Saya kongsikan di sini beberapa tips dan nasihat untuk semua bakal-bakal haji yang bakal berlepas selepas hari raya aidilfitri nanti, insyaaAllah.
1. Persediaan untuk beribadah PERLU bermula sekarang. Banyakkan amalan berzikir, membaca alquran serta solat-solat sunat. Persediaan tersebut insyaaAllah membolehkan bakal haji menjalani rutin harian yang agak lama ketika di Tanah Suci tanpa membazirkan masa dengan amalan yang sia-sia.
Jangan sesekali berharap keajaiban akan berlaku ketika berada di Tanah Suci iaitu kemampuan beribadah dengan penuh khusyu' atau meenjalani perubahan melakukan ibadah lebih baik apabila di sana seandainya TIADA persediaan yang dilakukan.
Latihlah diri untuk sentiasa meniatkan apa sahaja yang dilakukan sebagai ibadah IKHLAS kerana Allah.
Ketika berada di Tanah Suci, buatlah jadual harian sebaik-baiknya untuk mengisi waktu sepanjang berada di sana. Contohnya, khaskan waktu berzikir, mebaca alquran serta solat sunat. Sebaik-baiknya pergilah melakukan ibadah berkenaan di masjid Nabawi (ketika di Madinah) atau masjidil haram (ketika di Makkah).
Elakkan bercakap yang tidak perlu, elakkan juga tidur atau rehat sepanjang hari tanpa sebarang aktiviti khusus.Elakkan juga berbelanja berlebihan dan juga barangan yang tidak perlu.
Rakaman kuliah agama dalam bentuk MP3 yang disediakan sebelum ke Tanah Suci adalah sangat membantu untuk mengisi waktu lapang.
2. Amalkan semua ibadah khusus sebagai amalan yang difahami serta ditadabbur dan dihayati. Jangan lakukan ibadah sekadar menurut (lurus bendul) tanpa difaham. Khusyu' dan juga tertib dalam melakukan ibadah termasuklah memahami setiap bacaan dan perlakuan, begitu juga lafaz dan juga makna-makna serta iktibar di sebaliknya.
Jangan keterlaluan menumpukan isu-isu pada haram, halal atau perkara-perkara yang menyebabkan ibadah umrah/haji/ solat menjadi batal atau tidak sah sehingga membuat tanggapan ibadah-ibadah tersebut sebagai sangat payah dan berat untuk dilakukan. Fokus ibadah perlu difahami, jangan sekali-kali mengikut-ikut tanpa jelas dan faham apa yang dilakukan.
Elok juga jika jemaah bakal haji menyediakan sasaran yang ingin dicapai sebelum ke Tanah Suci, contohnya menetapkan azam khatam alquran sebanyak 2 kali, menghabiskan bacaan buku hadith terjemahan, puasa Isnin Khamis mengikut kemampuan, umrah sebanyak sekurang-kurangnya dua kali dan bersedekah sebanyak 500 riyal kepada mereka yang memerlukan.
Bagi yang merokok, berhentilah merokok dari sekarang. Cuaca dan keadaan di Mekah terutamanya yang agak berhabuk, kering serta kepadatan bakal haji dari seluruh dunia menyebabkan udara mudah tercemar dengan kuman tertentu. Menghisap rokok menyediakan lagi peluang paru-paru terus rosak atau dijangkiti dengan kuman berbahaya.
3. Situasi udara berhabuk serta kesesakan bagi saya perlu ditangani secara baik. Pakailah penutup hidung seperti mask bagi lelaki atau niqab/ purdah bagi wanita atau penapis udara yang diletakkan di dalam liang hidung untuk mengelakkan diri dari pendedahan kepada udara yang tidak begitu sihat.
Bagi yang mendapat jangkitan kuman pada hidung dan tekak seperti batuk berkahak, selsema dan demam; elok berehat dan banyakkan minum air serta mengambil vitamin C.
Bagi yang alami batuk berkahak dan selsema, jangan ludahkan kahak atau membuang hingus ke dalam tong sampah yang disediakan untuk sampah. Bawalah tisu/ sapu tangan serta plastik kecil untuk membuang atau meletakkan tisu dan sapu tangan yang mengandungi kahak dan hingus serta dibuang atau dibersihkan secara berhemah dan baik tanpa mendedahkan cairan itu kepada masyarakat awam. Atau, keluarlah sekejap ke tandas atau bilik air untuk membersihkan hidung dan mulut serta tangan.
Sesungguhnya meludah dan membuang kahak ke dalam tong sampah terutama di dalam surau, masjid dan juga tempat makan adalah perbuatan yang tidak sopan dan tidak higenik. Seandainya individu tersebut mendapat tuberkulosis (batuk kering), meludah ke dalam tong sampah atau di sekitaran tanpa peduli bakal haji sekeliling meningkatkan risiko jangkitan kepada jemaah lain.
4. Jangan bawa keperluan pakaian yang berlebihan. Tiga pasang untuk pakaian luar (iaitu untuk ke masjid dan berada di luar hotel kediaman) dan 2 pasang untuk pakaian tidur/ rehat adalah mencukupi. Selain itu, bawalah tuala mandi yang tidak terlalu besar (memadai saiznya) serta kain sarung 2 helai. Seandai jumlah yang disyorkan tidak cukup, tuan/puan sentiasa boleh membelinya di kedai-kedai berkenaan sama ada di Madinah atau Mekah.
Elakkan juga membawa beg terlalu besar dan tidak stabil sehingga menyusahkan untuk dibawa/ dialihkan dari satu tempat ke satu tempat. Jika tiada pengalaman, berkongsilah dengan mereka yang biasa melakukan perjalanan di dalam atau ke luar negara iaitu bagaimana memilih beg pakaian yang sesuai. Bagi jemaah berusia lanjut, bantuan anak-anak sangat diperlukan. Beg yang besar juga menyebabkan ruang dalam bilik hotel menjadi 'penuh' serta mengurangkan ruang berehat/ berjalan.
5. TIDAK PERLU mandi dan membasuh pakaian setiap hari. Cuaca di Arab Saudi panas dan kering; pakaian dan badan biasanya tidak berbau seperti yang kita alami di Malaysia. Saya juga mengesyorkan bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan dobi yang disediakan dikebanyakan hotel kediaman; keadaan ini membolehkan air dijimatkan serta tidak menyusahkan jemaah haji lain yang ingin menggunakan bilik air. Bagaimanapun, pakaian dalam jika boleh perlu dibersihkan sendiri; namun jangan sesekali disidai di tempat awam.
Bawalah penyangkut baju biasa dan juga penyangkut berbentuk 'S' serta tali untuk menyidai tuala dan juga pakaian yang telah dibasuh. Hormati hak jemaah lain, JANGAN sesuka hati menggunakan baldi, sabun serta hanger (penyangkut baju/ penyepit) jemaah lain tanpa izin dan kebenaran. Begitu juga dengan selipar, kasut, cawan, sudu dan apa sahaja keperluan, Mintalah izin terlebih dahulu dari pemilik barang berkenaan.
6. Untuk keperluan di Arafah dan Mudzalifah serta Mina, jemaah haji dinasihatkan menggunakan beg galas seperti beg sekolah (knapsack) yang mudah diletakkan di bahagian belakang badan. Saya tidak pasti beg yang akan disediakan oleh tabung haji atau syarikat pakej untuk musim haji kali ini, namun andai beg yang sama seperti tahun lepas iaitu beg 5 kg; ianya sangatlah TIDAK SESUAI. Ini kerana, bas yang disediakan tiada kemudahan tempat menyimpan beg. Jemaah perlu memangku beg masing-masing. Bagi jemaah berusia atau alami masalah fizikal, mereka menghadapi masalah di dalam bas iaitu kedudukan badan yang mudah jatuh serta tiada siapa yang dapat membantu sebaik-baiknya kerana laluan dalam bas yang sempit serta menyukarkan seseorang berjalan dengan membawa beg 5kg tersebut.
Ketika di Arafah, Mudzalifah dan Mina juga, jemaah haji digalakkan tidak membawa pakaian berlebihan, CUKUP satu beg sahaja. Ini kerana khemah di Arafah dan Mina agak sempit, jemaah akan tinggal di khemah bersama beg masing-masing. Jika beg yang dibawa lebih dari satu, ruang untuk berehat akan menjadi terlalu sempit serta tidak selesa untuk berehat dan beribadat.
Jemaah juga digalakkan membawa pakaian dalam pakai-buang (disposable) secukupnya serta membawa sprayer (penyembur air) untuk berwuduk. Elok juga membawa plastik sampah untuk membantu mebuang sampah yang bersepah di samping memastikan sampah kita sendiri dibuang dengan baik. Juga di Mina, elakkanlah berkahak/ meludah di merata-rata tempat dan juga jangan membuang kahak/ ludah di dalam tong sampah.
7. Bergeraklah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tenang. Jangan berebut-rebut serta menolak sesama sendiri. Penggunaan lif contohnya; lebih baik jika setiap jemaah dapat beratur serta mendahulukan mereka yang uzur.
Sebaik-baiknya juga, jemaah lelaki dan wanita perlu mempunyai sifat MALU antara satu sama lain. Andai sesuatu lif sudah dipenuhi jemaah wanita, harapnya jemaah lelaki tidak bertolak-tolak ingin juga masuk sehingga bergesel dan berlanggar dengan wanita-wanita yang bukan mahramnya.Begitu juga dengan jemaah wanita, jangan menyerbu lif yang sudah dipenuhi jemaah lelaki. Ingatlah bahawa ketika di Tanah Suci, niat kita semua adalah untuk beribadah. Jangan dicemari dengan perlakuan yang tidak mencirikan ibadah haji itu sendiri.
Bagi yang masih bertenaga, gunakanlah kemudahan tangga. Berikanlah laluan bagi yang memerlukan menggunakan lif.
Ketika di masjid, jangan bertumpu dekat dengan pintu utama. Teruskan laluan hingga ke saf yang paling depan sekiranya available. Jangan sesekali berdiam/ duduk di tempat yang merupakan laluan kepada jemaah haji yang lain. Berkongsilah tempat solat, jangan 'punyakan' kawasan sejadah kita seorang diri. Pastikan saf dirapatkan kaki ke kaki; bahu ke bahu.
Bertanyalah pada jemaah lain jika tidak pasti atau tidak tahu laluan ke sesuatu tempat.
8. Para suami dan isteri disyorkan untuk sentiasa menjaga adab dengan jemaah sebilik masing-masing. Setiap suami dan isteri dinasihatkan mempunyai telefon bimbit masing-masing untuk saling berkomunikasi. Jangan berkomunikasi sesama sendiri melalui orang tengah (jemaah lain) sehingga kadang-kadang menimbulkan situasi yang tidak selesa dan salah faham. Di Arafah dan Mina, khemah yang menempatkan jemaah wanita BUKAN merupakan bilik peribadi mereka sehingga boleh diselak tirai atau pintu sesuka hati untuk memanggil isteri masing-masing. Bukan sekali dua insiden di mana tirai khemah wanita disingkap oleh para suami yang mencari isteri tanpa mempedulikan jemaah wanita yang sedang berehat dan berpakaian tidak formal (ketika itu ada yang membuka aurat).
9. Para jemaah bakal-bakal haji lelaki dan wanita juga disyorkan untuk menjaga adab pergaulan sesama sendiri. Menjaga komunikasi, dan juga batas-batas aurat yang sepatutnya sentiasa dipelihara sepanjang tempoh berada di Tanah Suci, terutama ketika berada di hotel kediaman. Tipsnya mudah, bagaimana aurat kita di dalam solat, demikianlah juga apabila kita berhadapan dengan individu yang bukan mahram.
10. Pek makanan yang disediakan biasanya lebih dari mencukupi; begitu juga air minuman yang disediakan. Jemaah haji disyorkan sentiasa bersyukur dengan makanan yang dihidangkan. Jangan berebut-rebut sehingga membawa pertelingkahan. Kedai-kedai berhampiran banyak menjual makanan dan minuman, terpulang kepada jemaaah untuk memilih. Namun, pek yang disediakan tabung haji memadai dan mencukupi. Alhamdulillah..
11. Saling bertolak ansur menggunakan bilik air. Pada waktu puncak, jangan pula sibuk membasuh baju, ianya sangat menyusahkan jemaah lain yang memerlukan tandas dan bilik air pada waktu berkenaan.
Di Arafah dan Mina; keperluan tandas sangat kritikal. Bilangan tandas sangat terhad. Keadaan lebih terhad ketika di Mina, mungkin perlu beratur sehingga 2 hingga 3 jam untuk masuk ke tandas. Di sini banyak menguji kesabaran. Ada individu yang tidak mampu bertahan sehingga 'rasa tidak kisah' memotong barisan. Namun perlu saling bertolak ansur, dan doa moga Allah bagi diberi kesabaran. Seboleh-bolehnya, berilah laluan pada mereka yang tua dan uzur. Bayangkan bagi mereka yang sudah tua, tidak mampu berdiri lama, badan 'bergoyang-goyang' serta alami masalah buang air tidak lawas..
12. Bawalah bekalan ubat secukupnya iaitu ubat untuk demam (paracetamol/ panadol), sakit kepala/ badan/ urat (ponstan/ voltaren dan sebagainya), ubat sapu untuk legakan sakit badan (Voren/ flanyl/ koyok ubat tahan sakit), ubat batuk dan selsema, ubat sakit perut (buscopan/ ORS), krim antiseptik, minyak gamat dan bekalan antibiotik (untuk demam selsema). Mereka yang mempunyai penyakit kronik, pastikan bekalan ubat cukup untuk tempoh sepanjang berada di Tanah Suci.
Bagi yang memakai cermin mata, dinasihatkan menyediakan cerminmata simpanan (reserved spectacles) disamping cerminmata yang biasa dipakai. Andai berlaku sesuatu kepada cerminmata yang dipakai, saya difahamkan kos membuatnya sangat tinggi di Arab Saudi (wallahua'lam).
13. Semasa saya berada di sana, sering kami dinasihatkan untuk menjaga kesihatan. Ya, berdasarkan pengetahuan perubatan dan juga syor-syor kesihatan, terdapat langkah-langkah untuk mengelak dari mendapat penyakit tertentu. Namun, sesungguhnya sihat itu sebenarnya adalah anugerah dan kurnia Allah SWT. Pengalaman saya sebagai seorang doktor perubatan, betapa kadang-kadang saya juga terlupa hingga 'bergantung' pula pada fakta dan ilmu serta akal fikiran sendiri...dengan harapan kita sihat dan terhindar dari sakit...padahal hakikat kebergantungan yang mutlak sepatutnya disandarkan pada Allah Al Wakil sahaja. Kita hanya mampu lakukan usaha, namun sihat itu hanya datang dengan izin Allah.
Oleh itu, jangan mengeluh jika didatangi pelbagai sakit atau keadaan yang tidak diduga, namun jangan putus-putus berdoa semoga Allah sentiasa anugerahkan kesihatan yang memudahkan ibadah haji dilakukan.
14. Jarak perjalanan berjalan kaki untuk melontar jamrah pada anggaran saya ialah kira-kira 7 km. Ditambah dengan kesesakan jemaah yang tertumpu disitu mungkin juga gangguan emosi/ fikiran akibat keadaan yang kurang selesa di khemah mahupun keperluan menggunakan bilik air/ tandas; mungkin sedikit sebanyak menguji kekuatan minda dan fizikal para jemaah.
Di Mina, JANGAN PUTUS-PUTUS berdoa untuk dianugerahkan Allah kesihatan yang optima serta kemampuan berjalan jauh tanpa sebarang kesukaran. Habiskanlah masa selain pergi melontar dengan zikrullah, membaca quran serta bercakap perkara yang baik-baik. Di Mina juga, jangan sesekali mengeluh tentang makanan, insyaaAllah jemaah dinasihatkan memakan apa sahaja yang disediakan.
15. Ibadah Haji adalah ibadah yang dilakukan secara jama'i (beramai-ramai). Elakkanlah budaya mementingkan diri sendiri atau kelompok/ kumpulan masing-masing, saling berebut-rebut serta tidak mengendahkan individu lain yang mungkin turut memerlukan kerjasama sesama kita. Dalam masa yang sama, jangan pula ada yang menggunakan kebaikan orang lain tanpa memikirkan kesusahan yang ditanggung oleh individu berkenaan. Contohnya meminta jemaah lain mencarikan beg yang hilang tanpa dirinya turut berusaha mencari beg berkenaan.
16. Jemaah yang berusia, uzur dan menghidap penyakit kronik, saya mohon agar tuan/puan meminta kebenaran pihak Tabung Haji untuk membawa anak-anak/ mahram yang mampu menguruskan mereka ketika berada di Tanah Suci. Satu kelebihan juga membolehkan anak-anak mereka/ mahram menunaikan haji pada usia muda. Pemerhatian saya, sebahagian besar jemaah haji uzur dan tidak berdaya mengalami masalah sama ada fizikal, emosi dan juga fikiran ketika berada lama di Tanah Suci.
17. Sepanjang musafir dan rutin melaksanakan ibadah haji...Walau apa dan di mana jua tuan/puan, sdr/i berada di Tanah suci, jangan sesekali diabaikan solat fardhu. Ikutlah nasihat para pembimbing haji, dan yang utama pastikan urusan berkaitan solat disempurnakan sebelum memulakan langkah atau sebarang aktiviti ketika di sana. Saya secara peribadi berasa sedih apabila ada di kalangan jemaah yang tidak menjaga solat pada waktunya; ini ketara ketika 'ibadah jamrah, pergerakan dari satu tempat ke satu tempat yang lain serta semasa dalam penerbangan balik ke Malaysia.Semasa dalam penerbangan, jemaah boleh mengambil wudhu' dengan meminimakan basuhan ke atas anggota wudhu, seperti menggunakan kain lap/ penyembur (spray). Anak-anak kapal sepanjang pengalaman saya sangat membantu dan dalam kapalterbang yang saya naiki, mereka menyediakan ruang dalam kabin untuk jemaah menunaikan solat; malah pilot kapalterbang sendiri mengisytiharkan sudah masuk waktu sesuatu solat fardhu.Sesungguhnya solat adalah taklif dalam waktu yang ditentukan. Tidak ada qadha' kecuali pada uzur syari'ie; dan menurut pandangan agamawan secara sahihnya; TIDAK ada apa yang disebut solat menghormati waktu.
18.Akhir sekali, saya berdoa moga tuan/puan bakal haji diberi Allah kekuatan dan kemudahan dalam beribadat serta mendapat haji yang mabrur. Tingkatkan kesabaran dan terus bersabar, serta tumpukan fokus dalam ibadah, jangan pula 'tenggelam' dengan isu sesama jemaah sehingga melupakan tujuan sebenar ke Tanah Suci. Allahul Musta'an
4 comments:
Alhamdulillah & terima kasih atas kesudian tuan/puan berkongsi pengalaman & tips untuk bakal haji. Amat memberi manafaat kepada kami yang bakal menjadi tetamu Nya tahun ini, insyaa Allah. Semoga Allah berkati usaha tuan/puan.
terima kasih, tuan. semoga Allah merahmati tuan
terima kasih tuan, Semoga Allah merahmati tuan sekeluarga
Alhamdulillah dpt tip yg sgt berguna semoga Allah memberikan pintu rahmat kpd tuan,dn lain2 pembaca budiman.
Post a Comment