Semasa saya di MRSM dahulu, saya hampir terpegun apabila memerhatikan gaji ayah kawan saya (yang merupakan seorang boss di sebuah agensi kerajaan) sebanyak RM 4400.00 sebulan, sedangkan ketika itu gaji arwah ayah saya hanya RM430.00 sahaja. Nilai pada tahun 80an dahulu tidak sama dengan tahun 2008 ini. Berdasarkan nilai nasi lemak sebungkus yang pada ketika itu 20 sen berbanding RM 1.20 - RM1.50 pada masa ini; kita boleh membuat banyak perbandingan dengan nilaian sebenar wang ringgit pada hari ini (kira macam indeks harga penggunalah juga).
Arwah ayah seorang pengawal keselamatan di Institut Penternakan Ayam Johor Bahru; dan itulah gaji akhirnya sebelum pencen pada tahun 1986. Namun itu kisah lebih 20 tahun yang dulu.
Pada hari ini, saya sekali lagi terpegun apabila dimaklumkan secara detail gaji dan elaun yang diterima oleh guru KAFA (guru sekolah agama) iaitu sekitar RM500 sahaja sebulan. Itulah yang dibawa pulang oleh seorang guru yang bertungkus lumus mendidik akhlak, ilmu agama serta sahsiah keperibadian anak-anak di sekolah anak saya (sekolah agama integrasi). Seorang guru yang lebih cenderung dengan kerjaya mendidik meskipun di sektor lain yang menjanjikan pulangan yang lebih mewah. Seorang guru yang bergelut dengan emosi anak-anak dan ibubapa yang begitu mengharapkan kecemerlangan pendidikan akademik. Seorang guru yang diserahkan hampir keseluruhan tanggungjawab mendidik agama dan akademik oleh para ibubapa yang sibuk berkerjaya serta berhadapan dengan pelbagai masalah logistik.
Dengan RM 500.00 sebulan itu; bersama beban tugas dan serta tekanan pelbagai desakan sebahagian ibubapa; saya tidak pasti wujudkah keadilan sosial yang sebenar dalam masyarakat yang dikatakan hampir mencapai negara maju ini. Terasa pula begitu bersalah...
Beberapa hari yang lalu, anak saya memberitahu bagaimana ustaz kelasnya membawa mereka ke Pusat Sumber. Diakhir sesi pembelajaran, ustaz salam dengan semua murid lelaki sambil memeluk mereka seorang demi seorang.Agaknya ada yang tersentuh emosinya, anak saya memberitahu ada murid lelaki yang menangis mengalirkan airmata.
Pada hari ini, saya pula yang hampir menitiskan airmata mengenangkan betapa kesusahan yang mereka lalui dengan tahap gaji RM500 itu. Mudah-mudahan janji kerajaan negeri menaikkan gaji mereka ke RM1000 Allah izin menjadi kenyataan.
1 comment:
Insya Allah.
Kadang2 kita ni banyak mengomen walhal ramai lagi yg susah.
Bersyukurlah nikmat yg ada. Insya Allah yg tak lojik mata memandang tu yg lebih berkat dan tinggi di pandangan Allah swt.
Post a Comment