Sejak berlakunya pencerobohan Israel terhadap Gaza lebih sebulan lalu sehingga pengunduran yang diumumkan semalam, antara artikel yang menggamit hati saya untuk berfikir ialah artikel yang dituliskan oleh Ustaz Hasrizal, betapa kita ini sebagai muslim perlu kembali menghayati Islam yang kita anuti ini sebenar-benarnya. Peristiwa pencerobohan Gaza adalah manifestasi kepada apa yang berlaku di dalam ummah ini secara keseluruhannya. Tinggal lagi, manifestasi berkenaan berbeza sifatnya. Andai di Gaza, saudara-saudara kita bermandi darah, diancam ketakutan dan kesengsaraan fizikal dan emosi, namun sebahagian besar kita di sini...terhimpit dalam kejahilan terhadap isi dan kefahaman alquran serta di’tindas’ pula oleh pelbagai hiburan dan permainan yang melalaikan.
Umum masih ingat, bahawa ramadan tahun ini disambut pada tarikh yang sama dengan pertandingan piala dunia. Meskipun ia dilihat sebagai permainan sukan, namun olahannya tidak jauh berbeza dari pesta-pesta hiburan dengan pengisian yang tidak menguntungkan aqidah seseorang muslim. Gaza ketika itu telah bergolak...namun imej dalam media sosial lebih tertumpu kepada ‘kegembiraan’ sokongan kepada pasukan yang menang atau juga karakter yang mengkagumkan sepanjang kejohanan itu...di manakah Gaza ketika itu...?
Perlahan-lahan apabila ramadan terus berlalu...imej-imej menyayat hati memenuhi segenap penjuru di fb, instagram atau juga komen-komen secara meluas di media virtual. Hampir setiap masa...ada updates yang ditonjolkan. Dan dalam masa yang sama, kempen boikot syarikat-syarikat yang dikenalpasti ‘bersengkongkol’ dengan Israel dikempen hebat bertubi-tubi.
Secara peribadi... saya tidak melihat banyak penyelesaian terhadap isu di Gaza mahupun ummah ini secara keseluruhan melalui tindak tanduk sedemikian.Apalah gunanya memaparkan imej-imej yang begitu menyayat hati tetapi kita seperti batu keras tatkala berhadapan dengan media-media hiburan yang saban hari memenuhi kehidupan. Tidak cukup dengan hiburan...da’wah dalam keluarga mahupun yang terdekat sangat minima dilakukan...demikian juga dengan berjemaah di masjid (muslim lelaki) mahupun doa dan tahajud yang memenuhi kesunyian malam.
Sesungguhnya agama kita ini bukan manifestasi populariti atau publisiti. Kita berdiri atas jatidiri melalui kekuatan aqidah dan taqwa. Itulah yang membentuk ihsan. akhlak serta kekuatan peribadi dalam menghadap sebarang ancaman yang merosakkan aqidah dan kesatuan ummah.
Setiap kita perlu kembali mengamalkan Islam seperti yang diajarkan Allah melalui Quran dan Nabi SAW. Kembali melakukan dan melaksanakannya secara serius dan sungguh-sungguh. Beristghfar, mendoakan serta mengutamakan imej ihsan dalam muamalah dan lisan...
Kala ini, apa yang saya gusarkan sebagai komplikasi kempen boikot yang ‘melulu’ berlaku dalam ruang yang memalukan imej agama dan ummah Islam secara keseluruhannya. Satu demi satu berita ‘vandalism’, kebiadapan serta tekanan emosi yang ‘membuta’ berlaku.
Situasi ini tidak aneh sebenarnya...reaksi yang berlaku adalah tindakbalas terhadap imej-imej dan persepsi negatif yang saban hari dikemaskini di dinding facebook, kata-kata ‘semangat’ yang membunuh rasional serta melupakan kebanyakan muslim hari ini tanggungjawab sebenar terhadap aqidah dan ibadahnya.Masyarakat yang terpengaruh dengan imej-imej akibat perbuatan ganas itu bertindakbalas melalui aksi merosakkan premis-premis yang dikaitkan dengan Israel!!
Saya mungkin ditanggap ‘melawan arus’, namun pendekatan terhadap isu di Gaza bagi saya sangat terkeluar dari landasan sebenar yang perlu kita tumpukan. Fokus penyelesaian melalui demostrasi lebih kepada mencari publisiti dan glamour bukan kepada pembinaan minda masyarakat serta penyelsaian jangka panjang. Boikot atau tidak boikot adalah isu muamalah. Ia merupakan pilihan untuk disokong atau diabaikan. Apa sahaja keputusan seseorang, ia tidak menjejaskan syahadah seseorang sebagai muslim.
Sesungguhnya perjuangan kembali membaca, menghayati dan mengamalkan quran dan sunnah lebih payah dan sukar (malah tidak glamer) berbanding memegang ‘banner/poster’ berdemonstrasi di jalanraya atau di hadapan premis syarikat yang diboikot…
(Saya berusaha meminimakan TV, radio dan juga telah berhenti melanggan Astro sejak lebih setahun lalu)
1 comment:
setuju dr. boikot dn demontrasi mungkin salah satu cara utk menunjuk rasa sokongan kpd penduduk gaza tapi yang lebih penting dari itu adalah kita kembali semula kpd cara hidup Islam serta meninggalkn/mengurangkan gaya hidup yg suka hiburan
Post a Comment