Agak-agak, berapa agaknya peruntukan untuk program pembentukan akhlak serta pengisian nurani bagi menangani masalah keciciran remaja, mat rempit, penyalahgunaan dadah serta lain-lain "burning issues".......nak buat research untuk tiga tahunpun setakat dapat RM 50000- 70000 sahaja (0.0025% dari RM 2billion).
Dari Utusan Malaysia
RM2 bilion untuk isi rancangan RTM
TIDAK dinafikan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukan sahaja menjadi pelopor dalam dunia penyiaran tanah air sejak lebih 60 tahun lalu, tetapi badan penyiaran di bawah Kementerian Penerangan itu sering mendahului stesen-stesen TV lain dalam banyak perkara.
Contohnya, RTM kini sedang dalam peringkat percubaan untuk melaksanakan sistem digital bagi menggantikan sistem analog yang digunapakai selama ini menerusi rancangan-rancangan yang akan disiarkan di saluran TV1 dan TV2 selewat-lewatnya pada tahun 2012.
Apabila sistem itu dilaksanakan kelak, dua saluran TV itu memerlukan lebih banyak rancangan sama ada yang dibeli dari luar negara ataupun yang dibekalkan oleh syarikat-syarikat produksi tempatan bagi memenuhi keperluan tersebut.
Ini kerana, dengan adanya sistem digital, RTM tiada masalah untuk menambah saluran-saluran TV di bawah kendaliannya dengan pelbagai saluran yang khusus seperti berita, hiburan, dokumentari, drama, filem dan sebagainya.
Difahamkan, RTM menerusi Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak menafikan kerajaan mungkin terpaksa memperuntukkan sehingga RM2 bilion bagi membeli rancangan-rancangan yang akan disiarkan di TV1 dan TV2 apabila perpindahan teknologi itu berlaku kelak.
"Kalau kita sanggup membelanjakan RM1 bilion untuk infrastruktur, kita kena memperuntukkan RM2 bilion untuk membina isi kandungan program tempatan. Kita tidak mahu teknologi ini hanya menjadi laluan program luar ditayangkan di negara ini," ujarnya.
Jumlah peruntukan yang cukup besar itu diperlukan bagi menyediakan pelbagai kandungan dalam rancangan-rancangan yang akan disiarkan oleh RTM kelak, apatah lagi jika stesen penyiaran itu bercadang mahu menambah lagi salurannya pada masa depan.
No comments:
Post a Comment