat sekalipun insan…tidak terlawan tatkala ujian alam yang didatangkan Tuhan Rabul'alamin ini.

Semalam, semasa saya menyusuri surah Al Jathiyah pada ayat-ayat terakhir…Allah menyebut tiga kali perkataan Rabb dalam ayat berikut:



Maka bagi Allahlah segala puji-pujian dan kesyukuran…(Allah lah) tuhan langit, tuhan bumi dan tuhan sekalian alam. Fakta yang diberikan intonasi PENTING untuk manusia ingat dan terus ambil peringatan bahawa dirinya hanyalah ciptaan yang diciptakan. Bukan untuk bersaing hebat dengan kekuasaan tuhan!!


Wednesday, December 10, 2014

Moga kita tidak dibangkitkan sebagai insan yang muflis...


Dalam surah Al Baqarah ayat 266 Allah berfirman maksudnya,

Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; dia mempunyai kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada seseorang itu sedang dia mempunyai keturunan yang kecil-kecil, Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.

Tafseer ayat ini dari Kitab Tafsir Ibnu Kathir menukilkan Ibnu Abbas menjelaskan perumpamaan yang disampaikan Allah dalam ayat berkenaan ialah mengenai seorang kaya yang beramal dengan ketaatan kepada Allah. Lalu Allah mengirimkan syaitan kepadanya, maka iapun berbuat banyak maksiat sehingga semua amalnya terhapus. Penjelasan berkenaan dinyatakan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, satu ayat yang yang memberikan perumpamaan tentang seseorang yang pada permulaan hayatnya dipenuhi oleh amal yang baik, namun ia mengganti amalnya dengan amalan yang jahat penuh berdosa (moga kita semua dilindungkan Allah dari dibangkitkan Allah di akhirat nanti dlm keadaan muflis).

Saturday, November 29, 2014

Adab di kala usia hampir mencecah setengah abad...

Komunikasi dunia hari ini begitu ampuh sekali. Di mana, bila dan antara siapa…bukan lagi terhad antara individu atau kumpulan beberapa orang…namun terserlah dalam pelbagai dimensi melalui Facebook, Whassap, telegram dan sebagainya.

Pada diri yang masih mencari ilmu dan sandaran amal untuk hari-hari yang kita pasti menghadapinya…saya mengingatkan terutama diri saya sendiri bahawa pada usia seperti ini kita yang hampir mencecah setengah abad ini bahawa saya bukan lagi remaja yang hoo haa hoo haa bahasa komunikasinya, kita bukan lagi di peringkat umur baru akil baligh mengenal kehidupan, dan pada usia seperti ini...kita ini mungkin menjadi 'sasaran' sesuatu tanggapan untuk diteladani.

Saya tidak mampu melayan bicara tanpa tujuan. Juga tidak mampu bersantai menghadap saban hidangan demi hidangan untuk dipertontonkan atau juga menatap tayangan percutian santai hebat serta kegemilangan demi kegemilangan yang dihadap kepada umum untuk dikomen, diulas atau mengharap disanjung atau dipuji. Owh…saya mungkin keterlaluan dalam memberi pandangan.

Fokus dunia hari ini memerlukan kita berani untuk memilih; atau sebaliknya kita pula yang dipaksa menelan sesuatu yang kita tidak suka atau berhadapan dengan situasi saling diperbodoh dan memperbodohkan atas kejahilan yang kita sendiri rela untuk terus berada di dalamnya…
Allahul musta'an

Friday, November 28, 2014

Opressor versus those who're oppressed…

Ada kala saya juga keliru untuk membezakan antara tugas hakiki yang perlu dibuat atau saya sekadar memenuhi permintaan orang lain untuk menyelesaikan kerja yang perlu dilakukannya..

Dunia hari ini, menyerlahkan dimensi wajah perilaku insan yang pelbagai. Ada yang kita tanggapkan mereka yang dilihat sebagai bertanggungjawab namun di sebaliknya, merupakan insan yang licik mencari peluang 'menyusahkan' orang lain.

Ada pula insan yang wajahnya sentiasa tenang dan tersenyum, sering tidak menolak jika ada sedikit sebanyak tugas yang dikongsikan dengannya. (Subhanaallah..moga Allah sentiasa merahmati insan ini..)

Menjadi PENINDAS orang lain semata-mata memenuhi agenda sendiri adalah sesuatu yang hina. Namun membiarkan diri terus ditindas dan diperbodohkan juga merupakan tindakan yang tidak wajar untuk terus diangguk serta didiamkan.

Sistem di atas kertas menampakkan keadilan, namun apabila dilaksanakan secara hands on, ada pula yang tidak malu memanipulasinya untuk memenuhi hajat dan kehendak hati yang tidak terbatas!

Sering mereka yang tidak adil…tersenyum gembira kerana mendapat sesuatu yang 'menyenangkan' dan 'membahagiakan' mereka walaupun mungkin di hati kecil mereka mengakui mereka itu tidak layak untuk menerima kesenangan dan kebahagiaan tersebut..apatah lagi jika ianya di'lanyak' atas kesusahan orang lain yang bertungkus lumus menunaikan tugas mengikut aturan' buku'.

Tersenyumlah dan bergembiralah…namun jangan lupa bahawa janji Allah SWT.

"Mereka yang beramal soleh, adalah untuk diri mereka sendiri, mereka yang mengamalkan yang buruk,  ia (menimpa kembali) pada yang melakukannya.." Al Jathiyah ayat 15.

Semoga  Allah melindungi kita bukan di kalangan mereka yang MENINDAS dan diTINDAS..



Wednesday, September 24, 2014

Luasnya dimensi komunikasi ..

Sungguh, batas berkomunikasi kini bukan seperti 5 atau 10 tahun yang lalu. Aplikasi yang pelbagai rupa serta 'availability' diri secara online dalam hampir setiap masa akibat malas atau terlupa untuk 'log off'… mengundang pelbagai info datang menderu.

Sebahagian kecilnya relevan, namun sebahagian lain menyebabkan fokus kita keliru dan bercelaru.

Anak-anak dan juga individu pada hari ini yang dekatnya hati dan minda mereka pada platform seperti ini, kian berevolusi dalam gaya bahasa dan modus berbahasa yang nyata berbeza dengan mereka yang tidak dikuasai atau hidup tanpa platform sedemikian sebelum ini.

Untuk generasi yang hidupnya dilingkungi oleh telefon bistari dan diselimuti ruang virtual dan nyata ini, saya saksikan pola berbahasa mereka dengan gaya yang begitu santai, tidak mengenal orientasi masa,  kelam dalam mendefinisikan ruang kehidupan yang memerlukan privacy, seperti berebut mendokumenkan hampir setiap rutin untuk diketahui umum, tidak memahami mana yang utama dan patut didahulukan serta biasanya 'tiba' mendadak dan mendesak penyelesaian mutlak…there and then.

Ada pula yang bermain dengan bahasa, berdalih serta menterjemahkan jiwa yang fragile, tampak memerlukan bimbingan untuk mencapai fasa kematangan. Namun dalam masa yang sama, bijak mencari ruang secara manipulatif untuk mencapai apa yang dihajatkan.

Kekangan ini sebenarnya menjadi cabaran dan resistan besar dalam dunia pendidikan. Kita semakin melawan arus, demikian dalam membimbing jiwa dan minda dalam menghayati kehidupan secara normal….. apatah lagi jika dimensi itu dijuruskan menurut batas kehidupan menurut neraca quran dan sunnah.

Saya telah  meninggalkan komunikasi untuk menang atau meletakkan diri dalam keadaan yang defensive. Berhujah untuk menyatakan I always right…sebenarnya, memenatkan malahan membuatkan saya sering tertekan.

Dalam banyak keadaan sebenarnya pula, diam itu adalah pilihan komunikasi yang lebih baik.

Friday, September 5, 2014

Ibadah yang ikhlas…tak perlu dirakamkan untuk tatapan di internet..

Saya mohon mereka yang dalam 'ibadah, dalam perjalanan mahupun dalam niat untuk ber'ibadah…hentikanlah sementara perbuatan selfie/ bergambar. Fokuskan niat untuk beramal sebaik-baiknya. Perjalanan melakukan 'ibadah BUKAN perjalanan melancong atau bersuka-suka...

Kita menterjemahkan apa yang ada di dalam hati..

Sejauh mana kedudukan hati seseorang, boleh ditelah dari gesture dan komunikasi lisannya. Meski dalam keadaan sedar, sesuatu terjemahan itu dapat disusun, namun dalam kebanyakan keadaan, ia terserlah menjadi realiti sebenar tatkala diri dan hati diuji dengan kesusahan.

Aura hati yang sakit dan nanar 'terlukis' dalam ekspresi komunikasi yang saban menyakitkan hati orang lain untuk menerimanya. Andai diberikan julat masa seharian untuk dinilai, majoriti dalam pengisian masa itu diisi dengan beban tulisan mahupun lisan yang tidak menyenangkan.

Apatah lagi..jika kita datangi mereka dengan senyuman, bukan tidak diberikan respon yang seimbang namun dicantas pula dengan 'masalah' demi 'masalah' yang tidak pernah kita tanyakan.

Ada orang berkata…saya ni mulutnya bising, tapi hati saya tak sampai hati 'nak buat' orang. Ada pula insan yang kehadirannya dikenalpasti sekadar mencipta kontroversi untuk menyakiti hati orang lain, mengelirukan fokus, menyatakan ekspresi berdolak-dalik dan lebih pelik kemudiannya memohon ampun dan maaf berulang-ulang.

Realitinya…saya tidak mampu memberikan sebarang 'judgement' dalam konteks mencari kesalahan. Namun saya cenderung untuk tidak bersetuju dengan dua jenis insan sedemikian.

Perlu apa kita sakiti orang lain, perlu apa pula kita 'mengirai'kan kesilapan tanpa mengambil langkah sama-sama membetulkan. Lebih pelik menyusun maaf dalam keadaan yang mana orang lain merasa terhina.

Sesungguhnya, kita banyak peluang menggantikan kesilapan berkenaan dengan lafaz-lafaz mulia zikrullah, istighfar mahupun mengulang-ulangkan ayat mulia alquran.

Sesekala… ingatan saya melintas dalam koridor semalam yang sering saya lalui dengan perasan kosong mahupun perjalanan yang tidak pernah merujuk secara introspektif kepada niat sebenar di dalam hati. Lowongan bicara penuh kebaikan itu sebenarnya terbentang cukup luas, kitalah juga yang perlu berdoa untuk diizinkan Allah melakukan kebaikan-kebaikan yg diredhaiNya..

Monday, September 1, 2014

Menghormati perasaan 'mereka'….

Siang tadi berlangsung pendaftaran masuk tahun satu ke semua IPTA/IPTS di peringkat ijazah pertama di seluruh negara. Tahniah diucapkan untuk anda yang mendapat tempat untuk terus menyambung pengajian. Satu amanah untuk ditunaikan oleh setiap diri, yang mana tanggungjawabnya bukan boleh dianggap sebagai pilihan iaitu sama ada utk buat betul-betul atau dilayan sambil lewa sahaja.

Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, jurusan doktor perubatan merupakan jurusan yang paling utama mendapat perhatian. Sehubungan dengan kriteria pemilihan serta keperluan temuduga bagi sebahagian calon, menjadikan tempat masuk sebagai calon bakal doktor itu menjadi rebutan dan saingan di kalangan ibubapa dan juga pelajar yang berminat.

Sebagai Penyelaras Akademik Praklinikal Program Doktor Perubatan, saya akui bahawa pemilihan tempat pada tahun ini agak sengit. Keputusan mengambil merit dari temuduga dan juga aktiviti kokurikulum menyebabkan sebahagian pelajar yang mendapat 'straight A's' menangis sedih tidak mendapat tempat. Ada juga calon yang mempunyai latarbelakang praperubatan yang sangat baik, namun terdapat aspek-aspek yang dinilai menyebabkan beliau tidak terpilih.

Didokumenkan juga berlaku 'heavy drama' apabila seorang ibu menangis sayu setelah pasangan kembar anaknya yang mendapat nasib tidak serupa. Seorang terpilih, manakala yang seorang lagi tidak. Sudah tentu sebagai ibu, saya turut bersedih dengan keputusan tersebut. Namun apakan daya, sistem yang digunapakai untuk menapis kemasukan perlu dihormati keputusannya.

Ini belum lagi calon-calon yang sekian lama memendam hasrat menjadi doktor namun terkubur apabila ditawarkan jurusan yang jauh berbeza. Tidak kurang juga yang masih dalam senarai menunggu ke IPTA kerana ketidak mampuan keluarga untuk menyara pengajian di IPTS.

Kejayaan diterima masuk ke Fakulti Perubatan bukanlah segala-galanya dalam kehidupan. Ia sekadar platform untuk seseorang terus bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dicita-citakannya, dan seterusnya menjadi medan untuk kembali berbakti kepada masyarakat.

Setiap bidang selain dari Doktor Perubatan juga mempunyai nilai setara yang sangat tinggi dalam pembangunan tamadun dan spiritual masyarakat. Setiap kitalah juga yang perlu memurnikan usaha tersebut ke arah manfaat yang dikongsikan bersama masyarakat, BUKAN untuk dibangga-banggakan sehingga mengganggu perasaan individu lain.

Wajar untuk kita menghormati perasaan anak-anak yang tidak terpilih ke Fakulti Perubatan. Tidak ada bezanya tahap elitus bagi yang terpilih mahupun tidak melainkan kemuliaan hati mereka yang diiktiraf di sisi Tuhan Rabbul jalil… Sudah pasti, mereka yang terbaik adalah mereka yang paling bermanfaat kepada insan sejagat...

Sunday, August 24, 2014

Mendefinisikan dimensi sebuah kematian..


Beberapa hari ini kita diselubungi rasa hiba dan sayu. Ketibaan jenazah yang terlibat dengan peristiwa MH17 untuk disempurnakan pengkebumiannya, meledakkan semula kenangan dukacita yang melibatkan kematian mendadak akibat pesawat yang ditembak jatuh itu pada ramadhan yang lalu.

Hati mana yang tidak tercuit menyaksikan kematian dalam jumlah yang begitu ramai secara serentak...apatah lagi pemergian mereka dalam keadaan yang tidak diduga sama sekali. Fitrah kita sebagai insan, pasti dibuai rasa dukacita serta kesedihan.

Namun, fitrah itu wajarnya tidak ditambah dengan nostalgia-nostalgia yang tidak membawa kepada kekuatan aqidah mahupun sesuatu yang membuka pula peluang syaitan untuk mengapi-apikan kekesalan atas detik-detik yang telah terjadi. Jangan pula terikut-ikut dengan amalan bukan ajaran Nabi SAW untuk memperingati kematian mahupun meniru cara yang tidak sama aqidahnya dengan kita ini untuk memperingati mereka yang telah pergi..

Allah menjadikan maut dan hidup sebagai medan untuk menguji siapa yang lebih ihsan amalannya (maksud surah Al mulk ayat 2).

Dan datanglah sakratul maut, itulah yang kamu sering lari daripadanya (Maksud Surah Qaf ayat 19)

..dan tiada siapa tahu apa yang akan dikerjakannya pada esok hari, dan tiada siapa tahu di bumi mana dia kan mati, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyedari segala yang berlaku (all-aware). (Maksud surah Lukman ayat 34)

Di manapun kamu berada, kematian akan datang mendapatkanmu, meskipun dirimu berada di tempat yang tinggi (maksud surah AnNisa’ ayat 78)


Kematian merupakan detik yang membawa keinsafan di hati kita bahawa kita ini yang masih dipinjamkan Allah usia dan nyawa, sama-sama menunggu giliran. Tinggal lagi detik pengakhirannya tidak kita ketahui, di mana, bila dan bagaimana.

Allah Al Wadud, Al Wahhab, Ar Rahman, Al Jabbar dan ArRahim...sesungguhnya setiap pada kesusahan/ penderitaan, ada kemudahan dan sesungguhnya pada setiap kesusahan/penderitaan, ada kemudahan (Al Insyirah ayat 5 dan 6).

Hidup ini yang perlu kita isi dan teruskan dengan kebaikan. Dan tiadalah pula kebaikan itu dengan izin dari Allah SWT.

Tidak wajar juga kita kaitkan dengan cara kematian, bentuk dan keadaan jenazah dengan amalan seseorang. Hanya Allah yang Maha Mengetahui bagaimana keadaannya seseorang apabila seseorang itu telah dijemputNya. Jangan pula kita yang entah bagaimana akhirannya ini...sibuk menghakimkan seseorang. Marilah kita sama-sama saling mendoakan.

Buat saudara seikhwah saya di MH17 yang dijemput pulang ke sisi Allah SWT, moga roh mereka semua dirahmati dan diampunkanNya...

Wednesday, August 6, 2014

Tentang 'Boikot'...

Sejak berlakunya pencerobohan Israel terhadap Gaza lebih sebulan lalu sehingga pengunduran yang diumumkan semalam, antara artikel yang menggamit hati saya untuk berfikir ialah artikel yang dituliskan oleh Ustaz Hasrizal, betapa kita ini sebagai muslim perlu kembali menghayati Islam yang kita anuti ini sebenar-benarnya. Peristiwa pencerobohan Gaza adalah manifestasi kepada apa yang berlaku di dalam ummah ini secara keseluruhannya. Tinggal lagi, manifestasi berkenaan berbeza sifatnya. Andai di Gaza, saudara-saudara kita bermandi darah, diancam ketakutan dan kesengsaraan fizikal dan emosi, namun sebahagian besar kita di sini...terhimpit dalam kejahilan terhadap isi dan kefahaman alquran serta di’tindas’ pula oleh pelbagai hiburan dan permainan yang melalaikan.

Umum masih ingat, bahawa ramadan tahun ini disambut pada tarikh yang sama dengan pertandingan piala dunia. Meskipun ia dilihat sebagai permainan sukan, namun olahannya tidak jauh berbeza dari pesta-pesta hiburan dengan pengisian yang tidak menguntungkan aqidah seseorang muslim. Gaza ketika itu telah bergolak...namun imej dalam media sosial lebih tertumpu kepada ‘kegembiraan’ sokongan kepada pasukan yang menang atau juga karakter yang mengkagumkan sepanjang kejohanan itu...di manakah Gaza ketika itu...?

Perlahan-lahan apabila ramadan terus berlalu...imej-imej menyayat hati memenuhi segenap penjuru di fb, instagram atau juga komen-komen secara meluas di media virtual. Hampir setiap masa...ada updates yang ditonjolkan. Dan dalam masa yang sama, kempen boikot syarikat-syarikat yang dikenalpasti ‘bersengkongkol’ dengan Israel dikempen hebat bertubi-tubi.

Secara peribadi... saya tidak melihat banyak penyelesaian terhadap isu di Gaza mahupun ummah ini secara keseluruhan melalui tindak tanduk sedemikian.Apalah gunanya memaparkan imej-imej yang begitu menyayat hati tetapi kita seperti batu keras tatkala berhadapan dengan media-media hiburan yang saban hari memenuhi kehidupan. Tidak cukup dengan hiburan...da’wah dalam keluarga mahupun yang terdekat sangat minima dilakukan...demikian juga dengan berjemaah di masjid (muslim lelaki) mahupun doa dan tahajud yang memenuhi kesunyian malam.

Sesungguhnya agama kita ini bukan manifestasi populariti atau publisiti. Kita berdiri atas jatidiri melalui kekuatan aqidah dan taqwa. Itulah yang membentuk ihsan. akhlak serta kekuatan peribadi dalam menghadap sebarang ancaman yang merosakkan aqidah dan kesatuan ummah.

Setiap kita perlu kembali mengamalkan Islam seperti yang diajarkan Allah melalui Quran dan Nabi SAW. Kembali melakukan dan melaksanakannya secara serius dan sungguh-sungguh. Beristghfar, mendoakan serta mengutamakan imej ihsan dalam muamalah dan lisan...

Kala ini, apa yang saya gusarkan sebagai komplikasi kempen boikot yang ‘melulu’ berlaku dalam ruang yang memalukan imej agama dan ummah Islam secara keseluruhannya. Satu demi satu berita ‘vandalism’, kebiadapan serta tekanan emosi yang ‘membuta’ berlaku.

Situasi ini tidak aneh sebenarnya...reaksi yang berlaku adalah tindakbalas terhadap imej-imej dan persepsi negatif yang saban hari dikemaskini di dinding facebook, kata-kata ‘semangat’ yang membunuh rasional serta melupakan kebanyakan muslim hari ini tanggungjawab sebenar terhadap aqidah dan ibadahnya.Masyarakat yang terpengaruh dengan imej-imej akibat perbuatan ganas itu bertindakbalas melalui aksi merosakkan premis-premis yang dikaitkan dengan Israel!!

Saya mungkin ditanggap ‘melawan arus’, namun pendekatan terhadap isu di Gaza bagi saya sangat terkeluar dari landasan sebenar yang perlu kita tumpukan. Fokus penyelesaian melalui demostrasi lebih kepada mencari publisiti dan glamour bukan kepada pembinaan minda masyarakat serta penyelsaian jangka panjang. Boikot atau tidak boikot adalah isu muamalah. Ia merupakan pilihan untuk disokong atau diabaikan. Apa sahaja keputusan seseorang, ia tidak menjejaskan syahadah seseorang sebagai muslim.

Sesungguhnya perjuangan kembali membaca, menghayati dan mengamalkan quran dan sunnah lebih payah dan sukar (malah tidak glamer) berbanding memegang ‘banner/poster’ berdemonstrasi di jalanraya atau di hadapan premis syarikat yang diboikot…

(Saya berusaha meminimakan TV, radio dan juga telah berhenti melanggan Astro sejak lebih setahun lalu)

Monday, July 14, 2014

Melalui ramadhan dengan kebaikan-kebaikan yang diizinkan Allah SWT..

Sering saya membuat kesilapan apabila menyandarkan kejayaan sesuatu usaha secara 'absolute' kepada usaha dan inisiatif sendiri. Ada waktu saya terlupa bahawa seseuatu perkara itu tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah SWT.

Setiap kebaikan, ibadah, usaha dan apa sahaja manfaat yang diusahakan…merupakan sesuatu yang hanya berlaku dengan izin dari Allah SWT. Ia bukan kerana kita yang melakukan atau merancangnya semata-mata..!!

Ramadahan ini sebenarnya lebih bermakna apabila kebaikan dan usaha yang dilakukan dengan izin Allah dikongsikan kebaikannya dengan semaksima insan yang boleh memnfaatkan kebaikannya. Sebelum ini saya 'mengeluh' apabila tugasan rutin saya yang semakin bertambah semasa ramadhan. Tidak cukup dengan rutin sedia ada, pelbagai semakan, kertas kerja baru, diskusi mahupun nota-nota kuliah perlu dibuatkan penambahbaikan…

Dalam usia yang semakin mengikat stamina ke paras yang tidak seperti di waktu-waktu 'muda' dahulu, banyak kali juga saya bagai tercari-cari sumber kekuatan untuk saya terus 'menapak'. Tidak cukup dengan kelemahan diri…namun batasan dari konflik insan-insan yang terkadang mengganggu pahala puasa turut menyambar peluang-peluang kedaifan diri untuk saya layu tidak konsisten.

Zikrullah, kebaikan-kebaikan sesama insan, tadarus, penghayatan, 'hands-on' yang menepati dimensi quran dan sunnah, tazkirah, hafazan, ziarah, nasihat, menghindar diri dosa berbohong, umpatan dan penghinaan…dan tuliskanlah pelbagai lagi kebaikan-kebaikan yang kita harapkan. Bahawa itu semua adalah kebaikan yang berlaku dengan izin Tuhan Rabbul Jalil; dengan membanyakkan doa dan sandaran tawakkal yang kita serahkan sepenuhnya kepadaNya...

Saturday, June 28, 2014

Ramadhan Kareem - untukmu isteri/ibu yang bekerja seperti saya


Alhamdulillah..kita diambang menyambut kedatangan ramadhan. Ramadhan yang disambut penuh syukur dan gembira ini, wajar juga kita sama-sama isikan dengan kebaikan yang termampu kita lakukan secara praktis dan kerendahan hati kepada Allah SWT.

Fokus beribadah merupakan sasaran utama tatkala tibanya bulan yang mulia ini. Bagi isteri/ ibu bekerja, rutin bulan ramadhan menjadi begitu padat serta menjadi tugas yang agak mencabar.

Siapa yang tidak mahu mengkhatamkan AlQuran serta duduk beriktikaf di masjid. Siapa pula yang tidak mahu menghabiskan waktu dengan mendengar tazkirah serta berdoa sambil berzikir dalam setiap saat meneladani ramadhan.

Namun bagi isteri/ ibu bekerja, ia bagaikan ‘uphill task’ yang mana jika ianya tidak diberikan keutamaan pasti menyebabkan perjalanan rumahtangga ‘huru-hara’ sedikit...tambah pula jika tiada pembantu domestik serta diduga ujian catuan air (sempena musim kemarau).

Saya sering berangan-angan andai tugasan akademik mahupun pejabat menjadi ringan tatkala datangnya ramadhan. Namun seperti juga tahun-tahun sebelum ini, ramadhan menjadi bulan paling sibuk untuk segala macam ‘review’ dalam sistem mahupun format yang perlu diberikan penambahbaikan.

Untuk anda yang seperti saya, bergelut dengan ‘kesibukan’ di pejabat, urusan domestik mahupun niat menggunung untuk bersungguh-sungguh mengisi ramadhan, jangan terlalu terkekang dengan jadual rutin. Buatkan senarai yang utama dan perlu dilakukan.

Elakkanlah ‘berlumba’ untuk mengkhatamkan alquran tanpa memahaminya. TV Bayyinah merupakan program yang menyediakan asas tafsir yang sangat baik di samping lintas langsung mahupun kuliah-kuliah tafsir yang lain.

Satu cara yang boleh dilakukan ialah dalam pada kita mengisi tugas domestik itu, cuba hubungkan ayat-ayat Allah SWT dalam pengalaman demi pengalaman yang kita lalui sempena ramadhan ini.

Contohnya apabila kita membasuh pinggan, ayat mengenai air yang diturunkan Allah dalam keadaan suci, bersih, mubarak serta menumbuhkan tanaman; Allah menampakkan ajaibnya fungsi air dalam kehidupan (yang sebenarnya gabungan unsur dua gas iaitu oksigen dan hidrogen) namun kombinasinya menjadi fungsi utama dalam kehidupan (An Nahlu ayat 10, Qaf ayat 9).

Apabila kita memandu kereta, betapa besarnya nikmat Allah yang mempermudahkan kenderaan tersebut. Bayangkan andai kita terpaksa berjalan kaki tanpa kenderaan ke pejabat..banyaknya barang yang perlu dibawa serta fizikal kitabyang tidak gagah untuk menapak sendirian. Allah rakamkan betapa hebatnya kebaikan Allah sebagat Tuhan Ar Rauf dan Ar Rahim (An Nah ayat 7).

Begitu juga tatkala menyiang ikan. Betapa Allah menundukkan lautan dan isi kandungannya dengan dianugerahkan daging-daging segar yang menyedapkan sebagai platform untuk kita bersyukur padanya (AnNahl ayat 14).

Apabila kita menyalakan api dapur untuk memasak. Ayat Allah dalam surah Al Waqi’ah iaitu ayat 71-72 bagi saya merupakan ilustrasi mukjizat Al Quran yang sangat mengkagumkan. Allah memberikan maklumat kepada kita bahawa Dialah yang mengeluarkan api dari pohon-pohon. Tafsir ayat tersebut memfokuskan kepada sejenis pohon di padang pasir yang digunakan untuk menyalakan api untuk kegunaan mereka pada masa itu. Namun relevannya ayat ini tidak terlawan oleh fakta saintifik. Segala api yang kita ada pada hari ini, majoriti sumbernya adalah dari pokok-pokok.... minyak tanah, petroleum, arang batu, gas memasak mahupun dari sumber elekterik; yang mana Allah lah yang mengeluarkan apa-api itu.

Apabila kita sibuk mengemas dan menghias rumah, setiap peralatan mahupun perkakasan adalah hasil ciptaan manusia yang mana manusia dijadikan Allah.
kita yang tidak pernah mampu mengadakan sesuatu yang tidak pernah ada. Betapa banyak generasi sebelum kita yang lebih hebat mempunyai pelbagai perkakasan yang lebih mengkagumkan, dibinasakan Allah lantaran kezaliman mereka (As Syu’ara’ ayat 57- 58)

Saya kongsikan ini sebagai laluan untuk kita dekat dengan ayat-ayat Allah. Bahawa tugas domestik bukanlah suatu yang terpisah dengan ucapan-ucapan Allah dalam kitab yang mulia itu. Bahawa tugas rutin kita adalah terjemahan ubudiyah yang diperintahkan Allah untuk kita laluinya dalam keadaan berfikir, menggunakan aqal, mengingatinya serta menghubungkannya dengan aqidah yang benar..

Fokus penghayatan dan memahami makna ayat-ayat ucapan Allah ini tidak mampu kita hubungkan dengan realiti andai Al Quran kita baca dalam keadaan kelam kabut, tergesa-gesa serta hanya memfokuskan untuk khatam sahaja.

Thursday, June 19, 2014

Apabila hati disakiti silih berganti...

Respon dari Mufti Ismail Menk mengenai sejarah dirinya yang pada masa remaja begitu mudah pemarah dan menjadi 'bengis' serta kemudian berubah menjadi insan paling susah untuk menjadi marah selepas menuntut ilmu di madinah Al Munawarah, mencuri perhatian saya. Demikian..antara kisah menakjubkan dengan izin Allah yang perlu diambil teladan dan iktibar.

Saya juga mempunyai sifat sedemikian. Mudah 'irritable' dan menjadi marah pada sesuatu isu walaupun di akhir kisah ianya hanyalah memenatkan emosi dan fizikal apabila kemarahan atau geram terkuak menderam-deram.

Lazimnya, saya akan meluahkan kegeraman tersebut atau memberikan respon yang hampir serupa atau setidak-tidaknya, jiwa saya 'mengembang' bagai bulu seekor kucing yang bergaduh sesama sendiri, sehingga pelbagai pengisian waktu yang sepatutnya mampu saya lakukan, terabai sia-sia begitu sahaja.

Alhamdulillah, peringatan dari Mufti Menk serta anjuran untuk bersungguh-sunguh mendoakan insan sesama muslim sebagai doa yang tidak tertolak di sisi Allah merupakan tazkirah yang begitu berharga. Lalu saya gantikan rasa kemarahan yang hampir saja meletus itu dengan doa-doa yang saya lafaz berulang-ulang.

Saya hadapkan wajah hati saya pada Allah, mohon kedukaan yang saya rasai itu digantikan dengan kebaikan dan permohonan ampun dari Allah kepada insan yang memperlakukan kesilapan itu terhadap saya. Apalah gunanya saya melawan, andai kesilapan bicara di dalam hati mahupun lisan menyebabkan ketenangan menjadi suram lalu bakal menyebabkan ingatan terhadap ayat-ayat Allah yang pernah terpahat hilang berterbangan diarus 'dendam'...

Syaitan yang tidak pernah penat untuk menghasut kita marah dan berdendam!!!

Saturday, June 7, 2014

Tentang DNA babi, gelatin babi, halal dan persepsi...


I - DNA Babi

Isu halal sesuatu produk makanan terus mewarnai situasi berita dan cerita. Lazimnya juga berita seperti ini sering menarik perhatian masyarakat muslim..banyaklah hujah, kata kritik dan komen serta puluhan maklumat dan info yang terus menjadi rantaian untuk dihebahkan sesama sendiri.

Berita tentang pengesanan DNA babi dalam produk coklat syarikat tempatan bagai letupan 'bom jangka' dalam isu halal di negara ini. lebih musykil apabila pengesanan tersebut dikesan melalui prosedur oleh Kementerian Kesihatan yang selama ini lebih menitikberatkan isu kesihatan dan perlanggaran label dalam sesuatu produk makanan.

Pengesanan DNA babi hanyalah pengesan 'tracing' bahan yang mengandungi genetik babi yang mana perkara yang perlu kita semua ketahui ialah pengesanan DNA sesuatu organisma biasanya menggunakan kaedah amplifikasi gene seperti PCR (polymerase chain reaction) yang mana ujian berkenaan tidak spesifik serta terdedah kepada kemungkinan kontaminasi silang mahupun pencemaran dalam rantaian pemerosesan makanan.

'Takut'nya majoriti muslim negara ini dengan wujudnya unsur mengandungi babi, membawa pelbagai implikasi dan polemik dalam menangani urusan seharian. Bukan sekadar pengutkuasaan dan fatwa serta penswastaan prosedur pengiktirafan halal, fokus babi dalam makanan membawa kepada pelbagai penyelidikan, rekaan teknologi kit saintifik mengesan DNA serta proses komersil produk-produk berkenaan untuk menyokong indistri halal negara.

Apabila berita pengesanan DNA babi dalam produk makanan ringan itu tersebar, saya secara peribadinya tidak setuju cara mana kes tersebut dikendalikan. Di dalam hati, saya masih tidak faham mengapa isu berkenaan diberikan perhatian begitu 'menggunung' sekali berbanding isu mereka yang mengambil gaji secara 'tidak halal'.

Dua calon Sarjana yang saya hadiri peperiksaan tesis GAGAL dengan teruknya dalam peperiksaan viva mereka. Bermula dengan tajuk dan objektif yang tidak seragam sehingga membawa kepada pendedahan metod penyelidikan yang salah serta kesimpulan penyelidikan yang tidak tepat. Ironinya…di tesis mereka ada tandatangan dua professor yang mengaku menjadi pensyarah pembimbing; dan dalam pembentangan tresebut pelajar-pelajar yang gagal itu memaklumkan bahawa tesis mereka selama ini dibimbing oleh individu lain bukan oleh dua professor berkenaan. Situasi yang bagi saya teruk tercemar dengan sikap dan falsafah yang lebih jijik dari kontaminasi DNA babi.

II - Gelatin babi

Nyata berita ini http://www.astroawani.com/news/show/bahan-berubah-sifat-boleh-jadi-halal-jika-diproses-dr-asri-37362 membawa kesan 'domino' yang tidak sedikit.

Kita semua mengetahui betapa sentimen kehalalan produk makanan terutama gelatin dalam industri farmaseutikal begitu hebat diperbahaskan.Itulah juga yang membawa kepada wujudnya industri gelatin halal serta perlbagai produk sokongan lain.

Andai gelatin babi difatwakan halal oleh badan berkenaan di negara ini, bayangkan implikasi terhadap industri gelatin halal serta produk berkaitan secara keseluruhannya. Saya menjangkakan berlaku 'letusan perang saraf' untuk terus memutarbelitkan isu ini demi menyelamatkan merudumnya bisnes yang dikatakan berasaskan 'HALAL'…


III - Halal

Halal dan haram secara umum dikaitkan dengan kotoran yang diklasifikasikan sebagai najis.

Konteks halal dan haram bukan terhad pada najis babi sahaja. Rokok yang telah bertahun difatwakan haram, namun tiada siapa yang 'bother' untuk mefatwakan putung rokok, tembakau, asap rokok, nikotin yang mewarnai gigi juga najis sifatnya.

Dan siapa pula 'bother' untuk mengesan DNA tembakau/rokok pada pakaian untuk memastikan kita benar-benar bersih dari najis!!!

IV - Persepsi

Konteks komunikasi dalam era ini terlalu kuat dipengaruhi persepsi. Sehingga membawa kepada keadaan mereka yang tidak mempunytai latarbelakang ilmu dan teknikal mengenai sesuatu perkara juga 'tidak malu' berdebat dan berhujah meskipun tulisan atau lisannya mengandungi fakta-fakta yang tidak memberi markah (andai ia merupakan suatu peperiksaan akademik). Namun persepsi inilah yang banyak mewarnai halatuju polisi dan politik serta 'masa depan' karier seseorang.




Friday, May 30, 2014

Yang ditafsirkan sebagai KOTOR..

Mudah kita menelah suatu bahan yang ditafsirkan sebagai tercemar dan kotor. Demikian juga klasifikasi bahan yang dikatakan memikul najis serta tidak sah di bawa solat mahupun dalam ibadah haji dan umrah.

Namun, bagaimana pula fikiran, mindset mahupun hati terutamanya…yang wujudnya dalam keadaan yang sebenarnya kotor..?

Nilai abstrak tentang wujudnya hati…saya juga yang sering tidak serius tatkala memikirkan soal kemuliaan dan kesucian hati. Betapa saya memandang mudah untuk terus menyimpan marah, berdendam atau sukar memaafkan kesilapan yang saya kira sengaja 'memperbodohkan' kedudukan saya yang hakikatnya tidak sedemikian.

Pengalaman menghadapi perbezaan pendapat, persepsi mahupun cara kita menangani sesuatu…sering menyebabkan berlakunya konflik dan hujah senyap untuk tidak bersetuju antara satu sama lain. Saya juga baru menyedari wujudnya kelompok yang tidak pandai berkomunikasi, namun bijak berethorik mencadangkan penyelesaian yang tidak jelas mekanismanya. Jalan kesimpulan yang sering membawa kepada salah faham dan dendam..

Adakala, kita juga perlu bangkit bertindak mempertahankan diri dari ditindas atau diperlakukan seperti dinding…namun kita ini adalah insan..yang diberikan panduan dalam quran dan sunnah untuk berlaku ihsan..

Sukar sebenarnya berlaku ihsan apabila hati dan jiwa tercemar kotor dengan dendam dan kecewa. Apatah lagi nilai-nilai yang jelas melanggar kemuliaan dan kesucian nilai aqidah.

Betapa sukarnya untuk saya meninggalkan perasaan itu semua… satu 'loop' pemikiran yang seakan tidak berhenti mengulang tayang rentetan peristiwa-peristiwa yang mengundang geram.

Permainan dan jerat syaitan untuk menyuruh kami insan saling mencipta konflik dan perbalahan. Owh...penatnya melayan kedudukan hati 'yang kotor'..ibarat mengendalikan berbakul pakaian kotor yang susah dibersihkan. Sangat memenatkan!!!

Siratal mustaqim...

Hidayah dan taufik dari Allah merupakan sesuatu yang kita doakan dengan penuh harap dari Allah SWT. Ia tidak berlaku secara automatik dengan pertambahan atau peningkatan ilmu. Betapa sekian banyak insan yang diberikan ilmu, namun ilmunya tidak memberi apa-apa selain jiwa yang terus mementingkan diri sendiri.

Baru tadi saya mendengar penjelasan tentang doa yang kita baca di dalam surah al fatihah iaitu memohon agar Allah menganugerahkan kita hidayah ke jalan yang lurus. Baru saya tahu bahwa as sirat secara bahasa bermakna jalan yang lurus; satu-satunya jalan…tiada pilihan atau opsyen.

Siratal mustaqim biasanya diterjemahkan sebagai jalan yang lurus; sedangkan makna dari as sirat sudah mencakupi istilah jalan yang lurus. Lalu, apa pula makna mustaqim.

Sesungguhnya…banyak lagi ruang ilmu yang masih tidak saya tahu. Mustaqim bermakna keteguhan hati kita beristiqamah meneruskan usaha untuk kekal dengan izin Allah berada di atas jalan yang lurus. ia bukanlah laluan di atas jalan mendatar, namun kesusahannya umpama menaiki tangga/ laluan menjauhi permukaan bumi (analog untuk kehidupan dunia yang sering menarik perhatian, kita sentiasa ditarik oleh graviti bumi yang menarik kita kekal dalam kesenangan dan kemewahan sementara)… masyaaAllah; satu dimensi yang tidak saya ketahui selama ini (rujuk di sini).

Perjalanan menuju Allah, mengharap kebaikan dan ganjaran syurga serta diredhai Allah…adalah satu perjalanan yang sukar. Itulah diari dari hari ke hari dalam menyusun bekal mahupun usaha-usaha mengelakkan diri dari terus terbeban dengan dosa mahupun amalan yang sia-sia.

Jelas konotasi ini menjelaskan hubungan dengan ayat Allah dalam ayat 11 dan 12 surah al balad iaitu:

Wednesday, May 7, 2014

Bertahajudlah...

Istilah tahajud pernah saya 'ketepi'kan dari praktis kehidupan. Sangka saya, tahajud itu milik individu yang benar-benar 'bersih' serta mendapat pengiktirafan kebaikan mereka di sisi Tuhan rabbul jalil. Saya merasakan bahawa saya tidak layak di 'makam' mereka..
Betapa persepsi itu jauh tersasar faktanya. Bahwa tahajjud itu adalah hadiah atau hibbah istimewa dari Allah SWT. Saban hari kita dihadiahkan satu waktu istimewa untuk bermunajat, berzikir, berdoa dan qiyam menunaikan solat.

Bertahajudlah..sesungguhnya kita benar-benar mengharap redha dari Allah SWT..

Saturday, March 15, 2014

Sebuah keluhan, pelajar itu dan nilai sebenar seorang diri...

Hati saya terbuku seketika.. nota yang berisi keluhan, sindiran, tempelak, komplen , rungutan dan pelbagai keluh kesah mengenai sikap anak-anak pelajar di kampus tempat saya menumpang berkongsi ilmu itu terasa hangat menggigit naluri tatkala membacanya. Saya tidak tahu apa objektif sebenar nota itu di whassap kan.. dibincangkan penuh perasaan, panjang lebar serta 'menghentam' pula sebahagian pendidik yang dikatakan tidak cekap mendidik anak-anak peajar itu.
Rungutan menyakitkan mata dan hati tatkala membacanya itu bukan perkara baru. Saban tahun ke tahun, lagu yang sama didendangkan... dibentang dan dibincangkan. Tercari-cari juga cadangan usaha untuk memperbaikinya dari individu yang begitu hebat menghentam, sayangnya cadangan itu tidak 'pernah' ada di alam nyata. Sebaliknya pelajar-pelajar itu terus diremehkan, dipersenda malah pensyarah yang mengajar sebelum itu turut dipersalahkan dengan natijah yang dikatakan 'membengangkan' mereka..

Saya bukan pendidik yang sempurna. Apatah lagi jika kita himpunkan segenap ilmu perubatan dan kesihatan ini untuk digarap secara keseluruhan. Tidak mampu rasanya utk saya meng orientasikannya kepada pembentukan sikap, amalan dan tingkahlaku pelajar secara 'perfect ten' dalam score knwledge yang begitu excellent. Pasti sebagai insan, ada masa kita ingat dan ada masa kita terlupa. Peranan kitalah juga sebagai pendidik untuk saling ingat mengingati, untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ilmu, sahsiah dan juga pembentukan professional yang kita harapkan. Bahawa saya juga yang kadang-kadang terlupa tatkala diuiji penuh emosi.. memerlukan pesanan demi pesanan untuk selalu 'dekat' di sisi Allah..
Pelajar yang saya kongsikan ilmu ini.. adalah anak-anak saya juga sebenarnya. Mereka ini adalah insan seperti saya ...bukan seperti objek tanpa akal untuk terus dikritik, diumpat, di'hina' atau direndah-rendahkan.
Masalah disiplin wujud di mana-mana. Bukan sekadar diperingkat pelajar, namun begitu prevalen di kalangan professional dan elit yang lain. Tinggal lagi pada kedudukan mana ianya boleh diperbaiki atau ditegur..

Aura mendidik kaku dan beku jika kita mendidik tanpa kasih sayang sebagai insan. Apatah lagi apabila konteks bimbingan itu digarap dengan penuh 'meluat', dendam mahupun kebencian..
Kedudukan hati yang terbuku, terlerai juga manganyam tenang tatkala saya mengingati semula bahawa.. anak-anak pelajar itu sebenarnya adalah sebahagian 'masa depan' saya. Itulah konotasi 'amalan' yang bakal saya bentangkan semasa dibangkitkan berhadapan dengan Allah swt. Sentuhan kasih kerana Allah, lahir dengan aura ikhlas pasti sampai ke hati.. Diterima kerana Allah dan ikhlas keranaNya..

Kita adalah komposit pd apa yg kita niatkan, sebut, dan amalan yg dilakukan..

Sunday, March 9, 2014

MH 370, Buku "The Humility in Prayer" dan asmaul husna...

I:

Insiden kehilangan MH370 terus mengisi berita terkini dan pada masa ini juga merupakan isu yang menjadi tumpuan. Sejak insiden ini dimaklumkan kepada umum, hati saya tidak dapat mengelak dari merasa sebak. Serta merta juga ingatan saya terus menjangkau kenangan dan pengalaman bermusafir menaiki kapalterbang. Pengalaman menunaikan haji hampir dua tahun lepas juga hadir bersama dalam ingatan dengan berita misteri kehilangan pesawat tersebut.

Pelbagai spekulasi, tanggapan dan juga reaksi emosi. Betapa kita kini berada dalam satu medan 'juri' yang kebarangkaliannya bakal memberikan keputusan yang selama ini tidak ingin kita fikirkan secara mendalam.

Ingatan kepada tazkirah dalam kuliah Kursus Haji yang saya hadiri lalu kembali mengimbau, iaitu kita yang bermusafir di atas jalan Allah ini perlu ada persediaan kemungkinan kita akan pergi dan tidak kembali. Maksudnya, kita perlu bersedia untuk kematian; iaitu tidak kembali ke kampung halaman dan bersedia tidak kembali di sisi keluarga dan insan yang dikasihi. Bahawa saya ketika itu, hati bagai terawang-awang untuk menerima realiti tazkirah itu sebagai realiti yang MESTI saya terima dengan penuh keyakinan. Bagaimana saya meyakinkan diri bahawa pemergian saya 'berjuang' dalam menunaikan amalan rukun Islam ke 5 merupakan mujahadah sepenuhnya untuk Allah dan berserah dengan penuh tawakkal atas apa jua outcomes nya. Dan saya mungkin tidak akan kembali lagi menemui suami, anak-anak dan juga individu yang saya kasihi.

Betapa saat itu juga saya merasa cukup kecil dan lemah di sisi Allah SWT. Sepanjang musafir menaiki kapalterbang, kenderaan dan juga perjalanan waktu itu… saya tidak putus-putus berdoa dengan kesayuan di hati. Ya Allah, kembalikanlah saya dengan aman ke sisi suami, anak-anak, keluarga serta insan yang saya kasihi.

Terlintas juga sekali-sekala, apabila melakukan perjalanan dengan kapalterbang..terbayang andai saya perlu mengharungi saat cemas dan kemungkinan berlaku kemalangan udara…

Pada saat ini, saya merasakan naluri dan emosi penuh harap dari semua ahli keluarga individu di dalam MH370. Betapa kebimbangan, harap dan doa penuh harapan dipanjatkan kepada Tuhan Al Mujib, Ar Rahman, Al Wakil Al Mu'min. Betapa airmata saya terus bergenang apabila menyaksikan rakaman foto dan video yang meng'highlight'kan situasi tersebut..

