Saban waktu dalam solat yang kita hadiri, antara doa yang dibaca sebelum surah al Fatihah ialah deklarasi kita bahawa "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah taa'la". Dalam konteks ini, saya kadang-kadang terlupa tentangnya. Masih terpukau dengan lenggok dan gaya temporari mengenai kebahagiaan yang dikatakan menjadi buruan dalam kehidupan yang sementara ini.
Sejauh manakah hakikat sementara ini diharmonikan dalam kehidupan? Saya sekadar bertanya pada diri sendiri. Kesilapan dalam memilih tindakan atau juga terkadang memilih membuat dosa sesama insan, menjauhkan lagi jarak antara pengertian doa di atas dengan hakikat betapa sementaranya dunia yang sedang kita semua lalui ini.
Konteks kefahaman dan terjemahan inilah juga yang memberikan kita ruang ketenangan dalam memperbanyakkan amalan-amalan yang membawa kita kepada pahala dan juga redha dari Allah SWT. Tidak mengapa tatkala terpaksa melakukan yang tidak disukai, bekerja dengan manusia yang hebat berkira dan menguji, berhadapan dengan manusia yang kadang-kadang bukan seperti manusia atau juga menyelesaikan masalah yang kita sendiri tidak jelas apa yang sepatutnya hendak diselesaikan.
Kekuatan niat dan motivasi bahawa sesuatu yang dipilih untuk dilakukan merupakan sandaran tulin kepada tauhid kepada Allah SWT; bahawa hidup ini dimanfaatkan untukNya sahaja yang mana berkongsi kebaikan sesama insan juga merupakan komponen dalam membina taqwa. Saya yang baru menyedari bahawa hakikat itu merupakan sesuatu yang merubah persepsi kebiasaan serta emosi secara absolute dengan izin Allah SWT tatkala berhadapan dengan cabaran dan ujian...
No comments:
Post a Comment