Pertama kali saya mendengar tentang terjemahan barakah adalah ketika saya belajar tafseer Surah AlMulk bersama Syeikh Redha Bedeir di AlMaghrib beberapa tahun dahulu. Saat itu baru saya tahu bahawa barakah itu adalah kebaikan yang sentiasa bertambah dan terus bertambah dan terus menerus bertambah.
Dalam bahasa kita, kita sebutkan berkat. Ada yang menyebut hidup tanpa restu ibubapa adalah hidup yang tidak berkat. Atau ilmu yang tidak mampu mendidik seseorang mengamalkan kebaikan ilmu itu, dikatakan ilmu berkenaan tidak berkat. Tidak berkat dikaitkan dengan nikmat atau kebaikan yang terputus. Lalu sebelum ini jika disebut berkat atau barakah, saya sekadar mengaitkannya pada contoh terhad…dan tidak saya tahu bahawa tafsirannya jauh lebih luas daripada itu.
Dunia akademik yang saya ceburi selama ini menemukan banyak contoh bagaimana Allah sentiasa mrmbuka pintu barakah untuk kita pilih. Barakah imu, masa, usia, usaha, keutamaan serta apa jua yang kita sangat inginkan.
Pernah satu ketika dahulu semasa saya menyiapkan tesis di peringkat sarjana, saya perlu hantarkan draf penulisan itu dalam tempoh 24 jam. Namun, permintaan keluarga saya ketika itu untuk menghantar pulang ibu saya jauh ke selatan tanahair sekembali beliau dari menunaikan umrah. Saya terima permintaan itu, dan saya serahkan pada Allah untuk bantu saya menyiapkan penulisan tesis berkenaan. Di luar jangkaan saya, Allah kurniakan barakah waktu buat saya yang mana tesis berkenaan saya siapkan pada malam itu juga (saya berjaga malam hingga awal pagi) dan kami bertolak balik ke Bangi jam 4 pagi. Sesuatu yang bagi saya ajaib apabila tesis itu berjaya saya siapkan dengan izin Allah tanpa banyak pembetulan pada pagi berikutnya.
Semasa saya mula belajar Bahasa Arab dari Bayyinah, Ustaz Nouman sering mengungkapkan konsep barakah. Yang saya terus ingat tazkirah beliau, sesuatu yang kita buat semata-mata mengharap keredhaan Allah, Allah will put barakah in it. Beliau sebut usahanya dalam mengajar dan berkongsi ilmu bahasa arab untuk masyarakat memahami alquran dan bacaan di dalam solat, pengalamannya menemukan betapa realiti barakah itu Allah izinkan buat beliau dan team Bayyinah untuk terus menyampaikan kebaikan mereka di dalam bidang berkenaan.
Berbekal usaha, doa dan tawakkal pada Allah SWT, saya turut berdikit-dikit memulakan kelas Bahasa Arab untuk memahami AlQuran. Sudah tentu bidang ini di luar jangkaan saya. Satu usaha yang selama ini saya tidak pernah terfikir untuk melakukannya. Namun untuk menyahut cabaran serta menebus kekhilafan saya selama ini yang mengabaikan bahasa tersebut dalam kehidupan, saya mula menyinsing usaha-usaha yang sebenarnya saya niatkan untuk berkongsi di samping memanfaatkan ilmu yang sedang saya belajar dari Bayyinah secara online.
Kelas saya yang pertama hanya dua orang. Kemudian, datang seorang demi seorang. Yang mana, hampir setiap minggu individu yang hadir bertukar ganti meskipun ada beberapa di kalangan mereka yang agak konsisten.
Saya tetap niatkan di dalam hati, saya hanya ingin mengikut jejak langkah Ustaz Nouman dan team Bayyinah untuk berkongsi kebaikan Alquran serta menghargai kitab suci itu sebagai mukjizat agung dalam kehidupan kita sebagai muslim. Saya tidak pernah terfikir tentang yuran, saya tidak anggap beban pengajaran atau penyelidikan sebagai alasan untuk saya batalkan kelas berkenaan. Meskipun sering saya perlu buat ulangan demi ulangan, namun akhirnya saya akur bahawa ulangan-ulangan itu sebenarnya memberikan kebaikan-kebaikan tidak ternilai kepada diri saya sendiri.
Saya tidak mempunyai pembantu khas, person incharge atau organiser dalam membantu mengendalikan kelas berkenaan. Ada beberapa staf pengkeranian yang membantu hebahkan serta menempah bilik. Ada juga membantu menyalurkan maklumat pentadbiran kepada yang berkenaan. Itu sahaja. Serba-serbinya memang kekurangan.
Selepas hampir 4 bulan, kelas berkenaan sudah mempunyai hampir 10 kehadiran tetap dan 10 lagi yang bertukar ganti disebabkan komitmen tugas yang tak dapat dielakkan. Dengan kelas itu juga kami mulakan kelas hafazan serta membuat terjemahan sedikit demi sedikit ayat-ayat yang dibaca serta menyusun struktur nahu yang semestinya untuk kita tahu.
Hanya Allah SWT yang menggerakkan sahabat-sahabat saya hadir mendengar perkongsian saya. Hanya Allah SWT jua yang memberikan barakah masa untuk saya siapkan nota-nota serta bahan bacaan untuk dikongsikan. Hanya Allah SWT jua yang memberikan insight humbleness di kalangan sahabat-sahabat saya terus hadir mendengar dari individu seperti saya yang entah di mana kedudukan saya sebenarnya dalam neraca piawai ilmu yang saya kongsikan itu.
Sungguh…barakah itu dari Allah jua...
No comments:
Post a Comment