Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, July 21, 2013

Tentang 'Waqaf'...

Selama ini, saya tidak pernah tahu perincian mengenai WAQAF. Kefahaman dangkal dan agak mendatar itu sering membawa saya kepada fakta-fakta yang menimbulkan konflik apabila kita bercakap tentang berlumba-lumbanya pihak tertentu mencipta keuntungan tanpa mempedulikan nasib sebahagian individu yang masih dicengkam kesusahan dan kemiskinan.

Antara perbahasan yang pernah saya bincangkan dengan panjang lebar ialah tentang skop ibadah haji yang begitu 'hebat' dikomersialkan sehingga 'mengorbankan' sebahagian peluang individu untuk menunaikan haji kerana perlu memberi laluan kepada syarikat-syarikat tertentu yang menawarkan pakej mewah dengan bayaran berlipat kali ganda. Lebih mendukacitakan apabila dana yang disimpan sebahagian besar oleh bakal-bakal haji dilaburkan untuk tujuan komersial serta pulangan diberikan dalam bentuk dividen, yang mana wujudnya sama seperti syarikat-syarikat pelaburan konvensional.

Berbalik kepada isu WAQAF atau dikenali sebagai ENDOWMENT di kalangan bukan muslim; konsep waqaf sebenarnya merupakan sedekah jariah KEKAL yang diinfakkan untuk kegunaan jangkapanjang serta dimanfaatkan untuk masyarakat sejagat.

Secara umum infaq harta dibahagi tiga iaitu sedekah (dirujuk sebagai untuk kegunaan one-off dan boleh dipindah milik), zakat (sedekah wajib) dan satu lagi waqaf (sedekah kekal). Umum memahami wakaf biasanya dirujuk kepada harta kekal seperti tanah,bangunan dan peralatan serta sebagainya namun dari tazkirah yang saya dengar sebelum ini; ianya juga meliputi kepada dana tunai yang dikumpul dimana jumlah yang telah dikumpul tersebut di'lock' dalam skim simpanan (umpamanya simpanan tetap) / pelaburan tertentu yang mana hanya hasilnya boleh digunakan untuk manfaat masyarakat.

Universiti ternama dunia seperti Universiti Oxford, Universiti harvard dan AlAzhar; turut memanfaat skim waqaf. Universiti Harvard umpamanaya, dilaporkan mempunyai puluhan billion USD yang merupakan dana waqaf (endowment) untuk pengurusan universiti berkenaan. Begitu juga institusi seperti Mayo clinic dan Cleveland Hospital yang turut memanfaatkan konsep waqaf dalam pentadbirannya. Di Malaysia, klinik AnNur KPJ merupakan satu-satunya institusi swasta di Malaysia yang melaksanakan konsep waqaf dalam menjalankan aktiviti perubatan secara percuma kepada masyarakat.

Fokus waqaf sebenarnya sangat luas. Kewujudannya didorong oleh hati-hati yang ikhlas menginfaqkan harta demi untuk mendekatkan dirinya dengan Allah SWT serta memaksimakan kebaikannya sesama manusia. Antara contoh-contoh yang telah ditunjukkan oleh pakar dalam bidang berkenaan termasuklah pembinaan masjid yang dibina atas dana waqaf, pembinaan sebuah bandar seperti di Turki, pembangunan pusat pelancungan di Turki, Bazar tempat membeli belah, restoren yang menyediakan makanan percuma kepada orang ramai, pusat rehat untuk musafir (seperti R&R di lebuhraya Malaysia), hospital/ klinik, jalanraya serta sekolah-sekolah dan universiti.

Dalam konteks ini juga saya terfikir tentang entiti ibadah haji yang memerlukan pelbagai prasarana untuk membantu ibadah tersebut disempurnakan. Ianya termasuklah pengangkutan, hotel tempat kediaman, kemudahan pengangkutan serta keperluan makan dan minum. Berdasarkan sejarah penubuhan pengurusan haji yang begitu lama di negara kita, pasti dana pelaburannya begitu banyak. Saya terfikir pula, andai dana keuntungan tersebut dimanfaatkan menurut konsep waqaf, bayangkan betapa banyak hotel-hotel yang dapat dimiliki menerusi konsep ini seterusnya digunakan untuk kegunaan jemaah secara percuma, begitu juga dengan khidmat katering, perubatan dan kemudahan pengangkutan. Bayangkan pula, betapa hebatnya pulangan pahala dan ganjaran dari Allah SWT... subhana Allah...

No comments: