Istilah selfie mula menjadi kamus dalam ruji kehidupan sejak awal pertengahan dekad sebelum ini iaitu apabila mudahnya perantis mudah alih yang memuatkan aplikasi kamera dan seterusnya dimuat naik di laman sosial mahupun melalui komunikasi internet. Semasa PDA (Personal Digital Assistant) mula melanda pasaran, ia telah sedia memuatkan aplikasi kamera/ video. Namun seingat saya ketika itu, semua yang dirakamkan adalah untuk simpanan peribadi dan bukannya untuk disebar atau dihebahkan secara meluas.
Dunia hari ini benar-benar telah berubah lanskap perkongsian maklumatnya. Selfie bukan lagi terhad dalam lingkungan peribadi. Namun menular menjadi kebiasaan, sertawujud campur aduk antara yang bersifat formal, sesuatu yang sepatutnya 'privacy', atau ibadah-ibadah hati yang sepatutnya dirahsiakan.
Semasa saya berusia kanak-kanak dahulu, kami sekeluarga perlu meminjam kamera orang lain untuk bergambar sesama ahli keluarga. Betapa jika ada sessi itu, kami masing-masing begitu bersemangat mengenakan pakaian cantik, berhias indah untuk sessi fotografi yang jarang-jarang wujudnya dalam itinerari pada waktu itu. Betapa berharganya sessi fotografi, dianggap acara mewah serta begitu elit sekali.
Dahulu, kamera memerlukan filem yang perlu diproses. Dihantar kira-kira dua tiga hari…menimbangkan pula mungkin filem yang dihantar rosak…kemudian selepas diterjemah dalam bentuk foto hardcopies barulah ianya dapat ditatap. Terkadang ada juga debaran bimbang wajah senyuman menjadi sebaliknya dalam foto sebenar..ada kala juga keseluruhan filem yang dihantar tidak menjadi, lalu sesi bergambar santai bertukar menjadi kenangan yang 'tidak dapat dikenang'...
Dengan beredarnya masa, teknologi terus berubah. Mudahnya untuk kita berfotografi serta berkongsi kegembiraan ataupun pelbagai emosi…menjadikan kamera bukan lagi eksklusif milik individu tertentu. Fenomena instanteneous iaitu foto diambil terus dapat ditatap kemudian dimuatnaik dan disebarkan…juga menyumbang kepada perubahan mega. Sesiapa sahaja pada masakini yang mampu memiliki perantis mudah alih, mudah sahaja ber'selfie' merakamkan aksi dari pelbagai sudut serta sertamerta boleh mendapatkan hasil untuk ditatap serta boleh diulang berulang-ulang sehingga tuan punya diri berpuas hati..
Semasa saya menunaikan ibadah haji beberapa tahun lalu. ketika itu tidak ada aplikasi untuk mengubah lensa pada diri sendiri. Pelbagai aksi jemaah tertentu yang saya saksikan seperti mengambil berkali-kali gambar sendiri berlatarbelakangkan masjid nabawi, yang saya secara peribadi tidak bersetuju ianya dilakukan dalam tempat suci seperti itu. Demikian juga ramai yang berselfie di masjidharam… saya juga amat tidak setuju dan tidak selesa keadaan sedemikian.
Bergambar bagi saya adalah satu aktiviti santai untuk dikongsikan bersama yang dikasihi. Bukan diredah amalannya pada aktiviti ibadah yang perlu kita tuluskan niat dan amalannya. Dan saya sebenarnya merasa malu untuk dirakam sedemikian, apatah lagi untuk menyebarkannya pula di laman facebook atau ditatap oleh masyarakat umum.
Kira-kira sebulan lepas semasa saya menaiki lif di bangunan pejabat, secara kebetulan di sebelah saya seorang pelajar siswazah yang sibuk memegang telfon pintarnya. kebetulan berdiri di sebelahnya, saya dapati beliau begitu asyik menyaksikan gambar-gambarnya sendiri di dalam dan sekitar bilik tutorial, ruang akademik dengan pebagai gaya dan cara. Waktu yang sepatutnya beliau habiskan dengan mentelaah dan menulis semakan literature…
Baru-baru ini pula, seorang pelajar berselfie dengan Pro Canselor Universiti berkenaan sebaik sahaja menerima skrol diploma. Mungkin di tempat lain, ianya dibenarkan, namun ia fenomena asing serta dianggap menyalahi protokol dalam budaya ilmiah kita.
Untuk apa kita berselfie….? Andai untuk dirakamkan buat kenangan diri sendiri, perlukah berselfie hingga berpuluh-puluh aksi untuk satu event yang dilalui. Kemudian dimuat naik utk tatapan seluruh masyarakat manusia. Penyakit apa sebenarnya kita ini…? Ada pula kelompok yang memuat naik hidangan makanan setiap kali makan sedap-sedap bersama keluarga dan rakan…dengan alasan berkongsi kegembiraan. Demikian apabila mendapat keputusan peperiksaan anak yang hebat…
Apa sebenarnya yang kita dapat dari berselfie…? Selain dari mencipta emosi untuk berbangga sesama sendiri atau melayan keindahan yang dikecapi…apakah pula nilainya dalam konteks aqidah kita? Pada dimensi iman kepada Allah dan hari akhirat…?
No comments:
Post a Comment