Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, July 29, 2013

Antara i'tiqaf dan bazar ramadhan...

Isu ini menarik minat saya untuk berkongsi sedikit pandangan mengenainya. Isu ini demikian hebatnya di 'update'kan sebagai tazkirah serta lebih menarik ia ditujukan khas kepada golongan muslimat...yang memang pada hakikatnya, jika bukan pada isu i'tiqaf atau 'ziarah' ke bazar ramadhan; fokus terhadap wanita sering menarik minat majoriti agamawan untuk berbincang mengenainya.

Izinkan terlebih dahulu saya berkongsi dengan ayat Allah dalam surah Asy Syua'ara' ayat 214 maksudnya, "Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat". Tazkirah atau apa jua kebaikan dalam hidup melaksanakan deen sebagai cara hidup ini lebih utamanya disampaikan serta diterjemahkan dalam keluarga yang terdekat.

Semasa saya masih dibangku sekolah dulu, saya selalu merasa hairan mengapa di kalangan sebahagian ahli agama yang mempunyai jawatan dan status serta sering kali pula keluar di televisyen dan popular pada pandangan umum, namun isteri dan anak-anak perempuan mereka tidak memakai pakaian yang menutup aurat seperti yang sepatutnya. Pada waktu itu juga, saya dapati, fokus di kalangan agamawan yang menyedari bahawa adab dan akhlak wanita yang membawa dimensi istimewa serta tertakluk dalam peraturan Quran dan sunnah, ditujukan khas secara langsung dalm tazkirah mereka. Sehinggalah ke hari ini, sebahagian agamawan apabila bercakap tentang isu wanita, kadang-kadang bercakap tanpa memikirkan asas emosi dan psikologi mengapa sebahagian wanita kelihatan 'degil' serta masih terus menarik minat 'mata-mata' sekeliling untuk memandang terhadap mereka. Lebih mendukacitakan, apabila isu mengenai wanita termasuk yang telah berumahtangga/ berkeluarga menjadi gurauan dan diremehkan dengan jenaka yang ditertawakan.

Saya jarang melihat wanita yang bertindak secara sendirian dalam meneladani rutin hariannya. Maksud saya, setiap yang dilakukan oleh seseorang wanita, jarang dilakukan oleh individu wanita itu untuk kepentingan dirinya sendiri. Majoriti di kalangan mereka sentiasa memikirkan..bagaimana untuk 'membahagiakan' insan-insan yang disayanginya. Silapnya pula, kadang-kadang persepsi mereka dibendung oleh emosi dan perasaan mereka, iaitu sering pula beranggapan sesuatu yang membahagiakan dirinya, akan turut membahagiakan insan-insan lain yang dikasihinya.

Itulah sebabnya, betapa ramai wanita yang 'berjuang' membeli itu dan ini sempena apa-apa perayaan; untuk menyiapkan apa yang dirasakan membahagiakan individu dan juga dirinya. Demikian jua pada penampilan dirinya; andai suami atau teman lelaki atau adik-beradik serta ahli keluarga menyanjung dengan rekabentuk pakaian yang dipakainya, pasti beliau akan memilih design atau fesyen tertentu untuk dikenakan pada rutin hariannya. Demikian pula, andai mereka ditegur oleh insan yang dikasihi supaya jangan berpakaian yang tidak sepatutnya..secara umum beliau akan memilih menurut pandangan insan yang dikasihinya.

Tidak dinafikan pula, ada sebahagian wanita yang dilihat 'agak degil' serta bersikap 'outstanding' untuk mempertahankan apa yang difikirkannya benar. Golongan seperti ini sebenarnya pada pendapat saya berlatarbelakangkan sosial yang kurang kasih sayang, sangat menumpukan kepada kerjaya serta sering mempunyai sejarah kegagalan dalam hidup mereka iaitu mungkin ada peristiwa yang menyebabkan mereka menjadi 'degil' serta enggan mendengar nasihat. Antara sebab-sebabnya ialah apabila bicaranya tidak didengar, cinta dihatinya tidak dibalas atau sesuatu harapan pada emosi dan perasaan tidak tertunai.

Demikianlah indahnya jika kita hayati hadith Rasulullah SAW bahawa mereka yang memelihara anak-anak perempuan sehingga mereka baligh dan mendirikan rumahtangga dijanjikan syurga. Ini cukup untuk memberikan isyarat kepada kita bahawa hati dan perasaan wanita perlu sentiasa diberikan perhatian kasih sayang sehinggalah diri wanita itu dewasa serta menemui lelaki yang menjadi suaminya.

Berbalik kepada isu i'tiqaf dan ziarah bazar ramadhan... isunya pada saya bukan pada hukum beri'tiqaf untuk wanita; iaitu mengapa agamawan dilihat begitu 'strict' untuk membenarkan wanita beri'tiqaf di masjid tetapi nadanya tidak begitu lantang apabila membicarakan rutin wanita ke bazar ramadhan, pasar-pasar atau ketika keluar dari rumahnya.

Namun isu yang sebenar ialah... apakah perasaan kasih dan sayang kita telah kita kongsikan sepenuhnya dengan jiwa insan bernama wanita itu sehingga dirinya mampu memilih 'jalan-jalan' dalam rutin kehidupan untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT serta membahagiakan insan-insan yang dikasihinya? Lebih afdhal apabila wanita itu adalah saudara terdekat dalam keluarga kita sendiri....

2 comments:

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Assalamualaikum w.b.t

Doktor, terima kasih atas tulisan ini. Mungkin ia berkaitan satu status FB saya yang tidak berapa gemar sikap agamawan yang suka mengkritik Muslimah-Muslimah yang tidak menutup aurat dengan sempurna, tetapi pergi ke masjid.

Semua itu saya tulis selepas nampak hal itu hanya akan men'down'kan semangat mereka.

Ya, pakaian mereka tidak tutup aurat, tetapi mereka ambil peluang Ramadhan ini untuk tambah kebaikan mereka, solat terawih etc, lalu tidak sewajarnya bagi saya, saat-saat begini isu aurat mereka diungkit-ungkit.

Saya minta maaf kepada Muslimah semua jika ada terguris rasa dengan tulisan itu, tidak terlintas pun. Bahkan saya tidak mencela pun Muslimah atau sesiapa yang ke bazar Ramadhan kerana saya sedar zaman kini, boleh jadi membeli di bazar lebih elok daripada masak yang akan ambil masa yang meletihkan dan sebagainya.

Apa-apa pun terima kasih doktor di atas teguran doktor ini. Insya-Allah, akan diusahakan dengan keluarga perempuan saya, kakak-kakak saya.

Selamat menempuh pesta ibadah!

tinta said...

Fokus penulisan ini hanyalah untuk berkongsi latar emosi dan psikologi seorang wanita yan perlu diambilkira apabila sesuatu nasihat perlu dilaksanakan mereka. Ianya lebih menjurus pandangan secara umum terhadap gaya pendekatan dalam mendekati kelembutan jiwa seorang wanita, serta kebaikan-kebaikan yang lebih utamanya dikongsikan terlebih dahulu dengan mereka yang lebih dekat dengan kita.