Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...
Tuesday, August 20, 2013
Kita yang didatangi ‘utusan’ syaitan…
Antara satu peristiwa sangat besar dalam kehidupan ini yang sering saya abaikan ialah tentang perjuangan syaitan dalam bersungguh-sungguh menunaikan janjinya untuk menyesatkan, melalaikan serta menghasut manusia untuk menyertai mereka ke neraka secara kekal.
Umat muslimin baru sahaja menamatkan proses ‘pembersihan’ jiwa, mengumpul segenap kebaikan dalam bulan ramadhan serta meneruskan kebaikan dengan aura-aura yang sangat kita hargai dan syukuri nikmatnya; tiba-tiba dikejutkan dengan peristiwa pembunuhan massa tanpa kasihan di bumi Egypt. Pembunuhan demi pembunuhan yang masih diteruskan serta didokumentasikan dengan jelas dalam apa jua media(terutama tweeter dan facebook); situasi yang cukup berbekas dan tidak dapat diungkapkan kesedihan. Airmata yang terus bergenang dan terus bergenang tatkala setiapkali menatap kedukaan dan penindasan yang menimpa mereka.
Namun… satu peristiwa yang menyedihkan saya apabila kita umat muslim ini dikelirukan pula dengan kekhilafan kesimpulan hukum perjuangan, pembunuhan serta saling tuduh menuduh menyalahkan satu pihak dengan pihak yang lain. Ada pula yang tidak kita fahami doktrinnya yang mendefinisikan rakyat yang tidak bersenjata dan berhimpun secara aman sebagai ‘terrorist’; dan terus menerus menyalahkan rakyat yang wujudnya sekadar menuntut keadilan secara aman yang ‘menyebabkan’ mereka dibunuh dan terus dizalimi. Ironinya pula, tiada teguran langsung dari individu yang dipandang hebat sebagai ‘golongan agamawan’ itu pada sifat kezaliman individu yang merampas kuasa politik menggunakan kuasa tentera secara tidak sah; kemudiannya menyiksa dan membunuh pula rakyat yang tidak bersetuju dengan mereka.
Saya secara umumnya bersetuju bahawa setiap perjuangan memerlukan strategi, setiap individu perlu di’islah’kan serta objektif perjuangan disandarkan pada pembetulan aqidah dan pengukuhan ilmu sebagai individu muslim yang ‘abid; bukan bercakaran merebut ‘keagungan survival politik’. Demikian juga, saya juga cenderung untuk memilih keputusan yang lebih ringan mudaratnya berbanding kemudaratan yang lebih hebat sehingga menjerumuskan ummah secara massa kepada tribulasi dan kekejaman.
Di US atau Negara barat yang lain, umum mengetahui bahawa demonstrasi secara aman berlaku saban waktu…namun tidak pernah kita mendengar pembunuhan massa kepada mereka yang membuat tunjuk perasaan hatta demo itu ditujukan kepada presiden atau ketua Negara mereka. Secara umum, pada hari ini demonstrasi dianggap norma masyarakat; yang saya sebenarnya secara umum tidak pernah bersetuju dengan sebarang demonstrasi dan tunjuk perasaan yang diadakan. Ia sebahagian besarnya membuang masa (yang sepatutnya dihabiskan dengan berzikir, mendalami ilmu dan mengamalkan kebaikan), dan langsung tidak menjejaskan keputusan polisi atau pentadbiran sesebuah Negara yang dibina mengikut sistem yang sah menurut undang-undang.
Namun, berdasarkan situasi hari ini demonstrasi aman merupakan satu dari pendekatan yang diterima secara umum untuk menuntut keadilan. Siapa duga darah dan hak sebagai manusia yang tiada niat langsung untuk berperang (sekadar menuntut keadilan secara aman) itu dianggap seperti langsung tidak mempunyai harga serta dilabel sebagai pemberontak dan dijatuhkan hukuman menyalahi aqidah sunnah wal jama’ah. Berdemo secara aman dihukumkan sebagai pemberontakan terhadap pemerintah; namun penipuan terang-terangan oleh pihak yang menindas dan mengangkat dirinya sebagai pemerintah; yang bukan berlaku secara rahsia dan tersebar secara umum dianggap ‘mulia’ dan tidak boleh disanggah sebagai ‘pemerintah yang sah’?
Beberapa hari selepas pembunuhan massa di Misra (Egypt) itu membuatkan saya termenung panjang. Sebak setiap kali menatap outcomes penuh zalim yang menimpa rakyat terutama wanita dan kanak-kanak. Dan, terus sebak apabila manusia agamawan di Malaysia saling bercakaran sesama sendiri dengan hujah yang saya sifatkan sebahagiannya sangat ‘meraban’ dan tidak ubah seperti para ‘utusan’ syaitan. Manusia apakah mereka itu sehingga tiada langsung simpati dan kasihan dengan mereka yang dizalimi sedemikian rupa? Lebih teruk, mereka yang dizalimi itu disalahkan pula; dan lebih teruk mereka yang tiada kena mengena dengan demonstrasi aman turut dibunuh dan dizalimi namun langsung tidak diberikan komen oleh agamawan berkenaan.
Dalam surah Al Baqarah ayat 266 Allah berfirman maksudnya,
Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; dia mempunyai kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada seseorang itu sedang dia mempunyai keturunan yang kecil-kecil, Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.
Tafseer ayat ini dari Kitab Tafsir Ibnu Kathir menukilkan Ibnu Abbas menjelaskan perumpamaan yang disampaikan Allah dalam ayat berkenaan ialah mengenai seorang kaya yang beramal dengan ketaatan kepada Allah. Lalu Allah mengirimkan syaitan kepadanya, maka iapun berbuat banyak maksiat sehingga semua amalnya terhapus. Penjelasan berkenaan dinyatakan melalui hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, satu ayat yang yang memberikan perumpamaan tentang seseorang yang pada permulaan hayatnya dipenuhi oleh amal yang baik, namun ia mengganti amalnya dengan amalan yang jahat penuh berdosa (moga kita semua dilindungkan Allah).
Dalam tafseer ayat Kursi sebelum itu, dijelaskan pula oleh Rasulullah SAW bahawa syaitan itu ada yang berupa manusia.
Fokus penyelesaian memerlukan analisa jiwa manusia yang wujudnya sebagai manusia. Bukan dalam bentuk saduran manusia oleh hati yang sebenarnya merupakan utusan para syaitan! Doa saya untuk semua saudara-saudara saya di Misra…moga Allah amankan semula situasi dan keadaan mereka.
NB: Selain dari doa dan bantuan kemanusiaan, saya berkongsi pandangan seorang aktivis Palestin iaitu antara cara terbaik untuk kita membantu mereka ialah dengan memperkukuhkan ilmu dan amalan sebagai muslim (baca alquran dan dalami sunnah serta amalkan), meninggalkan perkara yang sia-sia (tinggalkanlah lagu-lagu hiburan, drama-filem yang melalaikan ) serta tidak menjadikan mereka yang jelas kekafirannya sebagai rujukan, ikon atau ikutan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment