Pada masa ini, tugas sebagai pakar motivasi merupakan peranan yang popular di kalangan masyarakat kontemporari. Banyak seminar yang penuh kreatif serta bengkel-bengkel mahupun medan-medan perkongsian ilmu di media massa menjadi fokus kebanyakan individu masyarakat kita.
Sesungguhnya kita memerlukan faktor pengerak yang memberikan daya tahan atau momentum dalam melakukan apa jua rutin harian. Tambahan pula apabila tugas dan peranan itu ditanggap sebagai sukar dan sangat mencabar.
Ya...dalam kehidupan ini; tiada apa yang senang. Kesemuanya memerlukan usaha mahupun ikhtiar serta memberikan pulangan-pulangan yang diimpikan untuk menjadi kenyataan. Namun, kesenangan yang bergolek, tidak juga menjanjikan kesinambungan motivasi dalam membawa seseorang kepada pengiktirafan sebenar di sisi Tuhan yang Maha Pengasih. Kita semua diuji dengan dua perkara, kemampuan bersabar semasa susah atau kemampuan bersyukur dan ingat pada Allah (serta merendah diri sesama muslim mukmin) tatkala senang bahagia.
Apabila pelajar saya mengatakan kepada saya,..."Dr., saya dapat bayangkan keadaan Dr. sekarang. Susah untuk menjaga orang tua...saya dah alami masa menjaga nenek saya dahulu. Hingga bergaduh antara pakcik-makcik sebab ada yang bagi alasan bukan-bukan apabila tiba giliran mereka menjaga nenek. Sebahagiannya saya tengok... bila kena jaga nenek saya, macam-macam hal tapi bila berjalan (makan angin; bersiar-siar)...boleh pulak".
Saya tiada apa-apa komen tentang itu. Saya tidak membuat jadual giliran untuk anak-anak ibu saya yang lain untuk menjaganya, saya berpendapat ianya (berbakti kepada ibubapa) bukan tanggungjawab berjadual. Namun syu'ur berbakti pada ibubapa adalah dari keikhlasan untuk mencari peluang terbaik dalam berlaku ihsan kepadanya. Alhamdulillah, sebahagian anak-anak ibu saya masih cekal untuk berdamping serta membantu menguruskan keadaan kesihatannya...
Bukan melalui tulisan ini saya berniat untuk mengeluh atau alami sebarang pergaduhan. Namun sedikit sebanyak, ada juga timbul persoalan yang kadang-kadang menyedihkan hati saya apabila datang waktu-waktu tatkala memikirkannya.
Setiap kali saya hadapi ibu saya yang kini uzur akibat angin ahmar yang dialaminya, saya berdoa moga itu bukanlah kali terakhir saya berbakti padanya. Pada usia seperti ini serta sakit-sakit yang membataskan pergerakan serta kelasakan saya bergerak... saya hanya mengharapkan kekuatan dari Allah untuk melakukannya. Namun, tidak ada motivasi yang lebih kuat melakukan apa yang saya lakukan sekarang selain dari motivasi dari kalam Allah dan juga apa yang dinasihatkan oleh Rasullullah SAW. Jika bukan kerana berbakti kepada ibubapa itu merupakan amalan yang mempunyai kesinambungan dengan aqidah...atau jika bukan kerana melakukan itu semua bukan arahan dari Allah dan Rasul SAW, saya sendiri tidak mampu untuk bertahan dalam mengekalkan momentum untuk menghadapi situasi seperti itu. Sesungguhnya juga, saya berharap moga dosa-dosa saya dan mereka yang saya kasihi diampunkan Allah SWT..
Di dalam alquran, Allah berulangkali menyatakan betapa anak-anak dan harta merupakan ujian; sedangkan untuk kedua ibu dan bapa, Allah rangkumkan ayat berlaku ihsan kepada dua ibubapa dengan kepentingan memelihara aqidah agar jangan mensyirikkanNya. Justeru, motivasi inilah yang mengangkat hati dan jiwa saya agar jangan sesekali membandingkan orang lain dengan apa yang saya dan keluarga saya lalui.
Ibubapa tidak disebut Allah sebagai ujian, namun peluang berbakti padanya dianggap sebagai OPTION oleh sebahagian besar dari kita; yang mana saya tidak pernah bersetuju dengannya.
No comments:
Post a Comment