Pengalaman belajar Bahasa Arab secara intensif di Masjid Wilayah ogos lalu menemukan saya dengan beberapa insan yang merupakan sukarelawan Masjid tersebut. Begitu tenang sekali tatkala menelusuri kelana selama sebulan berada di Masjid tersebut, dan sukar untuk saya lupakan kenangan manis bersama Bayyinah serta sahabat-sahabat yang lama saya kenali dan juga yang pertama kali saya temui dalam majlis ilmu ketika itu.
Apabila dihulurkan borang untuk memohon sebagai sukarelawan, saya tidak teragak-agak untuk mengisinya. Peluang itu yang merupakan 'milestone' baru dalam perjalanan saya untuk mendalami usaha da'wah serta belajar dari mereka yang lebih tahu.
Beberapa bulan saya bertugas di Masjid tersebut, pengalaman siang tadi menyentuh dan menggetar perasaan saya. Saya berpeluang duduk berbicara dengan seorang remaja perempuan berbangsa Cina berusia 17 tahun. Hadir ke Masjid bersama ibu dan dua adik-adiknya. Dengan satu niat, memperjelaskan pengetahuannya tentang masjid dan Islam. Saya nyata terpaku menerima kehadirannya. Beliau dibawa masuk melawat kawasan masjid serta diberikan penjelasan tentang Masjid oleh sahabat saya seorang sukarelawan muslim berbangsa Cina.
Dalam kesempatan bersembang saya dekati dia dengan bahasa mudah, lalu bertanya padanya. "What make you come to this masjid?"
Jujur..saya begitu curious apabila berdepan dengan insan muda belia, belasan tahun dengan segenap kekuatan yang ada pada mereka sebagai remaja. Namun, mencipta kelainan berbanding remaja seusianya apabila hadir ke masjid dengan niat yang begitu mulia. Pengalaman saya mengajar lebih sepuluh tahun ini nyata berbeza apabila berhadapan dengan individu sepertinya.
Sambil tersenyum dia memulakan patah-patah bicaranya. Rancangan asal untuk melawat Masjid bersama rakannya dari Jerman tidak menjadi. Namun, beliau terus dengan niatnya untuk hadir juga ke Masjid itu. Meskipun sendirian dengan keluarganya.
Tanpa saya tanya, dia tidak segan menceritakan bagaimana seorang rakan baiknya telah memberikan ilham untuknya mengetahui tentang masjid dan Islam.
Beliau menceritakan bahwa sahabat baiknya itu…"He has a very much impact on me"
Cerita remaja berbangsa Cina itu lagi bahawa rakan baiknya itu adalah seorang muslim, pernah menjadi atheis dalam kehidupan sebelum itu. Namun, kehidupan peribadi sahabatnya itu yang tidak bertangguh dalam usaha seharian (ciri unik yang sering tidak ada dalam remaja-remaja seusia mereka) , dan kini mengamalkan Islam dengan penuh kesungguhan, sangat menarik perhatiannya. Dia tidak segan untuk terus berbicara bahawa rakan baiknya itu seorang yang open minded, mudah berbicara, sering memberikan nasihat yang baik buatnya.
Tanpa saya sedar, saya membayangkan insan itu dan kebaikan-kebaikannya. Betapa pula bayangan saya itu, menggetarkan sanubari..jauh ke sudut hati.
Subhanallah..subhanallah.
Betapa dalam kemelut remaja hari ini dengan isu-isu sosial yang sering dibahaskan, namun wujud lagi insan dengan karakter baik yang mengingatkan saya dengan sahabat Rasullullah SAW bernama Mus'ab bin Umair r.a.
Saya perhatikan remaja yang hadir ke masjid itu penuh kesungguhan memerhatikan kami solat serta bertanyakan segala aspek yang ingin diketahuinya. Semoga Allah membuka hatinya untuk menerima taufik dan hidayah. Doa saya untuknya yang bernama Karen..
No comments:
Post a Comment