Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Tuesday, February 26, 2013

Jangan bandingkan diri dengan sesiapa..

Setiap diri mengetahui... apa yang menjadi idaman mahupun cita-cita yang tersemat di sanubarinya. Fokus mencapai hasrat yang terpendam, objektif kehidupan mahupun apa jua yang dianggapnya sebagai sumber kebahagiaan.

Namun, mementingkan diri sendiri dalam usaha merealisasikan sesuatu hasrat bagi saya merupakan suatu yang sangat menyakitkan perasaan. Begitu nanar auranya, apatah lagi bila ianya dikaitkan dengan erti persahabatan dan persaudaraan sesama muslim.

Seseorang individu mungkin tanpa sedar, tidak malu menonjolkan dirinya untuk tampil hebat. Dalam masa yang sama, begitu tertekan untuk bersaing dengan individu yang dicemburuinya. Nyata sekali, apabila pahala kebaikan dipandang remeh dan tidak relevan dalam hasrat untuk mencapai sungguh-sungguh hajat di hati...menjebakkan seseorang dalam lemas perasaan untuk mengatasi tandingan yang dianggap batu penghalang kecemerlangan dirinya.

Bentangan pelbagai dimensi mahupun pilihan untuk seseorang memilih kebaikan mahupun kekejian... sentiasa pada setiap saat datang menguji insan. Terpulanglah... bagaimana perspektif yang dipandang atau mahu dipilih. Tidak perlu membandingkan diri dengan sesiapa...

Apapun bagi saya... jangan pula kebaikan insan lain diterjemah sebagai umpan untuk mengumpul KEKAYAAN....

Wednesday, February 6, 2013

Anugerah dan rezeki dari langit..

Istimewanya membersihkan sampah sarap atau menyapu dedaun kering...satu tugas yang lebih saya sukai berbanding menghabiskan pinggan mangkuk di sinki untuk di cuci atau mengemas (sesuatu yang begitu menserabutkan fikiran).


Damai melihat pokok, daun, rumput atau juga kadang-kadang kedapatan pohon yang berbuah, memberikan rasa tenang serta melepaskan seketika segenap rasa yang tidak tenteram.

Sebahagian dari tadabbur ayat-ayat quran adalah dengan merenung kejadian tanaman dan tumbuh-tumbuhan. Betapa berbeza setiap pohon dan tanaman, meski berada di atas tanah yang SAMA, disiram juga dengan air yang SAMA tetapi menghasilkan ciri pokok dan tumbuhan yang berbeza serta rasa buah atau daun yang bermacam-macam.

"Dan di bumi ini terdapat bagian yang berdekatan (tetapi berlainan) dan padanya ada kebun anggur, tamar yang berumpun dan tidak berumpun, semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengah yang lain. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda kekuasaan Allah serta mereka yang menjadikannya bukti bagi mereka yang beraqal" (Maksud alquran surah Ar Ra'd ayat 4).

Apa yang menarik ingin saya kongsikan ialah...tentang pokok ini..


Bertahun rasanya...pokok ini tersadai (tumbuh) di celah simen konkrit dalam parit di tempat yang agak tersorok dari pandangan. Saya sangkakan, ia hanyalah pohon kayu biasa yang sekadar tumbuh serta meneruskan hayat semulajadinya seperti juga pokok-pokok yang lain.

Namun, tatkala terjengah ke dalam parit tersebut; hati saya teruja apabila melihat pohon yang saya sangka "pohon biasa" rupanya selama ini mengeluarkan buah-buahan tanpa kami sedari.


Pokok tersebut rupanya pokok zaitun (Malaysian version) yang merupakan pohon yang biasa saya saksikan di zaman kanak-kanak..yang mana kawan-kawan saya biasa mengambil dan memakan buah dalam perjalanan ke sekolah agama..

Allahu akbar..


"Dan pada langit yang merupakan rezeki untukmu dan juga apa yang dijanjikan untuk kamu", (maksud AzZariyat ayat 22)..