Kita melihat orang lain, ada sesuatu padanya yang menjadi tumpuan dan perhatian.
Ada yang punya sesuatu yang hebat, tidak ada pada kebanyakan orang. Lalu kita dambakan untuk mendapat apa yang dimiliki orang itu…lantaran kita menyangka itulah yang pasti membuatkan kita BAHAGIA.
Ada pula orang lain, punya rupa paras hebat. Manis, tampan. segak atau cantik dan menawan. Atau pada kata-kata dan penampilannya begitu ranggi dan menjadikan dirinya berbeza. Lalu kita berharap untuk turut mendapatkan status yang dimilikinya. Kerana kita begitu yakin…itulah yang menyebabkan kita BAHAGIA.
Ada pula orang lain, ada publisiti penuh glamour di TV. Jadi tumpuan dan ikutan. Puluhan ribu respon di FB dengan komen viral yang sangat menarik. Kita juga berharap untuk menjadi sepertinya, kerana dengan itu kita rasakan membuatkan kita lebih baik dan BAHAGIA.
Dalam kehidupan, tatkala kita lihat orang lain ada pasangan yang menyenangkan. Rupa paras indah, cantik, tampan dan hebat. Punya harta dan rumah agam serta kenderaan yang menjadi idaman. Kita juga lantas menyimpan harapan. Kerana kita lihat…itulah nilai-nilai hidup yang akan membahagiakan kita.
Kita melihat orang lain ada semuanya. Kita melihat mereka seperti bahagia dengan apa yang mereka ada. Namun kita lupa…kita tidak pernah tahu apa yang ada dalam hatinya. Kita tidak pernah tahu apa yang sedang diambil darinya.
Lalu kita fokus pada diri kita. Selepas kita cuba untuk dapatkan bahagia dari apa yang kita lihat, kita mahu lebih pula. Kita mahu lebih hebat.
Tatkala diri sendiri kita rasa hebat…kita dabik dada tunjukkan bahawa kitalah yang hebat. kadang-kadang ada lidah diplomasi yang kita gunakan, untuk orang sedar bahawa nilai 'hebat ' itu sebenarnya ada pada kita.
Lalu, kita rasa dengan mencapai sesuatu yang terhebat adalah nilai hidup yang membahagiakan hidup kita. Walaupun kadang-kadang terpaksa berdalih atau memperdayakan sesuatu realiti…agar kita tampak hebat; semata-mata mengisi ruang di hati kita untuk lebih bahagia.
Tidak cukup dengan bicara. Kita ambil gambar atau selfie. Tunjukkan apa yang kita ada..susun kata-kata untuk berkongsi bahagia.
Kita tidak sedar, bahawa itu semua tidak perlu kita lakukan. Aksi tunjuk menunjuk mungkin melukakan hati orang lain. Mungkin pula ada orang lain merana kesusahan kerananya.
Kita tidak tahu juga bahawa mungkin 'kebahagiaan' yang kita lihat sebenarnya siksaan perlahan-lahan sebagai hukuman dari Tuhan. Kita tidak nampak bahawa kenikmatan itu adalah istidraj untuk ke neraka yang abadi.
Apatah lagi…mungkin 'kebahagiaan' yang kita lihat itu menyebabkan seseorang itu menjadi lebih kufur dan tidak tahu bersyukur.
Bahagia dan kesengsaraan itu merupakan izin dari Allah SWT. Dialah yang menyebabkan kita sedih dan ketawa. Tidak mungkin bahagia itu datang bergolek tanpa sebab. Terkadang, ada kesedihan yang menjadi nadi untuk membuat seseorang itu tersenyum tenang.
Bahagia itu datang dari Allah SWT. Kekal sifatnya dan bersih suci dari nifaq dan dosa-dosa sendiri.
Bahagia pada nilai materialis, pudar kecundang ditelan pusingan jam.
Bahagia pada nilai kecantikan manusia, semuanya luntur tatkala bertambah umur.
Sesungguhnya bahagia itu adalah hadiah dari Allah, Dialah AlWahab AlMujib Tuhan Pencipta setiap sesuatu. Hadiah dalam apa jua yang diterima sama ada bahagia atau sengsara sebenarnya adalah laluan untuk membuka jalan kita ke syurga.
Tiada kemanisan paling bahagia selain kita dapat memahami setiap patah perkataan alquran serta doa-doa yang diungkap penuh takut dan harap kepadaNya, ikhlas semata-mata mengharap dan beribadah kepadaNya.
No comments:
Post a Comment