Untuk itu, buat para musafir semuanya, bersedialah dalam setiap perjalanan dengan niat yang baik, membersihkan aqidah serta bersedia menghadapi kematian, kembali ke sisi Tuhan Rabbul Jalil.

Namun, SATU sahaja penawar dalam kegelisahan seperti ini… berdoa dan serahkanlah segala-galanya dari tulus niat di hati kepada Tuhan Al Aziz yang Maha Agung dan Al Qadeer (yang Maha menguasai segala-galanya). Biar apa sekalipun outcomes nya…bahwa kita sebagai insan, banyak dalam kehidupan ini yang kita sebenarnya TIDAK MAMPU untuk menanganinya..


II:
Sehari sebelum peristiwa kehilangan MH370, Allah mengizinkan saya membeli buku Al-Khushyu' filSalah tulisan Ibn Rajab yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris (The Humility in Prayer). Satu tulisan yang sangat 'kontemporari' dan tepat dalam mendeskripsikan fakta yang saya cari selama ini.

Saya mengalami masalah dengan fokus dan khusyu' di dalam solat yang saya dirikan selama puluhan tahun ini. Beberapa buku yang saya beli sebelum ini tidak begitu terpeinci dan padat seperti tulisan Ibn Rajab ini dalam mengupas secara terperinci aspek kerendahan hati khusyu' di dalam solat dan doa.

Teori mengenai sahnya solat dan kesempurnaan solat mengikut sunnah banyak dibincangkan namun secara 'spiritual' ia jarang ditekankan secara harmoni untuk diikuti dan dilakukan dengan penuh sandaran kepada Allah SWT.Konteks ini juga saya panjangkan dalam aspek berdoa kepada Allah…betapa perlunya kita sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah SWT.

Buku ini juga menemukan saya pada pengertian ilmu yang bermanfaat..
"Menurut al-Hasan , pengetahuan merupakan dua jenis. Ilmu yang disampaikan melalui lidah secara tidak mendalam (superficial) dan satu lagi ilmu yang berakar di dalam hati". Ilmu yang bermanfaat perlu jauh meresap ke hati, membuahkan keimanan, menyerahkan hatinya tunduk merendah diri kepada Allah SWT, mengakui dengan rela keagungan dan kemuliaan Allah SWT serta aspek-aspek gnosis [knowledge of spiritual mysteries].

Fokus itu yang akhirnya saya simpulkan bahawa khusyu' itu intipatinya merupakan perbendaharaan di dalam kefahaman dan terjemahan sebenar asmaul husna dalam kehidupan.


III.

Saya masih mempelajari dan terus belajar menghayati maksud dan terjemahan asmaul husna dalam kehidupan. Pertama kali mempelajarinya melalui Syeikh Riad Ourzazi seorang agamawan di Institut Al Maghrib. Mengenal makna dan tafsiran serta dalil-dalil akan asmaul husna tersebut pada usia lebih 40 tahun ini…betapa kala ini saya merasai betapa hakikat ini merupakan sesuatu yang tidak di'miliki' oleh kebanyakan hati muslim ketika ini.Yang mana saya juga masih 'struggle' untuk menemukan dan hidup dengan nama-nama Allah ini dalam setiap aspek kehidupan.

Asmaul husna sekadar dilagukan dalam nashid, atau juga diubah menjadi zikir-zikir tertentu yang dikatakan mempunyai penawar atau keistimewaan tersendiri. Sedangkan hakikat-hakikat yang ditonjolkan itu tidak mempunyai dalil atau bukti di dalam Al Quran dan sunnah.

Misteri MH370 dan buku "The Humility in Prayer" ini membuka ruang dengan izin Allah SWT dari kefahaman asmaul husna yang ingin saya kongsikan.

Fokus untuk kita terus berdoa dan mengharap kepada Allah SWT, menyentuh hati saya untuk mengingati nama Allah Al Mujib, Al Wakeel. Kita yang sentiasa mengharap rahmat Allah Ar Rahman dan Ar Rahim. Kita yang mengharap pada Allah AsSalam dan Al Mu'min semoga mereka yang terlibat dianugerahkan kesejahteraan dan aman dari bahaya. Kita yang begitu mengharap perlu sentiasa beristighfar dan memohon ampun kepada Allah At Tawwab, Al Ghafur, Al Ghaffar dan Al 'Afwu. Kita yangnjuga sentiasa berharap pada Allah Ar Razaq, Al Wahhab, As Samad atas apa sahaja yang dikurniakanNya kepada kita semua.
Betapa dekatnya Allah Al Qareeb dengan kita tatkala kita memanjatkan doa, bahawa AllahAl Muhaymin, AsSyahid dan Ar Raqeeb menyaksikan setiap apa yang kita lakukan…

Dan Allah Al Hayyiy (nama yang menggambarkan kualiti malu [most modesty]) iaitu Allah malu membiarkan tangan seorang hamba yang berdoa kepadaNya terbiar kosong.. dan Allah As Sami' dan Al Basir sentiasa mendengar dan memperhatikan doa dan niat di dalam hati kita semua.

Fakta gnosis mengenai asmaul husna ini yang perlu kita pelajari dan hargainya untuk kita ini wujud sebagai muslim yang mukmin...

Bahawa kita sebagai makhluk yang diciptakan… SEBENARNYA sentiasa mengharap kepada Tuhan Rabbul Jalil. Iktibar untuk kita semua, untuk sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan bahagia mahupun derita….

Saturday, March 1, 2014

Surah Al Munafiqun

Saya yang dahulunya jarang mempedulikan karakter seorang munafik, atau juga tidak mahu memikirkan akan kemungkinan itu mungkin wujudnya dalam diri sendiri.

Sesungguhnya saya begitu 'terduduk' apabila memahami bahawa mereka yang meremehkan ciri-ciri munafik atau merasakan dirinya bebas dari munafik itulah sebenarnya merupakan ciri seorang munafik.

Saya membuka lembaran kitab dan tazkirah. Pada fakta-fakta yang sebenarnya selama ini saya ambil mudah dan tidak pernah merasakan bahawa diri saya sendiri sebenarnya yang perlu terlebih dahulu menghisab kedudukan diri. Saya juga yang seharusnya tidak mem'pointing'kan sesuatu kesalahan untuk dilambakkan pada orang lain. Indikasi seorang munafik itu pula bukan modal kita melabelkan orang lain atau memberikan hukuman triburnal pada sesuatu kelompok!!

Prosiding menyiasat kemungkinan berlaku penipuan dalam peperiksaan ini sangat meletihkan.. Salah satu dari ayat surah Al Munafiqun ini merakamkan bahawa karakter munafik itu wujud kerana seseorang yang mempermainkan keimanan iaitu sekejap beriman namun kemudian ingkar menjadi kafir. Diri yang wujudnya sekejap beriman kemudian mendustai keimanan itu menyebabkan terhijabnya hidayah dan dijerumuskan pada kehinaan manusia yang tidak diampunkan Allah dan bakal tidak dipandang oleh Allah SWT semasa di akhirat nanti...

Saya doakan anak-anak termasuk anak-anak pelajar saya semuanya dibukakan hati oleh Allah SWT untuk beriman dengan keimanan yang sebenar-benarnya..

Sunday, January 26, 2014

Doa dan tawakkal…adalah motivasi sebenar seorang muslim

Umum mengetahui, kita mempunyai faktor pendorong dan penolak apabila kita mula untuk melakukan sesuatu. Andai faktor pendorong itu lebih kuat dan jitu, maka usaha tersebut dapat dilakukan dengan izin Allah tanpa banyak keresahan atau rungutan; namun andai faktor penolak itu lebih kuat, maka senang macamanapun sesuatu tugas pasti terabai dan terhenti sebelum bermula atau tidak akan berjaya.

Saya tidak mendapati satu motivasi yang lebih kuat selain dari kekuatan berdoa dan meletakkan sepenuhnya harapan pada Allah SWT moga yang dilakukan itu merupakan sesuatu yang bermanfaat penuh kebaikan. Andai berlaku halangan yang tidak terduga, pasti ada petunjuk yang dibentangkan Allah sama ada usaha tersebut perlu dikaji semula atau dilakukan dengan pendekatan yang lebih baik.

Apa yang utama, cara pendekatan dalam meneladani sesuatu tugasan atau tanggungjawab, fokus perlulah pada objektif yang hendak dicapai…BUKAN terus mengungkit masalah dan masalah…. Juga, andai tugasan itu dilakukan sekadar memenuhi tugas tanpa hubungan doa dan tawakkal dengan Allah, maka pengisiannya HAMPIR SELALU digantikan dengan kemarahan, kebencian, hasad serta riya' sesama insan..

Pencapaian juga mempunyai pelbagai indikator untuk diukur, dan bagi saya tidak ada indikator yang paling baik selain dari rasa syukur dan redha pada usaha menurut kadar kemampuan yang diizinkan Allah ..alhamdulillah.

Friday, January 24, 2014

Doa yang merupakan 'ibadah paling dekat di sisi Allah..

Rupa-rupanya kefahaman saya mengenai doa masih belum mendalam…banyak lagi yang saya baru pelajari dan sedari, dan kini masih dalam 'gear satu lagi untuk bergerak'. MasyaaAllah…alhamdulillah.

Dalam quran Allah berfirman maksudnya.."Dan Tuhanmu berfirman, "berdoalah padaKu, pasti Kukabulkan untuk kamu" (Surah Ghafir ayat 60). Allah menyuruh kita meminta apa sahaja. Dan setiap doa itu, pasti ditunaikanNya.

Doa merupakan ibadah agung apabila seorang hamba meletakkan sepenuh harapan kepadaNya, mengadu penuh harap dengan kerendahan hati.Merasakan penuh in-sight bahawa hebat bagaimana seorang manusia, kita sangat berharap dan bergantung kepada Allah SWT.

Kita perlu berdoa pada Allah dalam semua keadaan..baik senang mahupun susah. Kita juga perlu berdoa dalam setiap yang kita lakukan, moga setiap amalan itu membawa kebaikan dan pahala.

Merenung jauh…pada perjalanan kehidupan, saya nyata terpegun apabila mengingati satu demi satu permohonan doa saya dikabulkan Allah. Nyata topik yang dilontarkan oleh Syeikh Muhammad Shareef dalam Kursus online visionaire itu menjadi pencetus minda saya memikirkan himpunan anugerah Allah kepada saya yang tidak pernah saya syukuri secara mendalam selama ini… Allahuakbar..Ya Allah ampunilah dosa-dosa saya..

Wednesday, January 22, 2014

Berdoalah...dan teruslah berdoa...

Saya sempat berselisih dengan anak-anak pelajar yang saya kasihi..raut wajah mereka jelas menunjukkan penanda aras stress. Peperiksaan besar yang bakal mereka lalui, meskipun ada senyuman manis buat penawar keresahan yang semakin menebal.

"Dr...macamana dulu Dr. exam.."

Ingatan saya terus menggapai memori yang terus berbekas.

Baru semalam saya mengimbau segenap kenangan yang mana jika disenaraikan...subhanaAllah, begitu banyak doa-doa yang saya panjatkan kepada Allah SWT yang sehingga saat ini majoriti daripadanya Allah kabulkan.

Pada minggu peperiksaan akhir professional, saya mengalami gangguan emosi yang teruk. Sukar melelapkan mata serta paras indikator strees lampau yang sukar digambarkan. Fizikal saya begitu letih, minda yang sarat dengan hafalan dan hafalan fakta dan nota. Pada malam-malam terakhir sebelum exam saya menyerahkan sahaja kepada Allah SWT.

Sehinggalah pada malam sehari sebelum exam, seorang sahabat menceritakan beliau mendapat kes "cervical incompetence"...dan saya membuka nota mengenai tajuk itu sebelum cuba melelapkan mata pada malam tersebut. Dan.. subhanaAllah, itulah juga merupakan kes yang saya perolehi untuk peperiksaan keesokan harinya.

Terima kasih guru-guru saya yang telah mendidik saya..moga ganjaran yang tidak putus dari Allah SWT untuk anda semua..Aamin

Tuesday, January 21, 2014

Doa dan syukur...

Sesuatu doa merupakan manifestasi ibadah paling agung antara seorang hamba dengan Tuhan yang Maha Pencipta. Ia merupakan hubungan tanpa hijab yang menghubungkan makhluk dengan Tuhan Al Khallaq.

Sesuatu doa sentiasa dijawab dan diberikan ganjaran oleh Allah SWT; pada waktu doa itu kita mohon kepada Allah, ia sudah sedia dikabulkan. Doa dikabulkan dalam tiga keadaan: dikabulkan doa pada waktunya atau lewat sedikit; atau doa tersebut digantikan dengan perlindungan Allah SWT dari mara bahaya atau doa itu disimpan untuk ganjaran yang tidak dapat dibayangkan kebaikan dan keindahannya di syurga kelak.

Untuk itu kita perlu sentiasa bersyukur atas apa jua yang Allah anugerahkan. Antara resepi bersyukur ialah:
1. Sentiasa positif tanpa mengeluh.
2. Bersyukur pada Allah SWT atas setiap apa yang Allah SWT anugerahkan.
3. Baik atau sebaliknya, perlu sentiasa bersyukur pada Allah SWT.
4. Bersykur pada Allah SWT membawa hati memfokuskan pada yang kita hajatkan; dan itu membawa kepada penambahan kebaikan..

Syukur merupakan manifestasi kerendahan hati seorang hamba memanjatkan pujian dan syukur kepada Allah SWT atas segala apa yang dikurniakanNya..mengakui bahawa betapa diri sebagai manusia tidak mampu melakukan sesuatu kebaikan tanpa pertolongan atau dibukakan Allah hati untuk melakukan kebaikan tersebut.

Wednesday, January 1, 2014

Kehidupan yang sepatutnya bukan untuk diri sendiri...

Saban waktu dalam solat yang kita hadiri, antara doa yang dibaca sebelum surah al Fatihah ialah deklarasi kita bahawa "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah taa'la". Dalam konteks ini, saya kadang-kadang terlupa tentangnya. Masih terpukau dengan lenggok dan gaya temporari mengenai kebahagiaan yang dikatakan menjadi buruan dalam kehidupan yang sementara ini.

Sejauh manakah hakikat sementara ini diharmonikan dalam kehidupan? Saya sekadar bertanya pada diri sendiri. Kesilapan dalam memilih tindakan atau juga terkadang memilih membuat dosa sesama insan, menjauhkan lagi jarak antara pengertian doa di atas dengan hakikat betapa sementaranya dunia yang sedang kita semua lalui ini.

Konteks kefahaman dan terjemahan inilah juga yang memberikan kita ruang ketenangan dalam memperbanyakkan amalan-amalan yang membawa kita kepada pahala dan juga redha dari Allah SWT. Tidak mengapa tatkala terpaksa melakukan yang tidak disukai, bekerja dengan manusia yang hebat berkira dan menguji, berhadapan dengan manusia yang kadang-kadang bukan seperti manusia atau juga menyelesaikan masalah yang kita sendiri tidak jelas apa yang sepatutnya hendak diselesaikan.

Kekuatan niat dan motivasi bahawa sesuatu yang dipilih untuk dilakukan merupakan sandaran tulin kepada tauhid kepada Allah SWT; bahawa hidup ini dimanfaatkan untukNya sahaja yang mana berkongsi kebaikan sesama insan juga merupakan komponen dalam membina taqwa. Saya yang baru menyedari bahawa hakikat itu merupakan sesuatu yang merubah persepsi kebiasaan serta emosi secara absolute dengan izin Allah SWT tatkala berhadapan dengan cabaran dan ujian...