Saya tidak bermaksud untuk memanjangkan isu perbahasan mengenai konteks maulidur rasul menurut dimensi sunnah mahupun bid'ah. Saya bukan ustazah…bukan juga ilmuwan agama yang mempunyai hujah sahih untuk memberikan pendapat-pendapat yang perlu dihujahkan.
Namun sambutan Maulidur Rasul ini memberikan kenangan yang sangat hebat dalam jiwa saya. Di zaman kanak-kanak dahulu saya melaluinya sebagai acara tahunan yang menemukan saya dengan insan-insan yang memelihara hubungan sosialnya sesama jiran, warga masjid serta menghubungkan ukhuwah antara guru-guru sekolah agama, saya dan rakan-rakan sebagai murid serta warga kampung yang begitu pemurah sudi menjamu kami dengan hidangan yang istimewa.
Saya bersetuju dengan sebahagian besar pandangan yang mengemukakan dalil bahawa perayaan itu tiada dalam agama kita. Memang betul…selama ini juga saya menganggapnya bukan satu perayaan. Ia sekadar platform masyarakat untuk saling memperingatkan tentang insan yang kita kasihi, yang kehidupannya diperjuangkan untuk menyampaikan nikmat Islam ini kepada kita semua. Secara tidak langsung, kami saling mengenal. Saling membantu dalam mewujudkan keharmonian serta kerjasama baik dalam strata masyarakat. Saya tidak pernah menganggapnya sebagai kewajipan aqidah atau berkaitan dengan ibadah.
Ambillah kebaikan-kebaikan yang boleh dikongsikan sesama insan. Ianya jauh lebih baik dari mencalarkan ukhuwah dalam bahasa-bahasa yang menjauhkan masyarakat dari da'wah. Sudah pasti kaedah terbaik meraikan kelahiran baginda SAW adalah seperti yang disebutkannya dalam hadith sahih iaitu untuk kita berpuasa setiap Isnin..
No comments:
Post a Comment