Surah ini merupakan surah ke 20, merupakan surah Makiyyah serta mengandungi 135 ayat. Mengikut turutan waktu (kronologi), surah ini merupakan surah ke 45 yang diturunkan.
Kluster 8 ayat pertama yang dimulakan dengan huruf Ta dan Ha; yang disebut huruf muqatta'ah atau huruf yang terpotong-potong sebagai seruan/perhation/ mengambil fokus, ayat berikutnya memberi penekanan bahawa ia diturunkan BUKAN untuk kehidupan seseorang menjadi susah. Ia turut menjelaskan tentang ayat-ayat alquran yang merupakan peringatan dari Allah, yang memiliki sekelian alam, sempurna dengan sifat-sifat dan keagunganNya serta memiliki Asmaul Husna.
Kluster ayat berikutnya iaitu 9 hingga 98, memperincikan kisah Nabi Musa a.s dan saudaranya Nabi Harun a.s dalam perjuangan da’wah mereka kepada fir’aun serta menghadapi kesesatan kaumnya yang diketuai oleh Samiri.
Kluster tersebut dirangkumkan dalam ayat berikut iaitu 99 dan 100 yang memperjelaskan bahawa kisah alquran sebagai teladan yang perlu difokuskan secara serius. Mereka yang berpaling dari peringatan Allah bakal memikul dosa yang sangat membeban dan menghinakan.
Kluster ayat 101 hingga 112 pula mengisahkan tentang peristiwa dan kisah-kisah pada hari yang ditiupkan sangkakala serta perhitungan yang sangat panjang. Keadaan mereka yang berdosa dan juga yang beramal soleh dikisahkan dengan jelas.
Kluster 113-114 pula menjelaskan tentang sifat alquran yang mengulang-ulangkan kisah secara berulang kali agar mereka yang membacanya bertaqwa dan isi-isi tersebut benar-benar berkesan serta memberi pengajaran.
Kluster ayat 115- 123 pula merupakan kisah Nabi Adam a.s serta Hawa a.s; bagaimana kesilapan memakan buah yang ditegah Allah sehingga dikeluarkan dari syurga. Penjelasan Allah untuk bahawa manusia menjadi musuh sesama mereka; dan suruhan Allah untuk kita MENGIKUT tanpa berbantah hidayah yang diturunkan melalui rasulullah SAW.Mereka yang mengikut jalan hidayah tidak akan sesat serta tidak akan ‘tersiksa’ menderita.
Kluster ayat 124-135 merupakan penjelasan Allah ke atas mereka yang berpaling dari peringatan (alquran) - menghadapi hidup yang sengsara, dibangkitkan dalam keadaan buta serta dilupakan Allah pada hari kebangkitan. Mereka telah dibentangkan dengan pelbagai ayat dan tanda kebenaran; tetapi memilih untuk kufur serta tidak mahu beriman.
Pelbagai iktibar dari generasi terdahulu juga dibentangkan.
Juga nasihat untuk jangan sesekali kagum dan memandang dengan penuh MINAT ke atas kelebihan harta dan status yang dikurniakanNya kepada golongan yang tertentu kerana ia merupakan hiasan kehidupan sebagai ujian. Juga sentiasa menyuruh ahli keluarga menunaikan solat dan bersabar melakukannya. Mereka yang kufur terus diperjelaskan betapa mereka akan mengemukakan pelbagai alasan untuk terus tidak beriman; sedangkan apabila azab diturunkan, mereka mula mempersoalkan kenapa rasul tidak diturunkan kepada mereka.
Iktibar dari surah ini:
Al Quran merupakan rahmat kehidupan; mereka yang berpaling daripadanya menjalani kehidupan yang sengsara.
Allah memiliki kekuasaan, keagungan dan nama-nama yang indah (untuk dihayati maknanya dalam kehidupan)
Kesombongan Firaun dan kesesatan Samiri; didokumenkan penuh perincian ( jumlah ayat majoriti dalam surah ini) untuk setiap diri menjauhi sifat-sifat dan amalan sedemikian.
Kisah tentang keadaan manusia pada hari kebangkitan. Antaranya, mereka yang berpaling dari peringatan Allah, dibangkitkan dalam keadaan BUTA.
Penjelasan kisah Nabi Adam dan Hawa a.s; serta fitrah manusia yang saling bermusuhan; serta iblis yang merupakan MUSUH manusia. Iblis dan syaitan tidak jemu berusaha menghambat manusia ke neraka.
Allah melarang kita menghabiskan masa dan minat pada ketakjuban bunga-bunga duniawi (keindahan-keindahan tersebut biasa dipaparkan melalui TV, iklan-iklan, majalah, pembukuan, media massa).
Beristiqamah menyuruh anggota keluarga - anak-anak, serta ahli keluarga mendirikan solat serta bersabar melakukan ibadah tersebut.
No comments:
Post a Comment