Sayapun sebenarnya tidak tahu tajuk yang sesuai untuk saya kongsikan penulisan kali ini. Saya dedikasikan ia insyaAllah pada anak-anak remaja saya yang secara khususnya mula didatangkan ilham sedemikian sebaik melalui proses perubahan fisiologi hormon sebagai seorang insan lelaki mahupun seorang gadis yang lebih berketrampilan.
Di mana-mana sahaja... fokus pada usia peralihan antara kanak-kanak dan dewasa dibincangkan hebat dan menerima pelbagai maklumbalas dan hujah pandangan. Namun, saya menyaksikan bahawa perbincangan hebat itu biasanya hanya ditangani secara kekal mereka yang memang tugasnya menjurus dengan mereka pada usia remaja... selainnya, ia hanya relevan pada ketika mana mereka berdepan dengan isu anak-anak yang melalui usia sedemikian...atau juga sebagai retorik yang tidak jelas di mana jalan penyelesaiannya
Julat usia remaja begitu singkat sebenarnya... sekitar lebih kurang 10 tahun atau mungkin lebih kurang daripada itu ...; yang mana fasa paling kritikal hanya sekitar 2 hingga 3 tahun. Selepas julat kritikal berkenaan, jika ditangani secara santun dan hikmah.. insyaAllah fasa lanjut remaja berikutnya, tidak sukar dihadapi. Panjang atau singkat fasa remaja.. bergantung pada usia taklif yang didefinisikan sebagai usia baligh atau juga pada kematangan fikiran yang ditunjukkan dalam fikiran dan emosi masing-masing.
Perubahan hebat pada usia remaja terbahagi pada tiga iaitu yang pertama merupakan perubahan fizikal... yang nyatanya Allah susun menyerlahkan ketampanan seorang remaja lelaki atau juga gadis yang lebih manis dan ayu kelihatannya.
Kedua merupakan perubahan cara berfikir iaitu pada usia remaja jelasnya mereka bersungguh-sungguh untuk memiliki watak berfikir yang bukan lagi sebagai kanak-kanak yang perlu di’dictate’ dalam segala segi... namun hampir setiap remaja yang saya temui (termasuk saya juga pada usia sedemikian) mahu di'layan' sebagai insan ‘lebih dewasa’ yang mempunyai kemampuan berfikir dan dihormati apabila memilih sesuatu keputusan.
Ketiga pula, perubahan emosi... ianya jarang ditangani secara bersungguh-sungguh, namun inilah juga yang merupakan gelodak yang begitu memberikan impak mendalam pada jiwa seorang remaja.
Saya berpandangan, setiap remaja perlu memahami proses fisiologi yang mereka lalui... demikian juga perubahan emosi dan skop pemikiran; yang mana kesemua perubahan itu sebenarnya merupakan platform untuk menyediakan mereka sebagai insan dewasa yang lebih bersedia menghadapi segala-galanya. Perlu juga mereka mengenalpasti sumber kekuatan untuk memperteguh gelodak emosi yang begitu cepat berubah dan mendadak turun naiknya... insyaAllah sumber kekuatan itu antaranya adalah sahabat yang baik dan sering mengingatkan, ikon ikutan yang didengar nasihatnya serta juga bimbingan secara hands on yang datang terus meneladani isi hati mereka.
Apa yang nyata melalui pengalaman yang pernah saya lalui... usia remaja penuh dengan ketidak stabilan... serba-serbinya tidak stabil; paling kuat adalah dari segi perasaan, emosi dan tekanan dari suasana sekeliling. Pada usia remaja saya dahulu, saya masih ingat semasa mempelajari subjek kimia bukan organik yang membincangkan tentang kestabilan struktur bahan... adakala ianya mencapai tahap metastabil iaitu dengan haba pelakuran atau juga suhu penentu yang menjadikannya berubah kepada bentuk bahan yang lain... saya pula selalu membayangkan diri saya ketika usia remaja itu sebagai unsur yang metastabil, yang akan 'berubah' menjadi 'makhluk lain' yang sayapun tidak pasti entah apa jadinya nanti...
Disebabkan oleh tahap emosi yang saban berubah, ia sering membawa saya kepada komunikasi yang entah di mana objektifnya... kadang-kadang melakukan sesuatu tanpa difikirkan akan penyelesaian akhirnya, sekadar diredah ibarat cuba-cuba dan entah di mana ‘betul’nya.
Jiwa di kala itu pula mudah asyik dengan lantunan muzik pelbagai versi; atau juga dengan seribu satu kisah mereka yang popular dan menjadi tumpuan media dan lensa kamera. Kadang-kadang mudah dipengaruhi dengan fakta dan hujah politik dan isu semasa yang ditanggap betul meskipun banyak ilmu dan pengalaman lain yang kurang matang dan serba kekurangan.
Ketika remaja dahulu juga, saya mempunyai beberapa individu yang saya sebut sebagai ‘secret admirer’.. sebahagiannya meluahkan rasa suka mereka kepada saya, yang akhirnya saya lemas dengan tekanan emosi serta hadiah-hadiah atau surat/ kad yang diberikan. Ada pula yang menyuarakan rasa hati melalui tulisan kerja rumah yang guru berikan... yang saya secara peribadi berasa malu ketika membaca komen guru dan diketahui rakan-rakan.
Saya kongsikan pandangan sarjana mengenai cinta apabila kami berbincang dengan nama Allah yang indah iaitu Allah Al Wadud. Al Wadud ialah zat yang Maha Menyintai( The Loving). Di dalam Al Quran Allah menyatakan melalui firmanNya dalam dua ayat iaitu Surah Hud ayat 90 dan Surah Al Buruj ayat 14-15.
Dan mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, kemudian bertaubatlah kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengasih dan Maha Menyintai (Maha Menyayangi)
Dan Dia Maha Pengampun dan Maha Menyintai (Maha Menyayangi), Yang Maha Memiliki arasy , Maha Terpuji
Allah menghubungkan rasa mengasihani dengan menyintai. Untuk hamba yang sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayangNya... diseru untuk sentiasa memohon ampun dan bertaubat; bagi yang terlanjur dalam kesilapan dan dosa, jangan pula berputus asa.. bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha Menyayangi hamba-hambaNya yang memohon ampun dan bertaubat.
Allah menyampaikan rasa cintaNya kepada kita melalui anugerah dan pemberian segala-galanya dengan tidak terbatas.. termasuk pada penciptaan diri kita yang begitu sempurna dan seimbang kejadiannya (pertama kali hati saya sebak apabila menghayati penysunan sel-sel dan mekanisma molekul yang begitu sempurna membentuk organ dan sistem tubuh manusia) serta rezeki-rezeki yang dilimpahkanNya tanpa mengira sama ada seseorang itu muslim mahupun kufur. Namun Allah Maha Menyintai mereka yang memohon ampun dan bertaubat.
Rasa cinta anugerah Allah ini adalah perasaan yang begitu mendalam, wujudnya secara ‘ghaib’ tidak terlihat kemudiannya diluah dan diterjemah menerusi aura kasih dalam setiap yang terserlah kelihatan. Fenomena cinta yang luhur.. menghasilkan keadaan yang mana mereka yang menyintai, akan menerima pula cinta dari individu/ mereka yang dikasihinya.
Cinta sebenarnya adalah dimensi dalam kehidupan yang perlu diperteguhkan. Cinta juga adalah kekuatan-kekuatan dalam kehidupan. Dimensinya tidak terhad dalam menyatakan sekutuan emosi dua jiwa yang berbeza. Namun, salah satu keindahan cinta dinyatakan Allah dalam terjemahan kasih dan saling mengasihani antara suami dan isteri.
Cinta juga merupakan dimensi dalam menyelesaikan apa jua konflik dan perselisihan. Satu kelebihan yang Allah anugerahkan bagi individu yang memandang kebaikan cinta dan saling mengasihi itu jauh mengatasi permusuhan dan kebencian.
Lalu.. ekspresi cinta tidak hanya terbatas pada pengakuan lisan atau bicara kertas atau dikekang oleh luahan sms/ email atau ekspresi ‘update status’ di facebook. Ekspresi cinta sebenarnya adalah rahsia yang tersurat dalam terjemahan yang kita lakukan. Itulah sebenarnya hakikat yang eloknya kita juruskan pada seruan kembali menghayati jalan kembali kepada Allah dan kebaikan. Paling utama, kita perlu mewujudkan rasa cinta kepada Tuhan yang telah menciptakan diri kita semua..
Manisnya mengenang zaman remaja... Saya yang dahulu pernah menyimpan naluri suka dan cinta... sebahagian besarnya terpendam dari luahan rasa; sebahagiannya pula diluahkan sebagai tanda kasih sahabat dalam halaqah dan mengenal jalan da’wah. Kadang terpaut seketika pada watak insan berlainan hormon yang kelihatan terikat jiwanya pada kebaikan dan tazkirah... atau pada wajah yang tunduk raut pandangannya dari memerhati kami sebagai muslimah. Itu sekadar ledakan sementara, datang dan pergi... hadir dan surut serta terbatas pada kesantunan budi dan 'gesture' komunikasi; kerana naluri cinta sebenar hanya saya kenal selepas berumahtangga..
InsyaAllah tatkala kita menyaksikan atau merasai nikmatnya anugerah cinta, mudah-mudahan mengingatkan kita semua pada keindahan nama Allah Al Wadud..
No comments:
Post a Comment