Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, April 1, 2015

Kerja kita, Aqidah kita...

Ayat-ayat Allah mengenai munafiq ada kita baca dalam Surah Al Baqarah; iaitu selepas penjelasan mengenai mereka yang beriman dan juga mereka yang kafir.

Sekian lama sebenarnya saya sering tidak mempedulikan dengan serius mengenai isu munafik serta sifat-sifat munafik yang mungkin ada kita terjemahkan tanpa disedari.

Seriuskah kita memandang hati dalam dimensi yang bersungguh-sungguh mengenai munafik ini?


Dan di antara manusia (ada) yang berkata kami beriman kepada Allah dan hari akhirat TETAPI sebenarnya mereka itu tidak beriman.

Iman merupakan keyakinan di dalam hati, diterjemahkan didalam lisan dan amalan. Ia bukan sekadar harapan atau juga tanggapan di dalam hati. Iman kepada Allah SWT dan adanya hari akhirat terserlah dalam keyakinan kita tatkala berbicara mahupun memilih keputusan untuk melakukan sesuatu perbuatan.

Betul, konsep ini di atas kertas mudah difaham, tidak komplikated, tidak berserabut dan sama sekali tidak mengelirukan.

Namun…dalam realiti; kedudukan hati dan amalan yang merupakan syarat wajib sebagai muslim yang mukmin itu sebenarnya tercabar dalam setiap waktu dan ketika.  Kita semua diuji dengan elemen yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Kita yakin wujudnya Allah..namun ada waktu kita (termasuk saya juga) seperti tidak kisah melanggar pantang dengan bercakap bohong atau mengkhianati amanah dan tanggungjawab.

Kita yakin akhirat wujud, tapi kita adakalanya terus tergamak membelakangi pahala dan dosa dengan membiarkan diri terus berbohong, melupakan amanah dan menghumbankan janji-janji di bawah klausa DIAM.

Fokus saya seperti bercelaru tatkala realiti yang saya anggap benar dan berlaku dalam skop amanah yang saya percayai berlaku oleh insan yang saya percayai…rupanya tidak berlaku seperti itu. saya memandang kembali ke dalam diri…mudahnya majoriti kita melupakan syaitan jin/ iblis dalam menimbulkan permusuhan dan pertelingkahan.

Setiap kerja kita…adalah sebenarnya terjemahan dari aqidah yang kita pegang. Kesucian dan kemuliaannya goyah apabila najis kemunafikan mencemar niat di qalbu, lalu hanyir loyanya kekal terhidu dari segenap penjuru.

No comments: