Saya diizinkan Allah hadir meraikan para guru yang pernah berkongsi ilmu dan bakti dalam kehidupan kami di MRSM Muar. Juga rakan-rakan serta senior dan adik-adik yang pernah berkongsi kisah dan cerita apabila tumpang berteduh selama lima tahun di asrama kayu. Riak wajah masing-masing yang begitu ceria dan gembira. Cuma saya yang agak terbatas emosinya apabila fenomena selfie begitu menguasai kehidupan dan pergerakan.
Pertemuan ini juga membawa saya menemui khabar bekas rakan sebilik yang kini sudah berkeluarga dan memiliki 7 cahayamata. SubhanaAllah murah rezekinya... dan saya lebih terpegun apabla dikhabarkan 4 dari anaknya merupakan hafiz alquran. Airmata saya hampir bergenang apabila terkenang tentang hadiah yang saya berikan semasa hari perpisahan kami pada 1986 dahulu, iaitu sebuah mushaf Alquran.
Pagi tadi saya singgah mendengar tazkirah dari ayat 30 Surah Al Furqan. Allah bentangkan kisah apa yang akan Nabi Muhamad SAW persaksikan di akhirat nanti iaitu kaum baginda yang telah mengabaikan sejauh-jauhnya Alquran dalam kehidupan. Membawa saya juga terus menginsafi diri, di mana pula kedudukan saya di sisi Al quran. Saya juga yang selama ini mendatangi Al Quran dalam keadaan seperti orang yang ‘buta’ dan ‘tuli’, Membacanya tanpa difahami, lalu wujud dalam kehidupan sebagai manusia yang seperti tidak pernah tahu tentang Al Quran.
Kisah bekas rakan sebilik saya ini menyentuh dalam ke sanubari. Saya menghadiahkannya Al Quran dalam keadaan diri yang tidak memahami sebarang tafsir dan erti. Buat masa ini, dalam diri yang masih ‘struggle’ untuk belajar kembali serta cuba menghayati ayat-ayat Al Quran, saya memandang jauh ke dalam diri. Rahmat dan barakah Al quran itu hanya hadir buat diri yang diizinkan Allah SWT untuk memperolehinya. Kitalah juga yang perlu berusaha memilihnya, bukan memilih untuk terus sesat seperti manusia yang tidak bertuhan atau memilih Tuhan selain dari Allah SWT untuk disembah penuh takjub dan kecintaan.
No comments:
Post a Comment