Salam Aidiladha, dengan penuh keinsafan kita sama-sama meraikannya. Meskipun sumbangan sekadar yang termampu dapat dikongsikan, pengertian korban itu sebenarnya adalah dalam apa jua bentuk; apatah lagi dalam pelbagai dimensi yang tidak dapat diukur dengan sebarang nilai materialistik.
Peristiwa runtuhan tanah yang melibatkan perumahan mewah di Kuala Lumpur terus mencuri sebahagian besar liputan berita. Hampir menenggelamkan pelbagai isu lain yang sama pentingnya; termasuk banjir besar di pantai timur. Terkini, keluar pula cerita tentang isu saman menyaman, salah menyalah serta menuding jari sambil terdapat pula cerita-cerita yang kurang sedap didengar.
Ada yang melaporkan bagaimana anggota penyelamat dimaki hamun, ada pula yang menceritakan kisah seorang penghuni mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota parlimen, kisah penghuni mewah yang meninggalkan kawasan penempatan sementara untuk menghuni di hotel yang lebih selesa, serta kisah penghuni yang membuang makanan yang disumbangkan ke dalam hutan di sekitar bukit antarabangsa serta tidak ketinggalan tabung bencana yang ditubuhkan dengan agihan dana berpuluh/ beratus ribu (banjir saban tahun di Kelantan, Trengganu, Johor, Kedah, P.Pinang dan Pahang yang menimpa lebih ramai penghuni takde pula tabung mewah sedemikian). Tidak cukup dengan pelbagai usaha pihak yang berkenaan untuk membantu; penghuni yang terlibat (banglo runtuh) diberi pula kemudahan untuk menginap di hotel.
Dalam zaman teknologi maklumat ini, hampir setiap inci maklumat yang berlaku tidak dapat disembunyikan. Pasti ada blog atau web yang melaporkan...sama ada dalam bentuk fakta, bahas, komen mahupun dalam jenaka. Dan rakyat sekeliling memerhati, membaca dan membandingkan; saya yakin ianya terus menebalkan kebencian terhadap dasar pilih kasih.
Tanyalah pada sesiapapun, apakah bezanya bencana tsunami dahulu dengan banjir besar yang terjadi serta apa jua musibah di tempat lain yang Allah izinkan berlaku seperti yang berlaku di bukit perumahan yang digelar Bukit Maut itu. Namun, gegak gempita mereka yang digolongkan dalam puak bangsawan ini lain nadanya. Makin hendak ditolong makin kuat nada suara yang memprotes serta ancaman untuk saman menyaman dan terus mem 'pointing finger'...semualah yang terlibat disenaraikan bakal menerima surat saman dipanggil ke muka pengadilan kononnya. Mungkin mereka ini pandai benar dengan selok belok dunia guaman dan perundangan....
Di kala ramai yang menyalahkan pemaju dan mereka yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan polisi/ licensing membangunkan kawasan bukit/ lereng dan sebagainya; kenapa pula si pembeli yang bijak itu enggan mengakui kesilapan semasa memilih untuk mendiami kediaman di tempat yang nyaman seperti itu. Kalau pembeli tak mahu membeli; takkan pemaju begitu galak untuk terus menggalakan pembangunan di kawasan berkenaan. Dan pembeli pula, pastinya sudah mengetahui risiko tersebut; apatah lagi sejak tragedi Highland Towers dan siri runtuhan tanah yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Semasa hari raya Aidilfitri tahun 1995 dahulu, kereta saya dilanggar semasa dalam perjalanan pulang berhari raya. Dalam keadaan trauma emosi saya ke Balai Polis untuk menyelesaikan keperluan perundangan serta insurans. Antara yang saya masih ingat ialah apabila saya cuba memperjelaskan begitu detail mengapa saya agak pelik dengan sikap sesetengah pemandu dan juga diri saya yang kadang-kadang cuai dalam memerhatikan respons sekeliling. Sayapun berkata pada pegawai polis trafik berkenaan, " entahlah encik saya dah bertahun bawak kereta tapi inilah pada musim raya ni pulak saya terlibat dalam kemalangan" . Pegawai berkenaan dengan selamba menjawab, " Itulah cik, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai". Saya hampir tergelak..sekadar tersenyum selepas mendengar kata-katanya.
Demikianlah juga mereka yang telah memilih untuk mendiami kawasan bukit; mungkin pepatah ini sesuai diperingatkan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment