Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, May 1, 2010

Kongsi bahan penulisan

Sisipan bahan penulisan yang saya telah hantar untuk dinilai. Boleh juga di baca di laman al-fikrah.net.



Wahai Lelaki! Dengarlah Pandangan Saya

al-Fikrah.net

Oleh: Dr. Malina Osman (linos)

Nukilan Buat Ayahanda
(Semua bapa/pakcik seagama yang mesra kupanggil ayahanda)

Salam ayahanda, doa anakanda buat kesejahteraan dan ketenangan diri ayahanda. Moga hari-hari yang mendepani ayahanda dengan rindu tugas dan tanggungjawab diwarnai dengan kesabaran dan ketabahan; serta kecekalan untuk ayahanda menghadapinya. Anakanda titipkan di sini sedikit rasa hati anakanda…titipan suara resah yang lahirnya dari kedukaan sekeping hati. Naluri hati yang mencari-cari jalan pengislahan tetapi kelu dilambung cabaran, Terasa bagai hampir karam dihentam gelombang.

Ayahanda, dunia hari ini terus bergolak dengan gegak gempita yang seakan tidak berkesudahan ritmanya. Konotasi yang menyemarakkan kegusaran tentang masa depan ummah …semakin tidak keruan kelihatannya. Gundahnya kian terbentang di hadapan mata anakanda. Perit untuk ditelan namun itulah kenyataan. Kita yang hidup sebagai muslim di tanahair yang menobatkan Islam sebagai agama yang dijunjung ini kian terseret dalam emosi kita yang kian sukar untuk kita mengertikan. Gamam dan gulana terasa di jiwa. Dari dekat dan kejauhan, anakanda menyaksikan betapa generasi majoriti anak-anak yang kini terus terkulai, jenayah sosial yang menjadi-jadi, fitnah perebutan dan penipuan sering menjadi berita, jurang kekayaan yang semakin melebar serta pelbagai hasilan yang menyesakkan .

Ayahanda, laporan akhbar (1) yang menuliskan lebih 17,000 zuriat hasil perzinaan dari bangsa yang mengaku muslim ini (didaftarkan secara rasmi pada tahun 2009) benar-benar membuatkan anakanda begitu tersentak. Episod itu berseIang seli dengan kejadian pembunuhan dan pembuangan anak-anak, Laporan demi laporan kekejaman rakus manusia berjiwa raksasa. Masyarakat hari ini menyaksikan siri demi siri hasilan jenayah sosial yang sangat menyayatkan. Saban waktu apabila semuanya itu telah menjadi nyata, maka bergegarlah media-media utama, bergema suara pemimpin dan pemegang kuasa, tertumpulah seketika pandangan kita pada episod yang penuh luka. Namun ayahanda, itu semua merupakan hasil akhir dari kronologi suatu proses amalan yang memerlukan waktu yang begitu panjang. Perubahan sesuatu tingkahlaku berlaku bukan dalam tempoh sekelip mata…hasilan itu tidak akan terjadi secara mendadak. Ianya perlu diaruh pula oleh persekitaran yang begitu kental tanpa rintangan.

Anakanda begitu gusar kerana selama ini anakanda tidak tenteram untuk mengesahkan jalan penyelesaiannya. Apa yang dibentangkan selama pengetahuan anakanada hanyalah keterukan sesuatu masalah; tetapi langkah-langkah penambahbaikan bagi anakanda terus kabur dan sukar dipastikan. Terkadang anakanda melihat ianya dibuat dalam suasana yang penuh publisiti serta mengikut musim.

Ayahanda, anakanda tercari-cari ikon permata seusia ayahanda untuk memulakan segalanya. Namun dalam banyak ketika, anakanda gagal menemui ayahanda. Di manakah ayahanda sebenarnya? Nyatakah agaknya bumi yang ayahanda pijak? Masukkah agaknya berita-berita tentang masyarakat kita ini yang kian tersadung lemah dimamah kerakusan liar tidak terarah. Di manakah pula kebanyakan pemuda muslim yang seharusnya memimpin masyarakat ke jalan bahagia. Isi-isi penjara dan pusat pemulihan dadah…majoritinya ialah insan sejenis dan seagama dengan ayahanda. Sebilangan mereka pula terkandas di jalanraya…merempit di tengah jalan mencari kepuasan dan ketenangan hormon biologinya.

Ayahanda jangan pula terkejut jika anakanda khabarkan tentang bilangan generasi pewaris nama ini yang dikatakan semakin pupus di menara gading. Ianya boleh dibilang dengan sebelah mata anakanda. Dalam kebanyakan kursus utama, seperti Doktor Perubatan, kadarnya kurang 30% berbanding jumlah dari keseluruhan pelajar perempuan. Kini, terbentang pula di dada-dada akhbar betapa kebanyakan ketua jabatan dan ketua sebuah organisasi gergasi ialah masyarakat wanita; kesan yang sangat bermakna dalam konteks perubahan dalam menentukan polisi negara.
Ayahanda, anakanda berpendapat insan lelaki mesti mengisi tugas penting membina kekuatan masyarakat. Mereka mesti ke hadapan sambil dibantu oleh tangan-tangan gemalai insan wanita seperti anakanda. Mendidik anak-anak dalam masyarakat, pada tanggapan anakanda perlu dikongsi secara saksama, Jangan kita terkeliru dengan ungkap cerita bahwa beban mendidik itu terpikul pada bahu insan perempuan melalui pepatah ‘tangan yang menghayun buaian itulah yang menggegarkan dunia’.

Dalam meneladani banyak suasana, anakanda perhatikan terlalu banyak pendapat dan cerita. Ada yang wujudnya tambah mengelirukan pula sesama kita. Namun yang pasti, kusam nurani anakanda bila menyedari ada di kalangan manusia seusia dan sejenis ayahanda memilih lagak seperti manusia yang tidak bersedia untuk dipimpin ilmu. Galak pula dengan cerita dan kisah tentang tongkat ali dan kopi duda. Sebahagiannya leka dengan bermain dam dan rhetorik seloka. Majoritinya tidak lalai membeli asap rokok yang sia-sia. Fokus kejantanan pula diwar-warkan tanpa malu dan segan. Lihatlah iklan-iklan di majalah, media internet mahupun di radio dan papan iklan…kisah kehebatan serta naluri keintiman disuarakan tanpa saring dan lapik bahasa. Pantang pula dengan kisah sesiapa yang beristeri dua atau seterusnya; lagak seperti burung unta yang memanjangkan leher demi mengesahkan cerita. Berpoligami itu sunnah, tidak perlu pada bukti dan hujah. Tetapi minda yang tidak fokus terhadap da’wah islah, terus bergelut mencari justifikasi-justifikasi berpoligami meskipun itu sepatutnya tidak dibahaskan panjang sehingga mengelirukan sesiapa yang mendengarnya.

Mungkinkah agaknya ayahanda, minda manusia kebanyakan lelaki itu difokuskan pada kehendak biologi kehidupannya; sehinggakan nanar tentang sesuatu yang menjadi tujuan dan objektif kehidupan yang Allah ciptakan. Membiarkan pula keteguhan ilmu dilurut tanpa bersambut…..terus berterabur tidak disusur. Maaf jika anakanda tersilap menelah. Insan seagama kita di bumi Palestin dan di tempat yang Islamnya tertindas kini bermandi darah mempertahankan maruah dan harga Islam yang benar. Dipancung dan disagat emosi dan fizikalnya…tetapi kita di sini, bermandi dengan bundar-bundar keindahan yang dijustifikasi menurut nas yang difikir benar.

Di pentas didikan agama pula , ustaz-ustaz muda dan angkatan seusia ayahanda bercakaran merebut mikrofon. Ada pula yang terlalu bijak sehingga fokus terhadap pengislahan masyarakat diganti dengan drama bidas membidas; hentam menghentam serta diwarnai pula oleh saman menyaman. Sifat ketaksuban di dalam garapan ilmu dibutakan syaitan sehingga memandang indah terhadap serangan dan hentaman terhadap individu sesama muslim. Semuanya dirasakan lebih mulia dari berda’wah di di atas pentas sebenar iaitu untuk mengajak da’wah menyeru manusia terhadap mengabdikan diri kepada Allah sahaja….. amar ma’ruf nahi munkar. Lemahnya garapan terhadap isu dalam masyarakat sehingga kelihatannya dipandang begitu remeh, ..seperti lalat yang ditepis tatkala hinggap di hidung. Bolehkah agaknya ayahanda berikan pandangan tentang usaha terbaik generasi ayahanda yang boleh disumbang untuk menambahbaik keadaan ini. Saban diskusi yang anakanda hadiri, pentasnya diwarnai oleh hujah mencantas karisma dan amalan individu tertentu. Masing-masing kelihatannya terlalu bijak menyisih pandangan dengan gumpalan bukti dan satah nas pelbagai dimensi; lalu tambah mengelirukan minda insan seperti anakanda.

Jika ilmuwan itu perlukan karismanya, bukankah nilaian karisma muslim yang terbaik itu adalah dengan mengamalkan teladan sunnah dan sahabat rasulullah saw. Acuan kelayakan perlu dinilai pada kriteria sedemikian. Pelikkan ayahanda, …jika kita terlantar sakit, doktor paling pakar itulah yang akan mengambil tempat dan peranan, bukan pembantu perubatan berkelulusan diploma atau attendan hospital berkelulusan sijil yang membuat rawatan. Tetapi dalam bidang pendidikan agama sebagai cara hidup, mereka yang sekadar mengaji beberapa kitab (yang entah ada sandaran sahih atau tidak) turut berdebat seperti ulamak agung. Bijak pula menyindir dan menyerang, entah apa objektifnya, anakanda pun pening memikirkannya. Begitulah sorotannya….dan anak-anak warisan kita ini kian terbiar dan longgar.

Ayahanda, anakanda diajar untuk tidak menongkah arus. Besar kesannya jika kita melawan kebiasaan majoriti; atau cuba berlagak jaguh yang pandai terbilang. Keharmonian perlu dipelihara; perpaduan jangan dilebur oleh emosi kemarahan akibat tidak sekata. Tetapi ayahanda, semestikah yang majoriti itu berpihak di landasan yang benar? Jika demokrasi itu berdasarkan majoriti, banyak contoh mereka yang dipilih dari sistem demokrasi bukanlah pilihan yang terbaik. Bagi anakanda adalah tidak betul jika kita menyimpulkan yang majoriti itu adalah merupakan pihak yang benar. Di dalam Alquran, ada peringatan Allah tentang berhati-hati terhadap apa yang dinamakan majoriti (2). Jika majoriti dari kita mengatakan amalan kebiasaan kita yang bercampur aduk antara ciptaan selepas sunnah adalah baik, anakanda berpendapat ianya merupakan sesuatu yang jauh tersasar. Bagus sangatkah kita untuk mengatakan ibadah kita lebih baik dari Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya sehingga sanggup terus mempertahan amalan yang tidak pernahpun diamalkan mereka? Mengapa pula sandaran majoriti ini menjadi punca perbalahan kita, menyebabkan pentas rostrum yang seharusnya merupakan platform mendidik indidivdu masyarakat, terus bergelumang dengan peperangan lisan.…yang terus menyakitkan hati dan melukakan perasaan.

Ayahanda, lisan pendita anakanda bukan ingin bertelagah di alam teori dan fakta. Jangan pula dikelamkan pandangan anakanda ini dengan anggapan bahawa anakanda sekadar ingin mencari salah dan khilaf sesiapa. Tinta anakanda terikat pada objektif yang telah Allah sampaikan tentang hakikat penciptaan kita dan kewujudan kita di dunia yang fana’ ini (3). Ini adalah sekadar bicara anakanda untuk didengarkan. Kegusaran anakanda terus membara, apakah agaknya bakal terjadi 5 - 10 tahun akan datang jika tiada usaha yang tersusun mengatasinya?
Kebijaksanaan ayahanda adalah ikon dalam hairaki kebanggaan dan penghormatan masyarakat. Hitam kata ayahanda, hitamlah kata suasana. Bonda-bonda serta insan perempuan seperti anakanda tidak mampu menyinsing lengan sendirian. Bantulah anakanda dalam pengislahan ummah ini……

Rujukan:
1. Berita Minggu 14 Mac 2010
2. Surah Al’An’am ayat 116
3. Surah Az Zariyat: 56

Friday, April 30, 2010

Tentang "Pelan Strategik"

Saya bukan pakar strategi...cuma saya nak berkongsi dan bertanya:

1. Bagi saya Pelan Strategi adalah matlamat jangka panjang...kita bukan sahaja berhasrat mencapai sesuatu tetapi akan cuba mewujud dan mengekalkan suasana yang kondusif untuk mencapai hasrat tersebut; maknanya kita bukan terkejar-kejar untuk mencapai matlamat berbentuk 'nombor' tetapi kita juga perlu bertungkus lumus mengilham dan mengamal budaya kerja yang cemerlang dan sinergi serta ada semangat berpasukan dalam keseluruhan ahli/ isi organisasi.

2. Oleh itu, Pelan strategi bagi saya, dirancang secara 'gradual' tetapi berterusan dengan komitmen serta penuh iltizam; bermula di medan lapangan serta didokumentasikan dalam bentuk yang paling mudah. Semakan literature dan case study juga penting bagi tujuan mengambil teladan serta pengajaran.

3. Kita boleh merangka Pelan Strategi di mana-mana...tidak perlu di sebuah tempat yang terasing atau jauh dari tempat kita bekerja. Bagi saya...sangat tepat jika kita buat Plena Strategik itu di suatu tempat yang paling teruk di organisasi kita...bagi memberikan kita 'insight' yang betul serta membolehkan kita sedar tentang realiti di bumi yang nyata.

4. Kita perlu merangka Pelan Strategi dengan mengambil iktibar dan contoh yang telah disaran dari Alquran dan Rasulullah; bukan mengambil strategi dari kisah binatang atau cerita kanak-kanak.Mengambil ilham dari yang pemikir bukan Islam tidak salah jika ia memang berguna untuk tujuan berkenaan tetapi sumber alquran dan hadith sahih tidak boleh ditinggalkan.

5. Merangka pelan Strategi bukan cerita yang boleh dikarang dalam masa sejam...diberi masa sehari untuk sumbang saran tanpa sumber...lalu berjela perbincangan yang tidak henti-henti dan tiada bukti asas.

6. Jika saya CEO sebuah syarikat; saya takkan labur ratusan RM untuk organisasi saya semata-mata untuk merangka Pelan Strategi. Wang tersebut perlu dimanfaatkan untuk strategi memperkukuh organisasi...bukan dengan berbincang di hotel 5 bintang.

Ini pandangan saya

Thursday, April 22, 2010

Mengambil sesuatu yang bukan milik kita....

Katalah saya terjumpa wang di tengah jalan...guru saya dahulu berpesan...wang itu tak boleh kita milikkkan sesuka hati..ianya hak seseorang, boleh ambil tapi sedekahkan pada tempat-tempat / individu yang memerlukan.

Mengambil sesuatu yang bukan hak kita...sangat mudah untuk didefinisikan menurut pemikiran dan pandangan secara kasar. Ianya juga mudah untuk kita amalkan. Namun...sesuatu yang bagi saya ramai antara kita terlepas pandang ialah bila mengambil imbuhan gaji/ elaun tanpa memenuhi syarat/ terma jawatan yang kita isi.

Seorang sahabat saya tadi terkedu dan geram menahan marah...sebahagian besar pensyarah yang dipertanggungjawabkan hadir menyelesaikan bahan pengajaran tidak hadir dengan alasan yang SEBENARNYA boleh dielakkan. Ciptaan alasan hadir ke seminar, persidangan...dan seribu satu lagi alasan; menjadi tema untuk tidak menghadirkan diri dalam sesi tersebut. Ianya secara langsung membebankan sahabat saya dengan tugas berganda yang tidak disangka-sangka.

Susah sangat kah untuk berkomunikasi...meminta izin untuk tidak hadir dan menggantikan waktu yang sepatutnya diamanahkan itu dengan bahan penulisan yang akan dihantar menurut julat waktu yang dipersetujui. Saya tidak percaya dengan alasan gagal memenuhi tugas mengajar dan duduk menyiapkan bahan mengajar dengan alasan-alasan selain dari kecemasan/ kematian. Jika lah seseorang itu mempunyai mesyuarat kecemasan, waktu mengajar sentiasa boleh diganti pada waktu di luar waktu rasmi mahupun cuti pada hujung minggu.

Jangan sesekali mengambil yang bukan hak kita...jika masyarakat kita terlalu berhati-hati dengan makanan yang mungkin tercemar dengan lemak babi/ najis yang tidak boleh dimakan; sewajarnya manusia yang mengaku bijak pandai ini lebih berhati-hati terhadap sesuatu yang lebih jijik dari najis/ babi ( khianat pada amanah yang wajid ditunaikan). Ini pandangan saya.....

Tuesday, April 20, 2010

5 star leaders versus 5 star spouse/ mum/ dad

Saya agak 'skeptical'bila bercakap tentang 'rating' sesuatu. Agak fobia juga bila bercakap tentang sesuatu yang bertaraf 5 bintang. Biasanya...5 bintang kita kaitkan dengan perkhidmatan hotel atau kemudahan percutian. Namun...sering juga ianya dikaitkan dengan kepimpinan; atau ciri-ciri yang dikehendaki oleh sesuatu organisasi.

Saya pernah membaca buku tentang kepimpinan oleh Mustafa Masyhur...begitu juga dengan buku Pengurusan Perniagaan dan Kepimpinan; tidak kurang buku berasaskan motivasi dan sebagainya.Namun...saya jarang mengambil berat tentang bintang-bintang yang diperuntukkan untuk mencirikan seseorang berdasarkan kepimpinannya.

Secara peribadi, saya menganggap kepimpinan adalah tanggungjawab yang terpikul untuk dilaksanakan...suatu amanah yang MESTI disempurnakan...di mana pahala dan dosanya merupakan sesuatu yang pasti dihisab di hari kemudian. Kepimpinan mencirikan seseorang dengan suatu hakikat yang perlu disandarkan dengan akidah yang benar, kerendahan hati serta mempunyai pendirian dan pandangan penuh ilmu dan bersifat strategik. Sandaran terhadap outcomes ialah 'to please Allah', bukan mencari kepuasan hati di sisi manusia. Ianya juga bukan tiket untuk bermewah-mewah serta menggunakan apa sahaja demi mencapai agenda peribadi. Jeliknya sifat tersebut...kadang-kadang menakutkan saya jika tanpa sengaja ianya turut saya raikan.

Bintang-bintang kepimpinan adalah sifat yang disandarkan pada 'benchmarking' tertentu...biarlah berapa bintangpun, namun bagi saya...tanggungjawab yang paling utama perlu disandarkan berasaskan di mana kita berada;...

Sebagai wanita, saya berpendapat peranan dalam keluarga wajar dibintangkan sebaik-baiknya. Peranan isteri dan ibu...tidak boleh diwakilkan...namun bintang kepimpinan di tempat kerja boleh didelegasikan kepada yang sesiapa lebih layak dalam keadaan yang memerlukan.

Thursday, April 15, 2010

Adakah kerana kita semakin malas dan materialistik...?

Satu fenomena yang semakin menyesakkan pada masa ini ialah perihal pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi.Nyawa tidak berdosa yang diperlakukan begitu hina malah setaraf dengan nilaian sampah yang tidak lagi diperlukan.

Generasi anak-anak remaja yang semakin tidak teratur cara pemikirannya; cerita tentang serangan ke atas guru( dalam bentuk fizikal dan lisan) juga begitu ketara. Ironi nya; ibubapa anak-anak remaja ini biasanya akan begitu gigih mempertahankan anaknya walau nyata anaknya itu perlu dibimbing.

Dua fenomena ini adalah hasil (outcome) dari proses yang mengambil masa yang panjang. Jikalah penyelesaian untuk isu-isu ini perlu diberikan perhatian, saya melihat ibubapa hari inilah yang sebenarnya perlu diutamakan dalam pengislahan isu tersebut. Kecelaruan sosial yang kian menghakis ini bermula dari keluarga.

Kita ini di mana sebenarnya? Saya sering menerima brosur mengenai pendidikan, kaunseling mahupun bengkel motivasi penambaikan semangat/ motivasi dan sebagainya....kos yang menelan ribuan ringgit serta diadakan di resort/hotel bertaraf lima bintang atau lebih. Platform untuk menimba ilmu sebenarnya terlalu banyak...tinggal lagi kita yang perlu memilih platform ilmu yang mana untuk dimanfaatkan. Ilmu dari sebuah buku tidak akan menyerap dengan sendirinya tanpa usaha membaca, berfikir dan mengamalkannya. Demikian juga pada ilmu dari mereka yang pakar...cumanya saya melihat pakar yang menganjurkan kursus ribuan ringgit itu lebih ber objektif kan keuntungan, hiburan dan santai di samping pautan ilmu yang begitu dangkal dan kadangkala terbawa-bawa dengan gaya mereka yang tidak mempunyai ilmu tentang ilmu akidah dan Islam. Jika analisa korelasi ekologi...saya menganggarkan insiden kejadian buang bayi/ pendaftaran bayi luar nikah berkadar secara langsung dengan nilai kursus motivasi yang diadakan.

Perlukah kita menunggu manusia seperti Buzan atau De Bono untuk menyuruh kita berbuat itu dan ini...menyuruh kita memaksima kan kapasiti minda dan menggunakan apa sahaja kapasiti yang ada sedangkan pernyataan-pernyataan itu, temanya telah lama dibahas dan disampaikan di dalam kalam Allah.

Kekusutan yang terjadi pada hari ini ialah kerana sikap dan amalan kita terhadap tazkirah kalam Allah iaitu alquran...yang lebih ironi lagi apabila air bacaan alquran dijaja dengan nilai komersial serta diwar-war kan dengan pelbagai khasiat termasuk merawat anak yang degil dan nakal; Rasullullah SAW tidak pernah mengajar kita memperlakukan Alquran sedemikian....

Tuesday, April 6, 2010

Cenang yang menyayatkan...

Saya ke pantai Cenang Langkawi hampir 10 tahun yang lalu. Ketika itu Pantai Cenang masih mengekalkan pemandangan laut dan kampung tradisi yang begitu mendamaikan. Saya sempat singgah ke pantainya, menghargai keindahan pantai tersebut meskipun ketika itu saya sedang mabuk mengandungkan anak yang kedua.
Ketika itu...underwater world masih dalam pembinaan/ ubahsuai. Tidak banyak kedai di sekeliling mahupun sepanjang Jalan Pantai itu. Hotel-hotel juga tidak begitu banyak.
Baru-baru ini saya ke Langkawi sekali lagi. Satu perubahan yang sangat ketara, kebetulan tempat saya bertugas di resort berdekatan dengan Jalan Pantai Cenang. Sempat meluangkan masamelihat persekitaran Jalan Pantai cenang pada sebelah malam...aduhh...satu situasi yang sangat tidak saya duga sama sekali. Kadang saya terasa seperti berada di dunia luar yang tidak pernah mengenal Islam. Pub dan minuman arak merata-rata..pemandangan tidak ubah seperti kesibukan di kotaraya ternama.
Perlukah kita mengikut kehendak orang-orang yang tidak percaya pada Allah dan rukun iman lainnya semata-mata untuk mencipta keuntungan ekonomi. Yang jelas apabila saya perhatikan betapa jurang ekonomi masih luas antara penduduk tempatan dan mereka yang sibuk berniaga atas nama pelancongan. Kembara saya ke seluruh pulau mendekatkan saya pada realiti bahawa ramai lagi penduduk di pulau itu yang masih mengekalkan latarbelakang tradisi pertanian, menangkap ikan serta bertani dan menoreh getah.
Setiap kali melintas di Pantai Cenang pada waktu malam...hati saya begitu sakit melihat arak diteguk sewenang-wenang di pub-pub yang disediakan khas untuk mereka yang datang.Jika kita perlu patuh kepada peraturan negara luar apabila kita keluar bertandang...kenapa pula di negara kita sendiri kita terpaksa tunduk dengan kemahuan mereka. Ini benar-benar menyayatkan...

Monday, March 29, 2010

Tentang "weight reduction"

Tiada jalan pintas untuk mendapat berat badan yang ideal. Meski di pentas media atau pelbagai iklan memberikan pellbagai alternatif termasuk rekabentuk senaman....saya dengan rendah hati ingin menyatakan bahawa sehingga kini tiada cara untuk mengurangkan berat badan selain kawalan diet/ pemakanan dan juga bersenam. Segala-galanya itu sebenarnya memerlukan usaha yang konsisten.
Pengurangan berat badan akan membawa kepada berkurangnya risiko mendapat masalah diabetis, darah tinggi dan masalah jantung. Begitu berkesannya pengurangan badan sebagai strategi tambahan rawatan sehinggakan pengurangan berat ke sekitar julat yang ideal memboleh risiko berkenaan dikurangkan sehingga lebih 30%. Rawatan ubat sebenarnya merupakan antara langkah mengawal kerosakan organ akibat gula dalam darah dan juga tekanan darah yang tinggi...kajian menunjukkan bahawa ubat-ubatan sahaja tidak berkesan untuk mengawal paras gula dan tekanan...perubahan gaya hidup dan cara pemakanan perlu dilakukan dengan penuh istiqamah.
Jangan sekali-kali mengikut iklan yang tidak diketahui sumbernya...sumber yang dikatakan sesuatu ubat kurus yang tiada bahan kimia atau selamat; malah pilihan membuat pembedahan menyedut lemak...semuanya mengundang pelbagai risiko.
Tiada jalan singkat mencapai berat badan ideal...saya juga menganggapnya sebagai satu jihad perasaan yang memerlukan kekuatan dalaman...

Sunday, March 21, 2010

Petikan dari Berita Harian

17,303 anak luar nikah didaftar 2009
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/03/21

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Sunday, March 14, 2010

Tentang gender...

Tiba-tiba sahaja isu nisbah kakitangan wanita di sektor awam melebihi lelaki; lalu ianya disorot terhadap implikasi terhadap korum yang bertanggungjawab untuk merangka sesuatu polisi disentuh oleh NGO yang berkaitan dengan kebajikan kakitangan awam.

Isu ketidakseimbangan gender dalam perkhidmatan awam kini kian terserlah; satu outcome yang terlangsung akibat pendedahan terhadap sistem pendidikan yang diamalkan. Sejak awal tahun 90an sehinggalah kini, trend peningkatan pelajar wanita di IPTA dan juga IPTS terus konsisten.

Saya mengambil pandangan isu ini perlu diatasi melalui skop kasih sayang dalam keluarga. Jika diandaikan negara ini sebagai satu keluarga besar, fokus untuk menyeimbangkan semula nisbah lelaki dan wanita perlu dilihat bagaimana kita mengatasinya dalam keluarga.

Sifat fitrah insan memerlukan antara satu sama lain; kita semua saling memerlukan dalam mengatasi cabaran kehidupan. Lelaki memerlukan insan wanita di sisinya, begitu juga dengan wanita. Fokus perbincangan hendaknya jangan mengasingkan lelaki dan wanita secara keterlaluan sehingga menimbulkan rasa benci/ cemburu serta cubaan untuk mengatasi antara satu sama lain.

Penyebab utama kekurangan kakitangan lelaki ialah kerana graduan universiti kini terdiri dari majoritinya wanita. Majoriti graduan wanita adalah kerana bilangan prasiswazahnya merupakan mahasiswi (wanita). Trend ini telah terjadi lebih 10 tahun...mengapa ramai pelajar wanita yang lebih terserlah dalam akademik...? Bukan kerana pelajar lelaki tidak pandai tetapi terdapat banyak faktor penyumbang ke arah tersebut yang memerlukan perincian.

Satah penyelesaian memerlukan pendekatan komprehensif serta menitikberatkan fokus kasih sayang sesama insan; apatah lagi mengutamakan nilai kekeluargaan...bukan meletakkan manusia sebagai subjek yang sama nilai dengan harta benda. Demikian fokus pembelajaran, yang seharusnya memanusiakan manusia, bukan terkejar-kejar pada ukuran cemerlang akademik semata-mata...

Tuesday, March 9, 2010

Mengabadikan Alquran dalam kehidupan...



Saya berharap ini bukan AlQuran yang sebenar...(mudah2an ia memang sampel untuk dijadikan bahan pameran)

Saturday, February 27, 2010

Fokus pengislahan masyarakat....

Jurusan memperkasakan masyarakat kian kompleks dengan pelbagai versi pandangan dan skop cadangan. Saban hari dengan pelbagai kisah dan teladan di dalam media; kita berhadapan dengan 'outcomes' yang telah menjalani proses inisiasi sejak lama...yang sekian banyaknya tidak kita sedari bila ianya bermula.

Perlukah kita 'terlompat-lompat' memarahi atau menuding jari ke arah siapa sahaja apabila suatu komplikasi berlaku yang jelasnya menjejaskan masa depan masyarakat. Isu pembuangan/ pembunuhan janin, isu lambakan perkara-perkara yang menodai kemulian minda dan emosi, kelalaian demi kelalaian dalam memahami ilmu untuk diamalkan...serta apa jua yang berlaku...

Kita dalam isu ini sangat mengharapkan cerdik pandai dalam bidang agama untuk memperkasa dan memperkukuh asas ummah. Namun, dalam satu konteks yang lain, saya sebenarnya terkejut apabila mendapati skop pengiktirafan ilmu dalam bidang keagamaaan (Agama Islam sebagai addin) sangat longgar sekali.Sesiapa sahaja boleh memakai gelaran ustaz...dengan skop dan penilaian kelayakan mengikut definisi yang berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain.

Ianya nyata sangat jauh berbeza dengan dunia professional...dalam bidang perubatan umpamanya.Gelaran 'Doktor Perubatan' unik pada mereka yang telah menjalani skop pendidikan dan latihan tertentu...yang biasanya di'regulate' oleh satu badan yang professional. Fokus keilmuan dalam bidang keagamaan ini diamalkan dalam bidang 'territory' tertentu, sehingga mewujudkan puak-puak yang bertelagah secara senyap...yang kadang-kadang berakhir dengan fitnah dan pembohongan.


Perlumbaan menguasai 'mikrofon' ceramah agama menjadi pentas menafikan kebenaran sesuatu demi menegakkan ketaksuban yang tidak disandari oleh nas yang sahih. Terus bertelagah dan berbahas perkara-perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya...yang seringnya sekadar mereka-reka cerita berdasarkan sentimen dan penafsiran secara terbatas. Keadaan ini meninggalkan usaha pengislahan masyarakat menjadi usaha yang agak terbiar...

Untuk itu... setiap kita tiada pilihan lain selain mempelajari bahasa Arab secara komprehensif, belajar ilmu tafsir alquran (menurut tafsiran ulmak muktabar) serta sandaran hadith nabi yang sahih.

Dunia hari ini tidak membenarkan lagi untuk kita terus menelan ilmu secara bulat-bulat...yang kadang-kadang ada yang dicedok/ di 'copy' terus dari laman web wikipedia.....

Sunday, February 21, 2010

Ilmu adalah isi kehidupan bukannya suatu objektif....

Saya tidak akan lelah untuk terus mengingatkan terutama diri saya dan jua sesiapa sahaja yang akan terus memperkatakan tentang pentingnya kecemerlangan di dalam ilmu. Kecemerlangan ilmu yang sebenar adalah merupakan sandaran untuk memandu kehidupan seseorang ke arah mana matlamat yang hendak dicapainya.

Menuntut ilmu pada hakikatnya bukanlah untuk menyandarkan kecemerlangan sebagai objektif, tetapi mengambil isi ilmu yang perlu diterjemahkan di dalam kehidupan.

Konteks ilmu yang dipelajari...memisahkan diri dari batas tidak tahu kepada tahu...mengingati ilmu tersebut untuk diamalkan seterusnya menjadi panduan dalam amalan.

Mesyuarat yang saya hadiri tadi terus melayan persoalan berulang-ulang yang terus menuding jari pada guru-guru dan sekolah apabila isu kecemerlangan terus menerus menjadi rhetorik perbahasan.

Anak-anak perlu dibimbing dalam suasana kondusif dan sinergi hasil dari usaha guru-guru dan ibubapa. Anak-anak adalah diajar menjadi manusia...berteraskan akidah dan berakhlakkan amalan sunnah...yang akhirnya memanusiakannya untuk berfungsi sebagai manusia...

Bukan dirobotkan dengan soalan-soalan atau budaya peperiksaan untuk sekadar dinobatkan sebagai 'manusia cemerlang'.

Saturday, February 13, 2010

Perihal mendalami sesuatu ILMU...

Terdapat pelbagai jenis ilmu, apa yang diajar di dalam kelas biasanya menurut struktur kurikulum sesuatu program.

Terdapat juga ilmu bermanfaat yang mana kegunaannya mencakupi apa yang diperlukan di dalam kehidupan.

Ada pelajar saya yang bertanya...Dr., penting ke saya tahu tentang ini, sedangkan saya tak nampak kegunaannya apabila saya sudah bekerja nanti....dan ada juga yang bertanya..."penting sangat ke Dr. fakta tentang itu dan ini; kan kalau dah kerja nanti kita boleh merujuk pada nota dan garispanduan..."

Mentaliti kebanyakan mereka ini secara umum terbahagi dua...iaitu yang jelas tentang objektif pembelajaran dan bersungguh mempelajari apa yang diajar, dan satu lagi yang sering ponteng ke kelas tetapi mengharap untuk mendapat markah yang tinggi di dalam peperiksaan...dengan cara yang paling mudah.

Mereka yang tergolong dalam kumpulan kedua inilah yang biasanya mempersoalkan itu dan ini...kadang-kadang kelihatannya meremehkan sesuatu pengetahuan demi menegakkan pendirian mereka dalam mencapai matlamat yang disandarkan walaupun ilmu yang dikuasainya masih lemah dan tidak berstruktur...

Secara umum, ia disebabkan kerana mereka ini sering ponteng dan tertinggal kelas, lalu kefahaman yang dangkal menyebabkan cara pemikiran mereka berserabut serta gagal menghujahkan fakta menurut skop teknikal yang dikehendaki.

Apabila gagal menjawab soalan peperiksaan atau latihan...maka keluarlah soalan..."penting ke Dr. fakta ini untuk saya hafal dan pelajari...? Saya rasa ianya tak relevan bila saya dah bekerja nanti...."

Belajarlah sesuatu ilmu demi kebaikan dunia dan akhirat...semua yang dilakukan akan dikembalikan ke sisi Allah SWT; fokus ilmu di dalam kelas memberikan idea penyelasaian masalah bukan seperti mengajar kakak tua yang tidak tahu menggunakan akal.

Wednesday, February 3, 2010

Tentang amalan BERSALAM...

Sebetulnya saya tidak pasti amalan sunnah yang benar mengenai amalan bersalam; cuma dalam catatan ini saya ingin menyentuh tentang bersalam antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim.

Antara perkara yang menyebabkan saya tidak selesa ialah apabila berlaku keadaan di mana perlakuan antara bersalam lelaki-wanita bukan muhrim dianggap sebagai perkara yang biasa.

Pernah seseorang memberitahu...dirinya mempunyai agenda lain yang lebih besar untuk difikirkan dari memikirkan soal bersalaman antara yang bukan muhrim ini (yang sefaham saya adalah sesuatu yang dimurkai di sisi Allah)...

Amalan dalam bidang profesional pula menganggap ianya adalah amalan persahabatan dan menunjukkan kita saling hormat dan menghormati. Ia juga memberikan petanda keterbukaan kita terhadap rakan seperjuangan dalam bidang perubatan tanpa mengira batas agama dan bangsa.

Saya berpendapat, amalan hormat-menghormati sebagai sahabat ialah memelihara persahabatan melalui sikap yang bertanggungjawab, memenuhi amanah serta tidak 'menikam dari belakang'. Bersalaman hanyalah rhetorik fizikal namun kefahaman yang perlu di'internalisasi'kan jarang sekali yang mencapai darjah ukhwah kerana Allah SWT.

Saya sering terperangkap dalam dilemma...antara memalukan orang lain (yang biasanya lebih dihormati darjatnya) yang ingin bersalaman dengan saya (jika saya menolak) atau meneruskan sama bersalaman (walau terlarang) demi ingin menjaga hatinya. Apatah lagi jika seseorang itu berpangkat atau mempunyai kedudukan elitus dalam masyarakat.

Saya kagum dengan seerah tentang Keluarga Yaseer iaitu antaranya Sumaiyah...yang rela dibunuh tanpa sedikitpun takut demi menegakkan akidah yang diyakininya. Setiap kali saya 'terpaksa' bersalaman dengam manusia yang haram bagi saya menyentuh mereka...saya sering teringatkan kekentalan jiwa Sumaiyah. Betapa seorang hamba yang dipandang hina tetapi mempunyai akidah dan keyakinan yang sangat bersih dan mulia.

Pembacaan buku "Patience dan Gratitude" - terjemahan tulisan Ibnu Qaiyyim..beserta dengan larangan tegas yang saya faham melalui teguran demi teguran...hanya dengan izin Allah jua saya akhirnya mampu berdiri dengan keyakinan sendiri untuk tidak lagi menyambut salaman seseorang yang memang bukan muhrim saya. Biarlah siapapun...saya yakin bahawa manusia itu hanya manusia; pangkat dan darjatnya tidak akan mampu mengatasi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

Biarlah saya dipandang rendah(asing) kerana amalan yang disifatkan mungkin tidak kontemporari...Allah lah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Tuesday, February 2, 2010

Fokus adalah utk pemantapan kebaikan dalam diri sendiri

Sibukkan diri dengan usaha yang masih kelihatan agak ketinggalan dalam memantapkan diri dan hati sendiri; jangan sibukkan mencari silap atau aif orang lain dan melupakan diri sendiri.

Menghisab diri sendiri secara istiqamah, jangan pula mudah jatuhkan 'hukum' atau bagi 'trademark' pada orang lain

Mencungkil kelemahan diri dan terus memperbaikinya...jangan habiskan masa dengan mengheboh/ meneliti kisah yang belum pasti benarnya, apatah lagi tentang gosip dan kisah yang masih samar dan keliru.

Sandarkan segala apa yang dilakukan/hukum menurut alquran dan bukti / nas sahih dari sunnah Nabi.