Ingatan saya jauh menelusuri segmen waktu lalu..sering dikhabarkan kepada saya bahawa kita perlu seimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Yang saya tahu kala itu, biarlah sibuk bagaimanapun kita, namun jangan sesekali lupa keperluan kita untuk beramal untuk hari akhirat. Jangan sesekali dibaikan tikar sejadah serta apa sahaja ibadah yang merutinkan kita sebagai muslim!
Fokus itu nyata terbatas dalam lingkungan teori. Tiada nilai ihsan dan naluri aqidah. Jauh sekali dalam penghayatan khusyu' nya ibadah. Apa yang berlaku, saya yang sentiasa mendahulukan apa yang tampak di depan mata. Fokus akhirat yang begitu sayup dalam saujana hati yang sering terlupa tentangnya, apatah lagi konteks dosa dan pahala!
Hidup yang seimbang sebenarnya merupakan kehidupan yang memenuhi objektif kehidupan beribadah kepada Allah SWT sahaja. Tiada dalam agenda kehidupan yang diklasifikasikan sebagai 'self centred' atau sekadar memenuhi agenda diri dan hati sendiri. Ubudiyah kepada Allah SWT meletakkan seseorang pada niat dan amalan untuk melaksanakan sesuatu yang terbaik menurut keredhaan Allah SWT serta mengambil teladan sunnah.
Seimbang adalah mengutamakan keperluan diri tanpa mengabaikan hak insan yang wujudnya disekeliling kita. Menghormati hak mereka serta memberi fokus pada konteks masyarakat secara keseluruhannya. Agendanya adalah menterjemahkan quran dan sunnah, bukan menyusun prioriti diri, berbangga-bangga sehingga menindas dan mengenepikan hak-hak orang lain.
Saya melihat kehidupan pada hari ini perlumbaan sesama insan dalam mencanangkan apa lebihnya dia berbanding orang lain. Tidak sedikit kadang-kadang terlintas juga di hati perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya fikirkan. Betapa kita ini sentiasa memerlukan hidayah dan bimbingan suci dari Tuhan Maha Pencipta dan Maha Pengasih untuk hidup di dunia ini dalam keadaan yang seimbang.
No comments:
Post a Comment