Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, November 21, 2015

Kuota ke asrama penuh… saling BERGANDING bukan BERTANDING..

Semasa mengambil rekod keputusan akhir tahun anak saya di SRAI Bangi baru-baru ini, guru kelasnya memaklumkan tahap pencapaian Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang semakin baik. Mereka yang cemerlang dalam PSRA terutama pelajar perempuan berhadapan saingan sengit untuk terpilih ke Sekolah Agama Berasrama Penuh di bawah kelolaan JAIS.

Kuota markah untuk pelajar perempuan ditetapkan pada  markah 98%; maknanya untuk kemasukan sessi 2016, anak-anak perempuan yang lulus mencapai 98%  dalam PSRA sahaja layak dipertimbangkan ke sekolah berasrama seperti SAMBES di Subang. Saya terkedu seketika…bukan kecewa kerana diskriminasi sedemikian.  Kuota sedemikian telah lama wujudnya… juga diaplikasi hampir semua institusi mahupun bidang-bidang tertentu. Namun, kedudukan kuota sedemikian semakin menyedarkan saya bahawa untuk wanita/ perempuan…kita memerlukan penilaian semula kurikulum yang berbeza dengan pelajar lelaki.

Era masa hadapan semakin mencabar. Fokus pembangunan lahiriyah memerlukan gandingan individu lelaki dan perempuan.Ia merupakan GANDINGAN…bukan TANDINGAN antara satu sama lain.

Satu seminar yang disampaikan oleh sahabat/ Professor yang saya kasihi Dr Harlinah Halizah Hj Siraj baru-baru ini turut memberikan tumpuan pada fokus untuk memberikan keutamaan yang spesifik untuk pembangunan wanita. Dana dalam bentuk kewangan, masa dan logistik berkaitan yang diberikan kepada pembangunan wanita secara umumnya akan memberikan pulangan hampir 99% kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya. Fakta ini membuka dimensi penting untuk kita sama-sama fikirkan bahawa untuk pembangunan masyarakat dalam masa akan datang, skop kurikulum yang mengoptimakan kemampuan unik wanita dapat dilaksanakan.




Mulai tahun 2016 ini, pengurusan Al NIDAA yang bertanggungjawab dalam pembangunan Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al Amin (SMITA) mengumumkan telah mula membuka pendaftaran untuk pelajar puteri.

Satu perkembangan yang sangat memberansangkan serta sangat dinanti-nantikan. Di tengah-tengah kerancakan masyarakat Muslim majoriti negara ini yang kian cenderung untuk memilih pendidikan komprehensif anak-anak terutama dalam konteks memartabatkan alquran, SMITA kini turut menyediakan pakej pendidikan untuk para puteri yang kita kasihi.


Sudah tentu, potensi yang dikongsikan oleh SMITA Puteri perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya ke arah pembangunan masyarakat seterusnya kejayaan individu berkenaan di dunia dan akhirat.

Dan saya juga…mula memikirkan potensi untuk membangunkan Universiti/ Kolej yang khusus untuk golongan wanita sahaja. Bantu saya untuk mendrafkan kurikulum yang dapat membangunkan potensi seorang puteri untuk menjadi anak, isteri, ibu, pemimpin dan individu yang insyaaAllah mampu memberikan pulangan terbaik kepada masyarakat secara keseluruhannya. Allahul musta'an..

No comments: