Saya hadir ke surau di sekolah rendah Agama Integrasi siang tadi bersama ibubapa dan anak-anak yang menyertai kelas tambahan Bahasa Arab dan Hafazan yang diadakan pada musim cuti sekolah. Sempat juga berbual dengan Guru Besar yang memaklumkan terdapat sejumlah besar para guru sekolah tersebut bakal melangkah ke agensi/ kursus melanjut pelajaran serta menerima tawaran lain yang lebih menarik.
Sayu juga kedengaran suara Ustazah, betapa guru-guru yang berpengalaman itu terpaksa meninggalkan sekolah agama tersebut demi kebaikan dalam prospek "career development"; tambahan pula tawaran yang disediakan dalam skim JAIS jauh tertinggal dari skim perkhidmatan yang ditawarkan dalam Kementerian Pendidikan. Ramai guru yang berijazah sebenarnya berkhidmat di sekolah tersebut tetapi masih menerima gaji diperingkat sijil.
Dan satu perkara yang mengejutkan saya ialah, keistimewaan untuk jawatan tetap hanya ditawarkan kepada anak-anak kelahiran Selangor. Jadi, guru-guru yang lahir dari negeri selain Selangor rata-rata hanya merupakan guru sementara atau guru sandaran sahaja. Siapa sangka satu organisasi yang bersandarkan Islam dan menerima sumbangan zakat dari semua yang bekerja di Selangor tanpa mengira asal-usul negeri kelahiran masih mengamalkan prinsip sedemikian. Jika tawaran biasiswa, boleh juga saya terima rasionalnya. Tetapi ini dalam perkhidmatan yang saya anggap sebagai agak kritikal juga. Malah saya difahamkan JAIS tiada pula pelan strategik untuk melatih guru-guru pelapis di kalangan anak-anak Selangor untuk mengisi kekosongan di Sekolah Agama yang diwujudkan oleh JAIS..
Tapi apakan daya, berada di luar polisi dalam penentuan skim perkhidmatan. Bukanlah Ustaz Syed sahaja yang akan keluar berhijrah tetapi juga beberapa guru tahun 6 yang telah bertahun-tahun mengajar (kesemuanya bertaraf guru sementara selepas bertahun2 mencurah bakti).
Sempat juga saya memandang Ustaz yang bertungkus lumus mengajar anak-anak itu mengesat airmatanya selepas mengumumkan kepada para murid bahwa tahun hadapan mungkin mereka tidak akan berjumpanya lagi. Suara Ustazah Guru Besar turut tenggelam dalam kejutan.Sempat saya mencuri dengar luahan hati seorang ibu,"Ustazah, elok diteruskan program ni. Anak saya berubah benar lepas hadir kelas tambahan ni. Kalau dulu, saya unjukkan rotan untuk dia mengaji tapi dia buat tak peduli, tapi sekarang ni berubah benar dia. Dia sendiri yang berinisiatif untuk mengaji alquran; tahan dia mengaji dari jam 1 hingga 3 pagi Ustazah".
Giliran saya pula yang mengesat airmata...
No comments:
Post a Comment