Sesekali memandang pelbagai rentangan banner mahupun poster/ bunting yang memaparkan iklan atau promosi sesuatu program pengisian hati dan motivasi dari aspek kehidupan hidup beragama... saya teruja juga apabila fokus ke arah kebaikan dalam masyarakat kian subur diberikan keutamaan. Namun sesekali... saya terfikir juga, bahawa 'learning objective' dalam sesuatu penyampaian ilmu adalah sebenarnya agar sampai dalam hati individu masyarakat dan kesanggupan mereka untuk berubah dan mengamalkan perubahan kepada sesuatu yang lebih baik. Fokus pengisian ilmu sepatutnya menggerakkan minda dan praktis masyarakat ke arah menterjemahkan ilmu tersebut, bukan pada program itu atau pada individu yang bakal berkongsikan ilmu.
Saya dilontar dengan pelbagai dilemma serta persoalan; apabila sejenak menghayati peristiwa Rasulullah SAW menghadapi tentangan di Thaif serta cabaran-cabaran da'wah baginda untuk mengajak manusia kepada ubudiyah semata-mata kepada Allah. Fokus Rasulullah SAW dan juga melalui kisah para anbiya' sebelum ini adalah pada individu masyarakat; juga diulang-ulang penjelasan melalui firman Allah bahawa mereka itu tidak pernah meletakkan imbuhan apa sahaja yang hebat atau sebarang upah atas tugas-tugas berat yang mereka lakukan.
Fokus da'wah jika diperhatikan dalam ungkapan-ungkapan indah Al Quran kesemuanya mengajak bersungguh-sungguh setiap hati yang ingin mengambil pengajaran dan teladan... bukan 'speaker centered' iaitu tidak sebagaimana majlis-majlis ilmu hari ini yang sepertinya 'mengumpan' masyarakat dengan penceramah hebat untuk dipenuhi duduk kerusinya...
Saya dalam dilemma kerana saya juga terkadang melalui situasi sedemikian tatkala dijemput berkongsi penyampaian... Allah izin, pesanan suami dan silau publisiti mengejutkan saya bahawa, jika 'hits' diharap sebagai pengukur kejayaan, itu tersasar dari matlamat pembinaan jiwa insan. Jujurnya saya berpendapat, andai jalan membina jiwa insan itu penuh dengan gemerlapan yang menggamit kehebatan dan pujian, ianya perlu dimuhasabah kembali sama ada benar atau tidaknya seseorang itu (terutama diri saya sendiri) dalam niat sebenar di atas jalan da'wah.
Saya hanyalah insan kerdil yang masih bertatih dan belajar tentang pengisian sebenar sebagai muslim yang beriman. Banyak yang masih belum diketahui, dan banyak juga yang saya ketahui namun tidak saya amalkan. Ada juga yang mampu saya lakukan, namun kadang-kadang tenggelam tidak berkekalan seperti yang diharapkan.
Sesuatu persepsi yang mungkin kita pandang, namun ditanggap berbeza oleh mereka yang lain. Apa yang penting, biarlah segenap apa yang kita lakukan ini merupakan sesuatu yang benar-benar diredhai Allah.
Fokus pendidikan masyarakat adalah diri individu dalam masyarakat termasuklah juga mereka yang diamanahkan menyampaikan pengisian. Tidak ada siapa yang lebih hebat melainkan mereka yang lebih tinggi taqwanya di sisi Allah. Sesungguhnya saya dan anda semua akan dibangkitkan dengan niat yang kita tetapkan di dalam hati... mudah-mudahan niat ikhlas kita Allah bantu untuk tidak berubah...
No comments:
Post a Comment