Apakah yang didefinisikan dengan kehidupan kita di dunia? Meskipun saya sering diingatkan berkali-kali bahawa matlamat kehidupan di dunia ini adalah untuk mengabdikan diri (beribadah) pada Allah namun saya tidak pernah pula terfikir secara mendalam tentangnya. Meskipun saya faham dari segi literal dan konteks... dalam terjemahan praktis, saya jarang pula mengingatkan diri bahawa setiap yang saya lakukan adalah ibadah kepada Allah. Ada kala pula fakta tentang beribadah itu, saya sendiri keliru sehingga praktis harian saya tidak mencerminkan hakikat ibadah sebenar yang dikehendaki di sisi Allah.
Jujurnya, tanpa ilmu mengenai Al Quran, hati saya ini sering tewas dengan ‘gagah’nya kehidupan sekeliling yang mempamerkan pelbagai kehebatan dan kecemerlangan. Saban teori, ilustrasi mahupun paparan sebenar untuk ditatap dan diimpi.... saya juga jujurnya terus mengimpikan dan terus mengimpikan tentang hasrat-hasrat menjadi hebat sebagai insan yang berpengaruh dan hebat dipandang orang.
Kita semua mengimpikan kehidupan yang baik dan yang bahagia. Sudah pasti...kebahagiaan itu kuncinya mempunyai modal dan laba yang berupa wang dan harta. Tidak kena juga jika ada yang menafikan kepentingan wang untuk membina kehidupan dan kebahagiaan. Namun wang semata-mata bukanlah proksi untuk membuatkan kehidupan seseorang itu bahagia... kewujudannya dalam kadar yang diperlukan adalah ‘assurance’ dengan izin Allah bahawa diri seseorang itu tidak terhimpit dengan kemelaratan atau kelaparan yang menghinakan...
Kehidupan di dunia hanyalah ujian dan ketabahan mengharung cabaran (Life...is a test and a struggle). Tidak ada satu detikpun menurut penjelasan Allah dan sunnah, kita akan mencapai kemenangan yang mutlak. Kemenangan untuk memegang status hebat, memiliki wang yang banyak...saham yang tidak terkira banyaknya..... pada sisi Allah dan juga telah dibuktikan menerusi kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bukan lah kemenangan hidup di dalam ‘kehidupan’ seseorang.
Kemenangan abadi hanyalah apabila kita diberikan pengesahan menerima kitab amalan dengan tangan kanan. Pada hari di mana maut itu sudah tidak lagi wujud....insan bakal berdiri sendirian menghadap Allah SWT...
Jika dirinya menerima kitab amalan dari tangan kiri...betapa kehebatan diri selama hidup di dunia dan timbunan harta yang menjadi simbol kebahagiaan dan kemenangannya di dunia tidak mampu menjadi taruhan ganti azab neraka yang kekal selama-lamanaya...betapa pula dirinya bakal merintih dengan kesal yang terlalu sesal...andai wujud lagi kematian yang akan mengakhirkan azab yang diperolehinya....
No comments:
Post a Comment