Saya agak terkedu tatkala disapa oleh seorang rakan non muslim yang begitu gembira mengucapkan selamat bercuti kepada saya...namun diakhir kalam beliau, "Okay...enjoy yourself".
Semasa menuruni anak tangga perlahan-lahan, hati saya nyata berbaur emosi. Gembira menjalani saat akhir mulianya ramadhan serta menantikan indahnya eid mubaraq namun sedu seketika bila dilontarkan dengan kalimah perkataan sedemikian.
Saya mungkin mendefinisikan 'enjoy' dalam frasa serta orientasi yang berbeza; namun ia bagi saya dikaitkan dengan simbol ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan sambutan aidilfitri. Sehingga majoriti beranggapan aidilfitri adalah sambutan kegembiraan yang diwarnai oleh lazatnya makanan, merdu dan meriahnya aura muzik lagu raya, dentuman mercun yang sinonim dengan kedatangan syawal, pesta bunga-bunga di kuburan, saling bertukar juadah raya serta saling kunjung mengunjung di kalangan kerabat dan teman. Tidak lupa pula pada siaran demi siaran di TV mahupun pawagam yang dikatakan menambahkan lagi kemeriahan perayaan.
Sesungguhnya saya mengambil masa yang agak lama untuk memahami bahawa sambutan eid mubaraq sebenarnya adalah manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Tuhan Azza wajala Maha Pencipta. Ia merupakan ibadah iaitu bentuk ubudiyah yang ikhlas kepada Allah SWT, yang mana kembalinya kita kepada fitrah semulajadi sebagai insan tanpa larangan serta ditahan pada julat waktu tertentu.
Apabila kita meluruskan pandangan dan fokus pada definisi Islam (total submission to Allah SWT), kita pasti sedaya upaya berusaha untuk mengisi sambutan eid itu 'in-line' dengan fokus untuk mengabdikan diri kepada Allah, memurnikan tauhid serta membersihkannya dari segenap kemungkaran dan 'sembahan-sembahan' yang melupakan kita pada Allah SWT.
Saya masih ingat, betapa 'tersiksa'nya jiwa saya apabila menyedari waktu yang begitu pantas berlalu selepas 1 syawal mula di sambut. Saya ketika itu begitu berharap agar biarlah pagi 1 syawal itu 'lama' sedikit supaya sentimental dan nostalgianya dinikmati sepenuhnya. Namun...waktu terus berlalu...sehingga menjadikan lagu-lagu dan ketupat raya menjadi kenangan 'nostalgia' apabila berlalunya waktu dan hari demi hari. Dan silap saya, yang langsung tidak mempedulikan definisi ubudiyah kepada Allah SWT yang sebenar dalam memanifestasikan segenap kesyukuran yang sepatutnya disandarkan pada kekuatan 'aqidah.
Lebih dukacita apabila sambutan 'eid mubaraq yang sepatutnya menjadi platform menobatkan syi'ar da'wah melalui takbir dan solat berjemaah (afdalnya di tempat terbuka) bukan priority dalam kehidupan saya ketika itu.
'Eid mubaraq bukanlah hari yang penuh sentimental, penuh nostalgi dan disulam dengan kesedihan demi kesedihan mengenang silam mahupun insan yang telah tiada; ia juga bukan pesta makanan demi makanan serta lagu-lagu yang tiada kaitan dengan 'ibadah dan 'aqidah.
Tidak perlu kita mengenang zaman silam, nostalgi mengenang bau asap 'kuih bahulu' atau leka menitip 'tepung di jemuran' atau merenung sedih teratak tinggalan keluarga serta kematian insan-insan tertentu; lalu melupakan tanggungjawab utama yang perlu diisi dan didahulukan. Ya, sesungguhnya tanggungjawab da'wah ini merupakan sesuatu yang begitu berat apatah lagi untuk membetulkan persepsi "Enjoy yourself" seperti yang sering dikaitkan dengan perayaan yang penuh mulia ini..
Memahami asas sambutan aidilfitri ini sepatutnya membawa jiwa dan semangat kita yang terus bermotivasi untuk bersungguh-sungguh bekerja dan menyambung tugasan seperti biasa, bukannya 'liat' untuk kembali bertugas. Sehingga ada yang sepatutnya kembali bertugas, masih meneruskan cuti, sehingga 'menyusahkan' pula insan lain yang mempunyai dateline dan sebagainya. Sesungguhnya sambutan aidilfitri itu hanya pada 1 Syawal sahaja..
No comments:
Post a Comment