Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, January 29, 2012

Makna 'Bahagia dalam kehidupan...'

Sarjana Islam PM Dr Mohd. Asri mengupas penuh penghayatan akan makna kebahagiaan dalam hidup seseorang. Betapa mereka yang miskin dan begitu sederhana hidupnya, yang kadang-kadang dipandang 'hina' atau diremehkan...menikmati kelazatan makanan yang seadanya serta mampu tidur lena di teratak yang tidak indah berbanding mereka yang kaya raya tetapi tertekan dengan makanan yang tidak boleh ditelan serta tidak mampu tidur dengan tenteram di rumah agam...

Betapa bahagia menurutnya merupakan nikmat Allah yang sangat ajaib... kewujudannya tidak langsung berkaitan dengan proksi materialistik yang sering menjadi idaman kebanyakan insan. Itulah nikmat kurniaan Allah yang diizinkanNya pada mereka yang dipilihNya...

Saya juga baru belajar tentang meneladani mana bahagia yang sebenar... Kilas jatuh bangun dalam mengemudi seribu satu masalah dan kesulitan; selang seli pula dengan kenikmatan yang kadang-kadang saya turut terlupa tentang makna syukur tentangnya..

Seperti rutin penulisan yang sering saya kongsikan, lontaran bicara atau garis-garis tulisan mudah sahaja melakarkan fakta dan keterangan namun untuk meng'internalisasikan' situasi itu... sangat bergantung pada izin Allah ta'ala serta keikhlasan kita untuk menerima sesuatu sebagai kenyataan.

Ajaibnya rasa bahagia.... kurniaan Allah SWT yang begitu indah dan hebat wujudnya dalam kemelut hidup kita yang begitu mengharap diliputi rasa bahagia....

Setiap kali berhadapan kesulitan dan ujian... rutin kita biasa berhadapan dengan emosi yang tertekan serta hasilan yang membawa kepada hilangnya rasa lazat makanan serta keinginan untuk melenakan mata buat melupakan kepahitan. Lalu fikiran disuakan pula oleh kitaran terhadap ingatan dan kenangan yang begitu memahitkan sehingga kadang-kadang saya sendiri sebenarnya 'terbabas' mengucapkan sesuatu yang tidak wajar sebagai doa..astaghfirullah..

Dr Asri berkongsi pandangannya bahawa 'hidup ini tiada apa sebenarnya... sedangkan hidup sebenar adalah di hari akhirat'. Kupasan yang diulangkan beliau berulangkali dengan mengemukakan ayat-ayat Alquran yang sangat banyak menceritakan betapa nilai dunia ini langsung tidak dipandang di sisi Allah...

Bahagia yang saya harapkan dari rutin sistem yang dinilai manusia; menemukan saya pada jalan kecewa yang diizinkan Allah menemukan pula saya pada keajaiban rasa bahagia di sisiNya..

Suatu penawar yang begitu melegakan ialah tatkala saya melalui lorong berisi sampah-sampah penuh hanyir, busuk dan meloyakan...lalu mengingatkan pula saya pada analog dunia yang diperjelaskan Nabi Muhammad SAW bahawa dunia ini di sisi Allah umpama sampah yang tidak perlukan oleh insan...

Tatkala duka kecewa juga, lebih baik untuk kita memantapkan dan terus berdoa dengan doa-doa yang baik... dari terus kecewa merintih kesal dengan sesuatu yang telah berlalu; dan betapa indahnya jika kita dapat memaafkan mereka yang tidak adil terhadap kita dengan pengharapan, maaf dan doa yang lebih baik...

Alhamdulillah... sesungguhnya bahagia di dalam hati itu hanya datangnya dari Allah SWT..

Thursday, January 26, 2012

Tentang ganjaran di sisi Allah..

Saya melalui pengalaman cukup getir apabila sebahagian yang saya fokuskan pencapaiannya, diizinkan Allah pada dimensi yang tidak saya duga. Dimensi yang menyebabkan hati saya terlontar kecewa..juga merenung kembali kelemahan dan kedaifan diri untuk dimuhasabah kembali. Ya, setiap kita manusia mempunyai persepsi berbeza...di atas persepsi itulah juga kita membuat andaian dan justifikasi berdasarkan pertimbangan yang dirasakan menurut skop yang ditentukan.

Namun...hakikat pemilihan untuk kita hayati dalam pencapaian kehidupan dunia ini yang sebenarnya ialah pada ganjaran mutlak yang wujudnya di sisi Allah...pada pahala yang tidak mampu kita lihat...pada kebaikan-kebaikan yang kita sembunyikan dari diketahui orang lain, juga pada kesungguhan kita beramal pada kebaikan-kebaikan yang menjamin kebaikan kita pada julat waktu selepas kematian dan di alam akhirat.

Doa istikharah yang dipesan oleh suami untuk saya baca bersungguh-sungguh... meruntun penghayatan dan kefahaman saya bahawa menterjemahkan hakikat yang sukar untuk kita terima perlu diolah dalam konteks kita mendekatkan diri pada Allah SWT dan agama yang benar ini. Apa sahaja yang ada di sisi atau dipandang manusia akan luput... apa sahaja yang menjadi sanjungan dan pujian, sia-sia hasilannya dan berterbangan bagai debu jika tiada redha dan keikhlasan di sisi Allah SWT.

Sesuatu yang baik pada pandangan kita, mungkin bakal mnjauhkan kita dari rasa ikhlas beramal kerana Allah; namun kepahitan dan keperitan yang mengecewakan mungkin adalah sesuatu yang menjadikan kita lebih dekat dan ikhlas melaksanakan amalan sebagai muslim. Mudah-mudahan Allah susunkan laluan terbaik buat kehidupan, agama dan kesudahan kita di alam yang abadi nanti; insyaAllah mudah-mudahan di atas sandaran ini saya mohon kekuatan dari Allah untuk terus dekat beramal di atas jalanNya... iaitu jalan da'wah menyeru manusia kepada Allah...

Thursday, January 19, 2012

Kita adalah apa yang diisikan di dalam hati...

Sesuatu yang baik, bermula dengan niat yang baik. Itulah niat yang kita isikan di dalam hati... yang seterusnya menghasilkan terjemahan amal yang baik.

Amalan perbuatan yang baik pula jika dijadikan rutin perlakuan, menjadi tabiat seterusnya praktis kehidupan seseorang.

".........jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota, ketahuilah bahawa daging itu ialah hati" maksud hadith Rasulullah SAW.

Jarang sekali amalan yang baik dilakukan secara kebetulan; atau secara suka-suka atau dengan pilihan yang 'terpaksa'. Mendefinisikan diri kita sebagai makhluk yang diciptakan Allah dengan komposisi akal, fizikal, ruh dan kebijaksanaan; tafsiran atas segala niatkan sebenarnya mendefinisikan amalan dan bicara yang kita lahirkan.

Saya juga terkadang lupa untuk merujuk amalan-amalan yang ingin dilakukan bersandarkan niat yang baik. Sering juga teruja dengan pengaruh dan bisikan yang tidak benar..lalu meletakkan pula 'kekuatan' yang dilahirkan sebagai sesuatu yang lahir dari kehebatan diri sendiri...astaghfirullah..

Membetulkan niat dan melahirkan amalan sebagai terjemahan kepada bimbingan dan pengetahuan yang benar adalah taufik dari Allah... sesuatu yang tidak mampu kita lakukan tanpa tawakkal dan meletakkan rasa bergantung pada Allah.

Sesuatu yang dilakukan mengharap redha dan kasih Allah, tidak sesekali mengharap pengiktirafan sesama manusia. Kita akan sering kecewa jika berharap pada manusia...namun tidak sedemikian jika 'ultimate' niat yang dibulatkan semata-mata mengharap rahmat dan kasih-sayang Allah..hanya pada Allah saya adukan segala kesedihan, kekecewaan dan kelemahan.

Sunday, January 15, 2012

Indahnya 'lakaran' awan....

Saya sejak zaman remaja begitu terpukau dengan keindahan langit dan awan... pernah saya berangan untuk memiliki kamera yang canggih untuk merakamkan segenap indahnya 'warna' dan keindahan awan..sehingga berangan pula untuk memiliki album yang menyimpan pelbagai bentuk rupabentuk awan..

Kejadian awan sangat menakjubkan...dari titis-titis wap air...dengan komponen fizik dan struktur molekul... mengubah sifatnya apabila bergabung lalu menyimpan keupayaan menyimpan jutaan liter air...yang akhirnya tercurah dalam bentuk hujan ke atas bumi...

Kejadian awan dan hujan sebagai antara kejadian ciptaan Allah yang begitu hebat...sebagai tadahan rawatan air semulajadi yang mega skalanya...namun dalam keadaan semulajadi begitu lembut mendatangi makhluk di bumi...bayangkan jika air yang turun itu umpama AIR TERJUN....subhanalLah..

Saya kongsikan satu dari gambar awan yang sempat dirakamkan di Kampung Jernang Bangi...



Antara bentuk-bentuk awan yang menarik boleh disaksikan di sini

Saturday, January 14, 2012

Marilah kita saling MENDOAKAN.....

Doa adalah senjata untuk mukmin. Tidak akan diberikan kepada mereka yang berdoa melainkan diberikan Allah tiga perkara iaitu ditunaikan permintaannya atau dijauhkan dari musibah/ bahaya atau ditabung Allah kebaikannya (hanya diberikan pembalasan yang lebih baik ketika di akhirat nanti).

Puluhan tahun rasanya...saya mendengar tazkirah mengenai kebaikan dan kelebihan berdoa.

Namun... saya sebenarnya tidak pernah duduk menghayati hakikat doa adalah senjata paling kukuh yang dianugerahkan Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang muslim dan mukmin.

Doa sebenarnya adalah amalan dan aktiviti yang dilakukan sentiasa. Memohon doa agar diri kita sentiasa diberikan petunjuk dan taufik dalam apa jua skop yang dihadapi dalam kehidupan...baik perkataan mahupun pada praktis terjemahan.

Doa dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan yang sedar kedudukan dirinya di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa, Tuhan yang memiliki azab yang sangat dahsyat dan keras serta Maha Penyayang pada hamba-hambaNya. InsyaAllah kita perlu sentiasa berdoa dan mengharap padaNya untuk kekal sebagai muslim mukmin yang sentiasa dekat mengamalkan hidayah (taufik) serta berusaha mendekatkan diri untuk sentiasa mengingati Allah dan bertaubat atas kesilapan.

Saya kongsikan kesilapan saya dalam memanfaatkan doa dalam konteks yang sebenarnya. Saya sebelum faham hakikat doa...hanya berdoa terutamanya apabila saya rasa perlu pada pertolongan Allah; apabila usaha dan daya saya kehabisan tenaga untuk memastikan apa yang saya hajatkan menjadi kenyataan. Saya berdoa apabila dilanda duka dan kecewa...jauh pula dari doa apabila dicakupi kegembiraan dan kehebatan yang diidamkan. Adapun mungkin ketika gembira itu sekadar menyatakan syukur dan pujian kepada Allah. Saya juga berdoa pada waktu-waktu tertentu, menyandarkan pada yang lebih pandai berdoa untuk membacakan doa-doa yang ‘power’...saya bertanggapan memadai saya meng’amin’kan...tidak pula ada rasa keperluan mendalami doa-doa yang diamalkan oleh para Nabi terutama Nabi Muhamad SAW.Saya juga tidak pernah mengambil peluang mencari waktu-waktu mustajab untuk berdoa...

Ampunkan saya Ya Alllah...betapa dhaifnya pengetahuan dan amalan saya...

Satu lagi kesilapan saya tatkala berdoa....saya sangat jarang berdoa untuk saudara seaqidah saya secara keseluruhannya...saya hanya khususkan doa untuk saya dan mereka yang saya kenal dan kasihi. Ada waktu yang saya ingat, mungkin tatkala saya melintas atau menziarahi pusara/ kawasan perkuburan.

Setiap muslim yang beriman adalah bersaudara (seikhwah)... perkataan ikhwah menurut pandangan sarjana/ ilmuwan adalah satu ikatan yang lebih kuat dari hubungan darah daging. Sayangkah saya pada setiap muslim mukmin yang telah diisytiharkan Allah sebagai saudara saya yang lebih rapat berbanding dengan mereka yang ada pertalian darah...?

Sesungguhnya saya baru saja mula belajar untuk tersenyum dan giat menyebarkan salam (doa kesejahteraan) untuk setiap muslim (menurut batas kesopanan) setiap kali saya berjumpa atau terserempak dengan sesiapa di luar sana. Saya juga baru mula mengenal kepentingan untuk saling mendoakan kebaikan dan kesejahteraan sesama muslim mukmin.. itulah mereka yang hadir dalam lingkungan kehidupan saya, sama ada dikenal ataupun tidak...mahupun yang pernah berkongsi kebaikan dengan kita mahupun tidak. Ssesungguhnya hakikat senyum dan menyebarkan salam bagi saya Allah izin mampu meleburkan ego dan sombong di dalam diri terhadap insan lain yang dirasakan lebih rendah darjatnya daripada kita sendiri...

Paling jelas sebenarnya dalam pengalaman saya... saya kebiasaannya akan begitu ikhlas mendoakan seseorang yang begitu mulia hatinya berkongsi apa jua kebaikan dengan saya atau juga dengan sesiapa yang hanya mungkin pernah tersenyum tatkala bertemu dengan mereka. Satu kebahagiaan yng sukar dilafazkan apabila kita tahu bahawa diri kita turut didoakan dalam pengharapan mereka-mereka itu memohon pertolongan dari Tuhan yang Maha Pemberi Kurnia dan Maha Mengabulkan doa.

Sehingga kini, saya masih mendoakan pemandu teksi yang saya temui ketika pulang dari menziarahi saudara saya di Kelantan. Saya ketika itu menghampiri waktu syuruk tatkala tiba di Hentian Putra...fikiran saya berserabut kerana masih belum menunaikan solat subuh. Dengan beg-beg serta keperluan yang saya ambil; saya bergegas menuju tempat yang mungkin merupakan surau... seorang pemandu teksi menghampiri saya bertanya sama saya perlukan teksi ataupun tidak. Tanpa berfikir panjang, saya sekadar menyatakan iya... lalu menanyakan kepada beliau arah kedudukan surau. Tanpa berfikir panjang juga, saya menyerahkan beg-beg dan keperluan yang saya bawa kecuali beg peribadi yang biasa saya sandang kepada pemandu teksi tersebut. Beliau menunjukkan arah perjalanan ke surau...sambil saya terus berlalu tanpa mengambil peduli tentang beg-beg, kedudukan teksi serta wajah pemandu teksi tersebut.

Selesai menunaikan solat...saya baru terfikir bagaimana mahu mencari pemandu teksi dan kedudukan teksinya... saya tidak pasti. Apa jadi jika beg-beg saya hilang dan pemandu tersebut juga menghilangkan diri. Dalam keadaan tercengang dan termangu itu, seorang lelaki melambaikan tangan sambil menunjukkan teksinya. Meskipun kelihatan kecil kebaikannya...saya masih kekal mengingati kebaikannya; dan tidak jemu mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk beliau setiap kali saya mengingati kebaikan yang dilakukannya itu.

Saya juga berharap dan berdoa pada Allah agar diizinkanNya terus mampu saling mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk semua muslimin yang ikhlas hatinya berbuat kebaikan...Allahlah sebaik-baik pelindung untuk mereka yang beriman...

Thursday, January 12, 2012

Ibubapa dan kita... marilah kita pegang panduan Allah dan Rasul...

Insyaallah...isyarat sangat jelas dalam Al Quran serta nasihat-nasihat tazkirah melalui sunnah; mengungkapkan pentingnya ibubapa untuk kita UTAMAkan dalam kehidupan.

Ayat-ayat dalam AlQuran begitu jelas menggandingkan ihsan berbuat baik kepada ibubapa selepas ayat yang menekankan aqidah tauhid untuk beriman kepada Allah penuh ikhlas tanpa sedikitpun mensyirikkanNya iaitu dalam ayat 83 Al Baqarah maksudnya "..janganlah kamu menyembah selain Allah dan berbuatlah ihsan kepada dua ibu bapa...", ayat 36 surah An Nisa' ' Dan sembahlah Allah sahaja dan jangan mensyirikkanNya, dan berbuatlah ihsan (kebaikan yang terbaik) kepada dua ibu bapa..."

Demikian juga dalam urutan ayat Alquran berikutnya iaitu surah Al An 'am ayat 151; surah Al Isra' ayat 23; surah Luqman ayat 13 dan 14.. sarjana dan ilmuwan yang arif mengenai pentafsiran Al Quran menekankan bahawa jika ada pengulangan sesuatu fakta dalam ayat-ayat Al Quran; ia menunjukkan betapa pentingnya aspek itu untuk diberikan perhatian dalam kehidupan.

Petunjuk dari sunnah juga menunjukkan bahawa berjihad di jalan Allah hanya dibenarkan kepada mereka yang tidak ada ibubapa yang perlu diberikan perhatian penuh atau kasih sayang... ; Rasulullah memerintahkan sahabat yang ingin berjihad tetapi masih mempunyai ibubapa supaya tidak turut serta berperang. Secara umum kita mempunyai tafsiran betapa taraf muhajid dan syahid di jalan Allah memiliki pengiktirafan di sisi Allah; fokus perjuangan dikisahkan dalam keadaan yang 'glamour' (menarik perhatian)...tidak seperti kesusahan atau emosi kita yang diuji apabila berhadapan dengan ibubapa yang telah berusia dan mempunyai keupayaan kognitif yang berbeza berbanding usia mereka ketika muda....

Indahnya kalam Allah apabila memberikan kita panduan bagaimana untuk sentiasa kekal menjaga hati dan kasih sayang keduanya. Kita tidak dibenarkan bersuara dalam nada yang menyakitkan di hadapan mereka...iaitu, jangan sesekali menunjukkan rasa geram, marah, meninggikan suara atau sebarang emosi yang melukakan hati mereka. Allah tidak menyatakan jangan kamu marah terhadap mereka.... tetapi jangan sesekali menunjukkan kita marah terhadap mereka (don't show it to them).

Sebagai insan yang mudah tercabar emosi, tidak dinafikan untuk berhadapan dengan situasi mereka yang berusia adalah satu ruang yang memerlukan kesabaran dan kebaikan yang diizinkan Allah. Mereka yang sudah lanjut usia, mudah tersentuh emosinya, cepat benar berkecil hati, kadang-kadang...lain yang kita sebut, lain pula yang difahamnya...nasihat kita sering (kita bertanggapan) dipandang mudah... namun, hendaklah kita turut faham mengapa ianya sedemikian?

Kerana kita ini...walau pada usia mana kita berada..., kita masih merupakan seorang anak kepada mereka; yang mana mereka (ibu bapa kita )tetap menganggap kita perlu dengar kepada nasihat dan keputusan mereka.. sedangkan kita pula mungkin bertanggapan sebaliknya.

Lalu.. petunjuk Allah dan Nabi Muhammad SAW mengajak kita untuk menunjukkan dan mengekalkan kasih sayang terhadap keduanya; berhadapan secara hands on dan tidak pula menyerahkan keduanya pada pihak lain untuk menggantikan kita sebagai anak utk memelihara keduanya...

Sunday, January 8, 2012

Bagai dalam “Dewan Peperiksaan”..

Sayapun sebenarnya tidak menghayati hakikat tersebut sebelum ini... namun tindakan saya meleraikan usaha seorang pelajar yang masih menulis meskipun waktu peperiksaan tamat, Allah izin mengingatkan saya tentang hakikat taubat dan iman seseorang yang tidak akan diterima tatkala diri seseorang insan itu telah menghampiri detik kematian.

Beberapa ayat Al Quran mengkisahkan tentang hakikat hidup, kematian dan apa sahaja keindahan yang dijadikan hiasan di dunia ini merupakan ujian untuk manusia...siapakah antara kita yang lebih baik amalan di antara mereka.

Saya merenung kelompok pelajar-pelajar saya yang tekun menghadapi kertas ujian. Patuh pada had waktu yang ditetapkan, tertib di meja masing-masing.. tiada pula yang suka hati berborak atau bermain ‘game’....atau menyia-nyiakan waktu yang diberikan tanpa menjengah pada soalan yang dikemukakan.. Namun, kelompok yang saya cerap mungkin kurang bersedia, termenung panjang dan seperti terkial-kial menyusun jawapan. Sampai waktu, kertas jawapan tersebut perlu diserahkan, dinilai sama ada seseorang itu berjaya cemerlang mahupun gagal.

Kita di dunia ini...dalam tempoh kehidupan dan hayat sementara, diberi tempoh menghadapi keadaan seperti juga keadaannya ujian tersebut; diberikan buku rujukan sebagai open book reference di samping pesanan-pesanan dari mereka yang jelas keimanan dan ketqwaan mereka. Diulang berkali-kali bahawa hakikat kita berada dalam ‘dewan peperiksaan’ itu untuk mengisinya dengan tujuan yang benar, dengan persediaan hati dan mencari ilmu serta mengutamakan hanya ibadah yang ikhlas ke hadrat Allah SWT. Fokus ‘menjawab peperiksaan’ itu perlu ditumpukan....jangan sesekali menghabiskan masa dengan perkara yang menjejaskan markah yang bakal diperolehi.

Cuma bezanya, ‘waktu peperiksaan’ kita di dunia ini, ditetapkan Allah menurut ketetapanNya. Ada yang pendek dan ada pula yang panjang.... di antara kita, ada yang ujiannya dalam bentuk kekayaan, ada pula oleh kemiskinan dan penuh penderitaan. Pada wajah sekeliling dan wujudnya dalam kehidupan, penuh warna-warni yang indah dipandang mata, kagum dengan kuasa, status, kebanggaan dan kehebatan dipandang manusia.... meskipun diperingatkan Allah bahawa apa sahaja di dunia adalah senda gurau dan sesuatu yang bersifat ‘olok-olok’ serta permainan belaka..

Bayangkan pula jika ‘open book reference’ (Al Quran dan Sunnah) yang telah dianugerahkan itu tidak pernah dibaca...atau dibaca tetapi tidak difahami... bayangkan pula keadaanya jika kita yang termangu-mangu tercengang akibat tidak tahu entah apa yang perlu dilakukan dalam julat masa 'ujian' yang dibenarkan...

Dalam ‘dewan peperiksaan’...tidak boleh bermain-main, atau menghabiskan masa melakukan selain dari berusaha mengumpul markah tertinggi serta mengelakkan gagal lalu mendapat hina dan hukuman Tuhan yang azabNya Maha Keras dan Pedih..

Waktu terus berdetik dan berlalu...ada di kalangan kita yang duduk di dewan itu telah dipanggil angka gilirannya; ada yang menunggu penuh kesal (apabila ditakdirkan Allah menderita sakit kronik dan tidak mampu lagi melakukan amalan yang baik) kerana belum bersedia menghentikan usaha menjawab soalan yang selama ini di sia-siakannya... sekadar bergegas (mungkin dilanda perasaan penuh kecewa) menyiapkan ‘buku soalan’ mengikut kemampuan yang termampu.

Bayangkan jika giliran kita dipanggil dalam keadaan kita cuai dan tidak bersedia..entah pada kedudukan mana kita berada...??

Monday, January 2, 2012

Tentang ' Keindahan KHAT'

Seni khat merupakan antara seni yang begitu unik dan mempunyai keindahan yang tersendiri. Beruntunglah mereka yang mahir dengan tulisan jawi serta mampu mengilustrasikan seni penulisan tersebut dalam konotasi yang begitu indah dan mengkagumkan.

Seni khat juga turut menarik minat pencinta seni di kalangan bukan muslim. Pernah juga saya kumpulkan teks mengenai binaan masjid serta ilustrasi seni yang diluahkan melalui senibina dan juga tulisan khat yang menghiasi bahagian dinding dan kubah. Selepas menatap dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pelbagai jenis seni huruf-huruf khat, betapa indah seni berkenaan apabila ia dapat di'internalisasikan' dengan fahaman dan tafsiran benar isi-isi perkataan yang diungkapkan.

Kenangan yang tidak mungkin saya lupakan dalam menghayati seni khat ialah semasa saya selesai menunaikan solat zohor di Masjid Besar Bandar Temerloh pada pertengahan tahun 90an dahulu. Pandangan saya tepat berkeliling memerhati susunan ayat Al Quran yang menghiasi dinding ruang solat... yang kebiasaannya saya jarang memberikan fokus pada mana-mana tulisan khat (saya terkadang mempunyai persepsi sukar membaca tulisan khat).

Namun ketika di masjid itu, begitu mudah saya membaca tulisan berkenaan... itulah lafaz ayat-ayat Surah As Sajdah yang menusuk hati dan perasaan. Lalu mengingatkan saya pada kebaikan persahabatan dan luang masa yang pernah saya habiskan bersama sahabat-sahabat di kampus iaitu ketika membacakan ayat-ayat surah tersebut. Alhamdulillah...itulah juga dengan izin Allah memotivasikan saya untuk menghafal ayat-ayat surah tersebut...